Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah.
"Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam":
Blogger
28 Ogos 2005
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49
Tarikh Pewartaan :
15 Feb 1996
Borak
HAMZAH DAN UMAR MEMELUK ISLAM: PERISTIHARAN TERBUKA MENENTANG JAHILIYYAH
Friday, July 29, 2005
HAMZAH DAN UMAR MEMELUK ISLAM: PERISTIHARAN TERBUKA MENENTANG JAHILIYYAH
RUJUKAN: FIQH AL-HARAKAH DARI SIRAH NABAWIYYAH, OLEH HAJI ABDUL HADI AWANG, 1988, DPF, JILID 1
Di saat Islam menerima tentangan dan penindasan dari masyarakat jahiliyyah Allah SWT telah memancarkan cahaya iman kepada dua orang pahlawan ulung yang dikenali di zaman jahiliyyah dan Islam iaitu Hamzah r.a. dan Umar al-Khatab r.a. Peristiwa ini penting dalam sejarah penyibaran dakwah Islamiyyah kerana kemasukan dua tokoh ini memberi kesan kepada pendekatan dakwah daripada bersembunyi kepada berterus terang dengan masyarakat jahiliyyah. Kemasukan dua pahlawan ini merupakan suatu peristiharan terbuka umat Islam menentang Jahiliyyah.
Hamzah r.a. memeluk Islam
Kebanyakan ulama’ mengatakan Hamzah r.a. memeluk Islam pada bulan Zulhijjah selepas 6 tahun Nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi Rasul. Hamzah r.a. yang tidak mengambil peduli tentang dakwah Islam ketika itu memeluk Islam kerana marah mendengar Abu Jahal telah memukul kepala Rasulullah s.a.w. dengan batu sehingga berdarah. Apabila hamba perempuan kepada Abdullah bin Jud’an memberitahu Hamzah r.a. yang baru pulang dari berburu, Hamzah r.a. yang terkenal dengan sifat garangnya terus menuju ke Darul-Nadwah untuk mencari Abu Jahal, sampai di sana tanpa mengucap salam beliau terus memukul kepala Abu Jahal dengan busur panah sehingga berdarah.
Sesetengah ulama’ mengatakan bahawa Hamzah r.a. menceritakan “Aku bertindak demikian didorong rasa terlalu marah. Tiba-tiba datang keraguan dan seperti menyesal di atas tindakan itu kerana meninggalkan agama peninggalan nenek-moyangku. Kemudian aku berdoa disisi kaabah supaya Allah menghilangkan keraguan dan melapangkan perasaanku. Sebelum sempat aku menghabiskan doa, Allah telah menghilangkan semuanya”. Menurut riwayat yang lain Hamzah r.a. menemui Rasulullah s.a.w. dan menceritakan perasaan hatinya.Lalu dia berdoa supaya ditetapkan imannya.
Umar al-Khattab memeluk Islam
Abu Nu’aim meriwayatkan didalam kitab al-Dala’il, ibnu Asakir dan ibnu Abbas juga meriwayatkan yang sama bahawa Umar r.a memeluk Islam tiga hari selepas Islamnya Hamzah r.a.
Ketika Umar r.a. keluar dengan pedang kerana mahu membunuh Rasulullah s.a.w., seorang lelaki dari bani Makhzum itu memberitahu bahawa adik dan ipar Umar r.a. juga telah memeluk Islam. Dengan marah Umar r.a. terus menuju ke rumah adiknya, kebetulan ada Khabbab bin al-Arat r.a. sedang membaca al-Quran untuk adik dan ipar Umar r.a. Apabila mendengar suara Umar r.a. Khabbab pun menyembunyikan dirinya. Fatimah al-Khatab pula menyembunyikan sahifah yang tertulis ayat-ayat al-Quran.Umar terus menerkam iparnya dan menampar sehingga jatuh, adiknya pula ditampar sehingga berdarah. Fatimah berkata “Yang benar bukan agama yang kamu anuti selama ini. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi Nabi Muhammad pesuruh Allah”
Tiba-tiba Umar terasa sedih dan kesal atas tindakannya. Umar meminta adiknya menunjukan lembaran itu, tetapi adiknya tidak mahu katanya “Kau masih najis, surat ini tidak boleh disentuh melainkan orang-orang yang bersuci”. Umar pun segera mandi. Beliau kemudian membaca surah Toha dan hatinya tersentuh keindahan dan kebaikan ayat al-Quran. Umar pun berkata “ Aku masuk Islam. Tunjukkan kepadaku di mana Rasulullah”. Khabbab berkata “Aku harap engkaulah yang dimaksudkan dengan doa Rasulullah”.
Doa Rasulullah “Ya Allah, ya Tuhanku, kuatkanlah Islam dengan salah seorang daripada dua Umar.” . Umar al-Khattab atau ‘Amru bin Hisyam.
Umar pergi ke rumah di Bukit Safa kerana Rasulullah s.a.w berada di situ, Umar mengetuk pintu, salah seorang di dalam rumah mengintai Umar datang dengan membawa pedang. Hamzah bertanya siapa yang datang? Jawab mereka Umar. Hamzah r.a. menyuruh dibukakan pintu, jika Umar berniat baik dan dilayan dengan baik begitulah sebaliknya.Umar menemui Rasulullah s.a.w dan mengucap dua kalimah syahadah. Semua orang yang berada dirumah bertakbir dengan kuat sehingga terdengar ke Masjidil Haram. Allah hu Akhbar!
Umar bertanya kepada Rasulullah “ Ya Rasulullah, tidakkah kita dipihak yang benar?”. Rasulullah s.a.w. menjmawab “Ya”. Umar berkata “ Kalau begitu mengapa kita harus bersembunyi lagi”. Lalu mereka keluar beramai-ramai menuju ke masjid dalam dua saf. Satu disertai Umar r.a. dan satu saf lagi Hamzah r.a.
Menurut ibnu Ishaq, Umar menemui Abu Jahal setelah memeluk Islam bertujuan mengistiharkan keIslamannya. Abu Jahal marah mendengarnya.
Islamnya dua tokoh ini telah memberi nafas yang kuat kepada perjuangan Islam. Peristiwa ini dinamakan berterus terang diperingkat kedua dalam perjuangan Islam di Makkah. Muhib bin San’an al-Rumi r.a. menyatakan Islamnya Umar, Islam menjadi terang-terangan. Seruan dakwah dilakukan secara terbuka.
Peristiwa ini bukan sahaja menunjukan peningkatan iman kepada orang Islam malah tentangan dan cabaran juga semakin memuncak kepada umat Islam sehingga seterusnya berlaku peristiwa pemulauan.
Merupakan salah seorang pengarang kitab sunan Sittah iaitu Sunan Abu Daud. Kitab sunan Abu Daud mengandungi hadith sahih, hasan dan da'if.
