Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah.
"Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam":
Blogger
28 Ogos 2005
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49
Tarikh Pewartaan :
15 Feb 1996
Borak
FAKHRUDDIN AL-FALIMBANI
Tuesday, May 30, 2006
Ulama Kesultanan Palembang Darus Salam Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah
FAKTA untuk menjejaki ulama yang berasal dari Palembang ini ialah sebuah manuskrip karya beliau yang selesai ditulis pada 16 Syaaban 1297 H/24 Julai 1880 M, selanjutnya disebut MS 1731 (PMM-PNM). Tarikh tersebut saya jadikan bukti bahawa saya tidak sependapat dengan beberapa pendapat yang menyebut bahawa usia Kemas Fakhruddin lebih tua daripada Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani.
Menurut penyelidikan saya, Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani lebih dulu menghasilkan karya, iaitu, Zahrah al-Murid tahun 1178 H/1764 M dan Risalah Nikah tahun 1179 H/1764 M. Pada hari Ahad, 8 Rabiulawal 1421 H/11 Jun 2000 M, sewaktu saya ke Ranai, Pulau Natuna/Bunguran Timur saya peroleh sebuah karya besar Kemas Fakhruddin berjudul Futuh asy-Syam, jilid pertama.
Kitab Futuh asy-Syam tersebut dicetak dengan huruf batu (litografi) milik Datuk Kaya Wan Husein, Datuk Kaya Bunguran/Natuna di Ranai. Kitab tersebut diserahkan kepada saya oleh cucunya, Urai Nurseha binti Urai Utsman di rumahnya di Ranai pada hari dan tarikh seperti tersebut di atas. Oleh sebab kitab tersebut hanya dijumpai jilid pertama, maka belum diketahui tahun selesai penulisan dan nama tempat mencetak juga tidak jelas.
PERBANDINGAN TAHUN
Berdasarkan informasi, manuskrip Futuh asy-Syam yang lengkap dapat dikesan tersimpan di School of Oriental and African Studies (Universiti London) dengan nombor kelas MS 11505. Sebagaimana telah saya sebutkan bahawa Futuh asy-Syam cetakan huruf batu (litografi) yang dijumpai di Pulau Natuna belum diketahui tarikhnya. Namun, kerana dapat dikesan manuskripnya yang bernombor kelas MS 11505 ada dinyatakan tarikh, iaitu diselesaikan pada hari Jumaat, bulan Safar 1183 H/Jun 1769 M, maka dirasakan perlu membuat analisis perbandingan.
Di atas telah saya sebutkan sebuah naskhah MS 1731 (PMM-PNM) karya Syeikh Kemas Fakhruddin yang diselesaikan pada 16 Syaaban 1297 H/24 Julai 1880 M. Memperhatikan jarak tahun pengkaryaan antara tahun 1183 H dengan 1297 H yang bererti sekitar 114 tahun, bererti ulama yang berasal dari Palembang tersebut berusia sangat panjang. Atau kemungkinan terjadi kekeliruan penulisan tahun yang diberikan. Atau kemungkinan terdapat dua orang ulama bernama Kemas Fakhruddin di Palembang.
Jika kita dapat menerima tahun yang diberikan oleh Dr. Aryumardi Azra bahawa Syeikh Fakhruddin hidup antara tahun 1133 H/1719 M - 1177 H/1763 M, ini bererti Syeikh Fakhruddin hanya berusia 44 tahun. Dengan perbandingan ini bererti bertambah sukar mencari data yang tepat tentang Syeikh Kemas Fakhruddin. Dengan diperoleh tahun penulisan Futuh asy-Syam, 1183 H/1769 M, ternyata juga ia tidak lebih dahulu daripada kedua-dua karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Zahrah al-Murid tahun 1178 H/1764 M dan Risalah Nikah tahun 1179 H/1764 M. Daripada pelbagai informasi ada diriwayatkan bahawa karya-karya Syeikh Kemas Fakhruddin dihasilkan atas permintaan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo (1171 H/1758 M-1190 H/1776 M).
Penulisan
Jika kita perhatikan tahun penulisan Futuh asy-Syam, 1183 H/1769 M, bererti memang dalam masa pemerintahan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo, tetapi di Futuh asy-Syam MS 11505 terdapat catatan bahawa ``atas kehendak Pangeran Ratu ibni Paduka Seri Sultan Ahmad Najamuddin Kerajaan Palembang Darul Ihsan''. Ini sangat meragukan kerana dalam pemerintahan Palembang terdapat lagi nama Sultan Ahmad Najamuddin Pangeran Ratu yang memerintah tahun 1234 H/1819 M-1236 H/1821 M dan Sultan Ahmad Najamuddin Prabu Anom yang memerintah 1236 H/1821 M-1238 H/1823 M.
Ada pun penulisan MS 1731 (PMM-PNM), 1297 H/1880 M, adalah bukan pada zaman pemerintahan Sultan Susuhunan Ahmad Najamuddin Adi Kesumo (1171 H/1758 M - 1190 H/1776 M), tetapi tahun yang berdekatan ialah pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Najamuddin Pangeran Ratu (1234 H/1819 M-1236 H/1821 M) dan Sultan Ahmad Najamuddin Prabu Anom (1236 H/1821 M-1238 H1823 M). Penulisan MS 1731 (PMM-PNM), 1297 H/1880 M bererti terjadi pada tahun kesultanan Palembang telah dimansuhkan oleh Belanda (pemansuhan terjadi tahun 1825 M).
Daripada hal-hal yang tersebut di atas saya berkesimpulan bahawa masih sukar menentukan tahun-tahun kehidupan Syeikh Kemas Fakhruddin yang sedang dibicarakan ini, walau pun beliau telah menghasilkan karangan yang cukup memadai.
SENARAI KARYA DAN KETERANGAN
Informasi karya-karya Syeikh Kemas Fakhruddin berdasarkan tulisan Salman Aly setakat ini baru diketahui empat buah. Sungguh pun demikian bagi saya dua buah di antaranya masih belum jelas sebagai karyanya, yang akan dijelaskan sebagai berikut di bawah ini:
1. Tuhfah az-Zaman fi Zharfi Ahli al-Yaman. Kitab ini dikatakan karya Syeikh Kemas Fakhruddin disebut oleh Salman Aly. Walau bagaimana pun manuskrip judul ini yang tersimpan di Perpustakaan Bodleian Universiti Oxford MS. Malay ternyata nama penterjemah tidak terdapat. Oleh itu masih diragukan sebagai karya Syeikh Kemas Fakhruddin.
Mengenai tahun selesai penulisan ada catatan dinyatakan di Palembang tahun 1175 H/1761 M. Karya ini bererti mendahului karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani berjudul Zahrah al-Murid (1178 H/1764 M) sekitar tiga tahun. Manuskrip setebal 324 halaman di atas kandungan keseluruhannya ialah mengenai ilmu falakiyah / astronomi. Pada mukadimah digubah puisi dalam bahasa Melayu, adalah sebagai berikut: ``Bahawa ini kitab ramal namanya, karangan Syeikh Syaddadiyah namanya Negeri Yaman tempat kediamannya, telah masyhurlah di dalam zamannya Tersurat ia pada hari Jumaat, pada bulan Safar ketika Zuhrah. Seribu seratus diperhijrah, tujuh puluh lima tarikh Nubuwah. Adalah yang menyurat kitab ini, faqir yang hina dalam negeri. Daripada surat ibni as-Sulthani, Pangeran Ratu negeri Falimban. Hai sekalian orang `arif yang ikhwan, jika dikau lihat maknanya bersalahan. Perbaiki olehmu supaya bayan, kepada yang thalib berteman kesukaan. Kerana Pangeran sangat bebalnya, belum tahu pada bahasa Arabnya. Melayu pun lagi belum didapatnya, daripada sangat berkehendak padanya.''
2. Khawash al-Quranil `Azhim. Salman Aly menulis, ``... sebuah kitab yang penuh kutipan-kutipan al-Quran terutama yang berkenaan dengan nilai-nilai luhur. Kitab yang ditulis pada tahun 1769 ini dianggap oleh van Ronkel sebagai sebuah karya terjemahan dari Tamimi''. Saya memiliki sebuah manuskrip yang tersebut ini yang diperoleh di Pontianak pada 17 Ramadan 1420 H/20 Disember 1999 M. melalui Rahmatillah dan Muhammad Safar yang diperoleh di persekitaran istana kesultanan Pontianak.
Benar
Pendapat Salman Aly di atas masih belum dapat diterima sepenuhnya kerana pada manuskrip tersebut tidak terdapat nama Syeikh Kemas Fakhruddin sebagai penterjemahnya. Yang dapat disepakati ialah kandungannya memang benar membicarakan fadhilat-fadhilat ayat-ayat dalam al-Quran. Mulai penulisan 1183 H/1769 M. Bererti dalam tahun yang sama dengan penulisan Futuh asy-Syam. Pada mukadimah dinyatakan bahawa kitab ini diterjemahkan daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu adalah disuruh oleh Paduka Seri Ratu Ahmad Najamuddin. Karya asal disusun oleh asy-Syeikh al-Imam al-'Alim al-Hakim al-Fadhil Ahmad bin Muhammad at-Tamimi Radhiyallahu `anhu.
3. Futuh asy-Syam, 1183 H/1780 M, kandungannya merupakan hikayat lengkap peperangan yang dilakukan oleh para sahabat Nabi Muhammad s.a.w. sehingga berhasil menakluk negeri Syam. Keseluruhan kandungannya merupakan petikan daripada karangan Syeikh Abu Abdullah Muhammad bin Umar al-Waqidi (lahir 130 H/747 M, wafat 207 H/823 M). Halaman akhir jilid pertama ditutup dengan kalimat, ``Syahdan kemudian daripada perang Hamash ini, maka iaitu menyambutkanlah waqi'ah perang tempat yang bernama Yarmuk. Maka di dalam perang itu, iaitu terlalu besar. Dan perang Yarmuk apabila tampaklah beberapa kelebihan dan ketinggian agama Islam dan tampaklah beberapa mukjizat Rasulullah Shallallahu alaihi kemudian daripada wafatnya di dalam perang. Inilah nyata shadaqal Quran al-'Azhim ... Dan perang inilah hampir-hampir habis kekuatan ahlir Rum adanya''. Kalimat terakhir daripada keseluruhan judul ini ditulis dalam bentuk puisi:
``Selesai kitab Futuh asy-Syam tersebut, pada bulan Safar, pada malam Jumaat. Seribu seratus daripada hijrat, delapan puluh tiga tarikh Nubuwat Dan adalah yang menyurat kitab ini, yang bernama Kemas Fakhruddini. Dengan disuruh Pangeran Ratu ibni Paduka Seri Sulthan Ahmad Najamuddini. Yang duduk di atas Kerajaan Negeri Palembang Jawi Darul Ihsan''. 4. Mukhtashar Fat-hir Rahman, 16 Syaaban 1297 H/1879 M.
KEKELUARGAAN KEMAS
Sekian banyak tulisan yang telah saya baca mengenai Syeikh Kemas Fakhruddin maka tidak seorang pun menyebut nama orang tua ulama Palembang tersebut, demikian juga keturunannya. Yang pasti istilah `Kemas' barangkali digunakan untuk golongan kaum bangsawan yang berasal dari Palembang.
Beberapa orang ulama Palembang yang menggunakan istilah `Kemas' untuk namanya, di antaranya ialah: Kiyai Haji Kemas Muhammad Azhari (Kiyai Pedatukan), Kiyai Haji Kemas Abdur Rahman (Kiyai Delamat), Kemas Muhammad bin Ahmad dan ramai lagi. H. Rusdhy Cosim dalam Sejarah Kerajaan Palembang dan Perkembangan Hukum Islam menulis nama Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani juga meletakkan istilah `Kemas' pada awal nama. Saya berkesimpulan kemungkinan Syeikh Kemas Fakhruddin memang ada pertalian dekat dengan semua ulama Palembang yang layak diletakkan istilah `Kemas' pada awal namanya itu.
Mon | May 29, 06 | 02:50:59 PM Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 29 Mei (Hrkh) - Muktamar Tahunan PAS kali ke-52 akan membuka tirainya beberapa hari lagi, kali ini Kota Sarang Semut, Kedah akan dibanjiri kader-kader PAS dari segenap pelosok tanah air.
Menariknya perjalanan muktamar kali ini sinonim dengan persediaan PAS menghadapi pilihan raya umum ke-12 yang dijangka pada tahun 2007 atau awal 2008.
Beberapa program pra persediaan muktamar telahpun dibuat oleh dewan-dewan, PAS kawasan dan negeri beberapa minggu kebelakangan ini.
Terbaru, PAS Selangor telah mengadakan Ijtimak Kali ke-16 di Markas PAS Taman Melewar yang memfokuskan usaha meningkatkan daya juang ahli PAS dengan mengambil iktibar daripada gerak kerja parti Hamas yang menang di Palestin.
Dalam wacana singkat di Taman Melewar itu, pelbagai kupasan mengenai PAS dan Hamas telah dibincangkan oleh perwakilan, pembentang kertas kerja dan pemimpin.
Semuanya mahu mencontohi semangat Hamas dalam menegakkan agama Allah di muka bumi ini.
Pengerusi Cesmac, Dr Muhammad Nur Manuty yang membentang kertas kerjanya bertajuk 'Meningkatkan Daya Juang Amilin: Pendekatan Hamas dan Ikhwan Muslimun' mengambil pendekatan membawa perbincangan kepada soal muhasabah parti.
Fokusnya tetap berlegar sekitar pendekatan kepimpinan PAS dalam menyediakan kader-kader yang istiqamah, bersemangat dan bersetia dengan parti dengan menyingkap pengalaman Hamas.
