Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah.
"Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam":
Blogger
28 Ogos 2005
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
Para orientalis telah sekian lama menyerang agama Islam melalui tulisan mereka. Serangan ini adalah dalam pelbagai bentuk termasuklah hadis.
Allah mengingatkan kita tentang tingkah laku golongan kafir ini melalui firman-Nya: Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu)...(al-Baqarah: 120)
Serangan golongan ini kepada hadis adalah dari konsep sunah, keaslian hadis, hubungan hadis dengan perundangan dan sebagainya.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto SAZALI CHE DIN menemu bual pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, DR. ATIKULLAH ABDULLAH berhubung isu ini.
Mega: Apakah maksud orientalis?
DR. ATIKULLAH: Orientalis mempunyai banyak makna. Menurut Edward W. Said dalam bukunya Orientalism, orientalis merujuk kepada sesiapa sahaja khususnya orang Barat yang mengajar, menulis atau mengkaji tentang hal ehwal Timur.
Dalam pengertian khusus, orientalisme lebih merujuk kepada gerakan pengkajian hal ehwal Islam dan masyarakat Muslim oleh orang Barat. Sama ada dengan tujuan ilmiah semata-mata atau untuk tujuan keagamaan dan politik.
Hubungan awal antara orientalisme dan kristianisasi dikatakan sangat erat sejak abad ke-13 Masihi. Mubaligh Kristian khususnya ke Timur sangat digalakkan mempelajari bahasa dan budaya hidup Muslim bagi memudahkan pencapaian misi mereka.
Malah, di peringkat awal, boleh dikatakan Kristian menjadi pendorong kepada gerakan ini.
Apakah tujuan gerakan orientalisme ini?
DR. ATIKULLAH: Secara ringkas, terdapat pelbagai tujuan gerakan ini. Ia meliputi keagamaan, akademik, perniagaan dan politik.
Menurut Mahmud Hamdi Zaqzuq, orientalis boleh dibahagi kepada golongan seperti berikut:
Pertama, yang mengkaji Islam atas nama akademik tetapi terselit niat jahat untuk memasukkan jarum mereka bagi mengelirukan masyarakat Islam tentang agama mereka. Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada kakitangan gereja.
Golongan kedua ialah orientalis yang hanya mencari upah membuat kajian untuk kepentingan negara mereka sama ada dari segi ekonomi, penjajahan politik dan sebagainya.
Golongan ketiga ialah orientalis yang mengkaji Islam secara objektif. Mereka berpegang kepada prinsip akademik yang hanya berminat mencari fakta kebenaran.
Namun, sebahagian besar mereka adalah dalam kumpulan pertama dan kedua. Mereka dilihat sangat aktif memain peranan meracuni pemikiran umat Islam agar tidak kuat berpegang kepada ajaran Islam, jikapun tidak meninggalkannya terus.
Pelbagai keraguan dan syak wasangka ditimbulkan khususnya tentang asas dan sumber ajaran Islam iaitu al-Quran dan sunah.
Antara orientalis yang objektif dan termasuk dalam golongan ketiga tadi ialah Edward William Lane yang menghasilkan kamus Arabic-English Lexicon. Kamus ini diiktiraf sebagai sangat berautoriti dalam nahu Arab dan dirujuk oleh pakar nahu Arab sendiri.
Begitu juga A.J. Wensink yang menghasilkan Mu’jam al-Hadith al-Nabawiyy. Ia boleh dianggap lengkap dan sangat bermanfaat untuk pengkaji dan pencari asal-usul sesuatu hadis. Namun, seperti yang dinyatakan tadi, golongan ini amat minoriti.
Oleh kerana objektiviti mereka dalam menjalankan penyelidikan ilmiah, sebahagian mereka menemui kebenaran dan memeluk Islam.
Adakah pengkaji Muslim turut terpengaruh dengan gerakan orientalis ini?
DR. ATIKULLAH: Sememangnya usaha orientalis ini agak berkesan kerana memang ada umat Islam termasuk juga para pengkaji Muslim yang termakan dengan hujah mereka.
Menurut Mustafa al-Sibai’, antara faktor mengapa ini berlaku ialah kejahilan dan ketidakupayaan mereka merujuk sumber warisan Islam yang dihasilkan oleh para ilmuwan Muslim sendiri.
Yang kedua, pergantungan pengkaji Muslim dengan sumber yang dihasilkan oleh para orientalis. Sebabnya, banyak manuskrip tentang Islam diperoleh di luar negara berbanding di Malaysia atau negara-negara Islam yang lain.
Ketiga, terpengaruh dengan dakwaan objektiviti akademik yang dicanangkan oleh orientalis. Padahal hakikatnya mereka sendiri tidak objektif dalam mengkaji Islam dan sejarahnya. Akar umbi dan asas pemikiran mereka yang sebenar ialah menolak Islam.
Keempat, keghairahan sesetengah pengkaji Muslim mengejar populariti dan membebaskan pemikiran mereka daripada belenggu taklid seperti yang mereka dakwa.
Apakah contoh pengaruh orientalis ke atas pengkaji Muslim?
DR. ATIKULLAH: Antara contoh yang diutarakan oleh al-Sibai’ dan Dr. Muhammad Mustafa al-A’zami ialah tentang buku Adwa’ ‘ala al-Sunnah al-Muhammadiyyah, karangan Abu Rayyah.
Dalam buku ini, pengkajinya banyak bergantung kepada sumber orientalis untuk mengkaji tentang hadis Rasulullah s.a.w. Ini membawa beliau kepada mempertikaikan kredibiliti beberapa sahabat utama baginda. Antaranya, Saidina Umar dan Abu Hurairah.
Begitu juga al-Sibai’ menceritakan bagaimana gurunya di Universiti al-Azhar yang mengajar Sejarah Perundangan Islam yang terlalu terikat dengan sumber orientalis. Hinggakan beliau menuduh Imam Al-Zuhri, seorang tabi’en yang terkenal sebagai pereka hadis palsu untuk faedah pemerintahan Bani Umaiyah.
Padahal, al-Zuhri adalah seorang tabi’en yang sangat terkenal dengan warak dan takwa serta diakui sebagai imam dalam bidang hadis pada zamannya.
Adakah pengaruh ini dalam bidang hadis kekal sehingga sekarang?
DR. ATIKULLAH: Pengaruh orientalis dalam bidang hadis telah tersebar luas. Sehingga lahirnya golongan yang anti hadis iaitu mereka yang menganggap umat Islam tidak perlu kepada hadis untuk memandu kehidupan mereka.
Pada mereka, umat Islam hanya boleh bergantung kepada al-Quran kerana lebih terjamin keasliannya. Jika pengaruh-pengaruh orientalis ini berjaya meresap, sebahagian besar bahkan semua hadis yang diterima pakai oleh umat Islam pada zaman ini akan ditinggalkan.
Inilah yang sebenarnya matlamat kumpulan terbabit. Walhal dalam Islam, sunah atau hadis adalah sumber kedua hukum selepas al-Quran.
Dari segi perundangan Islam pula, orientalis agak berjaya memainkan peranan mereka menyogokkan bahawa undang-undang bukanlah sebahagian ajaran Islam. Islam hanya menekankan aspek akidah, moral dan akhlak.
Atas nama keadilan dan hak asasi, pengaruh ini semakin jelas di kalangan masyarakat. Ia dapat dilihat menerusi suara-suara yang memperjuangkan kebebasan sepenuhnya atau Islam liberal di kalangan umat Islam untuk menentukan apa yang baik dan buruk untuk mereka.
Apakah pula sumbangan Dr. Muhammad Mustafa al-A’zami dalam menangkis serangan orientalis terhadap hadis?
DR. ATIKULLAH: Beliau adalah antara sarjana Islam yang berhadapan dan bersemuka dengan orientalis secara ilmiah.
Al-A’zami dilahirkan di India dan mendapat pendidikan tinggi awal di institusi pengajian Islam terkemuka Darul Ulum, Lucknow, India pada tahun 1952. Kemudian menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universiti al-Azhar dalam pengajian hadis pada tahun 1955.
Usaha terawal beliau dalam menolak dakwaan palsu orientalis bermula melalui kajian tesis doktor falsafahnya (PhD) di Universiti Cambridge. Tesis ini sebahagian besar menolak beberapa dakwaan bapa orientalis, Ignaz Goldziher, seorang Yahudi yang menulis tentang Islam dalam bukunya Muhammedanische Studien.
Ketinggian mutu dan kesarjanaan al-A’zami dalam menolak tesis orientalis tentang keaslian hadis Rasulullah mendapat pujian sebilangan orientalis sendiri seperti profesor di Universiti Cambridge, A.J. Berry.
Sebagai pengiktirafan kepada sumbangan al-A’zami dalam membongkar penyelewengan orientalis dan kesarjanaan beliau dalam bidang hadis, beliau dikurniakan Anugerah Raja Faisal yang sangat prestij pada tahun 1980.
MENYEBUT China, perkara yang berkisar di minda adalah sebuah negara yang kaya dengan budaya, kesenian dan nilai peradaban tinggi.
Sejarah China yang panjang itu serta diperintah oleh beberapa dinasti tertentu hingga menimbulkan rasa ingin tahu serta mengorek rahsia terkandung termasuk dari segi kemunculan dan kegemilangan masyarakat Islam di negara berkenaan.
Buku Rahsia Kegemilangan Islam di China ini menceritakan dengan terperinci mengenai sejarah termasuk kedatangan Islam di negara itu.
Berdasarkan sejarah, umat Islam di negara itu juga memainkan peranan penting dalam pentadbiran beberapa dinasti China dan diberi kedudukan tinggi di kaca mata pemerintah. Islam dipercayai sampai ke negara itu sejak lebih 1400 tahun lalu.
Nabi Muhammad sebelum berhijrah dari Makkah ke Madinah menghantar beberapa sahabat untuk berdakwah di China.
Pada Zaman pemerintah dinasti Tang ada rekod wujud hubungan diplomatik antara kerajaan China dengan pemerintahan Saidina Usman Affan, iaitu sekitar 618 Masihi (M).
Mereka meletakkan batu asas untuk membolehkan Islam bertapak di China dan akhirnya Islam berkembang pesat di China.
Ketika pemerintahan dinasti Yuan pula, kerajaan itu mengamalkan dasar pemerintahan memihak kepada umat Islam. Seterusnya umat Islam juga membantu penubuhan dinasti Ming pada 1368, sebagai balasan Maharaja dinasti itu membina beberapa masjid dipercayai 100 masjid manakala Beijing empat masjid besar dan sekali gus Islam terus berkembang pesat .
Kini, natijahnya, misi dakwah itu berjaya melahirkan lebih 136 juta umat Islam dengan majoriti menetap di Xinjiang, Gansu, Hubel, Qinghai dan Yunnan.
Di China kini ada kira-kira 35,000 masjid dengan yang tertua adalah Masjid Nujie dibina di Beijing pada 996M. Masyarakat etnik Hui adalah kumpulan komuniti Islam terbesar di China iaitu meliputi 90 peratus daripada jumlah mereka yang beragama Islam. Mereka banyak membantu perkembangan tamadun di negara kuasa besar itu.
Masjid tidak saja dijadikan pusat ibadat tetapi juga aktiviti kemasyarakatan dan pendidikan. Peranan masjid diperkukuhkan sebagai pusat kekuatan dan penyatuan tenaga umat Islam. Masjid juga merapatkan hubungan sesama umat Islam di China.
Kesan tamadun Islam di China melahirkan sejumlah alim ulama dan tokoh ilmuan Islam antaranya Wang Daisyu dan Yusuf Ma Zhu yang memberi sumbangan besar kepada pembinaan negara itu sendiri.
Secara keseluruhan jumlah umat Islam di China tidak dianggarkan dengan tepat. Bagaimanapun, ada pelbagai faktor dikemukakan untuk menyokong kenyataan itu, iaitu umat Islam bertapak di negara itu sejak 1400 tahun lalu, sebahagian wilayah China duduki oleh penduduk beragama Islam dengan penempatan bertebaran di kawasan cukup luas, sumbangan dan kesan tamadun Islam di peradaban China yang amat besar dan Islam terus bertahan sebagai sebuah agama terbesar di China dengan cara hidup sunnah masih mendominasi kehidupan penduduk di sana.
Sejarah umat Islam di China turut membantu perkembangan agama Allah itu di Asia termasuk Tanah Melayu. Secara langsung mengubah perkembangan politik dan ekonomi rantau Asia sehingga kini.
NAZLIFAH dalam e-melnya kepada penulis berkata, walaupun apa yang diperkatakannya ini agak sudah terlewat untuk memberi pandangan tetapi menurutnya, kisah kehidupan manusia sentiasa segar.
Ia berlaku berulang kali dalam masyarakat sama ada disedari atau tidak.
‘‘Saya pernah terbaca kisah anak yang membuang ibunya dalam DCCK keluaran 27 Mei lalu. Ia sungguh menyentuh hati dan membuatkan saya sebak. Tambahan apa yang dilalui oleh ibu itu sama seperti yang saya lihat berlaku dalam diri wanita tua yang berkongsi rumah dengan saya.
“Malah boleh saya katakan nasib ibu tua bernama Kak Anis ini lebih menderita lagi. Dia berhempas pulas membesar dan membantu hidup anak-anaknya yang sering membawa masalah kepadanya.