Nama beliau ialah Sulaiman bin al-Asy'at al-Azdi al-Sajistani. Beliau dilahirkan pada tahun 202H dan wafat pada hari Jumaat, 15 Syawal 275H di Basrah. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Abu Daud. Di zaman awal mudanya mempelajari al-Quran, sastera Arab dan lain-lain ilmu yang menjadi kelaziman pada masa itu sebelum mempelajari Hadith.
Beliau mengembara ke Khurasan, Ray, Harat, Kufah, Baghdad, Tarsus, Damsyik, Mesir dan Basrah untuk mempelajari hadith, pengembaraannya bermula ketika usianya 20 tahun.
Ahli-ahli hadith sepakat mengakui kewibawaan Abu Daud iaitu seorang yang dipercayai, jujur dan tepat dalam periwayatan hadith.Beliau juga ahli hukum dan pengkritik hadith yang baik, dalam melakukan kritikan, kadang-kadang beliau memeriksa tulisan, kertas dan dakwat yang digunakan oleh seseorang periwayat untuk menyingkap usia penulisannya.
Diantara hasil karya beliau ialah kitab al-qadr, al-Ba'th wa al-Nusyur, Dala'il al-Nubuwwah, Fada'il al-Ansar, Musnad Malik, al-Dua'a', ibtida' al-Wahy, al-Tafarrud al-Sunan, akhbar al-khawarij, a'lam al-Nubuwwah, Sunan.
Al-Imam Abu Daud menyusun sunannya selama 20 tahun, terdapat 4800 hadith yang disaring dari 500000 hadith yang dikumpulnya. Sunan Abu Daud disusun mengikut pembahagian ilmu fiqh dan membahagikan kitabnya kepada 40 kitab. Setiap tajuk kitab terdapat pecahan lain dinamakan bab yang berjumlah 1871 bab. Pada kebiasaanya setiap bab mempunyai satu atau dua hadith melainkan jika terdapat banyak hadith sahih, maka beliau masukkan hadith lebih dari biasa.
Imam Abu Daud menulis pada ulama' Makkah " Saya mencatat lebih dari satu atau dua hadith dalam setiap bab walaupun terdapat hadith sahih yang lain mengenai perkara yang sama, kerana ia akan menjadi terlalu banyak. Saya harap biarlah satu asalkan boleh diginakan dengan mudah"
Iman al-Ghazali menganggap sunan Abu Daud sangat mustahak kepada para mujtahid untuk mengetahui hadith hukum. Diantara ulama' yang membuat komentar terhadap sunan Abu Daud ialah Jalaluddin As-Sayuthi iaitu melalui kitabnya Mirqat al-Sa'ud ila sunan Abu Dawud, syamsul haq 'azimdi, 'awn al-ma'bud syarh sunan Abi Dawud dan tahzib sunan Abi Daud. Abdul Aziz bin al-Qawi pula menulis ringkasan sunan Abu Daud dalam kitabnya al-Mujtaba min Sunan Daud.
Majalah al-mabahits dalam edisi 16 Februari 1951 telah menyiarkan pesanan asy-syahid imam Haasan al-Banna yang ditujukan kepada seluruh umat Islam khususnya kepada ikhwanul muslimin. Menjadi pendokong Islam bukanlah semudah menelan air dari bibir ke kerongkong tetapi ianya memerlukan suatu usaha yang besar dan luas, fikiran yang matang dan terbuka, ilmu yang kukuh dan ketabahan yang tinggi serta kekuatan aqidah yang tidak boleh digugat oleh sesiapa.
Pendokong-pendokong Islam tidak akan kecut dengan ugutan, tidak akan menangis dengan kesakitan, tidak akan tersinggung dengan cacian, tidak akan mengeletar dan lari dari cubaan dan halangan yang mereka hadapi. Pejuang-pejuang Islam adalah penyeru agama sebenar dan adalah manusia kebal dengan iman. Pengorbanan mereka hanya Allah s.w.t. sahaja yang dapat membalasnya. Bagi pejuang Islam ingatlah, bahaya ujian dan cabaran tidak akan lari dari muka perjuangannya.
Imam Hasan al-Banna menyatakan: Saudara-saudara Ikhwanul Muslimin sekalian, Saya sampaikan salam sejahtera kepada saudara sekelian atas limpah taufik dan rahmatNya kepada saudara sekelian, serta kurniaNya yang secara khusus dianugerahkanNya saudara sekalian berupa ketabahan di atas membela kebenaran, betapa pun beratnya tanggungjawab dan lamanya masa yang saudara lalui.
Sebagaimana dengan penghargaan saya yang tinggi atas keistimewaan yang saudara miliki dalam usaha mengembangkan dakwah Islam yang mempunyai perbezaan dengan pertubuhan lain sejenisnya. Juga, terimalah simpati saya atas kebesaran hati saudara sekelian dalam menghadapi segala ujian dan cubaan yang demikian beratnya, di mana ianya saudara hadapi hingga sekarang.
Ingatlah! Bahawa saudara sekalian adalah kubu terakhir yang mesti mempertahankan kalimah Allah dan risalahnya melawan arus kedatangan fahaman kebendaan yang zalim, yang penuh dengan penindasan dan ketamakannya.
Saudara-saudara semua adalah yang terakhir mengawal syariat dan ayat-ayatNya, bersama menyeru umat manusia yang bertaburan di muka bumi ini sedang berada dalam jurang kefanaan dan kebinggungan menuju jalan yang lurus. Ertinya itu semua bahawa saudara sekalian adalah penyeru-penyeru dakwah Islam yang paling terhormat dan menempuh jalan yang paling suci.
Saudara-saudara Ikhwanul Muslimin sekalian, Dunia di masa ini digelorakan oleh dua negara yang mempunyai ideologi yang bertentangan dengan Islam, iaitu Komunis di Rusia dan demokrasi di Amerika. Dunia tidak akan dapat berada dalam ketenteraman dan damai dengan bersekutu dalam salah satu blok tersebut.
Namun pada saudara-saudara sekalian terletak penawar mujarab yang dihimpinkan dari wahyu langit yang mampu mengatasi pergolakan tersebut. Oleh kerana itu kita wajib menyampaikan hakikat yang kita miliki ini, dengan meminta mereka bergabung bersama jalan kita ini iaitu Islam. Dan ianya kita lakukan dengan sekuat tenaga.
Tidak menjadi soal pokok bila kini tidak memiliki negara atau pendokong mana pun, kerana kekuatan itu terletak pada kebenaran seruan kita, pada kalbu kaum muslimin, pada keperluan dunia terhadap kebenaran itu, dan pada dokongan yang diberikan oleh Allah s.w.t., di mana Dia telah melakukan kehendak dan kekuasaanNya.
Dari laut tengah hingga ke Lautan Pasifik, lebih 400 000 000 umat Muslimin yang menghuni wilayah sepanjang kawasan tersebut sehingga sekarang masih berada di bawah tapak kaki para penjajah yang kian lamanya telah menimpakan berbagai bencana dan membuat mereka lupa terhadap perkembangan dunia antarabangsa.