Penekanan dalam aspek tarbiyah untuk menyediakan pejuang yang istiqamah dilihat penting sekali memandangkan setiap ahli berperanan membawa imej dan mesej parti.
Bagaimanapun dalam membincangkan soal tarbiyah, kelompok persidangan juga tetap dicanang dengan semangat supaya berani mengkritik pemimpin.
Kesedaran sama rata antara pemimpin dan ahli akan menjadikan sebuah parti itu mampu maju lebih jauh, dan inilah yang dilakukan oleh Hamas bagi menewaskan lawannya Fatah di Palestin, kata Muhammad Nur ketika menghuraikan soal wala dan kepimpinan.
Meskipun ahli dan jentera parti dimestikan 'wala' kepada pemimpin, namun dicelah taat setia itu ahli juga perlu mencari ruang untuk mengkritik pemimpin, ujarnya.
Dalam Hamas sendiri, ahlinya akan mengkritik pemimpin secara terbuka supaya setiap gerak kerja parti terpandu dengan satu matlamat mendaulah Islam, katanya.
Bagaimanapun di negara ini pendukung gerakan Islam agak berhati-hati dalam mengkritik pemimpin mereka kerana kemungkinan budaya yang berbeza dengan masyarakat Timur Tengah, kata Muhammad Nur.
Kelangsungan daripada buah fikiran Muhammad Nur itu kemudiannya diteruskan oleh perwakilan yang bangun dalam sesi soal jawab.
Dalam nada yang agak keras, seorang perwakilan yang menyatakan baru menyertai PAS menghentam sikap pemimpin yang katanya sering tidak menepati waktu.
Sebagai contoh katanya, dalam kehadiran ijtimak kali ini, di mana jika mengikut jadual program jam 9.00 pagi seharusnya dimulakan majlis perasmian.
Bagaimanapun, ia lewat setengah jam setelah pemimpin tidak menepati waktu yang terjadual seperti dalam tentatif program, katanya.
Sementara itu seorang lagi wakil Muslimat dari Gombak pula terkilan dengan sikap pemimpin yang dalam beberapa program sukar untuk menerima kritikan ahli.
Malah segala yang mahu diutarakan dikesampingkan dengan jawapan yang tidak menyedapkan 'telinga', katanya.
Terdahulu seorang perwakilan Muslimin dari Gombak juga mengkritik soal pembelaan terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang 'dimatikan' kerajaan dengan agenda menganaktirikan sekolah ini.
Katanya, seharusnya PAS dalam isu tersebut terus istiqamah dan memfokuskan bantuan bagi menghidupkan SAR untuk terus menjadi institusi melahirkan ilmuan.
"Kita tidak boleh hanya menyalah dan mengharap bantuan kerajaan sahaja dalam soal ini.Tetapi usaha mestilah dijalankan oleh PAS sendiri yang menerajui SAR-SAR ini," katanya.
Kesemua kritikan 'kecil' itu perlu dihadam oleh pemimpin PAS dan ia perlu kepada penilaian dan penekanan kepada memperbaiki keadaan.
Sejauh mana pimpinan mahu bertindak terpulang kepada kebijaksanaan mereka sebagai penggerak PAS.
Muktamar adalah wadahnya untuk terus menerima kritikan dari ahli. Segala yang akan dibentang dalam usul, mahupun ucapan perlu diambil berat untuk membangunkan sahsiah parti.
Daripada perkara sekecil isu sikap pemimpin hinggalah soal melibatkan 'ijtihad' dan peranan parti dalam menjadi pembela rakyat, semuanya perlu diambil kira.
Dengan mengambil pendekatan Hamas dan Ikhwan sebagai contoh kemenangan, segala pengalaman dua parti ini yang boleh diadaptasi di Malaysia dalam menerajui gerakan umat Islam perlu digunakan.
"Mengikut Hamas bukan bermakna berani menyediakan kader yang mampu membaling batu kepada kereta kebal pihak lawan, tetapi menyediakan semangat yang kental itu yang penting," kata Muhammad Nur pada akhir persidangan.
Pilihan raya umum ke-12 sekali lagi akan menjadi medan pengukur sokongan kepada PAS.Dengan itu muktamar kali ini perlu menjadi satu 'wadah' yang memungkinkan PAS menjadi parti pilihan rakyat bukannya parti pilihan raya seperti yang diamal Umno dan Barisan Nasional (BN). - lanh Baca Lagi...
HUBUNGAN mesra terjalin antara Zuraini Mohd. Shokori dengan pelajar-pelajar di Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor.
BERSAING dalam pasaran kerja adalah lumrah kepada mereka yang bergelar siswazah. Fenomena yang biasa berlaku adalah sikap segelintir graduan dalam atau luar negara berlumba-lumba mencari peluang pekerjaan biarpun ia tidak menepati bidang pengajian masing-masing. Semuanya kerana tidak mahu diri dilabel sebagai penganggur terhormat.
Namun bagi Guru Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam di Maahad Tahfiz Anak Yatim Darul Fuqaha, Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor, Zuraini Mohd. Shokori, 24, dia bukan sahaja berusaha untuk mencari pekerjaan tetap yang bersesuaian tetapi turut berazam agar bidang yang dipelajari selama di menara gading dapat dimanfaatkan untuk insan lain.
Bertekad atas dasar itulah maka pemegang ijazah sarjana muda Pengajian Islam dalam bidang Dakwah dan Kepimpinan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini telah melawat ke Rumah Kebajikan Perkid (Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor) di Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor pada saat-saat dia hampir menamatkan pengajian di universiti.
“Saya mengetahui tentang pusat ini menerusi seorang sahabat yang pernah ke sana. Pertama kali ke sana hati saya sudah jatuh cinta. Perasaan sedih dan simpati silih berganti dan ia menguatkan keazaman saya untuk membantu anak-anak yatim itu biarpun hanya bergelar sukarelawan.
“Rumah ini menempatkan remaja perempuan yang menghadapi pelbagai masalah sosial seperti mengandung anak luar nikah, mangsa rogol, sumbang mahram, lari dari rumah dan paling kronik kes hampir-hampir murtad kerana terpedaya dengan teman lelaki yang berlainan agama. Tambah menyedihkan pelatih-pelatih di sini merupakan paar pelajar sekolah berumur antara 13 hingga 17 tahun.
“Perasaan simpati itu secara tidak langsung melahirkan semacam desakan dalaman untuk membantu mereka yang majoritinya anak-anak Melayu beragama Islam. Setelah bercampur gaul dengan mereka, saya dapati kesilapan yang dilakukan oleh remaja ini bukannya 100 peratus kesalahan mereka sendiri tetapi berpunca daripada kepincangan dalam institusi keluarga dan ketiadaan penghayatan Islam,” kata Zuraini yang mula aktif dengan Perkid pada Mei 2005 iaitu dua bulan selepas tamat pengajian di UKM.
Menceritakan pengalamannya dalam kerja-kerja sukarelawan terutama di Perkid, anak bongsu daripada empat adik-beradik ini tidak dapat melupakan saat-saat apabila dia terpaksa mengendalikan kes pertama secara sendirian.
Rasa tanggungjawab
“Pengerusi Perkid iaitu Ustaz Masridzi Sat memberikan saya kes pelajar tingkatan empat yang berzina hampir 30 kali dengan teman lelakinya dalam tempoh tiga hingga empat bulan perkenalan.
“Bila sahaja saya terima kes itu, perasaan pertama yang wujud dalam diri saya ialah rasa tanggungjawab, bersemangat serta bertekad untuk melakukan yang terbaik demi masa depan gadis tersebut,” jelasnya.
Alhamdulillah, pengalaman dan ilmu teori yang diperoleh sepanjang di UKM banyak membantu. Pengalaman sebagai Pengerusi Helwa, Ikatan Studi Islam (ISIUKM) dan penyertaan dalam Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sedikit sebanyak menyumbang kepada kerjaya dan aktiviti sukarelawannya.
“Selain itu, sehingga kini saya bersyukur kerana dalam pelbagai tugasan yang diamanahkan, tidak kira semasa bergelar pelajar, guru mahupun sukarelawan, semuanya berjalan seiringan.
“Malah saya seronok dapat menyumbang dan ini sedikit sebanyak menimbulkan minat pada diri saya untuk mendalami bidang kaunseling pada masa depan,” katanya.
Namun, sejak bekerja di Darul Fuqaha, masa dan penglibatannya dengan Perkid agak terbatas. Pun begitu, Zuraini mendisiplinkan dirinya berkunjung ke sana, sekurang-kurangnya sekali seminggu iaitu sama ada pada cuti hujung minggu atau di sebelah malam.
Ditanya mengapa minatnya dalam bidang sukarelawan begitu mendalam, kata Zuraini, kekerapan bertemu dengan pelatih-pelatih di Perkid menyedarkannya bahawa gadis-gadis itu kurang keyakinan diri atau terlalu bersikap rendah diri sehingga menenggelamkan kelebihan yang ada pada diri mereka.
Beliau turut berterima kasih kepada Ustaz Masridzi dan isterinya kerana melaksanakan satu tanggungjawab yang cukup murni biarpun menghadapi pelbagai kekangan dan cabaran. Kesungguhan mereka turut menjadi pemangkin semangat kepadanya.
“Apabila melihat pelatih-pelatih mengenali agama Islam dan terpancar kesedaran dan keinsafan pada wajah mereka, ia sudah cukup menggembirakan hati saya. Usaha dan matlamat di Perkid tidak akan berjaya tanpa sokongan sama ada dari segi material dan tenaga semua pihak terutama umat Islam. Menerusi ruangan ini saya menyeru mereka yang bermurah hati menghulurkan derma,” katanya.
Ia boleh dilakukan melalui akaun Bank Islam 1206501002008 dan Maybank 562245500145 atas nama Perkid Selangor ataupun dengan menghubungi Ustaz Masridzi di talian 019-2572717 atau pejabat Perkid di talian 03-9021 3730.
PENULIS (kanan) bersama Adnan Yaakob (kiri) dalam satu pertemuan sempena ‘Seminar Tasawuf Mencari Permata Yang Hilang’ di kediaman rasmi Menteri Besar Pahang di Kuantan, baru-baru ini.
PADA 20 Rabiulakhir 1427 H/18 Mei 2006 diadakan ‘Seminar Tasawuf Mencari Permata Yang Hilang’ di dewan kediaman rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kuantan. Seminar tersebut dianjurkan oleh Kolej IKIP dan Yayasan Pahang. Empat kertas kerja dibentangkan. Kertas kerja yang saya tulis mengawali pembentangan pada sesi pagi. Seminar itu dirasmikan oleh Adnan. Tanpa saya duga beliau ialah seorang yang rajin membaca termasuk tentang tasawuf. Beliau termasuk peminat Buya Hamka, sehingga dalam ucapan perasmian itu beliau banyak memetik Tasawuf Moden dan berkali-kali menyebut nama ulama besar yang terkenal itu.
Pada waktu rehat, saya sempat berbual agak panjang dengan Adnan. Katanya, sejak kecil lagi beliau telah mengumpul dan mempelajari buku-buku karangan Buya Hamka. Saya simpulkan memang ramai peminat Buya Hamka termasuk saya sendiri. Hamka juga seorang tokoh tajdid yang tidak menolak ajaran tasawuf. Tidak dapat dinafikan ramai tokoh lain berfikir positif dan langkah itu wajar kerana tasawuf adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam. Sebaliknya tidak kurang pula orang yang berfikir negatif dan tiada wajar serta tanpa mempelajari dengan teliti telah menuduh tasawuf sebagai sebahagian daripada ajaran sesat.
Kertas kerja tentang tasawuf yang saya bentangkan di Kuantan itu berkisar kepada dua tokoh saja iaitu Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjar. Artikel ini pula menceritakan riwayat Syeikh Syihabuddin, yang beliau ini lebih dulu muncul daripada kedua-dua ulama tersebut.
Manuskrip
Pada zaman yang sama ada dua orang yang bernama Syeikh Syihabuddin, atau orang yang bernama sama. Seorang menjalankan aktiviti di Palembang di Sumatera Selatan dan seorang lagi di Pahang. Ulama yang diambil data dalam artikel ini adalah berdasarkan sebuah manuskrip, namun masih tidak jelas sama ada Syeikh Syihabuddin Palembang ataupun Syeikh Syihabuddin Pahang. Dalam manuskrip, beliau hanya menyebut tinggal di ‘Jawi’ tanpa menyebut dari tempat mana beliau berasal. Nama lengkap dalam manuskrip ialah as-Syeikh Syihabuddin al-Haji ibnu Abdullah Muhammad al-Jawi.
Artikel ini saya lebih memfokuskan tentang tasawuf yang bersumber daripada karya ulama Syeikh Syihabuddin al-Haji. Oleh itu, bahasan pertikaian pendapat tentang beliau berasal dari Palembang ataupun Pahang saya tinggalkan saja.
Manuskrip koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMM-PNM) yang diberi nombor kelas MS 1522 dikenali dengan judul lengkap Syarh Akidah al-Iman. Ia ditulis sendiri oleh Syeikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah Muhammad al-Jawi. Kitab itu diselesaikan pada hari Ahad, 7 Jamadilawal 1162 H, bersamaan tarikh yang disesuaikan oleh PMM-PNM iaitu 24 April 1748. MS 1522 tersebut adalah salinan Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu. Selesai penyalinan pada hari Jumaat, 16 Rabiulawal 1260 H, persamaan tarikh yang disesuaikan oleh pihak Pusat Manuskrip Melayu Malaysia (PMM-PNM) pada 5 April 1844. Jarak waktu dari tulisan asli hingga penyalinan adalah selama hampir 100 tahun.