“Tetapi malangnya hidupnya tidak pernah dipedulikan baik oleh anak-anaknya yang seramai empat orang itu mahupun menantunya, malah mereka meminggirkan diri mereka dari ibunya,’’ demikian cerita Nazlifah lagi dalam e-melnya
“Kadang-kadang saya terfikir mengapakah seseorang ibu itu sanggup bermati-matian dan berhempas pulas membesar, membimbing dan menghidupkan anak-anaknya terutama kepada ibu-ibu tunggal yang kematian suami ataupun yang diceraikan tanpa sebarang bantuan dan pembelaan dari bekas suami mahupun keluarganya, tetapi bila anak-anaknya sudah besar mereka langsung tidak pedulikan ibunya.
“Apakah salah ibu juga cara dia membesarkan anak-anaknya menyebabkan anak- anaknya langsung tidak ada hati, perasaan dan mahu mengenang budi yang pernah ditabur oleh ibunya dari kecil hinggalah dia besar?
“Inilah nasib yang telah dilalui oleh Kak Anis yang mempunyai empat orang anak kesemuanya lelaki berusia antara 30 hingga 23 tahun tetapi langsung tidak pedulikan ibu mereka setelah mereka berkahwin.
“Kak Anis seorang yang peramah tetapi tidak ada siapa pun yang mengetahui penderitaan yang dilaluinya. Dia sudah serik dan amat kecewa dengan sikap anak-anaknya yang langsung tidak mempedulikan dirinya yang hidup terbuang seorang diri. Hinggakan sewaktu dia sakit dan terlantar di hospital pun dia pergi sendiri ke hospital tanpa beritahu saya kecuali melalui nota yang ditinggalkan di rumah.
“Tetapi sesuatu yang amat mengagumkan saya walaupun dia dipinggirkan oleh anak-anaknya, tetapi apabila anaknya datang dan mengadu susah dia tidak akan hampakan mereka malah segera menghulurkan bantuan walaupun ketika itu dia sendiri tidak ada wang dalam simpanan.
“Saya dah faham sangat sifat dan kelakuan anak-anak kak Anis malah saya pula yang sering marah dengan kelembutan kak Anis terhadap anak-anaknya. Mereka cuma datang menjenguk emaknya atau menelefon ketika mereka perlukan duit kalau tidak mereka tidak akan datang jumpa kak Anis walaupun pada Hari Raya.
“Biasanya kalau kak Anis tak ada duit dia akan pinjam daripada saya ataupun daripada teman-teman sekerjanya yang bekerja sebagai pembersih pejabat dan pembancuh air. Namun kak Anis akan bayar semua wang yang dipinjamnya setelah dia dapat gaji. Katanya, dia tak suka berhutang lama, sebab dia tak tahu berapa lama lagi dia boleh hidup. Kalau dia mati siapa yang nak ganti. Dia tak harapkan anak-anaknya.
“Tetapi anak-anak kak Anis tidak pernah ganti duit yang dipinjam. Mereka tak akan datang selepas meminjam. Kadang-kadang saya tengok kak Anis termenung dan ada kalanya menangis seorang diri. Katanya, dia amat sedih dah tua begitu masih tidak ada rumah untuk berteduh. Dia risau ditakdirkan dia jatuh sakit dan tak mampu nak bekerja, siapalah akan menjaganya.
“Memang kak Anis dapat pencen arwah suaminya, tetapi jumlahnya tidaklah sebanyak mana. Cukup untuk dia membayar sewa bilik rumah sahaja. Tetapi anak-anaknya tak peduli, mereka masih datang menagih duit pencen ayah mereka. Pernah saya dengar mereka meninggikan suara kepada kak Anis sambil berkata dia tak minta duit kak Anis sebaliknya minta duit pencen arwah ayah mereka. Siapa tak sedih bila dengar anak sendiri bercakap seperti itu. Itulah penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh kak Anis selama ini.
“Menurut cerita kak Anis, satu hari, anak sulungnya sanggup tak mengaku Kak Anis ibunya sebaliknya mendakwa dia tak boleh mendekati ibunya kerana ibunya bela hantu polong. Dan hantu polong itulah yang masuk ke tubuh anaknya, menyebabkan anaknya sering sakit. Pelik sungguh saya dengan sikap anak-anak sekarang.
“Hampir empat tahun kak Anis tinggal dengan saya berkongsi rumah, saya rasa aman, kak Anis buat saya macam adiknya sendiri. Dia rajin masak dan pastikan saya makan bila balik kerja. Kerana itu saya tidak berkira dengan kak Anis. Masakan kak Anis memang sedap. Apa yang dia masak, dia tidak lupa hantar sedikit kepada anak bongsunya yang tinggal dekat dengan rumah kami. Saya kagum dengan perasaan dan hati seorang ibu macam kak Anis.
“Anak sulung kak Anis ini, masa kecilnya sering sakit-sakit dan sering sakit teruk. Dan keadaannya berlanjutan sehingga dia meningkat remaja. Demi kesihatannya dia terpaksa makan ubat seumur hidupnya, ketika kecil hingga remajanya, kak Anislah yang menyuapkan ubat dan makanan.
“Kini anaknya itu sudah berkahwin dan ada dua orang anak. Oleh kerana anaknya juga sering sakit, dia menuduh kak Anis bela hantu, kerana itu isterinya mengajak dia pindah dan mencari pekerjaan di negerinya di pantai timur, biarlah kak Anis tinggal sendiri jauh dari kehidupan mereka.
“Semasa mereka tinggal dengan Kak Anis di KL, hubungan Kak Anis dengan cucunya amat rapat, tetapi itu tidak digemari oleh menantunya. Namun bagi kak Anis itu semua tidak jadi masalah, sebab Kak Anis pun bekerja kalau cucunya datang hidupnya mungkin lebih sibuk lagi malah duitnya lebih cepat habis sebab melayan kerenah cucu-cucunya itu.
“Pernah semasa menantunya melahirkan anak, kak Anislah yang menjaga cucu-cucunya sebab besannya tak suka jaga cucunya. Kak Anis tak kisah, dialah yang menghantar anak-anak itu ke rumah pengasuh, memberi makan minum semasa ibunya balik ke kampung bersalin. Semua Kak Anis buat dengan duit simpanannya, tanpa bantuan anak menantunya.
“Saya sendiri lihat kak Anis beli susu, biskut, lampin pakai buang dan macam-macam lagi keperluan cucunya, tetapi anak kak Anis lepas tangan, malah rokoknya pun dia minta kak Anis belikan.
“Bila anak sulungnya ikut isterinya pindah ke pantai timur, Kak Anis buat keputusan sewa bilik berkongsi rumah dengan saya, kata kak Anis biar dia sewa bilik tak payah lagi anak-anaknya datang sesuka hati menumpang dan menyusahkan hidupnya lagi, katanya dia dah bosan ‘menyuap’ mereka kini biarlah mereka berdikari.
“Tapi itu semua cakap di mulutnya sahaja, tapi tak sampai di hati. Bila anaknya datang minta pinjam duit dia tetap akan beri walaupun dengan linangan air mata. Kini kak Anis menghitung hari bila nak berhenti kerja. Kak Anis tidak sabar-sabar hendak berehat. Dia pernah beritahu saya dia akan pergi jauh bila bersara nanti. Kalau dia mati sekalipun anak-anak tidak perlu tahu, dia akan meninggalkan nota bahawa dia tidak punya keluarga, mayatnya boleh dikebumikan tanpa menunggu sesiapa. Begitulah kecewanya kak Anis dengan anak-anak.
“Saya gerun dengar kata-kata kak Anis, sungguh saya tak sangka begitu dalam luka penderitaan yang terpaksa ditanggungnya kerana perbuatan anak-anaknya yang lebih pentingkan isteri daripada ibu sendiri. Berkali-kali kak Anis berkata dia tak mahukan duit ringgit mereka, cukup sekadar doakan dia dan kenang dia sebagai ibu.
“Kadang-kadang tu bila dengar kak Anis bercakap dengan anaknya, saya yang menangis sendirian di dalam bilik, kerana saya begitu sedih dengan nasib beliau, kerana saya tahu sangat jasa dan pengorbanan beliau kepada anak-anaknya selama ini.
“Bila tengah malam, saya terdengar kak Anis bangun mengambil segelas air di dapur untuk makan ubat kerana penyakit tulangnya, dan dia sembahyang tengah malam. Pernah saya terdengar dia berdoa sambil menangis teresak-esak di tikar sembahyang. Keesokan paginya, saya lihat kak Anis biasa sahaja. Sungguh tabah hati kak Anis. Namun saya tidak berani bertanya mengapa dia menangis dan apa yang membuatkan dia cukup sedih malam tadi.
“Baru-baru ini, anak kedua kak Anis menelefon bertanyakan nama ubat yang dimakan oleh abangnya, anak sulung kak Anis. Walaupun kak Anis nampak terkejut kerana anaknya sakit semula dan berada dalam wad, tapi dia dengan tabah memberitahu anak keduanya dia tak dapat pergi kerana jauh, sebaliknya menyuruh anaknya menjenguk abangnya yang sedang sakit.
“Anak sulungnya telah tua dan dah beranak-pinak, tahulah dia nak beritahu doktor tentang penyakitnya. Lagi pun dia dah ada isteri yang boleh menjaganya. Begitu kata kak Anis kepada anaknya melalui telefon. Saya yang terdengar perbualan mereka cuma tumpang sedih. Macam-macam masalah terpaksa beliau hadapi, yang lebih sedih, anak-anaknya akan menghubunginya bila ada masalah tentang sakit pening dan nak pinjam wang, semasa mereka senang tak ada siapa pun mencarinya.
“Selepas mematikan telefon bimbitnya kak Anis masuk ke bilik. Dari luar bilik kedengaran kak Anis meraung. Saya tau dia sedih dengar anaknya sakit. Tapi untuk kali ini kak Anis tidak dapat menjaganya. Dia jauh hati dengan sikap dan perbuatan anak- anaknya yang tidak mempedulikannya selama ini.
“Kata kak Anis ingin hidup senang. Cukuplah segala pengorbanan yang dicurahkan kepada anak-anaknya selama ini. Dari kecil dibesarkan hingga mereka berkahwin dan mempunyai anak. Jadi biarlah mereka berdikari. Lagipun katanya, dia dah tawar hati dengan sikap anak-anaknya yang sering menyusahkan hidupnya.
“Katanya lagi setelah bersara, dia hendak habiskan sisa-sisa hidupnya tanpa sebarang gangguan. Malah duit hadiah atau apa saja duit yang bakal dia terima, dia tidak akan beri sesen pun kepada anak-anaknya. Dia ingin pergi jauh.
“Saya yang mendengar turut bersedih. Tetapi sejauh mana ketegasan kata-kata kak Anis mahu tinggalkan KL dan tidak memberi anaknya duit tidaklah diketahui. Sebab kak Anis selalu teringatkan anak-anaknya dan setiap kali mereka datang menagih duit, kak Anis tak pernah kata tak ada duit, sebaliknya dia bagi juga. Kalau dia tak ada duit pun dia sanggup pinjam pada orang untuk anaknya. Bila ditanya kenapa kasi, dia kata tak sampai hati, dan tak sanggup tengok anaknya susah, biarlah dia susah.
“Begitulah kasihnya seorang ibu yang melahirkan anak-anaknya, tetapi sedihnya anak-anaknya tidak pernah ingatkan apa lagi kasih terhadap ibu mereka yang seorang itu. Di mana silapnya, adakah kerana kak Anis susah, tak ada rumah tak ada harta maka dia tidak disayangi oleh anak-anaknya? Kalau benar, memang tepat sekali anak-anak sayangkan ibunya kerana harta yang bakal mereka miliki nanti,’’ demikian cerita Nazlifah tentang teman serumahnya seorang ibu tunggal yang hidup dalam penuh penderitaan.
Tanya Nazlifah, di manakah silapnya, mungkin agaknya kerana terlalu sayang. Sayang semata-mata tanpa diberikan tangungjawab, semangat, keinsafan diri dan sedar siapa diri mereka sebenar maka sayang itu tidak akan membawa erti apa-apa kepada anak-anak. Akhirnya mereka membesar tanpa mengenal siapa diri mereka dan menjadi anak yang tidak mengenang budi.
DALAM simpanan tukang catat ini sejak beberapa tahun lalu ialah sebuah al-Quran yang dicetak di negara Jepun. Pada sebelah kanan setiap muka ialah ayat-ayat suci dan pada sebelah kiri terjemahan dan penjelasan dalam bahasa Jepun.
Kitab suci itu dicari semula dari rak buku setelah membaca berita berulang mengenai orang-orang Islam di Korea Selatan berdoa supaya kira-kira 20 orang awam Korea yang ditawan oleh askar Taliban di Afghanistan tidak diapa-apakan.
Kerana, orang-orang Islam bangsa Jepun dan Korea berupa golongan minoriti di negeri masing-masing. Keterangan mengenai mereka yang diperoleh dari Wikipedia, ensiklopedia bebas mungkin berguna bagi kita.
Pertama mengenai Islam di negara Jepun. Hubungan pertama dengan orang Islam ialah dengan orang-orang Melayu yang bekerja sebagai kelasi kapal-kapal British dan Belanda lewat abad-19. Sebelum itu, lewat 1870, buku riwayat hidup Nabi Muhammad telah diterjemah ke bahasa Jepun. Dengan itu, agama Islam dianggap mengambil tempat dalam imaginasi intelek bangsa Jepun.