Dari ceruk mana dunia pun, di mana terdapat seorang Muslim yang telah menyatakan “La Ilaha illallah”, Muhammadar Rasulullah?, maka mereka adalah sebahagian dari tanahair kita: Maka adalah tanggungjawab kita menuntut kemerdekaan bagi serta berusaha sekuat tenaga membebaskannya dari kongkongan-kongkongan penjajah asing yang zalim.
Kemerdekaan yang kita perjuangkan dengan apa yang ada pada kita, tanahair ini yang membentengi dari hujung Timur hingga ke hujung Barat, sudah sampai masanya menyusun kemerdekaan, penyatuan dan kedamaian dalam ikatan yang tidak terombak, dan ianya hendaklah berada dalam sistem dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh al-Quran al-karim dan dalam aqidah, sistem dan syariat yang telah digariskan oleh Islam.
Kita hidup di dalam zaman di mana Yahudi antarabangsa bermaharajalela sebagai musuh bagi seluruh dunia Islam yang menggempur dan membakar tempat suci!!! Maka kita hendaklah menghadapi tentangan mereka dengan keyakinan penuh bahawa Allah s.w.t. telah menyediakan bekal bagi kita untuk menghadapi permusuhan ini dan memenangkannya.
Saudara-saudara Ikhwanul Muslimin sekalian, Sebahagian besar daripada pemimpin bangsa dan dunia Islam, telah mensia-siakan kesempatan baik yang diberikan oleh perang lalu iaitu pada tahun 1948, disebabkan sikap mereka yang menjadi pengekor penjajah, di mana melahirkan kemiskinan, ketakutan, hilangnya kepercayaan diri, terampasnya kekayaan, pertentangan yang berleluasa, kebencian dan perpecahan yang mengakibatkan kelalaian pada kewajipan kita sehingga kita lari dari jihad.
Maka adalah menjadi suatu kewajipan kepada saudara-saudara sekalian kerana saudara sekalian mempunyai keimanan kepada Allah s.w.t., meyakini akan pertolonganNya; untuk menyedari akan kelalaian kita selama ini serta berusaha mempersiapkan segala sesuatu yang kita perlukan bagi perjuangan kita. Allah s.w.t. beserta kita. Dia memiliki kekuatan yang akan menghancurkan musuh-musuh saudara sekalian dan mereka yang berani menentang Allah s.w.t.“Allah berkuasa memenangkan urusanNya, tetapi sebahagian manusia tidak mengetahuinya.”
Saudara-saudara telah diberi keistimewaan oleh Allah s.w.t. untuk bersatu dalam dakwah Islam, oleh itu jagailah keistimewaan yang diamanahkan kepada Saudara-saudara sekalian dengan menegakan syiarnya di tengah-tengah umat manusia.
Bersama itu hendaklah perbaiki tingkah laku dan amal saudara sekalian. Dan beristiqamahlah dalam melaksanakan perintahNya. Laksanakanlah ?amar ma?ruf nahyu munkar? Serta panjangkanlah nasihat-nasihat dengan sikap penuh kasih sayang kepada seluruh umat manusia.
Bekalan untuk berjuang dipersiapkan, dan perjuangan itu ialah jihad harta dan jiwa saudara-saudara! Perbanyakkanlah mengkaji al-Quran, peliharalah sembahyang berjamaah dan beramallah dengan penuh keikhlasan bagi agama Allah yang benar ini. Bila sudah begitu, maka tunggulah pertolongan Allah s.w.t. kerana ‘Allah pasti menolong mereka yang menolong agamaNya. Sesungguhnya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Kuasa.”
Saya pesankan kepada saudara sekalian secara khusus ketika ini, hendaklah perjuangan kita ini suci dan bersih; dalam jiwa dan alam fikiran, sama ada ucapan atau perbuatan, diri dan juga pakaian, sama ada makanan atau minuman, bersendirian atau berumah tangga serta bergaul.
Sucilah saudara sekalian, sehingga perkara itu menjadi ciri khusus saudara di tengah umat manusia lain,? demikian diantara wasiat yang amat ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. alangkah indahnya ungkapan ini, betapa besarnya makna yang terkandung di dalam ajaran agama Islam yang meletakkan ?Fasal Thaharah? dalam fiqh ibadah kita.
Kunci Syurga itu ialah sembahyang, sedangkan kunci sembahyang itu ialah thaharah, demikain dinyatakan oleh salah satu hadith Rasulullah s.a.w. “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang bersih,” demikian firman Allah s.w.t.
Para pencinta dan pendokong Harakah Islamiyyah hendaklah menyedari bahawa mereka sedang membawa satu amanah yang sangat besar dan cita-cita yang sangat mulia. Mereka dituntut membuat persediaan-persediaan di bawah pimpinan dan pengawasan orang yang benar-benar memahami Islam dan TASAWWUR HARAKAH ISLAMIYYAH serta melaksanakan MANHAJ TARBIYYAH HARAKIYYAH. Kejayaan sesebuah gerakan Islam membentuk ahli-ahlinya yang memahami Islam dan MANHAJ HARAKIYYAH yang jelas dan syar’i oleh pimpinan yang berkeahlian, berilmu bagi beramal adalah lebih utama dari memiliki keperluan-keperluan yang bersifat kebendaan tetapi ketandusan dalam bimbingan dan petunjuk Rabbani.
Gejala keciciran para petugas dan pendokong gerakan Islam dan saff jamaah merupakan satu gejala yang amat merbahaya sekalipun dipandang dari sudut proses peningkatan jamaah.Ia merupakan satu tabi?i yang dapat mematangkan saff dan membersihkan jamaah dari aliran-aliaran fikrah dan anasir-anasir yang membantutkan kelancaran organisasi dan dakwah. Kesan awal gejala ini, Harakah Islamiyyah sentiasa dilanda fitnah. Apabila dilihat dari sudut kelancaran organisasi jamaah akan kehilangan para petugasnya dan ini akan mengendalakan berbagai urusan organisasi dan dakwah. Dari sudut keanggotaan dan kesetiaan ahli pula, jamaah mungkin menghadapi perbezaan pendapat dan sikap terhadap golongan yang tercicir.
Perbezaan-perbezaan ini jika tidak dibendung akan membawa kepada perpecahan dan mencemar nama baik jamaah. Akibatnya kepercayaan dan rasa hormat masyarakat umum terhadap seruan dan wibawa jamaah Islam akan beransur pudar dan luntur. Lebih jauh lari itu ‘rangkaianan tanzim’ jamaah Islam akan terdedah atau didedahkan kepada musuh-musuh Islam yang saban waktu menunggu-nunggu dan mencari kesempatan serta ruang bertindak membinasakan gerakan dan risalah Islam.