Pada mukadimah kitab, Syeikh Syihabuddin al-Haji menulis, “kemudian daripada itu, maka inilah suatu syarah yang lathif atas mukhtasar Jauhar Tauhid namanya, bagi Syeikh yang fadhil, lagi alim, Ibrahim Laqani nauwarallahu dharihahu. Dan ku namai ia akan Syarh Akidah al-Iman di dalam Syarah Jauhar Tauhid, halnya aku ibaratkan dengan bahasa Jawi supaya mudah bagi orang yang mubtadi di dalam agama.”
Sebagaimana telah disebutkan bahawa tidak terdapat nama negeri Jawi yang mana dalam manuskrip karyanya, yang ada dinyatakan selain nama diri dan ‘al-Jawi’ hanyalah mazhabnya, iaitu Mazhab Syafie. Sesudah itu ialah ada empat jenis tarekat yang diamalkannya iaitu Syathariyah, Naqsyabandiyah, Rifaiyah dan Qadiriyah. Tiga tarekat di antaranya, kecuali Tarekat Rifaiyah, memang ramai diamalkan oleh ulama dunia Melayu tetapi Tarekat Rifaiyah barangkali ramai juga ulama kita yang mengamalkannya cuma mereka tidak pernah mengisytiharkan mengenainya pada karya-karya mereka. Satu-satunya karya yang pengarangnya mengaku secara terang bahawa dia pengamal Tarekat Rifaiyah ialah Syeikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah Muhammad al-Jawi yang diriwayatkan ini.
Dalam naskhah MS 1522 dengan jelas Syeikh Syihabuddin al-Haji mengakui beliau penganut Mazhab Syafie, iaitu mazhab itu yang dominan dianuti oleh semua ulama dunia Melayu sejak zaman dahulu. Bahkan hingga ke zaman kita sekarang ini. Kemudian beliau mengakui pula bahawa beliau ialah pengamal keempat-empat tarekat yang disebutkan. Ada pun Tarekat Syathariyah diakui dikembangkan oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di Aceh yang kemudian disebarkan oleh murid-muridnya di seluruh dunia Melayu. Memerhatikan tahun kemunculan karya Syeikh Syihabuddin al-Haji, 1162 H/1748 M, sekurang-kurangnya beliau peringkat cucu murid saja daripada Syeikh Abdur Rauf, dan ada kemungkinan termasuk murid ulama besar yang berasal dari Aceh itu.
Kemudian Syeikh Syihabuddin al-Haji mengakui beliau pengamal Tarekat Naqsyabandiyah. Mengenai tarekat ini kurang jelas siapakah peringkat awal ulama dunia Melayu yang paling gigih selaku penyebarnya. Hanya sedikit maklumat diriwayatkan bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi (Makasar) ialah salah seorang pengamal Tarekat Naqsyabandiyah peringkat awal dunia Melayu. Tetapi oleh sebab masa-masa hidupnya lebih lama di negeri buangan, di Sri Lanka dan Afrika Selatan, maka sukar dipastikan adakah beliau yang paling berjasa dalam penyebaran Tarekat Naqsyabandiyah di dunia Melayu.
Oleh itu, kedudukan Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi dalam penyebaran Tarekat Naqsyabandiyah di dunia Melayu adalah sama dengan Syeikh Syihabuddin al-Haji, iaitu belum begitu jelas sistem penyebaran yang dilakukannya. Dapat dikatakan ulama yang sezaman dengan Syeikh Syihabuddin al-Haji yang mengamal pelbagai tarekat termasuk Tarekat Naqsyabandiyah ialah Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani.
Dalam Salasilah Tarekat Naqsyabandiyah, Ali bin Sulaiman Kampung Kuala Mempawah disebutkan bahawa ulama Banten itu menerima Tarekat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Zain al-Mazjaji di Mekah. Ulama Banten ini memulakan aktiviti penulisan mulai tahun 1112 H/1700 M sampai 1173 H/1760 M. Oleh sebab Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani hidup sezaman dengan Syeikh Syihabuddin al-Haji ada kemungkinan Syeikh Syihabuddin al-Haji juga menerima Tarekat Naqsyabandiyah daripada Syeikh Muhammad Zain bin Syeikh Zain al-Mazjaji.
Ada pun mengenai Tarekat Qadiriyah, dipercayai hampir semua ulama yang terdahulu daripada Syeikh Syihabuddin al-Haji mengamalkannya termasuk Syeikh Hamzah al-Fansuri, Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh 'Abdur Rauf al-Fansuri dan ulama-ulama sesudah mereka. Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid al-Bantani pada namanya menyebut beliau adalah ‘Khalifah al-Qadiri’. Walaupun Syeikh Abdur Rauf juga pengamal pelbagai tarekat dan pernah membai'ah Tarekat Naqsyabandiyah kepada muridnya, Tuan Imam Malim Kaya, namun yang diakuinya sebagai khalifah hanya pada Tarekat Qadiriyah.
Tarekat Qadiriyah di dunia Melayu sampai ke kemuncak kejayaan penyebarannya hingga ke zaman Syeikh Ahmad Khatib Sambas, iaitu ulama yang muncul kemudian daripada Syeikh Syihabuddin al-Haji. Ada pun mengenai Tarekat Rifaiyah, tempatnya di dunia Melayu tidak seberapa subur, hanya sedikit ulama kita yang mengamalkannya. Antara yang tidak mengamalkannya termasuklah Syeikh Syihabuddin al-Haji. Ada pun nama Tarekat Rifaiyah adalah dinisbahkan kepada Sayidi Ahmad bin Yahya bin Hazim bin Rifa'ah (lahir tahun 500 H/1107 M, wafat tahun 570 H/1175 M, riwayat lain menyebut wafat tahun 578 H/1182 M). Riwayat hidup ulama sufi tersebut diperkenalkan buat pertama kali dalam bahasa Melayu oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Hadiqatul Azhar war Rayahin.
Setelah Syeikh Syihabuddin al-Haji selesai membicarakan akidah beliau kemudiannya membahas tentang tasawuf. Menurut Syeikh Syihabuddin al-Haji, “Maka erti tasawuf itu, mengenal sesuatu yang membaiki hati daripada sifat yang mazmumah (tercela, pen:) dan menghias hati dengan sifat mahmudah (terpuji, pen:).” Dengan jelas, konsep ajaran tasawuf yang disebut oleh Syeikh Syihabuddin al-Haji, “selain mengikut akhlak Nabi Muhammad s.a.w. juga mengikut perangai orang-orang yang soleh daripada orang yang dahulu-dahulu daripada sekalian sahabat Nabi dan Auliya' Allah. Dan engkau jauhilah perangai sekalian orang yang bidaah.”
Sangat keras
Syeikh Syihabuddin al-Haji sangat keras terhadap golongan yang hanya mengaku dirinya sampai ke peringkat tinggi dalam tasawuf tetapi sebenarnya adalah suatu pembohongan yang menyalahi akhlak para pengamal tasawuf. Beliau menulis, dan beberapa orang yang ia mendakwa dirinya sampai kepada Makam Ahli al-Khawash, padahal perbuatannya seperti hayawan (haiwan-haiwan atau binatang-binatang, pen:). Hingga berkata orang itu, bahawasanya apabila ia sampai kepada Makam al-Khawash atau Maqam Khawash al-Khawash maka gugurlah dirinya itu daripada ibadah yang bangsa badan, seperti sekalian taklif syarak. Maka itu bidaah yang amat sesat lagi kafir.
Setelah membahas beberapa permasalahan tasawuf, Syeikh Syihabuddin al-Haji bercerita tentang kemujaraban ubat badan dan rohani. Kata beliau, dan apabila engkau telah mengenal akan yang telah tersebut itu, maka engkau mengenal bahawasanya asal segala ubat sakit badan atau yang bangsa hati itu lima perkara. Yang pertama meringankan perutnya daripada makan dan minum, dan mata daripada tidur, dan barang sebagainya. Mengenai yang pertama tersebut Syeikh Syihabuddin al-Haji memberitahu, kata setengah ahli tasawuf bahawasanya syaitan itu berjalan seperti jalan darah. Dan apabila banyak darahnya banyaklah datang masuk syaitan dalam hatinya. Dan banyak darah itu sebab banyak makan, tidur dan minum.
Oleh sebab demikian, meringankan perut dan mata itu setengah daripada ubat akan sekalian yang sakit. Dan kerana itulah berkata sebilangan ahli tasawuf, dan tidak ada barang sesuatu yang terlebih kurang itu dibilang daripada sifat yang mahmudah, melainkan tiga perkara iaitu kurang makan, kurang tidur dan kurang berkata-kata. Dan yang ketiga itu hendaklah bersahabat dengan orang yang menunjuk jalan kepada Allah atau jalan syarak.
IMAM Abu Hanifah atau Imam Hanafi terkenal sebagai seorang alim dalam ilmu fiqh di Iraq.
Pengasas Mazhab Hanafi ini juga sebagai ketua ahli fikir (ahli ra'u). Golongan cerdik pandai pada masa itu menyifatkan beliau sebagai ‘akal dalam ilmu pengetahuan.’
Imam Hanafi adalah seorang hamba Allah yang bertakwa dan salih. Seluruh waktunya lebih banyak diisi dengan amal ibadah. Jika beliau berdoa matanya bercucuran air mata demi mengharapkan keredaan Allah.
Sifat keberanian beliau adalah berani menegakkan dan mempertahankan kebenaran. Untuk kebenaran ia tidak takut sengsara atau apa bahaya yang akan diterimanya.
Dengan keberaniannya itu beliau selalu mencegah orang yang melakukan perbuatan mungkar. Ini kerana menurut Imam Hanafi kalau kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan berasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang yang baik yang ada di tempat itu.
Imam Hanafi walaupun berkelayakan dan berkebolehan, namun tidak gila pangkat atau kedudukan. Beliau pernah ditawarkan pelbagai jawatan oleh kerajaan berdaulat Bani Abasiyyah.
Imam Hanifah diminta memegang jawatan setiausaha kerajaan, bendahari dan kadi. Tetapi semua jawatan itu ditolak kerana kewarakannya dan tidak mahu memegang jawatan rasmi.
Imam Hanafi banyak kali dijatuhkan hukuman oleh kerajaan kerana membangkang kehendak Khalifah. Gabenor Yazid bin Hurairah melantik Imam Hanafi menjadi kadi di kota Kufah, tetapi menolaknya.
Gabenor Yazid marah apabila Imam Hanafi tidak mahu menerima pelantikannya. Baginda berkata: “Kalau dia tetap tidak mahu menerima jawatan yang ditawarkan, pukullah dia.”
Ketika kerajaan Islam dalam kuasa kerajaan Bani Umaiyyah, Imam Hanafi dilantik memegang jawatan tinggi, tetapi beliau tetap menolak dan memilih hukuman.
Imam Hanafi dipenjara dan dikenakan rotan sebanyak 110 kali.
Setiap hari beliau dirotan sebanyak 10 kali, ketika itu usia beliau mencapai 50 tahun.
Apabila Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur memerintah kerajaan Bani Abbasiyyah, Imam Hanafi dilantik sebagai kadi di Baghdad. Beliau dipanggil untuk menghadap khalifah.
Khalifah memaksa beliau dengan bersumpah untuk menerima jawatan yang diberikan. Tetapi Imam Hanafi menolak dengan bersumpah.
Seorang pegawai berkata: “Apakah tuan guru (Imam Hanafi) tetap menolak titah baginda, sedangkan baginda telah bersumpah supaya tuan guru menerima jawatan itu.”
Imam Hanafi berkata: “Khalifah lebih layak membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar kifarat sumpah saya.”
Beliau kemudian dipenjara hingga satu tempoh diputuskan khalifah kerana menolak jawatan itu.
Selepas sekian lama dalam penjara, beliau dihadapkan kepada khalifah untuk ditanya lagi sama ada sedia menerima jawatan itu atau tidak. Imam Hanafi tetap dengan pendiriannya, menolak jawatan itu.
Khalifah berkata: “Wahai Nu'man, adakah kamu suka dengan keadaan kamu seperti sekarang ini?”
Imam Hanafi menjawab: “Semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai Amirul Mukminin, takutlah kepada Allah dan janganlah engkau bersubahat dalam kepercayaan engkau dengan orang yang tidak takut kepada Allah.
“Demi Allah, saya bukanlah orang yang dapat dipercayai pada waktu dapat dipercayai pada waktu marah? Sebenarnya saya tidak patut ditawarkan jawatan seperti itu.”
Khalifah berkata dengan marah: “Kamu berdusta, kamu memang layak memegang jawatan itu.”
Imam Hanafi berkata: “Ya Amirul Mukminin, tuanku sendiri telah mengatakan saya pendusta, kalau begitu bagaimanakah tuanku hendak melantik seorang pendusta memegang jawatan itu.”
Khalifah sangat marah sebab Imam Hanafi dapat menangkis kata-katanya. Baginda memerintahkan supaya Imam Hanafi dimasukkan kembali ke dalam penjara.
Imam Hanafi walaupun menerima seksaan berat, tetap menolak jawatan yang ditawarkan itu.
Pada suatu hari, Imam Hanafi dipanggil khalifah. Beliau keluar dari penjara dan dikawal ketat oleh polis penjara. Dengan leher dan kaki yang dirantai, beliau dibawa menghadap khalifah.
Khalifah berkata: “Minumlah.” Imam Hanafi tidak terus minum. Khalifah memaksa Imam Hanafi minum minuman yang telah dicampur racun itu.
Selepas dipaksa, Imam Hanafi pun terus minum. Selepas minum, beliau dihantar semula ke penjara. Beberapa ketika kemudian, beliau merasakan badannya panas dan kepalanya pening.