Satu lagi yang dianggap pertemuan penting ialah pada tahun 1890 manakala Turki pemerintahan Uthmaniah mengirim sebuah kapal ke Jepun sebagai membalas secara hormat lawatan seorang putera diraja Jepun ke Istanbul beberapa tahun sebelum itu.
Orang Islam Jepun yang pertama menunaikan fardu haji ialah Kotaro Yamaoka yang memeluk agama Islam pada tahun 1909 dan mengambil nama Omar Yamaoka manakala pergi ke Mekah.
Seorang lagi bernama Bunpaciro Ariga yang berniaga ke India dan memeluk agama Islam setelah berkenalan dengan orang-orang India Islam. Beliau kemudian mengambil nama Ahmad Ariga.
Pelarian Islam
Masyarakat Islam muncul di negara Jepun dengan ketibaan ratusan orang Turkoman, Uzbek, Tajik, Kirghiz, Kazakh dan lain-lain pelarian Islam dari Asia Tengah dan Rusia, iaitu akibat revolusi komunis. Mereka diberi perlindungan oleh Jepun dan selanjutnya bermastautin di beberapa buah bandar.
Dengan lahirnya masyarakat kecil Islam itu, beberapa buah masjid dibina. Yang utama sekali ialah Masjid Kobe pada tahun 1935 dan Masjid Tokyo pada tahun 1938 (diperbaharui pada tahun 1990-an).
Dalam masa Perang Dunia Kedua pula, makluman mengenai agama Islam tersebar luas di negara Jepun dan di kalangan pusat-pusat penyelidikan mengenai Islam dan dunia Islam. Lebih 100 buah buku dan majalah mengenai Islam terbit di negara Jepun.
Sebenarnya terbitan-terbitan itu bukan untuk memperkenalkan Islam, tetapi untuk membolehkan pihak tentera lebih mengetahui mengenai Islam dan orang Islam. Ini kerana wujudnya masyarakat Islam yang ramai di China dan Asia Tenggara yang ditakluki oleh tentera Jepun.
Pada tahun 1970-an, pelbagai maklumat mengenai Islam tersebar, iaitu selepas “krisis minyak tahun 1973.” Dengan itu ramai orang Jepun mendapat kesempatan melihat gambar-gambar orang Islam menunaikan fardu haji di Mekah dan mendengar bacaan-bacaan ayat suci al-Quran serta suara bilal melaungkan azan.
Sebilangan orang Jepun kemudian memeluk agama Islam ketika itu dan kemudiannya ‘puluhan ribu’.
Hingga baru-baru ini, masyarakat Islam paling ramai di negara Jepun ialah orang Turki. Lalu disebut bahawa sebelum meletusnya perang, orang Jepun bersimpati dengan warga Islam di Asia Tengah yang antikomunis.
Sebilangan lagi masuk Islam setelah berkenalan dan berdampingan dengan mereka manakala tamat perang.
Sebilangan pemandu pesawat-pesawat angkatan udara Jepun dilatih mengucap dua kalimah syahadat jika ditembak jatuh dan ditawan oleh orang-orang kampung.
Menurut yang empunya cerita, beberapa orang yang berbuat demikian terkejut melihat orang-orang kampung berubah sikap mereka.
Jelas bahawa serangan Jepun di China dan negara-negara Asia Tenggara merapatkan hubungan dengan orang-orang Islam. Mereka yang masuk Islam menubuhkan, pada tahun 1953, organisasi Islam yang pertama di bawah pimpinan seorang bernama Sidiq Imaizumi. Bilangan ahli seramai 65 orang Islam bertambah dua kali ganda beberapa tahun kemudiannya.
Bilangan sebenar orang Islam di Jepun tidak begitu jelas kerana kerajaan Jepun tidak bertanya mengenai agama dalam borang-borang banci dan lain-lain dokumen rasmi. Bilangan mereka ditaksirkan kira-kira 70,000 orang, iaitu 90 peratus warga asing dan 10 peratus Jepun.
Terjemahan al-Quran dalam bahasa Jepun belum diedarkan secara meluas. Pelbagai tulisan mengenai Islam tidak jual di toko-toko buku atau diperoleh di perpustakaan awam.
Demikian serba sedikit mengenai Islam di negara Jepun. Bersambung kelak, insya-Allah ialah keterangan mengenai Islam di Korea.
Semoga adanya pihak-pihak berwajib di negara kita memberi sumbangan meluaskan maklumat mengenai Islam di negara-negara lain.
* Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.
PELAJAR Tingkatan Tiga sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang berminat memasuki Tingkatan Empat di Maktab Rendah Sains Mara (MSRM) tahun depan, boleh mengemukakan borang permohonan yang dijual mulai 16 Julai hingga 27 Julai ini.
Calon boleh mendapatkan borang berharga RM10 di Pejabat Mara Wilayah Persekutuan, negeri dan daerah berdekatan.
Berdasarkan laman web Mara, pemohon dikehendaki membawa salinan kad pengenalan, surat beranak serta keputusan peperiksaan semester satu (Mei 2007) Tingkatan Tiga di SMK yang disahkan ketika membeli borang.
Calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya lulus subjek Matematik dan Sains.
Borang yang lengkap diisi hendaklah dikembalikan selewat-lewatnya pada atau sebelum 3 Ogos depan kepada Pengarah Bahagian Pendidikan Dan Latihan (Menengah) Tingkat 19, Ibu Pejabat Mara Jalan Raja Laut, 50609 Kuala Lumpur.
Bagi pemohon yang memohon borang permohonan menerusi pos, bayaran dibuat dengan kiriman wang atau wang pos berpalang bernilai RM10 atas nama Majlis Amanah Rakyat.
Permohonan hendaklah dihantar ke Pejabat Mara negeri atau daerah yang terdekat dengan menyertakan salinan kad pengenalan, surat beranak, keputusan peperiksaan yang disahkan, serta sampul surat berukuran 25 cm x 36 cm beralamat sendiri dan bersetem RM1.
Maklumat lanjut berhubung dengan permohonan kemasukan ke MRSM 2008, boleh diperoleh dengan melayari laman web Mara di alamat www.mara.gov.my.
Menurut laman web itu juga, pelajar dikehendaki menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan ke MRSM (UKKM) sebagai prasyarat kemasukan ke maktab itu.
Pemohon akan menduduki UKKM selepas peperiksaan PMR selesai dan maklumat berkaitan tarikh, masa dan tempat ujian itu akan diumumkan sebelum 30 September ini.
Pemohon yang ditawarkan ke Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di bawah Jabatan Pendidikan Islam Dan Moral, Kementerian Pelajaran tidak akan ditawarkan ke MRSM.
PERMAINAN seperti Monopoly, Scrabble, PlayStation, Saidina dan pelbagai jenis permainan video adalah antara yang sentiasa disogokkan sama ada kepada kanak-kanak mahupun seisi keluarga.
Namun, kunjungan ke The Little Khalifah Shop di Jalan Changkat Permata, Taman Permata, Hulu Klang, Kuala Lumpur dan kesempatan bertemu pemiliknya, Roslinah Daud, menyedarkan penulis betapa kita terlalu disogokkan dengan permainan-permainan dari luar.
Hakikatnya terdapat aneka permainan yang berunsurkan Islam boleh diperoleh di sini. Antaranya; Permainan Cabaran al-Quran (versi B. Malaysia), Quran Challenge Games (versi B. Inggeris), Hajj Fun Games, Madinah Solat Fun Games, The Great Mosque Games dan Hadith Challenge Games.
Menurut Roslinah, Permainan Cabaran al-Quran adalah unik kerana ia berdasarkan kitab suci al-Quran. Permainan ini dicipta untuk mengajar anak-anak tentang fakta-fakta di dalam al-Quran dengan cara yang menyeronokkan.
Katanya, kesemua soalan dipetik daripada al-Quran dan dirumus secara kreatif untuk menarik minat anak-anak supaya menyukai serta berjaya menjawab soalan-soalan tersebut.
Selain itu, ia sesuai untuk dimainkan di sekolah bersama teman-teman ataupun di rumah dengan ahli keluarga.
“Terdapat 100 kad yang mempunyai 600 soalan yang terbahagi kepada enam kategori iaitu Pengetahuan al-Quran, Para Nabi, Orang yang disebut di dalam al-Quran, Tanah dan Tempat di dalam al-Quran, Pengajaran daripada al-Quran dan 99 Nama Allah s.w.t.,” katanya.
Pemenang adalah pemain yang mempunyai mata ganjaran terkumpul yang paling banyak.
Mereka yang berminat dengan set permainan ini boleh mendapatkannya di kedai The Little Khalifah Shop atau menghubungi 03-4147 2626..
APABILA penyanyi rock terkemuka yang pernah berambut panjang, beranting-anting dan memakai kalung di leher memutuskan menunaikan umrah baru-baru ini, ramai terkejut.
Pelbagai tanggapan timbul, kononnya pemergian Amy ke Makkah adalah suatu yang pelik kerana imejnya sebagai penyanyi rock sukar dikaitkan dengan ilmu agama.
Malah Amy sendiri mengakui semasa di sana, beliau turut diuji apabila terdengar kata-kata orang yang mempertikaikan kehadirannya di situ hasil wang nyanyian yang disifatkan 'tidak bersih'.
'Dalam sibuk beribadat, masih ada orang sempat memperlekehkan insan lain. Saya terdengar perbualan seseorang mempertikaikan kehadiran saya di tanah suci. Barangkali maksudnya saya ini penyanyi, maka wang yang saya perolehi tidak halal.
'Alhamdulillah, saya sedikit pun tidak melenting kerana umrah urusan saya dengan Yang Maha Esa. Dia Maha Mengetahui, Maha Penyayang, Maha Pengasih, Maha Pengampun dan Maha Bijaksana. Sama ada saya diterima atau tidak, itu hak Allah.
'Yang pasti, sewaktu mengambil keputusan ini dulu, hati saya sudah bulat dan saya berserah dengan apa pun dugaan yang bakal ditempuhi,' luah Amy dalam laporan akhbar Harian Metro.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 49 tahun, berada di Makkah bersama isteri, Hasniza Hassan atau mesra dipanggil Norish, 26 tahun, dari 29 Mei hingga 11 Jun lalu.
Menurut beliau, keinginannya mengerjakan umrah sudah terdetik sejak beberapa tahun lalu.
'Paling seronoknya sepanjang mengerjakan umrah saya dapat sembahyang Jumaat dua kali iaitu di Masjid Nabawi, Madinah, dan Masjidil Haram, Makkah.
'Selama empat hari di Madinah, saya berpeluang solat di Raudhah, salah satu taman syurga. Bukan mudah merebut peluang bersembahyang di Raudhah kerana kawasannya amat terhad dan tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai,' tambahnya.
Ketika tiba di Makkah, Amy mengucap syukur sebaik melihat Kaabah.
'Ia cukup indah hingga saya menangis. Selesai berehat, saya terus melakukan tawaf. Saya juga mengorbankan rambut. Malah saya berikrar mahu kekal dengan imej begini selama-lamanya kerana dengan cara ini hati saya sentiasa terkenangkan Makkah,' kata Amy.
Mengenai doanya ketika di Makkah, Amy berkata, beliau memohon kepada Allah swt agar ditetapkan hatinya supaya tidak malas bersolat dan mematuhi segala yang termaktub dalam Rukun Islam dan Rukun Iman.
Kini beliau berhasrat untuk melakukan umrah Ramadan pula. BHS
MELAKA 23 Julai – Qari dari Johor, Aziz Mustakim dan qariah Sarawak, Amnah Ayup muncul johan kategori masing-masing pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-50 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di sini malam ini.
Mereka menewaskan 27 peserta lain yang mengambil bahagian dalam pertandingan yang bermula Khamis lepas.
Aziz yang memperoleh markah 79 peratus, menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua negeri, Tun Khalil Yaakob.
Johan qariah pula, Amnah Ayup yang berjaya memungut markah 82.67 peratus, turut menerima wang tunai RM10,000, piala pusingan, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.
Naib johan qari bagi tilawah tahun ini dimenangi peserta Wilayah Persekutuan, Amirahman Abas yang berjaya memungut markah 79 peratus.
Tempat ketiga dimenangi qari Pahang, Zul Hasyimi Mohamaed Yunus dengan beza markah 1.3 peratus sahaja daripada Aziz dan Amirahman apabila memungut 78.33 peratus markah.
Bagi kategori qariah, naib juara dimenangi graduan Universiti Tenaga Nasional, Syarifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman yang memungut 78.667 peratus markah manakala tempat ketiga dimenangi Raziyati Mohd. Ali dari Terengganu yang mengutip markah 76.33 peratus.
Mutu
Sementara itu, Pengerusi Jemaah Hakim, Datuk Wan Mohamad Syeikh Abdul Aziz berkata, mutu bacaan peserta pada keseluruhannya meningkat dan tiada perbezaan markah yang ketara antara mereka.
‘‘Cuma peserta yang lebih cermat sahaja berjaya menjarakkan markahnya dengan peserta lain,” jelas beliau.
Bagaimanapun, katanya masih terdapat sedikit kekurangan daripada segi makhraj huruf serta gaya melagukan bacaan masing-masing.
Sementara itu, Khalil dalam ucapannya berkata, Islam berjaya membawa pelbagai pencapaian cemerlang kepada umatnya di negara ini sejak dahulu lagi.