Sebab-sebab keciciran yang berhubung dengan gerakan: 1. Kelemahan sudut tarbiyyah 2. Tidak meletakkan seseorang di tempat yang sesuai 3. Tidak membahagikan-bahagikan kerja kepada anggota 4. Tidak mengambil berat ahli 5. Tidak menyelesaikan persoalan dengan segera 6. Pertikaian dalaman 7. Pimpinan tidak layak
Sebab-sebab yang berkaitan dengan individu: 1. Tabi?i yang tidak tetap 2. Takut berlaku sesuatu kepada diri dan pendapatan 3. Melampau 4. Bermudah-mudahan dan longgar 5. Tertipu dengan kedudukan dan bersikap menonjol diri 6. Cemburukan orang lain 7. Fitnah senjata
Sebab-sebab luar yang menekan: 1. Tekanan ujian 2. Tekanan keluarga 3. Tekanan persekitaran 4. Tekanan gerakan-gerakan bahaya 5. Tekanan bermuka-muka
PERTEMPURAN AIN JALUT : UMAT ISLAM MUSNAHKAN TENTERA TARTAR
Sejarah Islam telah merakamkan pertempuran defensive yang terpaksa dimasuki umat Islam kerana mempertahankan aqidah, harta benda dan tanahair mereka. Pertempuran ini di anggap penting kerana ia menyebabkan selamatnya kawasan Timur Tengah dan Mesir dari penjajahan bangsa Tartar.
Sebab utama kemenangan Islam pada pertempuran ini terletak pada Qathaz dan dua orang imam besar iaitu Al-Az bin Abdus Salam dan Abil Hassan Asy Syazali, dengan kata lain sebab kemenangan ini terletak pada panglima, ulama? dan tentera. Pada tahun 654 hijrah orang-orang Tartar telah menjajah semua negeri Asia Kecil dan Eropah Timur dengan kekuatan pedang, kemudian menduduki Baghdad ibu kota Empayar Abassiyyah pada tahun 656 hijrah. Orang-orang Tartar kemudiannya menawan Harran, Ar Raha, Dian Bakr pada 657 hijrah. Menawan Halab 658 hijrah sehingga Damsyik, seterusnya menawan Damsyik hingga ke kotaNablus, Al Kurk dan Baitul Maqdis.
Matlamat orang-orang Tartar menguasai Palestin ialah untuk membuka laluan ke Mesir, tentera Tartar bergerak seperti gelombang besar memusnahkan apa sahaja kekuatan yang cuba menghalang mereka, mereka telah menyebarkan ketakutan dan kemusnahan di mana sahaja mereka lalui.
Mesir ketika itu diperintah oleh Qathaz, beliau merasa bimbang kerana negaranya bakal diserang oleh tentera Tartar. Orang-orang Tartar sentiasa menang dan sedang maju dari satu kemenangan ke satu kemenangan yang lain. Kedudukan Mesir sudah terlalu hampir dari pihak penyerang. Bangsa Tartar sentiasa tamak untuk memasukan Mesir di bawah kekuasaannya yang memanjang dari Timur Jauh hingga ke laut Mediterranean.
Qathaz telah mengumpulkan cendiakawan Islam, beliau berunding dengan mereka, hasil dari perbincangan mereka bersetuju supaya berperang diluar Mesir bagi mengelakkan kehancuran dan kemusnahan Mesir dan jika kalah pun masih ada tanah simpanan untuk berlindung.Seruan Qathaz disambut oleh ramai mujahid dan didahulu oleh dua orang tokoh ulama’ iaitu Al Az Abdus Salam dan Abil Hassan Asy Syazali yang telah menyumbangkan tenaga moral yang tinggi kepada tentera Qathaz dalam bentuk pengukuhan aqidah Islamiyyah mereka.
Kedua-dua ulama’ tersebut mengarahkan setiap tentera Mesir sama ada panglima atau pun perajurit membuat makruf dan meninggalkan mungkar, menggesa mereka bertaubat nasuha, membersihkan segala kekotoran dijiwa mereka, meluruskan yang mana yang bengkok dan membetulkan mana yang salah, menampakkan pahala syahid di jalan Allah, menerangkat pangkat syuhada di sisi Allah, menungkatkan moral dan keazaman tentera Mesir. Sama ada mati syahid atau menang...pasukan tentera yang seperti ini tentu tidak dapat dikalahkan dengan izin Allah. Tentera Mesir sampai di Ain Jalut iaitu kira-kira lima batu dari Al Afula di Palestin, di antara bandar Al Afula dan Baisan. Apabila tentera tahu, mereka menyerbu tentera Islam di sana pada tahun 658 hijrah. Dari segi jumlah tentera dan kelengkapan, bangsa Tartar melebihi berlipat kali ganti jumlah tentera Islam. Akan tetapi kelebihan moral berada di pihak Mesir kerana mereka mempunyai senjata rahsia yang paling berkesan yang tidak dibuat perkiraan oleh bansgsa Tartar iaitu keimanan yang mendalam kepada Allah dan keazaman untuk menang atau mati syahid.
Secara zahirnya bangsa Tartar kita tidak ragu-ragu akan meletakkan kemenangan kepada bagsa Tartar kerana : 1. Panglima tentera Tartar mempunyai pengalaman yang lama dalam peperangan sedangkan Qathaz tiada pengalaman perang langsung. 2. Moral tentera Tartar cukup tinggi kerana mereka maju dari satu kemenangan ke satu kemenangan yang lain, tidak pernah tewas sejak beberapa tahun ini sedangkan moral Qathaz rendah kerana tidak pernah berperang atau menang perang. 3. Kemampuan bertempur bangsa Tartar amat tinggi melalui pengalaman mereka dalam banyak pertempuran sebelum ini. 4. Tentera Tartar mengatasi dari segi jumlah tenaga dan kelengkapan terutama angkatan berkuda yang mahir. Kemasyhuran tentera Tartar memenuhi dunia tentang ketangkasan, keberanian dan paling terlatih dalam seni pertempuran berkuda. 5. Tentera Tartar mengatasi dari segi logistik kerana ia bergantung kepada negara-negara kaya yang diduduki di tanah Syams. Sementera tentera Mesir kedudukannya terlalu jauh dari Mesir satu-satu tempat bekalan diterima, tambahan ketika itu hanya binatang di gunakan mengangkut bekalan.
Tentera Tartar telah melancarkan serangan kilat secara besar-besaran ke atas tentera Mesir, mengakibatkan barisan tentera Mesir bergoncang hebat dan ditimpa kerugian jiwa yang besar, kemudian mereka berundur. Tentera Tartar hampir-hampir dapat menyapu bersih angkatan tentera Mesir.
Melihat keadaan ini, Qathaz menjerit “Wa Islamahu, Wa Islamahu” (Oh Islam!). sebelum pertempuran dua tokoh ulama’ tadi telah berusaha membangkitkan semangat keagamaan di dalam angkatan tentera Mesir. Maka jeritan kuat seorang mukmin yang amanah itu telah memberikan kesan yang mendalam dan menyentuh perasaan setiap perajurit lalu mereka menyusun kembali barisan dan membuat serangan balas sehingga mencapai kemenangan. Suatu kemenagan yang luar biasa bertentangan dengan prinsip-prinsip peperanagan sebagaimana yang diramalkan dengan izin Allah.