Imam Hanafi merasakan ajalnya sudah hampir. Beliau sujud kepada Allah dengan khusyuk. Lama beliau sujud dan akhirnya beliau kembali kepada Allah dalam keadaan sujud.
PROFIL NAMA: Imam Hanafi NAMA SEBENAR: Nu’man bin Tsabit bin Zautha bin Maha TARIKH LAHIR: 699 Masehi TEMPAT LAHIR: Kufa, Iraq MENINGGAL DUNIA: 776 Masehi
Fri | May 12, 06 | 06:51:23 PM Oleh Ahmad Lutfi Othman & Mohd Rashidi Hassan
Mulanya, perbincangan dengan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim, pada petang Jumaat, 31 Mac lalu, di rumahnya di Bukit Damansara, mahu difokuskan kepada pembentangan RMK9. Walaupun di depannya terbentang dokumen RMK9, namun Khalid lebih berminat mengupas isu-isu yang lebih mendasar sifatnya.
Kepada AHMAD LUTFI OTHMAN dan MOHD RASHIDI HASSAN, tokoh berpengalaman luas membantu mengembangkan ekonomi Melayu ini menegaskan, kemelut yang menghimpit Bumiputera kini harus diselesaikan melalui perlantikan pemimpin yang benar-benar berkelayakan, ikhlas, Islamik, dan lebih penting, tulus, meneladani Khalifah Umar Abdul Aziz.
HARAKAH: Pandangan Tan Sri terhadap pencapaian Dasar Ekonomi Baru?
KHALID: Usaha meningkatkan tahap ekonomi orang Melayu ke tahap 30 peratus melalui DEB dan Dasar Pembangunan Nasional, hakikatnya ia tidak tercapai.
Isunya sekarang, adakah usaha ini perlu diteruskan atau bagaimana sebenarnya usaha ini harus dijalankan? Ramai mempersoalkan di mana silapnya dan apa punca DEB tidak tercapai walaupun ekonomi kita bertumbuh dengan pesat.
Mekanisme untuk orang Melayu mencapai sasaran tersebut?
Tiada siapa yang mempersoalkan hak orang Melayu untuk mencapai 30 peratus atau mana-mana angka yang sesuai. Sama ada ia dalam Rancangan Malaysia Ke-3 sehingga sekarang, RMK9, semuanya diterima.
Soalnya, apakah yang menyebabkan ia tidak tercapai? Walaupun pemimpin Melayu menguasai politik, pentadbiran, keselamatan dan undang-undang, tapi kita masih gagal. Itu yang anehnya. Setiap kali pelancaran rancangan ekonomi, semua pemimpin mengatakan tanggungjawab mereka untuk membantu masyarakat Bumiputera. Sudah beberapa kali berlaku. Misalnya, peruntukan dalam RMK9, tentu berbilion akan digunakan untuk membantu pencapaian orang Melayu.
Jadi apa punca sebenar?
Sebenarnya bukan salah niat, tapi salah usaha. Maknanya delivery system kita, cara kita mengusahakannya boleh jadi tidak mencapai sasaran yang diperlukan. Walaupun niatnya betul, mungkin kerana terdapat kebocoran yang besar, hasilnya tidak memuaskan.
Saya cuba memikirkan apakah lagi yang tidak kita buat? Sedangkan semua yang kita rancangkan sudah ada. Saya nak kongsikan pengalaman saya, selepas di Guthrie saya ke Universiti Oxford, kami berbincang di Centre For Islamic Studies tentang pembangunan ekonomi. Adakah di zaman Islam dulu, pembangunan ekonominya boleh dicontohi, kerana pada zaman tersebut ada masanya begitu baik sehinggakan seluruh masyarakat dapat merasai kejayaan tersebut.
Antaranya, zaman Khalifah Umar Abdul Aziz dan beberapa pemimpin lain. Mereka berjaya merapatkan jurang ekonomi sehingga tidak ada orang yang miskin.
Apakah karakter yang menyebabkan situasi itu boleh berlaku?
Tamadun Islam sangat dihormati kerana ia mengamalkan sistem atau ia ada karakter Adil dan Saksama. Ia memberi erti pemimpin mesti adil, pengagihan mesti saksama.
Konsep ini pun kita ada, tetapi ia tertakluk kepada suatu konsep yang disebut dalam Islam, iaitu tulus. Ketulusan mesti ada. Islam menerima hakikat bahawa kebenaran itu bukan untuk pameran di hadapan orang ramai, tetapi kebenaran yang hakiki. Maknanya tulus bukan untuk di depan khalayak ramai saja, tetapi tulus di mana saja walaupun tidak dilihat orang.
Dalam Islam, pemimpin mesti ada sifat itu. Selain tulus, mereka juga mesti bekerja kuat. Saya dapati di Malaysia, ketulusan itu tidak dipraktikkan. Ada benda yang tidak cukup untuk mencapai hasrat kita. Bila tidak ada ketulusan, banyak hasrat baik tidak tercapai, seolah-olahnya ada sekatan. Banyak keputusan dibuat secara menyorok. Ia dibuat secara sorok-sorok. Walaupun untuk menolong rakyat, tetapi menolong yang lain pun ada!
Tetapi, lebih penting, kita tidak boleh menyemak semula keputusan yang dilakukan itu, benar atau tidak. Sebabnya, semua keputusan yang dibuat kerajaan dan pegawai kerajaan dianggap rahsia atau dimaktubkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Oleh kerana semuanya rahsia, kita tidak tahu kebenarannya.
Rahsia yang bagaimana?
Kita tidak boleh menyemak balik perlaksanaan dasar atau RMK3, ke-4, ke-5, ke-6, ke-7 dan ke-8. Kita tidak boleh menyingkap kembali mengapa banyak projek-projek ini tidak boleh tercapai.
Kita sepatutnya boleh belajar daripada apa yang telah kita buat. Tetapi bila ada OSA, kita tidak boleh! Kalau ada RMK9 ke atau RMK10 nanti, kita tetap tidak boleh mengkaji kesilapan apa yang telah dilakukan. OSA tidak memberikan bidang kuasa untuk kita mempelajari kelemahan apa yang kita telah lakukan. Kita tidak akan dapat cari siapa yang mengubah suai konsep ini untuk kepentingan siapa. Tidak ada! Pada saya nampak sangat, satu daripada kelemahan besar perlaksanaan ekonomi ialah, kita tidak mempunyai sistem yang tulus.
Tan Sri tentu banyak pengalaman mengenai DEB
Saya sendiri sudah 30 tahun terbabit dalam usaha perbincangan dan perlaksanaan DEB. Mulai 1980 saya sudah mula. Di mana sahaja ada forum DEB, sampai sekarang saya sertai, dalam tahun ini sahaja terbabit dalam lima forum DEB. Banyak kumpulan jemput saya, antaranya kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah, kumpulan Umno, Dewan Perniagaan dan sebagainya. Semua kata kita mesti berusaha membangunkan ekonomi Melayu, tetapi masih belum mencapai hasil.
Mungkin ada kelemahan pada dasar atau sistem itu sendiri?
Perlaksanaan tidak boleh dijalankan dengan sebaik-baiknya sebabnya ada sekatan. Misalnya, kita nak hasilkan pertukangan yang baik, tetapi kita suruh tukang guna tangan kanan sahaja, jangan guna tangan kiri. Jadi bagaimana dia hendak hasilkan kerja yang baik jika dia disekat?
Dalam sistem sekarang, responsibility dan accountability tak telus sebab pegawai yang melaksanakannya terikat dengan keputusan orang politik dan OSA. Semuanya tersekat.
Jika tersekat, mana nak dapat capai seratus peratus? Sudah 30 tahun DEB kita tak dapat capai. Nak kata kita tak ada kuasa, semua kuasa ada pada orang Melayu. Tetapi bila kita berbincang, terdapat kebocoran di sana sini. Kita tahu terdapat salah guna. Ada orang yang melakukan kesalahan menyebabkan perlaksanaannya tidak tercapai. Tetapi jika kita tanya pegawai yang berkenaan, dia pun tak boleh cerita sebab tertakluk kepada OSA. Malah ada pula orang yang menggunakan akta ituuntuk kepentingan masing-masing.
Kalau tak berjaya pun kita terpaksa terima hakikat ini. Pada saya ini tidak adil. Nak kata kita tak ada kuasa, kita ada. Nak kata kita tak ada rancangan, buku tebal-tebal. Nak kata tak ada duit, kita tulis berapa bilion yang kita nak bagi.
Boleh Tan Sri single-out puncanya?
Puncanya orang yang melaksanakan perancangan ekonomi itu, bukan untuk tujuan itu sahaja. Maknanya dia laksanakan, tetapi dia menggunakannya untuk mendapatkan sesuatu yang lain. Jadi dia tolong saudara bukan seratus peratus, dia juga akan dapat bahagiannya.
Sekarang pencapaian kita bagaimana?
Kelemahan ini menjadi sebabnya. Daripada tahun 1980 ke awal 1990, kita mula mencapai 18 peratus, tetapi selepas itu kita telah menjual satu konsep Malaysian Incorporated dan Win-Win-Win Situation.
Bila kita kaji betul-betul Win-Win-Win Situation ini digerakkan, bermakna orang yang mempunyai kuasa atau orang yang menjalankan pentadbiran itu akan bertanya, apakah ini juga (win) untuk dirinya sendiri.
Jika kita meletakkan sasaran, mungkin akan tidak tercapai kerana dia juga ada bahagian. Maknanya, pencapaian maksimum tidak tercapai. Itulah sebabnya. Malahan kos kerajaan untuk tujuan Win-Win-Win Situation juga terpaksa menggunakan wang yang sangat tinggi. Pegawai yang menjadi projek itu hendak juga win, orang politik juga hendak win, orang bisnes pun hendak win. Jadilah ia Win-Win-Win.
Kalau kita tulus kita boleh check siapa yang win-win! Kerana tidak tulus misalnya, jalan siap, sepatutnya harga RM500 juta. Bila dah siap jadi Rm900 juta. Jadi, sasaran memang tercapai. Semua dapat. Tapi masyarakat terpaksa menanggung kos lebihan ini RM400 juta.
Selepas dua tahun Abdullah memimpin, apakah sudah ada perubahan dasar dalam menguruskan ekonomi?
Tidak, tidak ada. Boleh jadi konsep itu ingin diubah. Kalau pemimpin mempunyai hati yang tulus dia akan ubah. Maknanya OSA mesti dihapuskan atau diubah. Jadi dia cakap "saya akan buat perubahan, saya akan hapuskan corruption, saya akan hapuskan penyelewengan dan salahguna kuasa." Kalau dia nak buat macam itu, apa usaha yang dilakukan untuk mengatasi semua itu?
Ini semua kerana apa? Kerana sistem yang ada sudah begitu. Walaupun dalam hatinya ingin mencuba, tetapi ia akan berfikir kerana risikonya terlalu tinggi.
Bukankah sekarang seolah-olahnya sudah sedikit terbuka?
Kalau dipanggil pegawai kerajaan untuk memberi maklumat dia akan berkata mereka terikat dengan akta. Walaupun di antara mereka tiada rahsia. Kita ada buat pelan integriti negara, maknanya mesti terbuka. Kalau saya nak tau sama ada saudara ada integriti atau tidak, bagaimana, kalau kerja yang saudara buat itu rahsia? Macam mana kita nak semak.
Abdullah nampak seperti tidak menguasai ekonomi seperti Mahathir?
Tidak boleh membandingkan begitu. Kepimpinan ini macam CEO syarikat. Tidak ada semua CEO sama, mereka mempunyai cara berbeza. Mereka mempunyai kelebihan pada bidang tertentu. Itu terpulang kepada pemimpin.
Kalau dia tidak menguasai sesuatu bidang, dia mestilah menggunakan punca-punca yang ada untuk membantunya membuat keputusan. Tak semua pemimpin dunia sama. Tony Blair misalnya tak sama dengan Margaret Thatcher. Deng Xio Peng tak sama dengan Mao Tse Tung.
Pemimpin mesti menggunakan sokongan-sokongan supaya dia akan jadi efektif. Stailnya mungkin berlainan, tetapi dia mesti memberikan kesan juga. Ada pemimpin yang autokratik, ada juga yang suka bermusyawarah.
Yang orang persoalkan sekarang ini ialah, setelah Abdullah memimpin selama hampir tiga tahun, apakah kesannya? Jika tidak berjaya, dia hendaklah memperbetulkan.
Saya berpendapat, negara tidak akan mendapat pemimpin seperti Tunku, Tun Razak, Tun Hussien atau Dr Mahathir. Semuanya mempunyai cara yang berlainan. Jika Abdullah Badawi rasa tidak boleh membuat keputusan begitu mantap atau tepat, beliau mempunyai kesempatan untuk mendapatkan nasihat.
Apakah Tan Sri lihat kepimpinan sekarang dapat membuat apa yang Tan Sri sebutkan itu?
Belum lagi. Pasukan itu belum mantap untuk bersaing. Bukan melihat pasukan Malaysia sahaja. Kita mahu pasukan yang boleh bersaing di arena antarabangsa.
Apakah PM masih terkongkong dengan warisan lama seperti kronisme?
Itu saya tak tahu, terpulang kepada dia. Tetapi kalau dia tidak bebaskan diri dari kongkongan ini, maknanya dia tidak akan mencapai kesan yang sebaiknya.
Tan Sri beberapa kali menyebut model seperti Khalifah Umar Abdul Aziz, termasuk dalam Kongres Kepentingan Bangsa baru-baru ini, boleh huraikan?
Kita mahukan pemimpin yang benar-benar bekerja untuk Islam. Semua keputusan sama ada disemak atau tidak, dengan secara ikhlas dilakukan untuk kepentingan masyarakat. Tanpa memberitahu pun dia dah tahu ada orang yang akan menyemaknya. Tak ada udang di sebalik batu.