‘‘Bagaimanapun, kita masih boleh menjadi lebih cemerlang daripada sekarang dengan lebih mendalami lagi agama ini.
‘‘Lebih banyak kajian dan penyelidikan dalam bidang sains boleh dijalankan dengan mengkaji al-Quran seperti yang dilakukan oleh ilmuwan zaman dahulu,” tegasnya.
MEROKOK adalah satu tabiat yang digemari sebahagian manusia pada zaman serba moden ini, malah ia menjadi keperluan kepada golongan muda yang beranggapan merokok kononnya melambangkan kedewasaan dan kematangan.
Di Malaysia, berdasarkan maklumat Kementerian Kesihatan, 24 peratus daripada 3.1 juta perokok tegar di kalangan rakyat Malaysia adalah remaja termasuk pelajar sekolah rendah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan merokok sebagai satu aktiviti ketagihan. Merokok secara tidak langsung boleh menyebabkan seseorang itu terbabit dengan najis dadah kerana rokok bunga kepada dadah.
Ia digambarkan sebagai permulaan untuk menjinakkan diri dengan bahan tidak mendatangkan manfaat dalam kehidupan. Oleh itu, amalan menghisap rokok wajar dihentikan segera oleh individu yang menagihnya kerana ada banyak kesan negatif.
Perbuatan membeli rokok jelas satu pembaziran sedangkan wang itu boleh dibelanjakan untuk keperluan keluarga. Ia menunjukkan merokok sebagai punca merosakkan perangai dan membuang harta tanpa kewajarannya.
Mereka tidak sedar tindakan merokok boleh menimbulkan krisis dalaman keluarga kerana masalah kewangan untuk menyara keluarga. Mereka terpaksa memperuntukkan sebahagian besar wang untuk membeli rokok, sedangkan keperluan keluarga dipinggirkan.
Berdasarkan Ahmad Shalabi, rokok bagi golongan miskin tidak mengenyangkan, malah mereka terpaksa menanggung bebanan hutang. Begitu juga golongan pelajar yang sanggup menghabiskan dan membelanjakan wang untuk membeli rokok kerana ketagihan, sedangkan keperluan untuk pelajaran diabaikan.
Merokok boleh menyebabkan masalah kepada sistem peredaran darah. Apabila seseorang itu merokok, pergerakan jantungnya bertambah, lama-kelamaan degupan jantung menjadi tidak teratur dan menyebabkan sakit dada.
Selain itu, merokok boleh menyebabkan perokok kehilangan deria bau dan rasa serta kesan kekuningan pada gigi perokok disebabkan tar tembakau yang ada pada rokok. Tar tembakau juga menyebabkan keadaan mulut perokok berbau busuk, menghilangkan selera makan, menyebabkan ketagihan berpanjangan dan mengalami masalah penghadaman makanan.
Malah, merokok juga akan meninggalkan ketidakselesaan kepada mereka yang berdampingan dengan perokok seperti anak, isteri dan orang awam lain melalui asap rokok dihembus perokok.
Penyelidik mengesahkan merokok menyebabkan barah paru-paru, barah peti suara, mulut dan kerongkong. Malah, asap rokok yang dihembuskan perokok boleh mendatangkan penyakit kepada penghidunya, manakala perokok di kalangan wanita hamil pula boleh mendatangkan masalah kepada bayi dalam kandungannya kerana racun tembakau dan asap rokok akan meresap ke uri. Hal ini menyebabkan anak dalam kandungan kekurangan oksigen dan zat dalam darahnya. Secara tidak langsung, apabila anak itu lahir kemungkinan besar kekurangan berat badan dan mudah terkena jangkitan penyakit.
Kajian sarjana Barat, C Everentt Koop, menjelaskan perokok kebanyakannya mati pada usia muda berbanding mereka yang tidak merokok.
Berdasarkan kepada banyaknya kesan negatif daripada amalan merokok, mereka yang menghisap rokok seolah-olah mahu merosakkan tubuh dan membinasakan diri.
Untuk membanteras tabiat ini, amat wajar kerajaan melancarkan kempen ‘Tak Nak Merokok dan Cara Hidup Sihat’ pada 2005. Malah, baru-baru ini kerajaan dengan tegas menaikkan harga rokok sebagai usaha menghentikan amalan negatif di kalangan rakyat Malaysia.
Namun, kempen itu perlu disusuli kesedaran perokok dan mereka yang ingin merokok kerana setiap perubahan terletak pada diri mereka.
Hal ini dijelaskan Allah menerusi firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah ar-Ra’d, ayat 11)
Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.
Oleh Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi (mindakritis@yahoo.com)
Perkataan wakaf dalam sebutan Melayu membawa salah satu dari dua maksud bergantung kepada konteks dan kegunaannya.
Jika ia digunakan pada sesuatu objek itu sendiri, ia membawa maksud kerangka bumbung yang terbuka untuk kegunaan awam atau perabot siarkaki yang digunakan untuk orang ramai berhenti rehat, duduk atau berbaring.
Perabot siarkaki atau pavillion ini keseluruhannya diperbuat daripada kayu dengan tiang minimum empat batang dan mempunyai pelantar kayu yang rendah.
Bagaimanapun jika perkataan wakaf digunakan dengan sesuatu yang lain seperti harta wakaf atau tanah wakaf atau dalam perkataan diwakafkan, ia membawa maksud harta atau tanah yang dihadiahkan untuk kegunaan awam atau perbuatan menghadiahkan harta.
Di kebanyakan negara Islam, suatu institusi wakaf diwujudkan bagi menguruskan harta wakaf untuk kegunaan awam dan memenuhi amanat sesiapa yang ingin menyedekahkan hartanya demi mengharapkan syafaat dan kebahagiaan di akhirat kelak.
Wakaf dalam masyarakat Muslim
Terdapat berbagai-bagai jenis harta wakaf di dalam dunia Islam. Orang Islam yang berharta menyedekahkan masyarakat dengan air pancut yang boleh diminum, ladang buah-buahan, tanah yang disewa, kedai, tanah untuk masjid atau madrasah, rumah rehat atau pavillion dan kediaman.
Sesetengah harta wakaf ini diuruskan oleh badan khas atau agensi kerajaan yang menguruskan harta wakaf.
Malahan kerajaan Arab Saudi mempunyai kementerian yang khas untuk menguruskan harta wakaf. Jawatankuasa masjid juga berfungsi sebagai pemegang amanah harta wakaf yang memastikan kestabilan politik dan kebebasan ekonomi institusi tersebut.
Bagi orang Islam yang tidak berkemampuan mereka dapat menyumbangkan sedikit harta mereka seperti komponen bahan binaan masjid seperti tiang utama dan juga dengan membina kolah untuk wuduk.
Di Malaysia, binaan wakaf kebiasaannya terdiri daripada kerangka empat segi sama dengan empat atau 12 batang tiang. Bumbungnya adalah berbentuk piramid atau limas dan kebanyakannya bertingkat dengan ruang udara di antara bumbung tersebut.
Kerangka yang mudah ini biasanya dilengkapi dengan pelantar yang rendah untuk duduk atau berbaring. Pengembara juga menggunakan wakaf untuk tidur atau tempat untuk sembahyang.
Binaan wakaf boleh ditemui di kampung tradisional terutamanya di sawah padi atau ladang buah-buahan dan kebanyakannya berdekatan dengan perigi yang digali untuk kegunaan pengguna. Wakaf Pak Badol yang terletak antara Pasir Puteh dan Kota Bharu adalah suatu contoh yang dapat dilihat.
Wakaf lain seperti Sla Mean di Bukit Tanah, Kelantan dipercayai dibina untuk upacara tertentu yang dijalankan di situ sebelum menuju ke kuil Buddha berdekatan. Wakaf Penghulu Awang di Kampung Kutan Hulu pula terletak di tengah-tengah tanah perkuburan Islam untuk memberikan kemudahan kepada pengunjung yang menziarahi sanak saudara yang telah meninggal dunia berehat. Binaan wakaf juga mempunyai pelantar tempat duduk yang lebih rendah dari pelantar di bahagian tengah.
Status sosial dan ekonomi seorang Muslim yang membina wakaf ini dapat dilihat melalui bilangan ukiran yang terdapat pada papan pemeleh dan tiang yang menyokongnya.
Dalam dunia yang moden ini, wakaf masih digunakan di Malaysia menepati dengan fungsi asalnya sebagai tempat berlindung dan berehat seketika.
Lokasi yang jelas menunjukkan penggunaan wakaf ialah di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan di mana ia dibina di kebanyakan hentian rehat. Di Kota Bharu, Kelantan, kerajaan negeri telah mengadaptasikan idea wakaf sebagai perabot siarkaki di bandar pada perhentian bas, tepat berkumpul dan kedai kecil dalam bentuk binaan tradisional.
Binaan wakaf yang mudah merupakan bukti yang jelas tentang Islam adalah agama yang bertamadun tinggi yang menggalakkan kita menghormati tetamu dan betapa pentingnya sumbangan ke arah masyarakat.
Wakaf melambangkan semangat Islam yang jati yang terang dan jujur, bertentangan dengan cubaan sesetengah pihak yang ingin mempamerkan keagungan Islam dengan membina bangunan yang monumental dengan perbelanjaan yang terlalu mahal.
* Prof. Dr. Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi ialah Pengarah Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (Kalam), Fakulti Alam Bina Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
KEMANTAPAN dan keutuhan masyarakat bergantung kepada ketinggian budi pekerti. Dengan adanya adab kesopanan dan budi pekerti tinggi menjadikan seseorang manusia itu dihormati serta disegani masyarakat.
Sudah menjadi lumrah manusia yang hidup di muka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Justeru, demi kepentingan hidup yang boleh menjamin ketenteraman dan kebahagiaan, Islam menggariskan beberapa peraturan hidup bermasyarakat.
Salah satu daripadanya, menghormati dan berbuat baik kepada jiran tetangga. Jiran adalah orang yang tinggal dalam satu bangunan (blok), mereka yang tinggal berdekatan dengan rumah kita dan yang tinggal dalam lingkungan jarak 40 buah rumah daripada rumah kita.
Islam menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah cara hidup Islam. Umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dengan jiran demi mewujudkan kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Ia secara tidak langsung memberi kemudahan menyelesaikan masalah yang timbul.
Tuntutan supaya berbuat baik dengan jiran dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh.” (Surah an-Nisa’, ayat 36)
Perkara itu juga dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku menyangka bahawa beliau (iaitu jiran) yang akan mewarisinya (pusaka).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Usaha mewujudkan suasana kerukunan hidup berjiran pada masa kini menghadapi sedikit kesulitan kerana hakikat kehidupan dikelilingi manusia yang mempunyai pelbagai pandangan, gaya, sikap, akhlak, perangai, bahasa, budaya dan politik berbeza.
Walau bagaimanapun, perkara itu dapat diatasi jika masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar pendapat, mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah serta kasih-sayang.
Di samping itu, sikap negatif seperti buruk sangka, iri hati, dengki dan fitnah perlu dikikis dan dijauhkan. Usaha memupuk semangat kejiranan perlu dilakukan dengan gigih dan berterusan.
Betapa pentingnya hubungan kejiranan itu apabila dikaitkan dengan iman. Keimanan seseorang masih belum sempurna jika tidak menghormati dan kasih jirannya. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya.” (Hadis riwayat Muslim)
Keimanan seseorang tidak sempurna jika dia menyakiti jirannya, sama ada melalui celaan, memfitnah dan buruk sangka.
Mencegah daripada menyakiti dan melakukan penganiayaan terhadap jiran adalah antara hak jiran yang perlu dijaga.
Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat, perlu melihat kepada kelebihan hidup berjiran. Antaranya, saling bantu-membantu ketika berlaku kecemasan atau di timpa musibah.
Sebagaimana dijelaskan, jiran adalah orang yang tinggal paling hampir dengan rumah kita. Segala perkara yang berlaku terlebih dulu diketahui jiran. Kerana itu, jiran adalah orang paling dekat untuk memohon pertolongan ketika ditimpa musibah seperti kebakaran, kecurian atau kematian.
Pertolongan seperti inilah yang diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya hubungan yang kuat antara jiran dapat melahirkan suasana seperti ini. Melindungi jiran daripada kesusahan adalah budi pekerti tinggi pada pandangan Islam.
Selain itu, hidup berjiran dapat mempertingkatkan pengetahuan dan kenalan. Jiran yang tinggal berhampiran mempunyai latar belakang berbeza seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya dan adat resam.
Firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)
Mempunyai ramai kenalan rapat, terutama dalam konteks hidup berjiran banyak memberi manfaat, antaranya mendapat tunjuk ajar jika berjirankan seorang guru atau pensyarah; mendapat nasihat kesihatan berjirankan doktor; membaiki kerosakan kenderaan jika berjirankan mekanik.
Berikutnya, jiran sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada ancaman kecurian, pecah rumah dan samseng. Ia dapat dilakukan melalui pembentukan rukun tetangga, jawatankuasa keselamatan kawasan atau kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti ini sangat digalakkan Islam.
Firman Allah yang bermaksud: “Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah, ayat 2)
Jelaslah kepada kita penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran serta kesejahteraan negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana jika kita belum menjadi jiran yang baik terlebih dulu. Walau sebesar mana sekalipun arus perubahan melanda masyarakat kita, semangat kejiranan tetap menjadi keutamaan.