Selepas pertempuran itu bangsa Tartar tidak pernah berjaya lagi kerana mereka telah menderita kerugian jiwa dan harta benda yang besar, mereka berundur lari dan orang-orang lain pun mengambil kesempatan menghentam mereka.
Selepas itu Qathaz memasuki Damsyik dan mengambil kembali dari tangan Tartar. Beliau mengarahkan panglima Baibras membersihkan saki baki Tartar di tanah Syam. Begitulah dengan keimanan yang dibangunkan oleh dua tokoh ulama? tentera Mesir telah mencapai kemenangan yang gilang-gemilang.
Dua orang pahlawan yang sangat penting sebelum Islam kerana menentangnya dan selepasmemeluk Islam menjadi tenaga jihad yang sangat penting di medan perang mengalahkan musuh dan memberikan kemenangan besar kepada Islam dan umatnya ialah Khalid al-Walid r.a. dan Amru bil al-As r.a.
KHALID AL-WALID MEMELUK ISLAM
Cahaya Islam mula menembusi hati Khalid al-Walid r.a. apabila melihat perkembangan dan kemenangan Islam yang tidak boleh dihalang oleh segala kekuataan kebendaan walau sebesar manapun. Keadaan lebih nyata apabila beliau memimpin tentera berkuda musyrikin Mekah untuk menghalang Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya dari memasuki Mekah untuk mengerjakan ibadat haji.
Khalid al-Walid bersama 200 orang tentera berkudanya menunggu di Kurra?ul-Ghamim yang menjadi jalan utama ke Mekah ketika itu. Beliau merancang untuk menyerang rombonganRasulullah s.a.w. ketika mereka solat Asar iaitu ketika mereka rukuk dan sujud. Sewaktu hendak melancarkan serangan mengejut itu Allah SWT telah menurunkan hukum cara-cara sembahyang ketika kecemasan iaitu solat Khauf. Menyebabkan hilanglah peluang mereka untuk menyerang rombongan Rasulullah s.a.w.
Kadang-kadang terlintas dalam fikiran Khalid al-Walid untuk pergi ke Habsyah kerana rajanya telah memeluk Islam, berada di sana lebih aman. Kadang-kadang dia berfikir untuk menganut Yahudi atau Nasrani dan bernaung di bawah Raja Rom. Tiba-tiba datang sepucuk surat dari saudaranya al-Walid bin al-Walid menyatakan Rasulullah s.a.w. mencarinya ketika datang mengerjakan umarah qada?.
Saudaranya menceritakan di dalam surat itu, Rasulullah s.a.w. menganggap orang seperti Khalid al-Walid tidak jahil berkenaan Islam, kalau dia jadikan kepintarannya itu bersama umat Islam adalah lebih baik kepadanya, dan dia akan diletakkan di tempat yang lebih baik dari orang lain. Oleh itu datanglah menemui Rasulullah s.a.w. dan jangan lepaskan peluang ini. Kedatangan surat ini menambahkan semangat Khalid al-Walid menganut Islam. Ketika itu juga Khalid al-Walid bermimpi dia berada di suatu tempat yang sempit dan kering kontang, kemudian dapat melepaskan diri ke negeri yang luas dan subur menghijau. Mendatangkan suatu alamat baik seperti yang ditafsirkan oleh Abu Bakar r.a. apabila Khalid al-Walid menceritakannya iaitu keluar dari kesempitan syirik kepada kebaikan dan kebenaran Islam.
Khalid al-Walid tidak mahu pergi seorang diri berdepan Rasulullah s.a.w lalu mengajak Safwan bin Umaiyyah, tetapi dia menolaknya. Kemudian mengajak Ikriamah bin Abu Jahal juga menolak. Lalu Khalid mengambil binatang kenderaannya untuk ke Madinah bersendirian, tiba-tiba dia bertemu Uthman bin Abi Talhah dan memujuknya bertemu Rasulullah s.a.w., Uthman bersetuju lalu mereka pun menuju Madinah di tengah malam. Setelah waktu fajar merka sampai di Al-Hudat dan bertemu Amru bin Al-As. Kamu hendak ke mana? Tanya Amru al-As. Mereka menjawab “Kami nak masuk Islam dan menjadi pengikut Rasulullah s.a.w.”.Amru menjawab “Akupun begitu juga”. Bertolaklah mereka bertiga ke Madinah. Sampai di Madinah Khalid al-Walid menemui saudaranya al-Walid bin al-Walid dahulu, lalu saudaranya menyuruh ia segera bertemu Rasulullah s.a.w. kerana baginga sedang menunggunya dengan sangat gembira. Khalid al-Walid menemui Rasulullah s.a.w dan mengucap dua kalimah syahadah. Baginda memanggil Khalid al-Walid supaya menghampirinya dan berkata “Segala puji bagi Allah, Tuhan yang telah memberi petunjuk untukmu kepada Islam, sesungguhnya aku lihat engkau adalah seorang yang mempunyai akal fikiran yang pintar, dan berharap bahawa Allah menunjukmu kepada Islam untuk membawa kebaikan kepada Islam”. Khalid menjawab: ” Wahai Rasulullah s.a.w.! Aku masih teringat kepada apa yang aku lakukan menentang Islam dan aku membersihkan diri daripadanya, mintalah supaya Allah mengampunkan aku”. Rasulullah s.a.w menjawab “Islam menghapuskan itu semua”, baginda berdoa “Ya Allah ya Tuhanku, ampunkan Khalid, apa yang pernah dilakukan bagi menentang Allah dan RasulNya”.
AMRU AL-AS MEMELUK ISLAM
Amru al-As r.a. pernah menegaskan: ?Aku antara orang yang paling bermusuh dengan Islam dan menentangnya dengan keras, pernah menyertai perang Badar tetapi aku masih selamat, menyertai perang Uhud tetapi aku masih selamat, menyertai perang Khandaq/ Ahzab tetapi aku masih selamat?. Dan aku pernah menegaskan: ?Kalau semua orang-orang Quaraisy masuk Islam nescaya aku tidak masuk Islam?.
Cahaya keimanan mula memancar kepadanya apabila beliau ditugaskan oleh Musyirikin Mekah bertemu Raja Habsyah untuk mendapat keizinan bagi menghalau umat Islam yang berhijrah ke Habsyah. Kebetulan ketika itu Amru al-As terserempak dengan utusan Rasulullah s.a.w. yang membawa surat kepada Raja Habsyah supaya masuk Islam iaitu Amru bin Umaiyyah Ad-Damri dan Raja Habsyah telah pun menerima Islam tanpa disedari oleh Amru al-As.