Kita mahu pemimpin, jika dia menolong rakyat dia tidak membezakan, inirakyat Umno, ini rakyat PAS. Kalau saya nak tolong orang Melayu, saya tolong, bukan terhad kepada Melayu Umno atau Melayu saudara sendiri saja. Pemimpin sepatutnya boleh dinilai. Orang boleh tegur dia dan memperbetulkan kesalahannya.
Jika kita punyai elemen begini mungkin matlamat DEB mudah tercapai?
Itu sebab DEB, tujuan semuanya baik, tiada orang Melayu yang membantahnya. Sejak tahun 1970 tidak ada Melayu yang bangkang. Negara kita semakin maju, tetapi ekonomi orang Melayu masih lemah. Jadi apa salahnya? Itu yang saya sedang fikir.
Hampir 80 peratus Melayu menguasai politik dan pentadbiran. Tapi kenyataannya, kita tahu ada Melayu yang jual Melayu. Tetapi kita sukar untuk membuktikannya sebab ia tersorok dalam akta OSA. Kalau menteri buat sesuatu keputusan hendak menolong orang Melayu, sepatutnya dia memang hendak tolong orang Melayu, bukan diselaputi benda-benda lain yang mengacau.
Alibaba mungkin penghalang juga?
Ya. Tetapi, kalau benar pun berlaku, orang politik akan menjawab, "saya tidak tahu". Yang sebenarnya dia tahu, tetapi dia buat-buat tak tahu. Pegawai akan bercakap, "saya tidak tahu, ini keputusan pemimpin. Saya tidak terbabit dengan keputusan itu."
Sepatutnya pegawai harus menulis dan memberitahu pemimpin bahawa keputusan ini salah! Tapi, adakah dia pernah dia menulis kepada pemimpin untuk membetulkan mereka.
Barangkali kerana rasuah dalam birokrasi?
Itulah sebabnya! Rasuah dalam birokrasi memang ada. Kalau tidak tulus,tidak boleh buat apa-apa. Contohnya dalam RMK9, RM200 bilion diperuntukkan. Untuk komputer sahaja ada beratus juta, sebab itu kita mahukan ketulusan. Jika tidak tulus, kita tidak boleh menyemak ke mana wang-wang itu akan pergi.
Banyak tender tertutup. Ada audit, tetapi audit dalaman, tetap tidak tulus. Kalaupun orang kita marah kepada Amerika, tetapi dalam Kongres mereka, boleh dipanggil mereka yang didakwa melakukan kesalahan, semua fail-fail akan dibongkar.
Kita ada PAC
Memang mereka siasat, tetapi mereka tidak ada kuasa untuk mengambil semua fail, kerana sudah ada protection OSA. Beranikah kita bebaskan protection itu?
Matlamat RMK9 juga tidak akan tercapai?
Tidak akan tercapai. Serupa juga dengan RMK6, ke-7 dan ke-8. Cuba fikir, orang yang dulu menyediakan buku ini (RMK9), orang yang sama juga. Orang yang hendak melaksanakannya orang yang sama juga. Mereka tidak belajar dari kesilapan dan kelemahan.
Ada yang dakwa 80 peratus projek dalam RMK9 sudah dimiliki kroni, hanya tinggal 20 peratus sahaja?
Ya. Maknanya kita tiada ketulusan. Jika terdapat dakwaan sebahagianbesarnya sudah diagihkan, kalau kita nak check, bagaimana? Oleh kerana itu saya perhatikan rancangan ini (RMK9) tidak akan berjaya. Kita lihat RMK8 dan RMK7 serupa juga.
Anwar Ibrahim mendakwa DEB diperalatkan untuk memperkayakan kroni Melayu mendapat tender walaupun harga jauh lebih tinggi berbanding kontraktor bukan Melayu?
Sebenarnya perlaksanaan ini harus dibuat secara berperingkat-peringkat tanpa menganiaya sesiapa. Anwar Ibrahim mengatakan kalaulah macam ini tak payahlah DEB, sebab hujah dia, daripada kita membohongkan diri sendiri, tak payahlah DEB. Itu pandangan satu kumpulan.
Bagaimanapun ada kumpulan lain yang mengatakan tidak boleh. Jika tidak diberi kepada Melayu, akan matilah mereka, lagi susah orang Melayu. Soalnya, mengapa kita pilih orang Melayu yang tidak melaksanakan tugas untuk membantu bangsanya sendiri? Mengapa kita pilih orang Melayu yang jadi Alibaba? Apa sebab kita memilih mereka?
Mengapa pemimpin yang mengetahui sistem sudah begitu, mengekalkan orang yang sama sedangkan mereka tahu orang Melayu tidak akan dapat pertolongan sepenuhnya. Jawapannya kerana pemimpin itu juga mempunyai kepentingannya sendiri. Inilah dia sebenarnya Win-Win-Win. Dari segi lain, bagaimana kita hendak menyekat orang yang sama mengaut kepentingan.
Jadi apa harus kita lakukan?
Kaedah pertama mesti ada tulus. Kaedah kedua, bagi masyarakat Islam,adalah fardu kifayah untuk mereka memilih pemimpin yang betul. Tanggungjawab kita besar. Sebenarnya orang Melayu tidak melaksanakan tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Kita mesti buat perubahan. Kita cari pemimpin yang betul. Jika tidak, berlakulah seperti sekarang, dah lebih 20 tahun DEB dilaksanakan, berbilion duit habis, tetapi bocor.
Kita tahu pemimpin-pemimpin ini sebenarnya yang membocorkan DEB, tapi apa tindakan kita? Pilih lagi pemimpin yang begitu, beratus bilion habis, selepas itu kita bercakap sesama kita. Lihat seperti di Thailand tiap-tiap hari berpuluh ribu menunjuk perasaan kepada PM mereka, sama ada kita setuju atau tidak.
Apakah kesedaran untuk memilih pemimpin betul dikongsi majoriti rakyat?
Itulah, kita mesti berdakwah kepada mereka. Bukan dakwah itu hanya untuk mengajak mereka sembahyang lima waktu sahaja. Ini pandangan saya. Sebab saya duduk terfikir, apa lagi yang kita hendak buat ni?
Apa yang Tan Sri fikirkan?
Kalau saudara hendak saya kritik, saya boleh kritik DEB. Tetapi yangsaya fikirkan sekarang ini apa lagi yang kita nak buat untuk mencapai matlamat kita. Banyak rancangan dah dibuat, tetapi masih belum mencapai hasrat yang kita sasarkan. Kita tak tercapai sekarang. Apa lagi yang nak dibuat, apa yang tidak ada dan apa yang tidak cukup?
Masalahnya sekarang kita masih tidak tulus dan pemimpin kita ni, macam orang Cina selalu sebut, "cakap tidak serupa bikin." Mungkin pemimpin tidak terasa bahawa matlamat dia belum tercapai.
PM ada peluang untuk memperbaiki keadaan ini dengan merombak kabinet, tapi beliau tetap kekalkan menteri yang dikritik rakyat, kenapa? (bold)Jawapan saya, sepatutnya kepentingan ummah melebihi kepentingan politik. Pada saya, sepatutnya, kalau ada pemimpin Melayu, sama ada dari Umno atau dari PAS, jika mereka dihormati rakyat, walaupun cara dia berbeza, dia patut pilih. Biar dia bersaing, tetapi PM harus memilih mereka yang mempunyai sifat terpuji. Tetapi kita tidak. Sepatutnya walaupun kita ada perbezaan politik, apabila kita mempunyai isu atau kepentingan bersama, politik kita ketepikan. Jika kita ada baju politik, kita akan ketepikan demi kepentingan masyarakat Melayu.
Kita tidak boleh mengubah semua ini dalam masa yang singkat. Mana-mana pemimpin yang membohongi orang Melayu, kita jangan pilih dia. Katalah kalau Samy Vellu misalnya, membodohkan orang Melayu, sepatutnya satu undi orang Melayu pun dia tidak akan dapat. Kenapa jika Samy Vellu membodohkan orang Melayu, orang Melayu masih memberi dia undi? Mengapakah orang Melayu tidak mempunyai maruah? Kenapa? Mengapa kita tak faham.
Tan Sri ada jawapan kepada soalan Tan Sri sendiri?
Ini berpunca daripada orang Melayu yang tidak mempunyai kekuatanbersama untuk menyelesaikan masalah mereka. Masalahnya ada Melayu yang boleh dibeli.
Mungkin kerana media berbahasa Melayu tidak terbuka berbanding akhbar Cina?
Kalau itulah masalahnya, itulah yang saya hendak kita bincangkan. Maknanya kita mencari jawapan, apakah usaha yang patut lakukan untuk menyedarkan Melayu seterusnya mencapai kejayaan ummah. Allah SWT memberi kita harta, Allah memberi kita kuasa, tetapi kita tidak boleh buat (memajukan orang Melayu).
Pengalaman Tan Sri mentadbir satu tabung amanah Melayu yang besar, adakah kita sudah buat yang terbaik untuk membantu Melayu?
Tidak ada. Itu masalahnya. Bukan sahaja kita memilih pemimpin politik, tapi kita juga persoalkan siapa yang kita pimpin. Umpamanya PNB, kalau kita pilih peneraju yang bersifat mengiyakan semuanya, itu bukan pemimpin, itu pengikut. Bagaimana kita harus menyediakan pengikut untuk mempunyai pemikiran yang dapat melaksanakan tugas dengan baik.
Umpamanya Anwar menjolok pemikiran masyarakat Melayu sekarang, dia kata "kalaulah kita tidak boleh buat DEB ini, kita hapuskan sahaja." Dia persoalkan. Kita memang tak boleh buat. Baru-baru ini Anwar mengatakan mengapa DEB tidak berjaya, antaranya terdapat pengunaan wang tak betul dan terdapat ketidakseimbangan yang ketara antara negeri-negeri yang miskin. Ya, jawapan itu betul.
Dia juga mengatakan kalau DEB tidak mampu menyelesaikan perkara ini,mengapa kita adakan dasar untuk menolong orang Melayu (tetapi tidak berjaya), baik kita menolong orang yang benar-benar memerlukan. Jawapan ini juga betul. Tetapi orang yang kita hendak suruh menolong itu adalah juga orang yang serupa.
Kalau kita membuat rawatan, doktor yang mengubat kita gagal mengubati penyakit kita, adakah kita mempunyai kepercayaan kepada doktor itu lagi? Pemimpin harus benar-benar tulus, pentadbir tidak boleh sorok-sorok dan rakyat juga harus sedar dan bertanggungjawab untuk menjaga dan memilih orang-orang ini.
Lihat seperti Perancis, belia-belia mereka bangun untuk membuat perubahan. Kita juga harus berani merubah. Tak guna ada semua buku-buku ini (sambil memegang dokumen RMK9). Pegawai kerajaan yang menerima tugasan ini adalah mereka yang sama membuat RMK8. Menteri adalah yang sama.
Contohnya, Samy Vellu adalah orang yang sama terima peruntukan (untuk kementeriannya) seperti RMK8. Saudara fikir dia boleh berubah? Siapa yang boleh mengubah dia? Dan dia kata pada dirinya, buat apa dia nak berubah? Rakyat tak suruh dia berubah. Kalau dia maki orang Melayu ke, maki kontraktor Melayu ke, kalau nak duit, mereka datang cium tangan dia juga!
So the core of our problem is the player. We got the wrong player. Mahathir also. Mahathir juga get a wrong player. Dia ingat dia hendak mempercepatkan (memacu ekonomi), lalu dia pilih 7 atau 8 orang Melayu sebagai contoh and he got completely wrong! Orang diberi bisnes menganggap menjalankan perniagaan sama macam memegang saham. Buat perniagaan tak sama dengan jual beli saham.
Tujuan saya bercakap hal ini bukan apa. Saya hendak mencari satu usaha baru. Macamana kita nak mengubah pemikiran Melayu.
Mungkin juga ada kongkongan media untuk kita lontarkan masalah ini?
Memang ada kongkongan. Kalau tak ada kongkongan taklah saudara datang ke rumah saya untuk berbincang-bincang mencari jawapannya. Kita mesti menerima hakikat bahawa ini cabaran kita.
__________________________ TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM Lahir tahun 1946. Beliau adalah Pengerusi Amanah Mellenia Fund Berhad dan Pengerusi Malaysia Discount Berhad. Beliau juga Ahli Lembaga Pengarah SIRIM Berhad, Titan Petrochemicals & Polymers Berhad, Institute of Strategic and International Studies, Malaysia (ISIS). Selain itu Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia.
Khalid merupakan Jawatankuasa Eksekutif Unit Investment Fund dan Ahli Financial Engineering Advisory Forum kepada Bank Pembangunan Islam, Jeddah. Mendapat ijazah pertama ekonomi Uversiti Malaya dan memperolehi sarjana pengurusan perniagaan daripada Universiti Queensland, Australia, 1975.
Beliau kerap diingati sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad dan CEO Kumpulan Guthrie Berhad sehingga tahun 2003. Pada waktu ini beliau adalah Senior Visiting Fellowship di Oxford Centre of Islamic Studies, Oxford University, United Kingdom.
SALAH seorang anak Mufti Jamaluddin bin Muhammad Arsyad al-Banjari, ialah Muhammad Thasin al-Banjari. Beliau mengembara ke beberapa buah negeri kerana menyebarkan agama Islam terutama sekali dalam bidang ilmu tajwid. Sewaktu beliau merantau ke Brunei, berkahwin di sana, memperoleh anak bernama Ramli. Diriwayatkan ramai keturunannya di Brunei dan Sabah. Muhammad Thasin al-Banjari meneruskan perantauannya ke Pontianak, Kalimantan Barat memperoleh tiga orang anak lelaki, iaitu Muhammad Yusuf, Muhammad Arsyad dan Abdur Rahman.