Kekuatan hubungan kejiranan yang sempurna dan harmoni mengukuhkan ikatan persaudaraan Islam dan kasih sayang yang kadangkala melebihi daripada keluarga sendiri. Kehidupan mendapat keberkatan daripada Allah adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan serta kebinasaan.
Firman Allah, Kitab al-Quran ini tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya), ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 2)
Ayat di atas menjelaskan fungsi al-Quran sebagai memberi petunjuk kepada orang yang bertakwa. Bagaimanapun, bukan semua daripada kita memahami bahasa arab yang menjadi bahasa al-Quran. Justeru kita memerlukan kepada penafsiran ayat-ayat Allah.
Hal ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada munculnya tafsiran Israiliyat oleh sesetengah pihak termasuk juga segelintir pendakwah.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto MOHD. ZAKKI JILAN menemu bual pensyarah Jabatan Al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Ahmad bagi mengupas isu ini.
UTUSAN: Apakah yang dimaksudkan dengan tafsiran Israiliyat ?
DR. RASHID: Secara mudahnya, Israiliyat merupakan satu istilah yang merujuk kepada maklumat, cerita dan riwayat-riwayat yang diambil daripada Bani Israel iaitu golongan Yahudi dan Nasrani.
Ia merangkumi kisah-kisah umat dahulu kala, kisah para nabi dan rasul serta aspek-aspek yang berkaitan dengan kejadian dan penciptaan. Namun begitu, ada sebahagian ulama Islam yang memperluaskan definisi ini dengan merangkumkan semua unsur asing yang menyerap ke dalam tamadun Islam termasuk kisah-kisah dongeng yang dinukilkan daripada Majusi.
Oleh itu, apabila dikaitkan Israiliyat dengan tafsir atau tafsiran Israiliyat maka ia bermaksud tafsiran-tafsiran yang dibuat bersandarkan kepada cerita-cerita atau riwayat-riwayat yang bersumber daripada Yahudi dan Nasrani atau semua unsur asing yang diserap masuk ke dalam kitab tafsir.
Apakah peranan ahli kitab dalam tafsiran Israiliyat ini?
DR. RASHID: Memang golongan Yahudi dan Nasrani dikenali sebagai ahli kitab kerana kepada mereka diturunkan kitab Taurat dan Injil. Hal ini telah disebut oleh al-Quran sendiri contohnya dalam surah al-Ma’idah ayat 15.
Sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi hubungan baik antara umat Islam dan ahli kitab ini wujud. Hubungan ini terbukti apabila sebahagian para sahabat merujuk kepada ahli kitab untuk mendapatkan keterangan berkenaan kisah-kisah yang disebut dalam Al-Quran tentang kisah Nabi Isa a.s. dan mukjizatnya, tentang umat-umat terdahulu seperti kisah penghuni gua (ashab al-kahfi) dan sebagainya.
Tujuan para sahabat adalah sekadar mendapat penjelasan berhubung kisah-kisah tersebut yang mempunyai persamaan dengan kisah yang disebut dalam Taurat dan Injil.
Seperti maklum bahawa cara pembentangan al-Quran tentang kisah-kisah ini adalah secara ringkas berbeza dengan Taurat dan Injil yang memperincikannya.
Demikianlah kita nampak betapa rapat kaitan cerita ini dengan ahli kitab dan salah satu faktor yang mendorong ke arah itu.
Adakah kita dibenarkan menggunakan tafsir Israiliyat dalam berdakwah?
DR. RASHID: Bagi menjawab soalan ini, kita mesti melihat kepada kedudukan riwayat Israiliyat tersebut. Dalam hal ini, para ulama telah membahagikan Israiliyat kepada tiga bahagian.
Bahagian pertama, maklumat atau cerita yang diketahui kesahihannya menerusi al-Quran dan al-sunah. Apa yang termasuk dalam bahagian ini boleh diriwayatkan dan dijadikan sebagai hujah. Inilah yang disabdakan Nabi yang bermaksud, Dan riwayatkanlah daripada Bani Israel, tiada salahnya (Sahih al-Bukhari, no. hadis 3451).
Bahagian kedua, maklumat atau cerita yang diketahui pendustaannya kerana menyalahi al-Quran dan sunah. Semua yang termasuk dalam bahagian ini dilarang meriwayatkannya, ditegah mengambilnya dan bertanya mereka tentangnya.
Bahagian ketiga, apa yang didiamkannya tanpa komen. Kerana ia tidak termasuk dalam bahagian pertama dan kedua. Kita tidak boleh mempercayainya dan tidak pula mendustainya. Inilah yang termasuk dalam sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud, Janganlah kamu benarkan Ahli Kitab dan jangan kamu dustakan mereka. (Sahih al-Bukhari, no. hadis 4485).
Berdasarkan huraian tadi, jelas bahawa ada riwayat dan cerita yang boleh digunakan dalam berdakwah dan ada yang dilarang meriwayatkannya.
Sebabnya, dalam masyarakat kita, apabila diperincikan sesuatu kisah itu mereka seronok. Jadi ini adalah antara punca mengapa tafsiran Israiliyat berkembang dan digunakan. Ini untuk targhib atau menarik minat masyarakat kepada agama. Tujuannya baik tetapi ia telah disalahgunakan dan menjejaskan Islam.
Oleh itu, golongan alim terutamanya perlu berhati-hati apabila hendak menyampaikan kisah-kisah dalam al-Quran hendaklah dipastikan kesahihannya terlebih dahulu. Kita bimbang masyarakat akan terus percaya dengan tafsiran Israiliyat apabila menemuinya dalam majalah atau buku-buku.
Adakah tafsiran Israiliyat menjejaskan syariat?
DR. RASHID: Ini mestilah merujuk kepada sejauhmana ia menepati al-Quran dan sunah atau sebaliknya. Sekiranya ia bertentangan dengan roh syariat Islam yang suci, sudah tentu ia menjejaskan syariat. Perbuatan sedemikian adalah haram dan ia tidak patut digunapakai atau disebarkan.
Tafsiran yang menjejaskan syariat adalah seperti kisah Nabi Ayub yang dikatakan sakit berbelas tahun lamanya sehinggakan badannya berkudis dan berulat. Dikatakan dagingnya gugur sama sekali hanya tinggal tulang sahaja.
Patutkah seorang Nabi yang menjadi kekasih Allah dan pilihan-Nya diuji sedemikian rupa sehingga menjejaskan kedudukannya sebagai seorang yang patut dihormati.
Demikian juga dalam Hasyiyah Tafsir Jalalain oleh al-Sawi masih ditemui syarah tentang bumi ini di atas tanduk seekor lembu jantan dan lembu itu di atas belakang ikan Nun. (Lihat tafsiran surah Nun oleh al-Sawi)
Tafsir ini juga menceritakan kisah Nabi Sulaiman yang membuat istana berlantaikan kaca. Apabila Ratu Balqis berjalan di atasnya disangkanya air lalu beliau menyingkapkan kainnya, lalu Nabi Sulaiman melihat dua betisnya, yang didakwa oleh jin bahawa ia berbulu seperti keldai.
Patutkah seorang Nabi dikatakan berbuat sesuatu dengan tujuan melihat betis wanita? (lihat Tafsir Jalalain, al-Naml: 44).
Pada tafsiran yang lain dinyatakan bahawa Nabi Sulaiman tertinggal solat Asar kerana sibuk memeriksa kuda-kuda untuk berjihad. (Lihat, Tafsir Jalalain, Sad: 31)
Contoh-contoh seperti itu adalah antara riwayat Israiliyat yang tidak logik.
Ada juga tafsiran mereka yang bertentangan dengan sains, seperti bumi di atas tanduk lembu tadi. Walhal Islam tidak bercanggah dengan sains.
Bagaimana kita hendak mengesan tafsir al-Quran yang mengandungi ciri-ciri Israiliyat?
DR. RASHID: Majoriti tafsiran Israiliyat ini berlaku ketika menafsirkan ayat-ayat yang berkaitan dengan kisah-kisah al-Quran.
Maka mana-mana tafsir yang cenderung menafsir secara terperinci cerita-cerita itu hendaklah diberi perhatian khusus sama ada ia daripada sumber yang sahih atau sebaliknya.
Untuk mengenalpasti kesahihannya haruslah melalui beberapa kaedah. Pertama, kita harus menilai riwayat-riwayat tersebut adakah selari dengan syariat Islam atau tidak. Atau tegasnya sesuai dengan maksud al-Quran dan sunah atau tidak.
Kedua, harus dilihat bahawa ia sesuai dengan logik akal atau tidak. Ini kerana banyak riwayat dan kisah Israiliyat yang tidak logik.
Dan ketiga, ia boleh dikesan melalui kritikan ahli tafsir itu sendiri apabila ia membentangkan satu-satu kisah Israiliyat dalam kitab tafsirnya.
Ada juga ulama yang jujur dalam membicarakan Israiliyat ini. Antaranya ialah Ibnu Kathir dalam tafsirnya. Beliau menyebut tentang Israiliyat ini sekadar untuk memaklumkan masyarakat mengenainya supaya mereka tidak terpengaruh dengan tafsiran sedemikian.
Antara buku yang boleh dirujuk dalam isu ini adalah seperti berikut:
* Abu Syahbah, Muhammad bin Muhammad (1408). Al-Israiliyyat wa al-Mawdu’at fi Kutub al-Tafsir.
* Al-Dhhabi, Muhammad Husayn(1987). Al-Tafsir wa al-Mufassirun.
lAbd al-Wahhab Abd al-Wahhab Faid(1978). Al-Dakhil fi al-Quran al-Karim.
MASJID adalah institusi penting dalam sejarah tamadun Islam. Selain menjadi tempat mendirikan ibadat solat fardu, ia juga berperanan sebagai pusat penyebaran ilmu dan pentadbiran Islam. Sejajar dengan peranannya yang besar, seharusnya setiap individu menjaga perilaku ketika berada di masjid.
Jemaah haji sangat bertuah kerana berpeluang mengerjakan ibadat di tempat mustajab doa khususnya dalam Masjidilharam. Rasulullah SAW bersabda: “Solat di masjidku (Masjid Nabawi) lebih afdal daripada 1,000 kali solat di masjid lain kecuali Masjidilharam, dan solat di Masjidilharam lebih afdal daripada 100 kali solat di masjid-Ku ini (iaitu 100 ribu kali di masjid lain)” (HR Imam Ahmad r.a.). Melihat kepada kelebihan ini, jemaah haji hendaklah menanamkan satu azam agar mereka sentiasa berusaha memakmurkan Masjidilharam sepanjang berada di Makkah al-Mukarramah.
Dalam ruangan ini, dipaparkan beberapa adab dan panduan yang wajib diberi perhatian serius oleh jemaah haji ketika berada di Masjidilharam, agar amalan mereka benar-benar mendapat keredaan Allah SWT dan ganjaran daripada-Nya. Adab dan panduan itu adalah seperti berikut:
Adab Menuju ke Masjidilharam
Ikhlaskan niat – Niat yang ikhlas adalah kunci bagi segala amalan salih diterima oleh Allah SWT. Firman Allah: “Tidak mereka diperintah melainkan agar beribadat kepada Allah dengan penuh keikhlasan” (Al-Bayyinah 98:5). Justeru, jemaah haji hendaklah menghindari sifat menunjuk-nunjuk dan bermegah kononnya dialah yang paling rajin ke masjid.
l Menyucikan diri – Jemaah haji kebiasaannya berada lama dalam masjid. Bagi memastikan keselesaan beribadat, sempurnakan khidmat diri sebaik mungkin seperti membuang air, menggosok gigi, berwuduk dan berpakaian bersih yang bersesuaian. Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan suci dan berwuduk untuk menunaikan solat fardu, maka pahalanya seumpama menunaikan haji”. (HR Imam Abu Daud).
l Berjalan dengan penuh ketenangan dan tawaduk – Mulakan langkah menuju ke masjid dengan kaki kanan. Berjalan dengan tenang mengikut arus sambil mempelbagaikan doa. Antaranya: “Ya Allah! Jadikanlah dalam hati dan lisanku cahaya, pada pendengaran dan penglihatanku cahaya, dan di hadapan, belakang serta di sekelilingku cahaya. Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku nur (cahaya)”. Hindari daripada window shopping.
Adab Masuk ke Masjidilharam
l Membuka kasut dan berdoa – Apabila menghampiri pintu, buka kasut dan masuk ke masjid dengan kaki kanan sambil berdoa: “Ya Allah! Bukakanlah bagiku pintu rahmat dan keampunan-Mu”. Lafazkan salam kepada penjaga pintu dan berikanlah kerjasama sekiranya diperiksa.
l Iktikaf dan tawaf – Sebaik-baiknya jemaah berniat iktikaf sejurus selepas masuk. Berdoa apabila melihat Baitullah. Tunaikan tawaf Tahiyyatul Bait. Elakkan kesilapan dan salah faham terhadap kaifiyyat serta fadilatnya seperti bersesak-sesak di penjuru Hajarul Aswad dan solat di belakang Makam Ibrahim sehingga menyulitkan jemaah lain. Sekiranya tiada berkesempatan tawaf, memadai dengan solat Tahiyyatul Masjid.