Sebaik sahaja utusan Rasulullah s.a.w. keluar dari majlis, Amru al-As mengambil kesempatan mengadap Raja Habsyah dengan memberi hadiah yang banyak dari Mekah. Raja Habsyah menerima hadiah tersebut dan melayannya dengan baik. Amru al-As berkata: “Tadi aku melihat ada seorang yang datang mengadap dan membawa surat. Sebenarnya dia adalah utusan musuh kami, yang melakukan masalah kepada kami dan membunuh pemimpim-pemimpin dan orang-orang bangsawan di kalangan kami, serahkan dia kepadaku supaya aku dapat membunuhnya”.
Tiba-tiba Raja Habsyah meradang dan mengangkat tangannya menampar muka Amru al-As lalu mengenai hidungnya sehingga berdarah, lalu raja berkata: “Hai Amru! Adakah engkau minta kepada aku supaya aku serahkan kepadamu utusan dari seorang yang didatangi malaikat Jibril yang pernah menemui Musa a.s. dan menemui Isa a.s., supaya aku membunuhnya”. Amru al-As menceritakan perasaannya ketika itu, jika ada lubang bumi untuk menyelamatkan diri, nescaya aku terjun ke dalamnya ketika itu. Aku berfikir adalah orang-orang Arab dan bukan Arab percaya kepadanya tetapi mengapa aku tidak percaya”Amru al-As bertanya: “Adakah tuanku percaya kepadanya?”. Raja Habsyah menjawab: “Ya! Aku mengaku di sisi Allah percaya kepadanya. Demi Allah dia di pihak yang benar, dia mesti menang menghadapi orang-orang yang menentangnya, seperti Allah memenagkan Nabi Musa a.s. menghadapi firaun dan bala tenteranya, adakah engkau berjanji kepadaku masuk Islam?”. Jawab Amru al-As: “Ya”. Lalu Raja Habsyah memerintahkan dibasuh darah dan diberikan pakaian baru.
Amru al-As terus keluar dari Habsyah dengan menaiki kapal menyeberangi Laut Merah, setelah sampai ke darat membeli seekor unta menuju ke Madinah, dalam perjalanan menemui Khalid al-Walid dan Uthman bin Abi Talhah. Kedatangan mereka amat mengembirakan Rasulullah s.a.w. kerana mereka adalah pahlawan yang gagah berani dan terkenal dengan kepintarannya.
Amru al-As tidak berdaya mengangkat mukanya kerana malu di atas perbuatannya menentang Islam di masa lalu, beliau berbai?ah dan meminta Rasulullah s.a.w. berdoa mengampunkan dosanya. Rasulullah s.a.w memberi jaminan bahawa Allah telah mengampunkan dosanya yang lalu.
Rasulullah s.a.w telah meletakkan kedudukan mereka di dalam Islam kena pada tempatnya sehingga mereka inilah yang banyak memberikan kegemilangan pada Islam di masa-masa hadapan. Orang-orang pilihan di masa jahiliyyah menjadi orang-orang pilihan juga di masa Islam kalau mereka faham?
SAIYID Utsman Betawi seorang mufti di dunia Melayu yang paling banyak dipercakapkan orang. Realiti tersebut tidak dapat kita nafikan kerana memang banyak sebab orang bercakap mengenainya, sama ada orang yang suka mahu pun yang kontroversi. Setiap langkah kebijaksanaan seseorang ulama atau tokoh besar memang demikianlah yang akan berlaku.
Nama lengkap beliau ialah Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Umar bin Yahya al-Alawi, yang dipopularkan dengan "Habib Utsman Mufti Batawi". Lahir di Pekojan Betawi (Jakarta), 17 Rabiulawal 1238 Hijrah/2 Disember 1822 Masihi. Ibunya bernama Aminah anak Syeikh Abdur Rahman al-Mashri. Saiyid Utsman termasuk seorang ulama keturunan Nabi Muhammad s.a.w, masih asli darah Arab mengalir ditubuhnya. Beliau adalah sahabat ulama besar yang terkenal, ialah Saiyid Yusuf an-Nabhani, Mufti di Beirut.
Karangan Saiyid Utsman sangat banyak berbentuk naskhah, risalah-risalah dan kitab kecil. Kitab yang tebal kurang diketahui, namun keseluruhan karyanya, berjumlah 109 buah. Selain aktiviti mengarang, beliau adalah mufti di Betawi, di samping itu, di bidang bisnes Saiyid Utsman membuka perusahaan cetak sendiri. Dalam memutuskan sesuatu hukum Saiyid Utsman sangat tegas sekali, tanpa pandang siapapun sehingga mungkin kurang mendapat tempat dalam perkembangan kebudayaan asli di dunia Melayu, jika kebudayaan itu bertentangan dengan hukum-hukum syarak. Ini dapat dibuktikan daripada beberapa karya beliau.
Hampir semua ulama asli Jakarta yang ada sekarang merupakan pertalian daripada Saiyid Utsman turun ke murid, tidak ubah seumpama Syeikh Abdul Azhim dengan ulama-ulama Madura, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dengan ulama-ulama Minangkabau; Tok Kenali dengan ulama-ulama Malaysia dan lain-lain seumpama mereka.
Kelicikan seorang Belanda, Snouck Hurgronje kepada Saiyid Utsman mengakibatkan melunturkan namanya di kalangan ahli gerakan nasional Indonesia. Kekeliruannya dalam bidang politik, seolah-olah ia telah tertipu dengan berbagai-bagai pujuk rayu daripada sarjana Belanda itu. Tentang ini tidak saya ceritakan dalam artikel ini, kerana telah diriwayatkan oleh Mr. Hamid Alqadri dalam bukunya, C. Snouck Hurgronje Politik Belanda Terhadap Islam dan Keturunan Arab, diterbitkan oleh Sinar Harapan, cetakan pertama 1984.
Walau bagaimanapun, Saiyid Utsman tetap termasuk salah seorang yang dicurigai Belanda. Deliar Noer menulis, "Sedang Saiyid Utsman bin Yahya al-Alawi, yang disebut sebagai "seorang Arab yang berserikat dengan pemerintahan Hindia Belanda" dan yang menafsirkan perang jihad semata-mata sebagai peperangan melawan "nafsu-nafsu jahat". Jadi bukan perang fizik terhadap orang kafir, tidak mendapat kepercayaan penuh daripada kalangan Belanda. Ketika ia berdoa untuk keselamatan Ratu Belanda pada 1898, ia dituduh "mengelabui mata orang-orang Eropah dengan perbuatannya itu." (Gerakan Modern Islam di Indonesia, LP 3ES, 1997, hlm. 2).
Saya meragui tulisan Chaidar, "... terjadilah di sana yang agak meruncing di antara Syeikh Nawawi al-Bantani (ketika itu masih kanak-kanak) dengan Siayid Utsman al-Alawi." (Sejarah Pujangga Islam Syeikh Nawawi Al-Bantani, CV. Sarana Utama, 1978, hlm..60). "... bahawa ketika peristiwa itu terjadi Syeikh Nawawi al-Bantani belum dewasa lagi." (hlm. 62). Padahal Syeikh Nawawi al-Bantani lebih tua lapan tahun daripada Sayid Utsman al-Batawi. Syeikh Nawawi al-Bantani lahir tahun 1230 Hijrah, wafat 1314 Hijrah. Sedangkan Saiyid Utsman al-Batawi lahir 17 Rabiulawal 1238 Hijrah/2 Disember 1822 Masihi, wafat tahun 1333 Hijrah.