Diriwayatkan, bahawa Muhammad Yusuf bin Haji Thasin setelah belajar ilmu-ilmu keislaman secara mendalam, beliau meneruskan usaha akhirnya menjadi saudagar intan. Muhammad Yusuf juga merantau ke seluruh tanah Kalimantan. Selanjutnya Muhammad Yusuf merantau ke Sumatera, hingga beliau meneruskan perantauannya ke luar negeri, iaitu ke Saigon dan Kemboja. Di Kampung Melayu, Kemboja, Muhammad Yusuf berkahwin lagi. Beliau seorang yang berpengalaman dalam perkahwinan.
Diriwayatkan, sepanjang hidupnya Muhammad Yusuf pernah berkahwin sebanyak empat puluh kali. Isterinya ke empat puluh yang berasal dari Kemboja itulah yang dibawanya pulang ke Kalimantan Barat. Di Pontianak, Muhammad Yusuf membuka tanah perkebunan getah yang sangat luas. Setelah usahanya menjadi, diberinya nama kampung itu sebagai ``Kampung Saigon''. Akhirnya beliau sendiri terkenal dengan panggilan Yusuf Saigon dan hilanglah nama Banjarnya. Oleh itu ramai orang menyangka Muhammad Yusuf adalah orang Saigon bukan orang Banjar.
INSTITUSI PENDIDIKAN
Kedua-dua anak Muhammad Thasin al-Banjari yang tersebut di atas, iaitu Muhammad Yusuf dan Muhammad Arsyad Pontianak, setelah mereka melihat kesuburan pohon-pohon getah hasil usaha gigih dan susah payah mereka sendiri, bangkitlah kembali cita-cita untuk meneruskan perjuangan moyang mereka, iaitu Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang sangat masyhur itu. Mereka berdua beriktikad, bahawa tiada satu perjuangan pun yang lebih mulia, dapat menyelamatkan seseorang sama ada di dunia mahu pun akhirat, melainkan perjuangan menyebarkan ilmu-ilmu yang diajarkan oleh para nabi dan rasul Allah. Bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w., nabi dan rasul akhir zaman, tidak syak lagi adalah satu-satunya agama yang wajib diperjuangkan oleh setiap insan Muslim.
Urusan mencari dana untuk kepentingan umat Islam ditangani oleh Muhammad Yusuf, sedangkan untuk propaganda dan dakwah dilakukan oleh saudaranya, Muhammad Arsyad.
Cita-cita kedua-dua adik beradik itu dikabulkan oleh Allah, kerana dalam tahun 1925 M. datanglah seorang pemuda yang alim dari Ketapang bernama Abdus Shamad yang mendapat pendidikan di Madrasah Shaulatiyah, Mekah. Salah seorang guru beliau di Madrasah Shaulatiyah, Mekah ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdur Rahman, yang kemudian dikenali sebagai Syeikhul Islam di Kerajaan Selangor. Abdus Shamad ditampung oleh Muhammad Yusuf Saigon, lalu didirikanlah pondok-pondok tempat tinggal para pelajar, ketika itu berdirilah Pondok Pesantren Saigoniyah yang dianggap sebagai pondok pesantren yang pertama di Kalimantan Barat. Sungguhpun demikian, sebenarnya sistem pendidikannya bukan sistem pondok, kerana ia juga mempunyai bangku-bangku tempat duduk para pelajar.
Dikatakan sebagai pondok pesantren yang pertama di Kalimantan Barat hanyalah kerana di Pondok Pesantren Saigoniyah yang pertama sekali terdapat pondok-pondok tempat tinggal para pelajar yang dimodali oleh Muhammad Yusuf Saigon. Ada pun pengajian pondok selain itu ialah Dar al-'Ulum yang diasaskan oleh Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, murid Tok Kenali. Pengajian pondok beliau terletak di Kampung Terusan, Mempawah. Hanya pondok pengajian inilah satu-satunya pondok pengajian tanpa kelas dan tanpa bangku, sistem pendidikannya sama dengan di Patani, Kelantan, Kedah dan Pulau Jawa. Dalam tahun 1975, beberapa orang kader Pondok Pesantren Saigoniyah dan Dar al-'Ulum bergabung, sama-sama mengajar di Pondok Pesantren Al-Fathaanah di Kuala Mempawah. Oleh itu bererti kelanjutan daripada kedua-dua institusi yang tersebut, masih berjalan terus sampai sekarang.
Kader-kader
Pondok Pesantren Saigoniyah banyak mengeluarkan kader-kader yang mengajar di beberapa tempat di Kalimantan Barat tetapi sekarang hampir semuanya telah meninggal dunia. Pondok Pesantren Saigoniyah hilang atau tenggelam namanya akibat perang dunia yang kedua, tentera Jepun sangat ganas di Kalimantan Barat. Setelah Jepun kalah, nama itu tidak muncul lagi, nama baru yang muncul dalam tahun 1977 ialah Madrasah Al-Irsyad. Nama baru ini diberikan bertujuan mengabadikan nama Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan nama keturunan beliau, iaitu Muhammad Arsyad. Beliau adalah satu-satunya ulama yang dihormati di Kampung Saigon ketika itu.
Memandangkan institusi-institusi pendidikan pondok di beberapa tempat di Pulau Jawa mencapai kemajuan, sebaliknya di tempat-tempat yang lain termasuk di Malaysia mengalami kemerosotan, bahkan ada yang hanya dikenang namanya saja, rasanya perlulah insan-insan yang sedar dan insaf berjuang menghidupkannya kembali. Ini kerana sistem pengajian pondok satu ketika dulu diakui oleh ramai pihak sebagai institusi yang mencerdaskan umat Melayu sejagat. Dengan perkembangan dunia yang serba canggih dan moden, institusi pondok perlu canggih dan moden juga. Pondok Pesantren Saigoniyah yang satu ketika dulu pernah terkenal di Kalimantan Barat, bahkan menjadi dipuji oleh masyarakat Banjar di mana saja mereka berada, sekarang telah tiada. Kita mengharapkan pejuang-pejuang pendidikan sistem pondok dunia Melayu tetap berfikir dan berusaha ke arah sesuatu yang hilang akan ada gantinya.
Sebagaimana kita ketahui, Muhammad Yusuf Saigon, yang berperanan dalam pembinaan Pondok Pesantren Saigoniyah, adalah salah seorang keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Perlu juga kita ketahui, dalam zaman yang sama keluarga ini juga menjalankan aktiviti serupa di tempat-tempat lainnya di dunia Melayu, bahkan termasuk juga Mekah. Sebagai contoh Mufti Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari mengasaskan pengajian pondok di Parit Hidayat, Sapat, Inderagiri Hilir, Sumatera. Tuan Husein Kedah al-Banjari mengasaskan beberapa tempat pendidikan sistem pondok di Malaysia. Beliau memulakan aktivitinya di Titi Gajah, Kedah, selanjutnya di Pokok Sena, Seberang Perai, Pulau Pinang yang dikenali dengan Yayasan Pengajian Islam Madrasah Al-Khairiah.
Selain institusi pendidikan di Pontianak, Kalimantan Barat, Sapat, Inderagiri dan Malaysia sebagaimana yang disebutkan di atas, masih banyak lagi institusi pendidikan keluarga ulama Banjar tersebut di tempat-tempat lain, sama ada di Banjar mahu pun di Pulau Jawa. Di Bangil, Jawa Timur ada pondok pesantren yang diasaskan keluarga ini, seperti Pesantren Datuk Kelampayan. Pondok tersebut diasaskan oleh al-`Alim al-Fadhil Kiyai Haji Muhammad Syarwani Abdan al-Banjari.
Datuk Kelampayan adalah gelaran untuk Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari kerana beliau dimakamkan di Kelampayan. Di Dalampagar (Banjar) sekurang-kurangnya terdapat dua buah institusi pendidikan yang diasaskan oleh keluarga ini, demikian pula di Teluk Selong, Kampung Melayu dan lain-lain. Dua buah madrasah di Dalampagar diberi nama Madrasah Sullam Al-'Ulum dan Madrasah Mir'ah ash-Shibyan. Yang di Teluk Selong diberi nama Madrasah Sabil Ar-Rasyad. Yang di Sungai Tuan diberi nama Madrasah Al-Irsyad.
Yayasan yang diasaskan oleh keluarga ulama Banjar tersebut juga terdapat di beberapa tempat, seumpama Yayasan Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari. Yayasan terbentuk dalam rangka haul ulama tersebut yang ke 160 kali oleh panitia (jawatan kuasa) pada 30 November 1967, hari kewafatan beliau yang jatuh pada 7 Syawal 1387 H/7 Januari 1968 M, diadakan di Kompleks Kubah Kelampayan, Kalimantan Selatan. Guru agama dalam keluarga ulama Banjar ini bernama Kiyai Haji Muhammad Saman bin Muhammad Saleh (lahir 3 November 1919) yang telah berhasil mengasaskan Yayasan Pendidikan dan Pengembangan Ilmu Makrifatullah wa Makrifatur Rasul Nurul Islam di Banjar dan sejak tahun 1972 telah berhasil mengajar dan berdakwah di negeri Sabah.
Ada beberapa orang besar dan tokoh terkemuka di Sabah yang merupakan murid beliau, di antaranya ialah Datuk Mohd Ainal bin Haji Abdul Fattah, PGDK, LLB, MBA (UMS), penyusun buku Dokumentasi Pilihan Raya Ke-11, cetakan pertama tahun 2005 yang lengkap dengan pelbagai gambar. Buku tersebut telah dilancarkan oleh Datuk Seri Abdullah Badawi, Perdana Menteri Malaysia pada hari Jumaat 22 Julai 2005 di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC).
PENULISAN
Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin al-Banjari adalah seorang ulama. Beliau juga menyebarkan Islam dengan cara berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Sungguh pun beliau merantau namun sempat juga menghasilkan beberapa buah karangan. Di antaranya yang diberi judul Tajwid Fatihah. Karya beliau pula ialah Tajwid al-Quran, diselesaikan di Pontianak, hari Isnin, 8 Ramadan 1347 H. Cetakan pertama kedua-dua karya tersebut dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan, Singapura, 29 Jamadilawal 1348 H. Menurut keterangan anak beliau, Fauzi Arsyad masih ada beberapa buah karangan Muhammad Arsyad, ayahnya itu, di antaranya ialah Ilmu Ushul Fiqh.
Dengan sangat disesali saya hanya memperoleh dua judul yang tersebut di atas saja, ketika saya menyusun buku Syeikh Muhd. Arsyad Al-Banjari Matahari Islam (1402 H/1982 M) beliau berjanji akan membongkar kitab-kitab yang ada dalam simpanan untuk mendapatkan semua karangan ayahnya, namun hingga beliau meninggal dunia karangan-karangan yang dimaksudkan gagal diperoleh.
Ilmu Ushul Fiqh termasuk salah satu ilmu yang tidak banyak ditulis dalam bahasa Melayu, Prof. Dr. Hamka menulis, ``Orang pertama menulis Ilmu Ushul Fiqh dalam bahasa Melayu ialah Dr. Haji Abdul Karim Amrullah yang diberinya judul Sullamul Ushul Yurqabihi Samma'u Ilmul Ushul, selesai ditulis pukul 6.30 pagi, hari Sabtu, 24 Muharam 1333 H atau 12 Disember 1914 M di Jambatan Besi, Padang Panjang.'' Jika ushul fiqh karya Muhammad Arsyad bin Haji Muhammad Thasin dapat ditemui tentu kita dapat membandingkannya dengan karya ayah atau orang tua Buya Hamka itu. Kemungkinan karya ulama keturunan Banjar itu lebih dulu atau pun jika terkemudian rasanya dalam jarak tahun yang tidak begitu jauh. Kerana kedua-dua ulama yang berasal dari Banjar dan Minangkabau itu menjalankan aktiviti pendidikan, dakwah dan penulisan adalah dalam tahun-tahun yang bersamaan.
BRUNEI adalah sebuah negara tertua di antara kerajaan di kepulauan Tanah Melayu. Dalam catatan sejarah China, Brunei dikenali dengan nama Po-li, Po-lo, Poni atau Puni dan Bunlai manakala catatan Arab pula, Brunei terkenal dengan nama Dzabaj atau Randj.
Catatan tradisi lisan yang diperoleh dari Syair Awang Semaun yang menyatakan Brunei berasal dari perkataan baru ‘nah’ iaitu setelah rombongan klan atau suku Sakai yang dipimpin Pateh Berbai pergi ke Sungai Brunei mencari tempat untuk mendirikan negeri baru.
Replika stupa yang ditempatkan di Pusat Sejarah Brunei menjelaskan bahawa agama Hindu-Buddha pada suatu masa dahulu pernah menjadi anutan penduduk Brunei.
Beberapa penemuan replika batu nisan P’u Kung Chih Mu, batu nisan Rokayah binti Sultan Abdul Majid ibni Hasan ibni Muhammad Shah Al-Sultan dan batu nisan Sayid Alwi Ba-Faqih (Mufaqih) pula menggambarkan tentang kedatangan agama Islam di Brunei.
Ia dipercayai dibawa oleh musafir, pedagang dan mubaligh-mubaligh Islam sehingga agama Islam itu berpengaruh dan mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan dan keluarga kerajaan Brunei.
Dakwah Islam dikatakan tersebar ke negara itu sekitar kurun ketujuh menerusi pedagang dan pendakwah Arab. Kedatangan Islam membolehkan rakyat Brunei menikmati sistem kehidupan lebih tersusun dan terhindar daripada adat bertentangan dengan akidah tauhid.