Adab berada dalam Masjidilharam
l Mencari ruang solat – Berhati-hati agar tidak berada di kawasan pintu dan laluan kerana ini akan mengganggu jemaah dan menyebabkan kehilangan tumpuan beribadat. Justeru, lihat, pilih dan tuju ke ruang sesuai agar jemaah tidak dilangkah-langkah ketika khusyuk bermunajat.
l Duduk menghadap kiblat – Datanglah awal agar dapat berada di saf hadapan dan berkesempatan melihat Baitullah. Sesungguhnya, rahmat Allah sentiasa menaungi Baitullah dan makhluk yang memakmurkannya. Elak percampuran antara saf lelaki dan saf wanita kecuali dalam darurat. Jangan mengambil ruang yang luas untuk duduk kerana ini menafikan hak jemaah lain. Sekiranya terlewat, jangan menyempit sehingga menyusahkan mereka.
l Berzikir, munajat dan tafakur – Selesai mengerjakan tawaf, solat fardu dan sunat, basahkan lidah dengan membaca al-Quran, berzikir dan ibadat lain. Penuhkan hati dengan cahaya petunjuk ilahi. Sentiasa bermuhasabah dengan menumpukan minda pada kelemahan diri agar berasa kerdil di hadapan Allah SWT. Beribadatlah dengan penuh khusyuk. Tunaikan solat sunat pada bila-bila masa kerana tiada waktu yang dilarang solat di Makkah.
l Berdoa ke hadrat Allah – Berdoalah dengan hati yang tawaduk dan ikhlas. Tanamkan suatu pengharapan yang tinggi bahawa doa yang dipanjatkan ke hadrat ilahi akan dimakbulkan. Jangan cepat berputus asa kerana Allah tidak sekali-kali mengabaikan hamba-Nya yang beriman, beramal salih dan memohon kepada-Nya.
l Hindari kejahatan & lagha – Jemaah haji adalah tetamu Allah. Justeru, mereka hendaklah berakhlak dan berbudi pekerti mulia sepanjang berada di Tanah Suci. Jangan menyakiti jemaah lain seperti bertolak-tolak ketika masuk ke masjid atau tawaf, begitu juga ketika berebutkan saf. Mafhum hadith: “Antara manusia yang paling dibenci oleh Allah ialah mereka yang melakukan ilhad (kejahatan) di Tanah Haram” (HR Imam al-Bukhari). Jauhi berbual-bual kosong perihal dunia semata-mata atau mengajuk perbuatan jemaah lain ketika berada dalam masjid apatah lagi sekiranya perbuatan itu menyentuh sensitiviti jemaah dan menimbulkan perselisihan faham atau perkelahian.
Elak bermundar-mandir dalam masjid kerana perbuatan itu adalah bid'ah.
Adab keluar dari Masjidilharam
l Memohon keampunan dan keselamatan – Sebelum keluar dari masjid, jemaah hendaklah memohon keampunan dan keselamatan dirinya sepanjang perjalanan pulang ke hotel. Tanamkan niat dan tingkatkan harapan agar diizinkan Allah untuk dapat kembali mengerjakan ibadat di Masjidil Haram pada masa terdekat.
Wakaf Masjid dan Luqatah
l Jemaah dilarang merosak atau membawa keluar barang Masjidilharam kerana bukan haknya. Bagi yang menjumpai barangan yang tercicir (Luqatah), biarkan saja di situ. Sekiranya perlu dan tahu arah, bolehlah diambil untuk diserahkan ke Kaunter Luqatah. Jemaah adalah haram mengambilnya bagi kegunaan sendiri.
Ini beberapa adab dan panduan yang boleh dijadikan bekalan jemaah haji semasa mereka berada di Masjidilharam. Semoga adab dan panduan ini dapat dimanfaatkan supaya segala ibadat dan amal soleh yang ditunaikan benar-benar mengikut kehendak dan ketentuan syarak. Binalah silaturahim dengan berakhlak mulia agar hari-hari yang dilalui setiap jemaah ketika berada di sana benar-benar terisi dan diberkati ilahi.
SUDAH menjadi tradisi umat, minuman atau makanan yang haram atau beralkohol perlu dielakkan. Dengan pemahaman itu, seseorang yang mengakui ia Muslim sejati, tidak akan tergamak meminum seteguk air haram atau anggur walau pun ditawarkan atau dipujuk rayu oleh seseorang.
Jenis minuman beralkohol umum digunakan sebagai bumbu masakan adalah anggur, arak dan seumpamanya. Jenis bahan ini banyak digunakan dalam campuran masakan Barat daripada masakan oriental seperti Cina, Jepun, dan Korea.
Penggunaan minuman beralkohol dalam kuih, umumnya untuk memberikan rasa dan aroma tertentu. Penggunaan minuman beralkohol sebagai campuran makanan dan minuman cukup luas dalam pelbagai bentuk yang sering tidak disedari oleh pengguna.
Menurut peraturan syarak, semua bahan yang tergolong khamar hukumnya haram digunakan, sekali gus dikatakan sebagai najis (seperti juga dadah). Oleh itu, penggunaan khamar dalam jumlah yang sedikit tetap juga haram.
Minuman beralkohol jelas termasuk kategori khamar. Segala bahan yang memabukkan adalah haram. Bukan saja ia memabukkan, malah boleh menyebabkan kematian. Penyelidikan menyatakan, pada kandungan 0.05 - 0.15 peratus etanol dalam darah peminum akan mengalami kehilangan keseimbangan (akal), pada kandungan 0.15 - 0.20 peratus etanol menyebabkan keracunan, pada kandungan 0.30 - 0.40 peratus peminum boleh hilang kesedaran dan pada kandungan lebih tinggi lagi iaitu 0.50 peratus boleh menyebabkan kematian.
Minuman beralkohol diproses dengan cara fermentasi (pemeraman) khamar dari bahan baku mengandungi pati atau gula yang tinggi. Bahan baku adalah bijian seperti jagung, beras, gandum, dan barli, ubi seperti kentang dan ubi kayu, buah-buahan seperti anggur, epal juga tanaman seperti kelapa, nipah, gula tebu daripada gula bit serta molases. Bahan itu diproses dengan cara merendam kemudian direbus dan diproses menjadi bubur dan dimasak semula.
Jenis minuman beralkohol ialah wain dan brandi yang dibuat dari buah anggur. Dari jus epal dapat dibuat minuman cider. Di Amerika dan Kanada, cider atau sweet cider adalah istilah untuk jus epal yang tidak difermentasikan, sedangkan jus epal yang difermetasikan disebut hard cider. Di United Kingdom istilah cider selalu digunakan untuk minuman beralkohol. Tetapi di Australia, istilah cider digunakan untuk produk beralkohol. Hasil cider dengan proses pembekuan menghasilkan produk yang dinamakan applejack.
Arak (bir) secara umum dibuat daripada barli. Tetapi dapat juga dibuat daripada campuran pelbagai jenis biji-bijian. Minuman beralkohol yang dibuat daripada campuran beberapa jenis bijian dikenali dengan nama wiski. Jenis wiski seperti scoth, rye dan bourbon digunakan dengan tambahan bijian adalah barli dan kadang-kala oat.
Lamanya proses fermantasi (pemeraman) bergantung kepada bahan dan jenis produk dihasilkan. Proses pemeraman singkat berlaku sekitar satu dua minggu dapat menghasilkan produk dengan kandungan etanol 3-8 peratus, contohnya seperti bir (arak). Bagi pembuatan wain mengalami proses pemeraman lebih panjang hingga mencapai waktu berbulan-bulan atau juga bertahun-tahun lamanya dengan kandungan etanol sekitar 7-18 peratus.
Kandungan etanol yang dihasilkan dalam pemeraman minuman beralkohol biasanya berkisar sekitar 18 peratus kerana pada umumnya khamar tidak dapat hidup pada lingkungan dengan kandungan etanol di atas 18 peratus.
Jadi untuk menghasilkan minuman beralkohol dengan kandungan etanol lebih tinggi, dilakukan proses distilasi terhadap produk yang dihasilkan melalui proses pemeraman itu.
Dengan mengenali jenis minuman beralkohol seperti di atas itu, diharapkan pengguna Muslim menghindari atau mengelakkan diri daripada menggunanya, kerana ia jelas barang ditegah syarak.
Selain minuman beralkohol, ada juga masakan menggunakan alkohol seperti pembuatan kuih. Contohnya Rum, adalah sejenis khamar yang sangat popular digunakan dalam pelbagai jenis kuih, seperti kek blackforest dan pelengkap puding. Di dalam pelbagai jenis kuih yang terkenal di Barat, wiski juga lumrah digunakan sebagai campuran kuih.
Salah satu jenis kuih yang cukup popular waktu ini ialah 'biramisu' yang resepi asalnya menggunakan jenis minuman beralkohol. Berbeza dengan masakan, penggunaan khamar dalam pembuatan kuih cukup mudah dikenali rasa dan aromanya, kerana itu memang tujuan utama penggunaannya. Kek blackforest menggunakan rum dan memiliki rasa khas yang cukup menyengat.
Penggunaan bahan itu tidak dapat mendidik masyarakat untuk meninggalkan penggunaan produk haram, malahan lebih menyulitkan lagi kerana ada pembuatan bahan haram dalam kuih itu seperti yang ada di pasaran sekarang.
Penggunaan pelbagai jenis minuman beralkohol atau makanan berunsur bahan khamar, sebenarnya dapat dihindari atau dielakkan dan dicarikan bahan ganti berstatus halal.
QIRAAT adalah ilmu berkait rapat dengan al-Quran yang membincangkan kaedah pembacaan al-Quran daripada pelbagai riwayat yang mutawatir daripada Baginda Rasulullah SAW.
Sejak wahyu Allah diturunkan, satu-satunya sumber pengambilan qiraat hingga kini, ilmu qiraat sentiasa dijaga, dipelajari, disuburkan dan dikembangkan oleh ulama yang silih berganti. Hukum mempelajari ilmu qiraat adalah fardu kifayah.
Judul: Manhaj Qiraat 7 Berserta Dalil Matan Imam As-SyatibiPenulis: Mohd Nazri AbdullahPenerbit: Pustaka Salam Sdn BhdPengulas: Hasliza Hassan
ABuku Manhaj Qiraat 7 Berserta Dalil Matan Imam As-Syatibi hasil tulisan Pensyarah Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mohd Nazri Abdullah, memperkenalkan ilmu bacaan al-Quran daripada tujuh imam yang bersambung kepada Rasulullah SAW.
Tujuh imam terbabit ialah Imam Nafi’, Imam Ibnu Kathir, Imam Abu ‘Amru, Imam Ibnu ‘Amir, Imam ‘Asim, Imam Hamzah dan Imam Kisaei. Setiap Imam mempunyai dua rawi (anak murid) yang meriwayatkan bacaan itu daripada gurunya. Hakikatnya, ilmu qiraat agak baru di Malaysia tetapi ia cepat berkembang dengan ada maahad tahfiz di seluruh negara dan program pembelajaran al-Quran yang kian mendapat tempat di hati masyarakat seperti program realiti Akademi al-Quran (AQ).
Mungkin juga melihat kepada minat serta kecenderungan remaja sekarang mendalami al-Quran, Mohd Nazri yang juga juri AQ, berasa terpanggil menghasilkan buku mengenai ilmu qiraat sebagai bahan bantuan kepada golongan yang ingin mendalami ilmu pembacaan al-Quran.
Jelasnya, buku ini agak teknikal dan pastinya hanya mereka yang sudah melepasi asas serta peringkat pemahaman ilmu qiraat akan mudah memahami fakta dan kaedah pembacaan yang dijelaskan dalam Manhaj Qiraat 7 Berserta Dalil Matan Imam As-Syatibi.
Namun, bagi mereka yang sudah mempunyai asas, buku ini boleh menjadi pelengkap kerana selain memuatkan biodata tujuh imam yang dikaitkan, penulis turut menerangkan cara bacaan setiap imam berserta contoh.
Buku setebal 157 halaman itu turut menceritakan mengenai sejarah pengumpulan al-Quran pada zaman Saidina Abu Bakar as-Siddiq apabila Saidina Umar mengemukakan cadangan supaya mengumpulkan al-Quran kerana khuatir daripada hilang.
Selain takut al-Quran hilang bersama gugurnya syuhada terdiri daripada sahabat Rasulullah SAW, pengumpulan al-Quran juga bertujuan menyebarkan syiar Islam.
Turut diperjelaskan dalam buku ini ialah hikmah al-Quran diturunkan dalam tujuh huruf iaitu sebagai kemudahan dan kelapangan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana bangsa Arab sendiri mempunyai bahasa Arab dan lahjah (loghat) yang berbeza.
Buku Manhaj Qiraat 7 sesuai dibaca dan dijadikan rujukan pelajar sekolah menengah, pusat pengajian tinggi, maahad tahfiz dan profesional yang ingin mendalami jenis bacaan al-Quran serta tidak ketinggalan peminat setia AQ setiap kali menonton program realiti itu.
Mohd Nazri bagaimanapun berkata, untuk memahami dengan lebih tepat, pembaca dinasihatkan mendapat khidmat guru kerana buku berkenaan sekadar pemudah cara bagi mereka yang ingin mempelajari ilmu qiraat.
Manhaj Qiraat 7 Berserta Dalil Matan Imam As-Syatibi boleh diperoleh di Pustaka Salam atau hubungi 019-2241675.
Wan Nordin, Salmiyah, Azamin dan IntanSun | Jun 03, 07 | 01:16:27 PMKOTA BHARU, 3 Jun (Hrkh) - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mengekalkan kedudukannya dengan 574 undi menewaskan bekas Ketua Dewan Ulama Ustaz Dato' Harun Taib (367 undi) bagi pemilihan jawatan tersebut.