Saiyid Utsman al-Batawi ketika hidup seringkali mengadakan komunikasi melalui surat-menyurat dengan Saiyid Yusuf an-Nabhani di Beirut. Saiyid Utsman al-Batawi sependapat dalam berbagai-bagai jalan pemikiran dengan ulama Beirut yang terkenal itu, sama- sama bermazhab Syafie dan sama-sama menentang pemikiran Syeikh Muhammad Abduh dan Saiyid Rasyid Ridha, ulama pembaharuan yang muncul di Mesir itu.
Atas pengakuan Saiyid Utsman al-Batawi sendiri, bahawa beliau pernah belajar kepada ulama-ulama di Mekah iaitu; Syeikh Ahmad ad-Dimyathi, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Saiyid Muhammad bin Husein al-Habsyi dan Syeikh Rahmatullah. Di Hadhramaut, beliau belajar kepada Saiyid Abdullah bin Husein bin Thahir, Saiyid Abdullah bin Umar bin Yahya, Saiyid Hasan al-Bahr dan lain-lain. Di Tunisia, beliau belajar kepada Syarif Muhammad bin Abdul Jawad al-Qabisi.
PENULISAN
Karya-karyanya ditulis dalam bahasa Arab, Melayu Jakarta, Jawa dan Sunda. Di antara yang dapat disenaraikan ialah; 1. Jawazu Ta'addudil Jumu'ah, ditulis tahun 1286 H. 2. Manhaj al-Istiqamah fi ad-Dini bi as-Salamah, selesai pada 5 Zulkaedah 1307 H/1890 H. 3. Mazil al-Auham wa at-Taraddud fi Amri Shalah al-Jumu'ah Ta'addud, ditulis tahun 1312 H. 4. Taftih al-Maqallatain wa Tabyin al-Mufsidin al-Makhba-ataini fi ar-Risalah al-Ma'mati bi Shulhi al-Juma'ataini, ditulis tahun 1313 H. 5. Al-Qawanin asy-Syar'iyah, ditulis tahun 1317 H. 6. Perhiasan Bagus. 7. Shifat Dua puluh. 8. Samth asy-Syuzur wa al-Jawahir fi Hilli Takhshish an-Nuzur li as-Sadah. 9. Kitab al-Faraidh. 10. Hadits Keluarga. 11. Maslak al-Akhyar. 12. Abadul Insan. 13. Iqazhuniyah fi ma Yata'allaqu bi Lahillah wa Shiyam. 14. Az-Zahrul Basim. 15. I'anah al-Mustarsyidin. 16. Thariq as-Salamah. 17. Salam al-Muslimin. 18. Terjemah Hukum Islam. 19. Sa'adah al-Anam. 20. Tamyiz al-Haq. 21. Perihal Hukum Azan. 22. Irsyad al-Anam. 23. Taftih al-'Uyun. 24. Miftah as-Sa'adah. 25. Tafsir Surah Kahfi. 26. As-Silsalah an-Nabawiyah. 27. Qamus Tiga Bahasa. 28. Qamus Kecil. 29. Hukum Gambar. 30. Hikam ar-Rahman. 31. Hadits Empat Puluh. 32. Bab al-Minan. 33. Mukhtashar al-Qamus. 34. Tujuh Faidah. 35. Dan lain-lain.
BAHASAN
Menurut riwayat, seluruh karangan Sayid Utsman berjumlah 109 judul besar dan kecil, tetapi yang terbanyak merupakan risalah-risalah kecil. Bahasan tentang karya beliau dituangkan di sini sekadarnya sahaja iaitu, yang dianggap perlu dan penting-penting saja. Terjadi peristiwa sedikit pertikaian faham antara Saiyid Utsman Betawi dengan Syeikh Ahmad Khatihb bin Abdul Lathif al-Minankabawi, pada beberapa aspek hukum mengenai solat Jumaat. Ada beberapa kitab karya kedua-duanya, yang bercorak "polemik" yang memakan waktu agak lama.
Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Lathif Minangkabau diperkirakan umurnya jauh lebih muda dari Saiyid Utsman Betawi. Salah satu bukti bahawa Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau jauh lebih muda daripada Saiyid Utsman Betawi bahawa dalam tahun 1286 Hijrah Saiyid Utsman Betawi telah mengarang kitab, Jawazu Ta'addudi Juma'atain, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau waktu itu, baru berusia 10 tahun saja (beliau lahir pada 1276 Hijrah).
Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menyusun sebuah kitab berjudul, Shulhul Juma'atain bi Jawazi Ta'addudil Juma'atain yang merupakan suatu penjelasan atas beberapa kesamaran sebuah kitab Saiyid Utsman Betawi yang ditulis pada 1312 Hijrah. Tulisan Syeikh Ahamad Khatib Minangkabau itu sebahagian sependapat dengan tulisan Saiyid Utsman Betawi dan di antaranya ada yang berlawanan. Tulisan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau itu mengundang kemarahan Saiyid Utsman Betawi sehingga beliau menyusun kitab berjudul, Taftih al-Maqalatain wa Tabyin al-Mufasidatain (ditulis pada 1313 Hijrah). Untuk menyanggah kitab Saiyid Utsman Betawi itu, Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau menyusun kitab berjudul, Istbat az-Zain li Shulhil Juma'atain bi Jawazi Ta'addud al-Jumu'atain fi Raddi 'alal Kitabil Musamma Taftih al-Maqalatain (ditulis pada 1313 Hijrah). Kitab-kitab polemik kedua-dua ulama besar dunia Melayu itu ditulis dengan bahasa Arab.
Sebenarnya sebelum terjadi peristiwa tersebut telah terjadi terlebih dahulu pertikaian di antara Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau dengan "Al-'Allamah Syeikh Salim bin Samir al-Hadhrami" sahabat Saiyid Utsman Betawi. Saiyid Utsman Betawi menyebut bahawa, karya beliau telah disambut dan diakui oleh beberapa ulama besar yang terkenal, iaitu selain Syeikh Nawawi al-Bantani dan Syeikh Junaid Betawi terdapat nama-nama Syeikh Muhammad Sa'id Ba Bashail, Mufti Syafi'iyah di Mekah, Saiyid Ahmad bin Zainal Dahlan Mufti Syafi'iyah Mekah, Saiyid al-Allamah Abdur Rahman bin Muhammad al-Masyhur, penyusun kitab fikah terkenal berjudul, Bughyatul Mustarsyidin, pujiannya atas kitab Saiyid Utsman Betawi judul, I'ahatul Mustarsyidin dan al-'Allamah as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. Satu fenomena yang aneh, kerana semua ulama yang membenarkan karangan Saiyid Utsman Betawi adalah para guru Syeikh Ahmad Khathib Minangkabau.