Awang Alak Betatar ialah Raja Brunei yang pertama memeluk Islam pada 1368 dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muhammad Shah.
Beliau terkenal sebagai pengasas kerajaan Islam di Brunei dan Borneo. Pedagang dari China yang pernah ke Brunei menggelar beliau sebagai Ma-HaMo-Sha. Beliau meninggal dunia pada 1402.
Dakwah
Beliau dipercayai mendalami Islam daripada Syarif Ali iaitu pendakwah yang berasal dari Taif yang dikatakan berasal dari keturunan Ahlul Bait yang bersambung dengan keluarga Rasulullah melalui cucu Baginda, Saidina Hassan.
Pendekatan dakwah Syarif Ali tidak sekadar menarik hati Awang Alak, malah dakwahnya menambat hati rakyat Brunei. Dengan kebaikan dan sumbangan besarnya dalam dakwah Islam di Brunei, beliau dikahwinkan dengan puteri Sultan Muhammad Shah.
Selepas itu, beliau dilantik menjadi Sultan Brunei atas persetujuan pembesar dan rakyat tempatan.
Sebagai pemimpin dan ulama, Syarif Ali gigih mendaulatkan agama Islam antaranya membina masjid dan melaksanakan hukum Islam dalam pentadbiran negara. Selepas tujuh tahun memerintah Brunei, pada 1432, Syarif Ali meninggal dunia dan disemadikan di Makam Diraja Brunei.
Satu lagi catatan bersejarah yang membuktikan penyebaran Islam di Brunei adalah Batu Tarsilah. Catatan pada batu ini menggunakan bahasa Melayu dan huruf Arab.
Dengan penemuan itu, ia mengukuhkan bukti kedatangan pedagang Arab ke Brunei dan sekitar Borneo untuk menyebarkan dakwah Islam.
Kegiatan membina masjid untuk dijadikan pusat kegiatan keagamaan dan penyebaran Islam sentiasa dititikberatkan oleh pemerintah Brunei. Terbaru adalah pembinaan Masjid Jamek Asr Hassanil Bolkiah yang kini menjadi mercu tanda dan keagungan dakwah Islam di Brunei.
Ia dirasmikan pada 14 Julai 1994 dan mampu menampung lebih 3,000 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin yang terletak berhampiran Perkampungan Ayer di Sungai Kedayan, Brunei mula dibina pada 4 Februari 1954 atas hasrat dan cita-cita Sultan Omar Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Empat tahun kemudian iaitu pada tahun 1958, pembinaannya siap sepenuhnya.
Dakwah Islam yang bertapak kukuh di Brunei turut mempengaruhi wilayah lain termasuk ke Sabah, Sarawak dan Kalimantan. Brunei Darussalam, negara yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja banyak menyumbang kepada penyebaran dan pengukuhan Islam di wilayah Borneo, Indonesia.
Seminar khas perlu cari penyelesaian kepada masalah angkasawan Muslim
PENCARIAN angkasawan pertama Malaysia adalah usaha positif kerajaan dalam meneroka bidang baru bagi menambah ilmu berkaitan termasuk ilmu falak syarie.
Penyediaan program itu juga membuka mata Malaysia untuk menganjurkan Seminar Islam dan Kehidupan Angkasawan yang pertama diadakan di dunia Islam bagi mencari penyelesaian bagaimana angkasawan Muslim menunaikan solat, wuduk, berpuasa, menentukan jumlah solat serta arah kiblat.
Naib Yang Dipertua Persatuan Falak Syarie Malaysia, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, berkata Program Angkasawan Negara adalah langkah yang amat baik kepada Malaysia untuk menceburi bidang baru serta dapat menambah ilmu angkasa lepas yang pernah dipelopori ahli ulama zaman kegemilangan Islam.
“Ia menjadi titik tolak untuk kita melihat isu itu dari perspektif Islam, terutama jika angkasawan pertama itu adalah Muslim.
“Seminar itu adalah tanda keprihatinan Malaysia terhadap isu berkaitan penentuan solat dan sebagainya di angkasa lepas. Ketika ini, tidak ada garis panduan berkaitan waktu dan kaedah bersolat di angkasa lepas walaupun ada umat Islam yang pernah sampai ke angkasa sebelum ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Apa pun, Syed Kamarulzaman berkata, pihaknya percaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menyediakan sesi khas kepada bakal angkasawan Muslim sekiranya dipilih bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim seperti bersolat, berwuduk dan bersuci.
Katanya, hasil resolusi dalam seminar berkenaan sudah diserahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sebelum dibincangkan pada peringkat Jakim dan Majlis Fatwa Malaysia.
Malaysia juga bercadang mengadakan seminar pada peringkat antarabangsa bagi membincangkan secara meluas kehidupan angkasawan Muslim di angkasa lepas, selain mencari kata sepakat berkaitannya yang boleh diguna pakai di seluruh dunia.
Jika umat Islam tidak membangkitkan isu berkenaan pasti tidak ada kesepakatan dicapai berkaitannya.
Tentu orang Barat tidak ada minat atau kecenderungan hal berkaitan kerana misi mereka untuk pergi dan meneroka bulan manakala kita pula sibuk untuk melihat bulan atau anak bulan.
“Serentak itu, peranan Persatuan Falak Syarie Malaysia dalam hal ini untuk menghidupkan semula tradisi keilmuan Islam termasuk terhadap kehidupan angkasawan Muslim itu berpandukan al-Quran dan hadis,” katanya.
Menerusinya, ilmu itu dapat disebarkan kepada masyarakat supaya lebih difahami dan dihayati. Ilmu falak syarie itu juga luas dan perlu dipelajari, dikembangkan dan sekali gus mampu meningkatkan martabatkan umat Islam di mata dunia.
Beliau berkata, pada asasnya, ilmu falak syarie itu penting untuk menentukan arah kiblat, waktu solat dan tarikh bagi kalendar Islam.
Ilmu falak syarie itu adalah ilmu yang sebati dengan tamadun dan sejarah Islam. Dalam konteks ini, peranan ulama, ahli sains dan falak saling memerlukan untuk melengkapkan ilmu dalam bidang berkaitan.
Sejak 1991, menerusi Persidangan Kalendar Islam, yang diadakan di Pulau Pinang, kesepakatan dicapai dalam menentukan rukyah bagi hari dan tarikh kalendar Islam untuk ibadat berpuasa dan menyambut Aidilfitri atau Aidiladha membabitkan negara Islam di Nusantara ini.
Syed Kamarulzaman berkata, pada zaman ini, ilmu falak syarie dianggap sebagai bermusim, iaitu ia menjadi popular apabila tiba waktu untuk menentukan tarikh berpuasa dan menyambut raya dengan melihat anak bulan.
Bagaimanapun, pada zaman kegemilangan Islam, ilmu falak syarie adalah ilmu paling tinggi dan sering dijadikan bahan kajian. Malah, ilmu itu turut menggabungkan antara imaginasi, akal dan matematik.
Justeru, bagi memartabatkan ilmu falak syarie ini, beliau berkata persatuan itu yang ditubuhkan sejak 20 tahun lalu akan terus memainkan peranan memastikan ia terus unggul selari dengan ilmu lain.
“Kini, kita cuba menggalakkan sekolah menubuhkan kelab astronomi supaya menimbulkan minat mendalam kepada pelajar terhadap ilmu itu. Kini beberapa sekolah menubuhkan kelab itu.
“Persatuan ini juga dengan kerjasama jabatan agama dan pejabat mufti negeri kerap mengadakan seminar berkaitan, khusus untuk pegawai agama mendalami ilmu itu.
“Persatuan juga memainkan peranan dalam menyumbang kepada penubuhan beberapa balai cerap di negara ini,” katanya yang berminat dalam bidang ilmu falak syarie dan astronomi sejak dari zaman persekolahan.
PERKEMBANGAN ilmu falak syarie adalah dirujukkan kepada usaha gigih pakar Islam sejak zaman Rasulullah SAW sehingga sekarang.
Kerja yang dijalankan oleh pakar Islam amat perlu diketahui supaya kita menyedari bahawa perkembangan astronomi moden sebenarnya hasil yang diusaha dan disarankan oleh pakar Islam sendiri.
Pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyyah, beliau meletakkan ilmu falak pada kedudukan yang ketiga selepas ilmu tauhid dan fiqh serta ilmu kedoktoran.
Pada ketika itu, astronomi tidak hanya dipelajari dan dilihat dari perspektif keperluan ibadat khusus saja. tetapi lebih daripada itu.
Ia adalah sebagai asas kepada perkembangan bidang sains lain seperti ilmu pelayaran, pengembaraan, ketenteraan, pemetaan dan sebagainya.
Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur, sebagai contoh adalah seorang Khalifah Kerajaan Abbasiyyah yang telah membelanjakan dana negara yang besar untuk memperkembangkan pengajian dan penyelidikan ilmu falak.
Seorang ahli falak yang terkenal adalah Muhamad AL-Fazari iaitu orang yang mereka cipta alat astrolabe, iaitu satu alat untuk mengukur sudut.
Alat ini adalah asas kepada perekaan alat theodolait dan teleskop moden hari ini.
Ilmu falak terus berkembang sehingga ke zaman pemerintahan kerajaan Ummaiyyah. Puncak kecemerlangan perkembangan ilmu falak ketika pemerintahan Khalifah Al-Makmun.
Pada zaman inilah lahirnya konsep balai cerapan astronomi (observatory). Kajian astronomi dibuat secara sistematik dan hasilnya satu jadual kedudukan bintang diterbitkan yang dikenali sebagai Daftar Al-Makmun (Tables of Al-Makmun).
Pada zaman ini juga telah lahir beberapa tokoh ilmu falak Islam seperti:
Thabit bin Qurrah:
Mempunyai balai cerapnya sendiri di Baghdad.
Abu Abdullah Muhamad bin Jabir bin Sinan al-Hirany al-Battani al- Syaiby yang lebih dikenali sebagai Al-Battani.
Orang yang memperkenalkan ilmu trigonometri sfera ke dalam ilmu falak yang digunakan sehingga hari ini. Al-Battani membuat hitungan tentang tempoh masa bagi satu tahun sebagai 365 hari 5 jam 46 minit 24 saat.
Muhammad bin Musa al-Khawarizmi dikenali sebagai Al-Khawarizmi.
Ali bin Abd Rahman atau lebih dikenali sebagai Ibn Yunus.
Beliau menerbitkan satu jadual yang amat berguna mengenai pengiraan waktu berdasarkan matahari seperti mana mengikut satu artikel dalam (David A.King, 1986) yang bertajuk Ibn Yunus ‘Very Useful Tables for Reckoning Time by The Sun’.
Tempoh perkiraan dengan teknologi sekarang mendapati tempoh itu sebagai 365 hari 5 jam 46 minit 46.08 saat.
Hasil kajian Ibn Yunus pada asalnya tidak begitu mendapat pengiktirafan oleh pihak Barat sehingga usahanya itu dikaji oleh seorang orientalis Belanda, J Golius.
Ibn Yunus telah melaksanakan hampir seratus cerapan gerhana matahari dan bulan serta ijtimak planet.
Beliau melakukan cerapan sedemikian bagi menyemak data parameter planeteri yang disediakan oleh ahli falak, Yahya bin Abi Mansur, ketika pemerintahan Khalifah Al-Makmun (kira-kira pada tahun 810 masihi).
Hasil kajian Ibn Yunus menjadi sumber data bagi pembentukan model peredaran bulan termasuk pengiraan perubahan sekular (secular variations) bagi pergerakan bulan dan planet oleh S Newcomb (1878) dan R Newton (1970), yang diguna pakai sehingga hari ini.
Satu lagi usaha yang penting kepada perkembangan astronomi ialah astronomi Islam (mengikut takrif David A King) yang telah dibuat oleh Ibn Yunus adalah menyediakan jadual waktu perjalanan matahari (ketara) yang mengambil kira faktor biasan udara pada ufuk.
PADA 8 Ogos tahun lalu, seluruh umat Islam amat merasai kehilangan ulama besar dan pendakwah terkemuka Sheikh Ahmed Hossen Deedat yang meninggal dunia dalam usia 87 tahun. Ramai beranggapan tidak akan ada Ahmed Deedat yang kedua selepas kematiannya itu.
Hanya Allahyarham sahaja yang mampu berdialog mengenai soal ajaran Kristian dan kitab Bible bagi tujuan menyerlahkan lagi kebenaran ajaran Islam itu sendiri.
Namun pertemuan penulis dengan seorang lagi pendakwah baru-baru ini tidak syak lagi mampu membuka lembaran baru mengenai 'kemunculan' atau pengganti Ahmed Deedat walaupun mungkin tidak sehebat Allahyarham.
Bahkan lebih menariknya, Ustaz Ayub Abdul Rahman 59, sendiri dahulunya seorang seorang pendita atau Paderi Besar Kristian yang lebih dikenali sebagai Reverend Anthony Samy Perumal Viagulam dan pernah berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurter Jerman selama hampir 10 tahun.
Gereja tersebut atau lebih dikenali sebagai Englische Kirche (Gereja Inggeris) merupakan satu-satunya gereja di Jerman yang menggunakan medium Bahasa Inggeris yang beraliran Anglican Episcopal Church. Ia sering menjadi tumpuan penganut Kristian terutamanya dari Amerika Syarikat dan Britain serta lain-lain negara Eropah.
Bagaikan jauhari mengenal manikam. Ayub adalah tokoh yang selayaknya memperkatakan ajaran Kristian dan amat mengetahui semua isi dan selok belok kitab Injil itu.
Namun sehebat itu juga pengetahuan dan amalannya kini terhadap Islam, tidak ada sesiapa dapat mempertikaikan sehinggakan orang ramai tidak ragu-ragu memanggilnya "Ustaz" mahupun "Tuan Haji Ayub".