[Sila layari www.harakahdaily.net/muktamar/ untuk laporan semasa muktamar]
Sementara dua penyandang jawatan Naib Presiden, Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu mengekalkan jawatan masing-masing dan perwakilan telah memilih seorang muka baru bagi jawatan tersebut iaitu, Ustaz Ahmad Awang.
Husam memperolehi 831 undi, sementara Mohamad Sabu (666) dan Ahmad Awang (427).
Bagi pemilihan jawatan AJK PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man mendahului pungutan undi perwakilan dengan 821, sementara, 17 lagi AJK yang lain dimenangi oleh, Ustaz Idris Ahmad (763), Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin (744) Dato' Ustaz Abu Bakar Chik (681), Dr Syed Azman Syed Ahmad ( 668), Dr Lo'Lo Mohd Ghazali (651), Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman (639), Hanifa Maiden (636).
Mujahid Yusof Rawa (620), Ir Amiruddin Hamzah (605), Ustaz Azizan Razak (601), Ustaz Taib Azamuddin Mohd Taib (584), Dato' Annuar Tan Abdullah (543), Dr Zulkifli Ahmad (541) Mazlan Aliman (537), Nik Amar Nik Abdullah (552) Ustaz Dato' Abdul Halim Abdul Rahman (515) dan Dato' Takiyuddin Hassan (504).
Manakala dua Pemeriksa Kira-kira PAS Pusat bagi sesi 2007 - 2009 dimenangi oleh Abdul Malik Yusof dan Mohd Rashidi Hassan.
Pengumuman keputusan itu dibuat oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar PAS Ke-53, Dato' Wan Mutalib Embong selepas selesai sesi penggulungan perbahasan Ucapan Dasar Presiden dan Usul sempena Muktamar PAS kali ke-53 di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (Putik).
Perwakilan menyambut keputusan itu dengan laungan takbir setelah selesai Wan Mutalib membacakannya.- mks.
Dr Shafie Abu Bakar Tue | May 29, 07 | 12:59:14 PM
Ulama tidak dipertikaikan lagi dari segi kedudukan, hieraki dan martabat. Allah mengiktiraf ulama sebagaimana firman-Nya bermaksud: Allah mengangkat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan yang dikurniai ilmu berada pada ketinggian darjat. (al-Mujadalah, 58: 11)
Pengiktirafan diperkukuhkan lagi dengan firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hambanya ialah ulama. (Fatir, 35: 28).
Manakala Rasulullah s.a.w. menegaskan dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda bermaksud: Para ulama adalah pewaris nabi-nabi.
Pada hadis lain diriwayatkan oleh Muadh bahawa baginda bersabda bermaksud: Orang alim adalah pemegang amanah Allah Subhanahu wa Taala di muka bumi.
Sesungguhnya induk bagi Islam ialah al-Quran dan Sirah Nabi Muhammad dengan perbuatan, kalam dan pembawaannya merupakan tafsiran terhadap Islam dan para sahabat dengan penuh amanah melanjutkan maklumat dan keilmuan kepada pendukung-pendukung Islam selanjutnya. Sekadar menyebut beberapa dari kalangan mereka seperti Sayidatina Aishah r. anha, Abdullah Ibn Umar, Abdullah Ibn Abbas, Abdullah Ibn Mas`ud r. anhum dan sebagainya. 2. Membina tradisi ilmu
Generasi Tabi`in dan Tabi` al-Tabi`in dan Atba` Tabi` al-Tabi`in menghuraikan Islam dari perspektif keilmuan khusus yang diwarisi oleh generasi-generasi selanjutnya.
Antara mereka seperti Al-Imam Malik dengan karya al-Muwatta` berhubung dengan keilmuan hadith dan juga fiqh, Ash`ari-Maturidi yang berhubung dengan `aqidah, Ibn Kathir dengan bidang tafsir, Ibn Ishak berhubung dengan Sirah al-Nabawiyyah, Al-Muhasibi di dalam bidang tasawwuf terutama dengan kitab pentingnya al-Ri`ayah li Huquqi Allah, Ibn Aqil berhubung dengan nahu, Ibn Rashiq berhubung dengan sastera terutama dengan kitabnya yang berjudul Al-`Umdah.
Asas yang diletakkan oleh tokoh-tokoh `ulama` ini menjadi induk bagi perkembangan ilmu-ilmu berkenaan dan cabang-cabang keilmuan yang berkembang daripadanya.
Termasuklah berbagai-bagai bidang ilmu sains yang ditokohi oleh berbagai-bagai `ulama`, antaranya Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd, Al-Biruni, Ibn Maskawayh, Jabir bin Hayyan, al-Khawarizmi, al-Battani, al-Farghani, al-Razi, al-Bitruji, al-Zarqali, al-Ghazali dan sebagainya.
Para ulama juga mengarang karya-karya yang berhubung dengan siasah dan pentadbiran seperti Al-Farabi dengan bukunya yang berjudul al-Madinah al-Fadhilah, Al-Mawardi dengan bukunya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Al-Tha`alabi dengan Adab al-Muluk, al-Ghazali dengan Nasihat al-Muluk dan Ibn Khaldun dengan Al-Muqaddimah. Hasilnya Islam bangkit sebagai sebuah tamadun yang menjunjung ilmu pengetahuan. Semuanya menjadi panduan dan pegangan umat Islam dan tamadun ini turut dimanfaat oleh mereka yang bukan Islam.
3. Mengembara demi dakwah
Kalangan ulama tidak saja mengajar dan menghasilkan kitab-kitab keilmuan, tetapi antara mereka turut menghadapi cabaran, setengah daripada mereka menghadapi fitnah dan tekanan seperti yang dihadapi misalnya oleh Imam Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal, Ibn `Arabi dan Al-Hallaj.
Sesetengah mereka mengambil risiko mengembara bagi mengembangkan agama Islam dan keilmuan. Alam Melayu dikunjungi ulama-pengembara bagi mengembangkan ilmu pengetahuan seperti Syeikh Ismail, Syeikh Abdul Aziz, Syeikh Abul Khair, Syeikh Abu Ishaq, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Syeikh Sharif Muhammad al-Baghdadi. Melalui dakwah yang dibawa mereka atau yang seumpama mereka kita di alam Melayu, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu menerima nikmat agama Islam.
4. Perkembangan ilmu tempatan
Di Alam Melayu Islam berkembang atas daya usaha `ulama` membangunkan institusi keilmuan Islam di pusat-pusat keilmuan setempat mengajar, memperkenalkan tulisan jawi sebagaimana bukti terawal terdapat pada Batu Bersurat di Hulu Terengganu (1312M.) dan mengarang kitab-kitab bagi perkembangan keilmuan yang sekali gus memperkembang dan meningkatkan martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.
Tempat-tempat yang menjadi pusat perkembangan Islam ialah seperti Pasai dengan tokoh seperti Makhdum Patakan, Melaka seperti Kadhi Munawir, Terengganu dengan tokoh seperti Abdul Malik bin Abdullah, Aceh seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Singkel, Banjar seperti Muhammad Arshad al-Banjari, Patani seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Zainal Abidin al-Fatani, Syeikh Nik Mat , di Palimbang Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, di Johor seperti Raja Ali Haji dan Tun Seri Lanang, Kedah seperti Tuan Hussein Kedah, manakala dari Kelantan seperti Tuan Tabal dan Tuan Ali Kotan dan sebagainya.
Ulama ini mengarang kitab-kitab, membuka institusi pendidikan dan mengajar keilmuan Islam. Ulama` tidak saja sebagai pendakwah, pengarang dan pembuka institusi pendidikan agama, tetapi juga sebagai penasihat dan pemandu di dalam bidang politik dan pentadbiran. Jika di dalam tradisi peradaban Islam lahirnya penulis di dalam bidang politik dan pentadbiran seperti al-Farabi, al-Mawardi, al-Tha`alabi, al-Ghazali dan Ibn Khaldun, maka di dalam peradaban Melayu-Islam lahir ulama`-pengarang di dalam bidang politik dan pentadbiran.
Mereka seperti Bukhari al-Jauhari dengan karyanya berjudul Tajul-Salatin, Nuruddin al-Raniri dengan karyanya yang berjudul Bustanul-Salatin, Tun Seri Lanang dengan karyanya Sulalatul-Salatin (Sejarah Melayu), Raja Ali Haji dengan karyanya Tuhfat al-Nafis dan Syeikh Abdul Qadir Patani (?) dengan karya Kitab Nasihat Segala Raja-Raja (Milik Sultan Zainal Abidin III Terengganu).
Tokoh-tokoh `ulama`, pengarang, pendidik dan pembimbing politik dan pentadbiran ini adalah merupakan mujahid yang menyebarkan Islam dan menjadikan rantau alam Melayu sebagai rantau Islam dan kini merupakan kawasan yang paling ramai umat Islam di dunia. Semangat dan jihad serta dakwah mereka ini patut menjadi tauladan dan ikutan bagi para ulama`.
5. Ulama benteng menentang penjajahan
Apabila penjajah tiba dan ingin menguasai politik dan ekonomi Negara-negara Alam Melayu-Islam, tokoh-tokoh ulama dan pengikut-pengikut mereka merupakan benteng Islam dan pejuang-pejuang yang mempertahankan Islam. Lantaran itu kita dapati Syeikh Daud Fatani dan keluarganya selepas berjihad, terpaksa berpindah ke Makkah setelah tidak dapat mempertahankan Patani dari serangan Siam, Syeikh Abdul Samad Palimbang syahid di Senggora kerana mau membebaskan negeri-negeri Melayu Islam di Selatan Siam.
Ulama-ulama Indonesia seperti Imam Bonjol berperang (Perang Paderi) dengan Belanda mempertahankan Islam. Fatahillah yang menyebarkan Islam di Jawa mempertahankan negaranya dari di kuasai penjajah, di Terengganu tokoh `ulama` seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan pengikut-pengikutnya memberontak menentang kemasukan British di Terengganu, manakala di Kelantan Tok Janggut menganjur pemberontakan di Pasir Putih Kelantan menentang kemasukan British di Kelantan dan tokoh-tokoh seperti Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau menentang penjajah British yang mulai masuk menguasai Pahang.
Penjajah mendapat tentangan dari anak tempatan atas dasar cintakan agama dan kasihkan Negara. Ada dua pendekatan yang diambil penjajah. Pertama secara kekerasan sebagaimana dilakukan oleh Sepanyol di Filipina yang memaksakan penduduk yang telah Islam di sana menerima Kristian, walaubagaimana penduduk Islam terus-terusan menentang penjajah Sepanyol hingga kepada pemerintah kini di Selatan Filipina, khususnya di kepulauan Mindanao.
Manakala pihak British di Malaya, mengambil sikap berlembut dengan tidak menyentuh agama Islam yang dianuti penduduk di Malaya. Mereka menguasai politik dan Ekonomi, tetapi membiarkan agama, tanpa memberi perhatian untuk meningkatkannya dan tidak diberi nilai ekonomi. Lantaran itu pendidikan keislaman ketinggalan.
6. Ulama dan perjuangan kemerdekaan
Dalam perjuangan kemerdekaan tanahair para ulama adalah kalangan yang terawal mencetus perjuangan kemerdekaan seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau. Mereka diikuti oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Sulong Patani, Syed Abdul Rahman (Tuan Paloh) Terengganu, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi membawalah kepada Abu Bakar al-Baqir Gunung Semanggol, Haji Muhammad Fuad, Dr. Abbas, Dr. Burhanuddin Hilmi dan Profesor Zulkifli Muhammad.
Ironinya, bahawa pejuang-pejuang Islam yang mempelopori perjuangan kemerdekaan, bukanlah mereka yang dapat menikmati kepimpinan dan hasil kemerdekaan. Mereka disisihkan, sebagaimana Islam itu sendiri disisihkan dari mendapat pembelaan dan pembiyayaan dari segi pendidikan dan tiada peluang dari segi ekonomi.
Sebaliknya perjuangan kemerdekaan diambil alih pihak nasionalis. Apabila perjuangan dicapai melalui nasionalis di Malaysia yang terdapat di dalamnya sedikit elemen keagamaan, tetapi lebih dipinggirkan menjadikan pihak yang memperjuangkan Islam seperti di Malaysia, tidak senang dengan peminggiran dan membawa kepada tertubuhnya Parti Islam Setanah Melayu (PAS) pada tahun 1951.
7. PAS dan ulama
Dewan Ulama PAS adalah Dewan tertinggi dalam parti (Fasal 37) yang dewan ini baik peringkat Pusat maupun pada peringkat negeri antaranya bertujuan menjalankan usaha menyatukan tenaga dan pemikiran `ulama bagi memperkuat dan mempertingkatkan perjuangan Islam serta menyusun dan menjalankan kegiatan tarbiah dan pendidikan di kalangan ahli-ahli Pas dan mengatur program latihan kepimpinan bagi membentuk petugas-petugas parti yang berilmu, beriman, bertaqwa, berpengalaman dan memahami perkembangan semasa.(Fasal 43 (f)(i & ii).
Dewan Ulama adalah pemandu parti yang bertanggungjawab memperkukuhkan dalaman parti dan memperkasakannya dengan nilai-nilai keislaman. Dewan Ulama juga memandu dan menunjukkan arah berhubung dengan interaksi parti dengan pihak luaran seperti mengenai tahaluf siyasi kerjasama Pas dengan parti yang bukan PAS atau ahli PAS dengan yang bukan Islam dan sebagainya. Pada dasarnya arah yang dipandu oleh `ulama` berjaya menegakkan ahli parti beridentitikan Islam, mempunyai watak dan pembawaan yang berbeza dari ahli-ahli parti yang lain.