Komitmen beliau yang begitu padu terhadap Islam terutama dalam gerakan dakwah dan kebajikan Islam mendapat penghargaan banyak pihak dan terbaru, beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sarawak (Saudara Baru) 2005.
Beliau mempunyai fasa-fasa hidup yang cukup menarik bermula dari seorang yang begitu mengabadikan diri terhadap Kristian, akhirnya dilimpahkan dengan nur dan hidayah Allah untuk memeluk Islam pada 4 September 1978.
"Saya telah mempunyai kehidupan yang begitu sempurna semasa menjadi paderi" katanya ketika ditemui di Yayasan Jenderami, Dengkil, Sepang di Selangor baru-baru ini.
Kesempurnaan yang dinikmati dalam institusi gereja itu membolehkan Anthony mengecap kesenangan dalam hidup.
"Segala-galanya disediakan dan diberi percuma oleh pihak gereja. Daripada orang yang akan membasuhkan tandas kita sehinggalah pemandu dengan kenderaan mewah untuk membawa saya ke mana sahaja.
"Ini tidak termasuk tiket-tiket penerbangan kelas pertama ke hampir seluruh pelusuk dunia. Jadi saya tidak ada masalah sepanjang berkhidmat untuk gereja kerana apa sahaja yang dihajati akan segera dipenuhi," katanya yang telah menjejaki 22 negara bagi menjayakan misionari Kristiannya.
Tugas sebagai Biecht-vader iaitu mengampunkan penganut Kristian yang berdosa turut memberikan kepuasan kepada jiwa Anthony ketika itu. Pernah kata Ayub, beliau diminta mengampunkan penghuni kubur atas permintaan keluarga si mati.
Sehinggalah pada suatu hari berdasarkan pembacaan kitab Bible, perasaan beliau yang
setenang air di kali selama ini mula terganggu. "Tanpa seseorang itu dibaptiskan, tidak memungkinkan seseorang itu menghuni syurga!"
"Apabila saya terbaca ayat itu, hati saya begitu terusik. Ini kerana secara tiba-tiba saya terkenangkan jiran-jiran saya di Kampung Pelanduk Jatuh, Bukit Mertajam Pulau Pinang.
"Mereka merupakan jiran yang sangat baik. Sehinggakan saya masih ingat walaupun mereka menjalani ibadat puasa Ramadan, kami sekeluarga adalah orang pertama yang akan menerima juadah berbuka puasa mereka.
"Mereka tidak akan berbuka selagi kami tidak menerima juadah tersebut walaupun kami bukannya beragama Islam. Ia memang satu situasi yang mengharukan.
"Begitu juga apabila ada ahli keluarga saya sakit dan memerlukan rawatan segera ke hospital, jiran-jiran Melayu saya inilah yang akan bersusah payah menggunakan kenderaan mereka untuk membawa kami ke hospital dan mereka tidak pernah berkira.
"Saya kira mereka merupakan jiran terbaik yang pernah saya jumpa" kata Ayub.
Apabila mengenangkan kebaikan jiran-jirannya itu dan ajaran Kristian, Anthony begitu terusik kerana kebaikan mereka itu akan berakhir dengan masuk ke neraka!
"Saya benar-benar sedih kerana mereka ini tidak pernah dibaptiskan maka tentunya mereka tidak akan layak masuk ke syurga Allah.
"Sehinggakan buat pertama kali saya memperkenalkan sembahyang malam yang sebelum ini tidak ada dalam cara orang Kristian beribadat. Ini kerana saya benar-benar memerlukan jawapan mengenai persoalan ini," jelasnya.
Oleh kerana memiliki kunci pintu gereja maka pada suatu malam, dihadapan altar beliau sembahyang dan 'merayu' kepada tuhan supaya jiran-jirannya itu dikecualikan daripada memasuki neraka.
Namun bagi Anthony sudah sampai tahap dan masa untuknya mengubah akidah umat Islam itu sendiri.
Lantas beliau memohon kebenaran pihak gereja untuk mengkaji dan mendalami al-Quran yang bakal dijadikan senjata untuk melumpuh dan melemahkan umat Islam itu sendiri.
Permintaan Anthony segera dipenuhi malah pada tahun 1973 beliau dihantar ke Millhill Missionary Institute di utara London bagi membolehkan paderi ini mempelajari Islam sebanyak mana yang beliau mahu.
"Pada mulanya untuk selama tiga bulan, tetapi saya lanjutkan sehingga enam bulan kerana telah direncanakan oleh tuhan, saya tidak menemui apa yang dicari kecuali jika terus mencari apa yang ditemui hanyalah keindahan Islam.
"Tiada kecacatan langsung mengenai Islam malah kalau ada 10 kitab al-Quran yang didatangkan dari mana-mana negara di hadapan saya. Baik sama ada dari Afrika, Asia malah dari Eropah sendiri, yang saya jumpa hanyalah ayat-ayat yang sama.
"Kata-kata Allah itu begitu terpelihara dan tidak berubah oleh sebarang tokok tambah dan pengurangan. Malah nama agama itu sendiri, memang ada tertulis di dalam al-Quran dan makna dari ayat 85 Surah al-Imraan benar-benar mengejutkan saya sehingga saya menjadi lebih ketakutan.
Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imraan: 85)
"Jadi, siapa sebenarnya yang akan rugi di hari akhirat kelak?," katanya.
Menurut Ayub, adalah tidak mudah sebenarnya untuk beliau menerima Islam kerana dirinya sangat berpengetahuan dalam ajaran Injil itu sendiri sehinggakan banyak mengunjungi tempat suci orang Kristian di seluruh dunia. Peluang yang tidak diperolehi oleh penganut lain.
"Ditambah dengan persekitaran hidup dalam biara dan sentiasa dipantau oleh pihak gereja sehinggalah oleh pihak Vatican di Itali," katanya.
Namun 4 September 1978 mencatatkan tarikh yang bersejarah apabila paderi ini akhirnya dengan seikhlas hati mengakui keesaan Allah s.w.t sebagai tuhan yang satu yang tidak disekutukan dengan mana-mana makhluk lain termasuk Nabi Isa a.s.
Beliau diIslamkan di bumi Sarawak sebagai saksi dengan dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob.
"Jadi, tahulah anda dari mana saya mendapat nama Abdul Rahman selepas saya memilih Ayub sebagai nama Islam saya," katanya.
Rupa-rupanya tindakan Ayub memeluk Islam itu bukan sahaja menimbulkan kejutan kepada banyak pihak namun yang lebih tidak sangka-sangka sehingga membahayakan nyawanya pada masa itu.
"Tidak dapat dilupakan bagaimana takut dan ngerinya saya pada masa itu apabila rumah yang saya diami dibaling orang dengan ketulan-ketulan batu.
"Tidak sangka tindakan saya memeluk Islam tidak disenangi oleh sesetengah pihak," katanya.
Demi keselamatan dirinya, Ayub terpaksa menyembunyikan diri di Jeddah, Arab Saudi dan di Tanah Haram, Mekkah Al Mukarramah selama tiga tahun.
"Tetapi begitu sekali kekuasaan Allah! Jika tidak kerana persembunyian ini tentulah saya tidak berpeluang untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya benar-benar bersyukur kerana diberikan
peluang yang sebegini hebat.
"Bagai tidak percaya, baru sehari dua mengucapkan kalimah syahadah di tanah air tetapi Rumah Allah, Kaabah itu kini berada di hadapan mata dan saya tidak mampu menahan air mata yang mengalir. Seumur hidup tidak pernah menangisi diri tetapi saya benar-benar merasakan diri ini begitu kerdil dan hina berbanding nikmat iman yang diberikan oleh-Nya kepada saya," katanya.
Selama tiga tahun itu, Ayub mengambil kesempatan mendalami Islam dalam semua aspek terutama al-Quran bagi menambahkan keyakinan dan memberikan kekuatan sebagai seorang yang baru dalam Islam.
Hanya kebelakangan ini sahaja, Ayub memberanikan diri berdakwah secara terbuka termasuk memasuki segenap pelusuk pedalaman Sarawak dan Semenanjung bagi menyebarkan Islam sambil melakukan pelbagai kerja kebajikan.
Namun seperkara yang menarik mengenai Ayub ini apabila setiap hujung minggu, beliau 'menukar' statusnya sebagai pemandu pelancong.
"Hujung-hujung minggu saya pasti berada di perkarangan masjid-masjid di sekitar Kuching. Di situ saya berperanan sebagai pemandu pelancong kerana ramai menjadikan Masjid Bahagian Kuching sebagai destinasi kunjungan mereka setiap kali datang ke sini.
"Daripada mereka terjengok-jengok dan tiada sesiapa membantu untuk menjelaskan fungsi dan peranan masjid, adalah lebih baik saya menemui rombongan pelancong yang rata-ratanya warga Barat itu dan mengajak mereka masuk dan melihat sendiri keadaan dan suasana masjid," katanya yang telah tiga kali mengerjakan haji dan bercadang ke Tanah Suci sekali lagi tahun ini.
Kebanyakan mereka ini, kata Ayub, mempunyai salah tanggapan mengenai Islam dan masjid itu sendiri. Ini termasuklah percaya terdapat patung Nabi Muhammad dalam masjid kerana menganggap baginda merupakan tuhan yang memperkenalkan agama yang mereka panggil sebagai "Muhamaddan", golongan wanita dinafikan hak mereka untuk beribadat di masjid dan sebagainya.
"Jadi saya ajak mereka masuk dan lihat sendiri akan 'patung' tersebut. Ini kerana mereka mungkin menganggap ajaran Islam seperti ajaran Kristian yang terdapat patung Jesus di dalam gereja.
"Tetapi apabila mereka mendapati suasana di dalam masjid tidak seperti yang mereka sangkakan, lalu mereka kehairanan. Di sinilah saya mengambil kesempatan memberi gambaran sebenar mengenai masjid dan terangkan mengapa tidak perlu adanya sebarang patung, apa itu arah kiblat dan sehinggalah mengapa diasingkan jemaah lelaki dan perempuan.
"Apabila tiba waktu sembahyang, saya meminta mereka melihat sendiri bagaimana orang Islam sembahyang dan saya bersedia menjawab apa juga persoalan yang diajukan selepas itu.
"Begitu juga apabila kedengaran seruan azan yang mereka anggap sebagai lagu ibadat paling merdu yang pernah mereka dengar, saya akan jelas makna di sebalik 'lagu merdu' itu," katanya yang menggunakan kelebihan berbahasa Jerman dan Inggeris bagi tujuan 'dakwah' itu.
Ketika ditemui penulis, Ayub sedang membantu seorang lagi saudara baru iaitu merupakan pelancong Finland yang menghadapi pelbagai kesukaran di sini.
Lawatannya di kampung-kampung masyarakat Melayu di sekitar Lumut, Setiawan dan Seri Manjung, Perak baru-baru ini menyebabkan lelaki Finland ini begitu tertarik kepada Islam dan terus memeluk agama itu.
"Tindakan itu menyebabkan isterinya di Finland begitu marah dan menganggap apabila suaminya itu memeluk Islam bererti dia akan menjadi pengganas serta menggalas senjata. Lalu keluarga pelancong ini memberi amaran jika dia pulang semula ke negaranya itu, dia akan mati ditembak.
"Jadi siapa sebenarnya yang ganas? Malah mereka menganggap kehadiran Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad ke negara ini baru-baru ini semata-mata untuk merekrut askar dan tentera di kalangan orang Islam di negara ini untuk tujuan keganasan. Sehingga begitu sekali tanggapan mereka mengenai Islam," katanya yang sedang membantu mengenai kebajikan pelancong itu di sini.
Berkahwin dengan Baiti Adenan, 59, dan mempunyai dua anak lelaki, Musa, 22, dan Isa, Ayub, 20, meniti kehidupan yang lebih bermakna dan bahagia.
Menariknya, beliau lebih kerap memanggil anak-anak lelakinya itu dengan panggilan 'Moses' and 'Jesus'.
"Pernah ada yang meminta kepastian dari saya, benarkah dengan menggunakan telefon bimbit saya sedang bercakap dengan Nabi Musa dan Nabi Isa?," katanya sambil tertawa kecil.
Setiap tahun, melalui satu pertandingan, anggota-anggota Pasukan Bulan Sabit Merah (PBSM) di Kuching Sarawak akan merebut piala yang dianggap berprestij di sana, iaitu Lazaramah Viagulam Challenge Throphy. Tetapi apa kaitannya dengan Ayub?
"Piala ini sebenarnya dari saya bagi menggalakkan anak-anak muda supaya menderma darah bagi membantu Tabung Darah Negara dan nama piala itu merupakan sempena kasih sayang saya yang tidak ada tolok bandingnya lagi terhadap ibu saya yang tercinta (Lazaramah, 80).
"Ibu saya itu merupakan manusia kedua terpenting dalam hidup saya selepas Allah dan Rasul-Nya.
"Walaupun dia masih Kristian tetapi tidak ada apa yang boleh menghalang kasih sayang kami," katanya yang begitu gembira kerana dapat berjumpa bagi meraikan hari lahir ibunya baru-baru ini.
Ayub benar-benar Muslim yang berbeza. Beliau mempunyai senarai kerja kebajikan yang panjang di Kuching. Antaranya Out Reach HIKMAH, Naib Yang Dipertua Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Sarawak, Jawatankuasa PERYATIM, Sarawak dan Perkim Sarawak.
Maka untuk mengenali beliau lebih dekat lagi, ikutilah kisah hidup Ayub yang akan ditayangkan melalui Program Kembara Iman- Saudara Baru yang akan disiarkan oleh Saluran TV Astro sempena menyambut dan pengisian rancangan untuk Ramadan tahun ini