8. Cabaran luaran
Cabaran yang sukar dihadapi oleh Pas, juga ulama, ialah sedang Pas meletakkan tujuan Pas (Fasal 5), ialah (i) bagi memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah dan (ii) mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara sedangkan pemerintahan negara bergerak daripada Nasionalisme + Agama kepada Liberalisme.
Nasionalisme adalah faham yang timbul pada pertengahan abad ke 19 akibat dari revolusi Perancis dan penguasaannya terhadap negeri-negeri di Eropah yang bangkit menentang Perancis seperti Jerman dan Itali atas platform nasionalis bagi mencapai kemerdekaan. Bagi Negara-negara Islam yang mengambil pendekatan nasionalisme seperti di Mesir (1919), Afghanistan (1919) seterusnya merebak ke Indonesia (1945) termasuk di Malaya (1946) menjadikan platform perjuangan adalah atas faham nasionalisme dan menjadikan keagamaan yang didukung sebagai force perjuangan yang menjadikannya lebih kental kerana berjuang menghalau penjajah, lantaran mereka adalah `kafir` dan `penjajah`.
Tetapi penyatuan antara Nasionalisme + Agama bukan sesuatu yang asli dan sesuai, sebab itu mudah luntur dan terpisah apabila nasionalisme itu cair dan penyatuan dengan keagamaan menjadi longgar. Kelonggaran nampak berlaku di dalam politik di Mesir, Indonesia bahkan Malaysia.
Nasionalisme di Malaysia dipertahankan di dalam politik atas nama kaum seperti Umno bagi orang Melayu, MCA bagi orang Cina dan MIC bagi orang India yang selalu menimbulkan konflik dalaman bagi mempertahankan kepentingan kaum dalam ikatan parti itu.
Bagi Umno mempertahankan Islam sebagai tugas warisan, bukan sebagai dasar perjuangan, bahkan atas dasar desakan dan kehendak orang Melayu, khususnya dari parti yang memperjuangkan Islam seperti PAS. Sebagai contoh kerajaan terpaksa turut meneruskan pendidikan agama di sekolah-sekolah agama dan menjadikannya sebahagian dari kurikulum pendidikan pada peringkat sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi, atas kehendak masyarakat, tetapi tanpa komitmen sepenuhnya.
9. Menipisnya Nasionalisme
Mendepani arus perkembangan semasa yang berorientasikan ekonomi dan kemajuan dan mendepani globalisasi dan dunia tanpa sempadan, nasionalisme yang tanpa ideologi itu semakin terhakis dan menipis. Malaysia memilih pengkoporatan dan penswastaan yang menjadikan Dasar Ekonomi Baru dilemma dan semi gagal, sebenarnya mau tidak mau nasionalisme menipis dan bergerak ke arah falsafah dan ideologi yang lebih munasabah baginya samada sosialis, conservative, anarchisme dan sebagainya.
Tetapi yang paling logik bagi pergerakan politik nasionalisme di Malaysia, khususnya Umno ialah bergerak ke arah Liberalisme demokrasi. Arah inilah pergerakan politik dominan di Malaysia yang secara langsung mencabar PAS, khususnya ulama`. Liberal mengarah kepada `social attitudes` yang bermaksud `keterbukaan fikiran dan pendapat`, memberi hak individu, memberi kebebasan, lebih berpandukan reason, keadilan dan toleransi dan kepelbagaian (Heywood, A., Political Ideologies, 2005: 28).
10. Kesan
Liberalisme yang bergerak dari nasionalis memberi kesan termasuk kepada orang Melayu dan dasar negara sendiri sebagai contohnya pengabaian terhadap Bahasa Melayu yang sebelum itu perjuangan bahasa adalah menjadi teras perjuangan nasionalisme Melayu.
Tetapi kini perjuangan bahasa ini telah longlai, terabai dan terpinggir. Kesan liberalisme ini juga berlaku terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan yang kini mewajibkan penggunaan bahasa Inggreis bagi pelajaran matematik dan Sains yang melemahkan Dasar Pelajaran dan Bahasa Melayu. Selain dari itu ianya memberi kesan ke arah meliberalkan agama, memisahkannya dari urusan keduniaan, mengagungkan kebebasan pergaulan yang menimbulkan krisis moral terutama di kalangan muda muda.
11. Kesan liberalisme terhadap Islam
Kesan Liberalisme yang mencabar PAS, antaranya kebimbangan UMNO bahawa dengan tumpuan kepada Islam akan memperkuatkan lawan dari PAS yang berprinsipkan Islam, maka berlaku manipulasi terhadap Islam, Pada zaman pemerintahan Dr Mahathir yang sering memandang sinis terhadap PAS dan mau mematikan visi Pas yang mau pemerintahan Negara berdasrkan Islam telah mengisytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam.
Ia bertujuan mematikan perjuangan PAS, walaupun mereka tahu dari segi perlembagaan dan praktiknya Negara ini adalah Negara sekular. Ini berikutan dari dasar `Menerapkan Nilai-Nilai Islam` dan kini `Islam Hadhari` pada era Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi. Pendekatan ini mencelarukan penganut Islam dan menghalang perkembangan Islam sebenarnya.
Kesan liberalisme dari segi perundangan yang menjadi cabaran dan seharusnya diberi tumpuan oleh Ulama` ialah pertembungan antara perundangan civil dan pengasingan undang-undang Syariah 1988. dan permintaan supaya menghormati (Article 121(1A) dan pertembungan antara kedua-duanya (Respecting the Constitution, The Star, 3 May, 2007: N51).
12. Pertembungan antara perundangan syariah dan sivil
Kesan liberalisme terhadap Islam antaranya timbulnya isu-isu pertembungan perundangan sivil dan syariah seperti permohonan Lina Joy menuntut agar ditiadakan identiti Islamnya dalam kad pengenalannya. Nama Islamnya Azlina Jailani. Perebutan jenazah seorang muallaf M.Moorthy yang meninggal antara Jabatan Agama dengan bekas isteri si mati M. Kaliammal yang bukan Muslim, kes ini masih pada peringkat appeal oleh bekas isteri M.Moorthy, arahan menyerahkan anak-anak di bawah umur kepada suami yang bukan Islam apabila isterinya menganut Islam -Kes Raimah Bibi Noordin yang menganut Islam dengan bekas suami Hindu P. Marimuthu dan 6 orang anaknya (NST, May 3, 2007: 6), masalah nafkah isteri yang tidak Islam menjaga anak-anak apabila suaminya masuk Islam dan melarang suami dari membawa anaknya sama ke dalam Islam (NST, March 31, 2007: 9), bantahan yang bukan Islam terhadap kes yang ada hubungan dengan mahkamah Syariah yang meminta mereka ke mahkamah Syariah (The Sun, Mach 29, 2007: 5).
13. Masalah Moral
Dari segi yang lain pula umat Islam, khususnya ulama` berdepan dengan Masalah `Policing Moral` yang menegah penguatkuasa pejabat agama membuat serbuan terhadap pesalah moral kecuali mendapat kebenaran polis dan mesti disertai pegawai polis senior (the Sun March 25, 2005: 1), bahkan menganggap sebagai tidak wajar pegawai-pegawai agama mengintai, apalagi membuat serbuan terhadap kes-kes khalwat, kerana kononnya Islam tidak menggalakkan melihat orang melakukan dosa (NST, Disember 15, 2006: 11).
Anehnya larangan di atas mendapat sokongan beberapa Menteri dan ahli parlimen muslim. Mereka menyokong memorandum 58 NGOs dan 249 individu membantah `polising moral` yang berkait dengan serbuan oleh JAIS di sebuah kelab di Damansara pada Januari 2005 itu.
Soal hiburan melampau juga melibatkan masalah moral seperti cadangan membuka tempat hiburan hingga jam 5.00 pagi bagi menarik pelancong (BH, 6 Julai 2006: 11), hiburan yang dianggap melampau melalui media letronik hingga pihak JAKIM mengeluarkan garis panduan hiburan, tetapi dibantah oleh Dr. Rais Yatim dari KEKKWA, menyebabkan syor JAKIM itu ditangguhkan (BH: 28 Mei, 2005: 1).
14. Menyentuh kesucian Islam
Persoalan yang lebih serius dan mencabar yang dihadapi Islam dan ulama, ialah tuduhan yang melabelkan Islam sebagai agama ganas. Ianya merupakan konspirasi teratur dipelopori Amerika bagi merosakkan image dan reputasi Islam.
Begitu juga tuntutan yang maukan Islam tertakluk di bawah Interfaith Religious Commission (IRC) dan mendapat bantahan kuat dari kalangan umat Islam. Tetapi mendapat sokongan 10 menteri. Perkara ini dibangkit di parlimen (The Sun March 26-27, 2006:8) dan dijawab oleh Datuk Seri Abdullah yang mengalu-ngalukan penubuhan IRC dengan syarat tidak menyentuh kesucian Islam. Hingga kini perkara ini ditangguh dan digantungkan.
Cabaran yang mendepani ulama termasuklah Persoalan Hak dan Kebebasan Wanita yang selalu dikemukakan oleh Sisters In Islam, Persoalan berhubung dengan Hak dan Kebebasan memilih agama. Desakan yang pernah dikemukakan oleh Lim Keng Yaik yang kemudian ditarik balik agar pengajaran matapelajaran agama dipisahkan dari sekolah kebangsaan (NST, May 2, 2005: 2) Persoalan kongsi raya yang dibimbangi boleh merosakkan akidah (BH, 14 Jun 2006: 7).
Beberapa pandangan terbaru yang menjadi tanda tanya umat Islam berhubung dengan pendapat Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri bin Zainal Abidin bahawa tidak wajar diintip mereka yang berkhalwat, kerana kononnya orang Islam tidak digalakkan melihat orang yang melakukan dosa (NST, 15 Disember, 2006: 1).
Beberapa pandangan beliau yang lain, bahawa orang bukan Islam yang menganut Islam tidak perlu menukarkan nama asal kepada nama baru yang lebih sesuai dengan Islam dan harus menjawab salam dari yang bukan Islam (The Star 4 May, 2007: N6). `Ulama` juga seharusnya memberi respons terhadap cadangan agar diadakan dialog peradaban antara agama yang diharap lebih memberi kefahaman terhadap masyarakat dan menghormati agama.
Ulama adalah pembimbing dan bukan tunduk kepada kehendak institusi tertentu hingga sanggup mengubah identiti ulama kerana tunduk pada kehendak institusi berkenaan demi publisiti.
Pendeknya `ulama` sebagai pemandu dan penunjuk arah, harus memberi respond dan pandangan terutama berhubung isu umat Islam semasa misalnya persoalan ekonomi Islam dan bank Islam yang mendapat dokongan bukan saja dari orang Islam, tetapi juga bukan Islam.
Perjalanan organisasi yang melibatkan umat Islam seperti OIC. `Ulama` wajar memberi pandangan persoalan antarabangsa misalnya penguasaan Amerika di Iraq, konflik antara puak Sunni dan Syiah dan cara penyelesaian yang wajar bagi umat Islam Iraq.
`Ulama` perlu mengeluarkan pendapat berhubung dengan kehadiran Amerika dan kewajaran Nato di Afghanistan, tekanan Amerika terhadap Iran berhubung dengan isu nuklier dan cadangan-cadangan yang patut diambil.
Pandangan-pandangan patut diberi berhubung dengan pergolokan di Dhafur, kemasukan tentera Habshah ke Erietria dan pergolakan di Sudan. Pandangan juga perlu datang dari ulama berhubung dengan konflik di Selatan Thailand dan Filipina dan kekecohan politik di Bangladesh. Setakat ini respond ketara dari Pas dan ulama ialah mengenai keganasan Israel di Palestin dan konflik Israel-Lubnan pada pertengahan tahun 2006.
15. Penutup
Ulama seharusnya bukan saja mampu membicara dan menyelesaikan masalah dalaman, tetapi juga cabaran yang dihadapi umat. Bagi PAS dan `ulama` hendaklah meletakkan dirinya sebagai sebuah kerajaan, walaupun tidak memerintah, ulama sebagai pembimbing harus menjadi pembimbing dan jurucakap parti, memahami segala persoalan yang dihadapi, mampu memperkatakannya dan kalau boleh menyelesaikan persoalan negara dan antarabangsa hingga PAS diyakini berkemampuan oleh masyarakat.
Ulama sebagai pembimbing dan terlibat dengan kegiatan keilmuan, maka Ulama juga sewajarnya dari masa ke masa hendaklah lebih banyak menerbitkan buku bersifat ilmiah bagi panduan ahli dan umat, juga menerbitkan risalah mengenai permasalahan umat Islam, isu-isu semasa dan pandangan mengenai isu-isu khusus. Dengan ini visi dan misi ulama dapat diikuti dan dihayati dengan jelas, ini sesuai dengan kedudukan dan wibawa ulama sebagai `Warathatul Anbiya``pemandu dan pembimbing umat. Sekian. - lanh
*Disesuaikan dari ucapan pembukaan Mesyuarat Agung Dewan Ulama Selangor di Sungai Besar Selangor pada 18 R. Akhir 1428 bersamaan 6 Mei 2007.