Karya
Dalam karyanya berjudul, a-Qawanin asy-Syar'iyah li Ahli al-Majalis al-Hukmiyah wa al-Iftaiyah (ditulis pada 1317 Hijrah) banyak juga perkara yang belum pernah dibahas oleh ulama dunia Melayu sebelumnya. Di- antaranya, Saiyid Utsman Betawi mengemukakan pedoman untuk memilih perkara-perkara 'yang muktamad dan 'yang tidak muktamad' menurut Mazhab Syafie, contohnya: 1. Qaul (pendapat, pen:) yang muktamad dalam Mazhab Syafie, iaitu yang dii'timadkan (diperpegangi) oleh Imam an-Nawawi dan Imam ar-Rafie.
2. Jika kedua-duanya bertikai, maka yang muktamad ialah pendapat Imam an-Nawawi.
3. Jika ada qaul yang disebut oleh salah seorang daripada kedua-duanya, maka itu juga dihitung muktamad. 4. Jika tidak terdapat qaul daripada kedua-duanya, maka yang muktamad ialah mengikut 'Ahli at-Tarjih'.
5. Jika bertentangan satu sama lain yang dikarang oleh Imam Nawawi sendiri, maka yang muktamad adalah yang dikarang terkemudiannya. Sebagaimana tertib satu-satunya Tahqiq, Majmu', Tanqih, Raudhah Minhaj dan lain-lain.
Demikian pula didahulukan qaul yang mufakat pada banyak kitabnya atas yang mufakat pada yang sedikit. Dan didahulukan qaul yang tersebut di 'Bab'nya atas yang tersebut pada bukan 'Bab'nya. 6. Sekalian qaul muktamad Imam Nawawi dan Imam Rafie, iaitu yang dii'timadkan oleh Syeikh Ibnu Hajar di dalam Tuhfah dan Syeikh ar-Ramli di dalam Nihayah. Tuhfah dan Nihayah dipandang yang paling muktamad daripada lainnya. 7. Jika bersalahan kitab Ibnu Hajar sendiri, maka didahulukan Tuhfah, kemudian Fath al-Jawad, kemudian al-Imdad, kemudian, Fatawa, dan seterusnya kitab-kitab yang lain.
Pada fasal yang kelima al-Qawanin asy-Syar'iyah, Saiyid Utsman Betawi memperkenalkan aturan mengenal susunan-susunan Minhaj dan Tuhfah.
PADA mukadimah dan penutup tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri keluaran yang lalu, telah saya singgung gambar imaginasi. Dalam artikel ini disiarkan gambar imaginasi Syeikh Nuruddin ar- Raniri yang juga tiada siapa yang tahu penciptanya, seperti Syeikh Hamzah al-Fansuri juga. Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri, nama Syeikh Nuruddin ar-Raniri cukup banyak mendapat perhatian dan ditulis orang. Jauh sebelum kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri ke Aceh, pada masa pemerintahan Sultan Husein (pengganti Sultan sebelumnya), yang mangkat tahun 975 H/1567 M, di Aceh telah ada seorang ulama yang digelar Syeikh Nuruddin. Mengenainya disebut dalam Hikayat Aceh.
Perlu dibezakan, apabila kita menulis nama lengkap Syeikh Nuruddin ar-Raniri dengan nama ayah saudaranya yang pernah datang ke Aceh. Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diriwayatkan ini nama lengkapnya berdasarkan kepada karya-karyanya ialah Syeikh Nuruddin Muhammad ibnu 'Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraisyi. Syeikh Nuruddin ar-Raniri walau pun berasal daripada keturunan Arab di India dari pihak ayahnya dan bangsa Melayu dari sebelah ibu, namun beliau lama tinggal di Pahang dan Aceh, dan banyak mengarang kitab-kitab dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar karangannya ditujukan membantah fahaman 'Wahdatul Wujud' yang diajarkan oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.
Banyak perkara menarik mengenai ulama ini, di antaranya kitab fikah dalam bahasa Melayu yang pertama sekali berjudul ash-Shirath al-Mustaqim adalah karya beliau. Demikian juga mengenai kitab hadis yang berjudul al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadits an-Nabawiyah atau judul lainnya Hidaya al-Habib fi at-Targhib wa at-Tarhib, adalah kitab membicarkan hadis yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.
Hampir semua penulis menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilahirkan di Ranir, berdekatan dengan Gujarat. Asal usul beliau ialah bangsa Arab keturunan Quraisy yang berpindah ke India. Tetapi salah seorang muridnya bernama Muhammad 'Ali atau Manshur yang digelarkan dengan Megat Sati ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa'id Ja'far Shadiq ibnu 'Abdullah dalam karyanya Syarab al-'Arifin li Ahli al-Washilin menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah "Raniri negerinya, Syafi'ie nama mazhabnya, Bakri bangsanya."
Pendidikan asasnya dipercayai diperolehnya di tempat kelahirannya Raniri atau Rander. Raniri/Rander, sebahagian riwayat mengatakan berdekatan dengan Kota Surat, dan riwayat lain mengatakan dekat Bikanir, kedua-duanya di negeri India. Syeikh Nuruddin ar-Raniri berhasil berangkat ke Mekah dan Madinah dalam tahun 1030 H/1621 M dan di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Abu Hafash 'Umar bin 'Abdullah Ba Syaiban atau nama lain ulama ini ialah Saiyid 'Umar al-'Aidrus. Kepada ulama ini beliau mengambil bai'ah Thariqat Rifa'iyah. Dalam sektor Thariqat Rifa'iyah itu syeikh yang tersebut adalah murid kepada Syeikh Muhammad al-'Aidrus. Selain Thariqat Rifa'iyah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri juga pengamal Thariqat Qadiriyah.
Kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri buat pertama kalinya ke Aceh diriwayatkan dalam tahun 1577 M, tetapi ada juga ahli sejarah mencatat bahawa beliau sampai di Aceh pada tahun 1637 M. Ini bererti setahun setelah mangkatnya Sultan Iskandar Muda (memerintah dari tahun 1606 M hingga 1636 M). Syeikh Nuruddin ar-Raniri seakan-akan kedatangan pembawa satu pendapat baru, yang asing dalam masyarakat Aceh. Setiap sesuatu yang baru selalu menjadi perhatian dan pengamatan orang, sama ada pihak kawan atau pun pihak lawan. Fahaman baru yang dibawa masuk oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu ialah fahaman anti atau penolakan tasawuf ajaran model Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Kedua-dua ajaran ulama sufi itu adalah sesat menurut pandangan beliau.
Syeikh Nuruddin ar-Raniri mendapat tempat pada hati Sultan Iskandar Tsani, yang walaupun sebenarnya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda beliau tidak begitu diketahui oleh masyarakat luas.
Oleh sebab ketegasan dan keberaniannya ditambah lagi, Syeikh Nuruddin ar-Raniri menguasai berbagai-bagai bidang ilmu agama Islam, mengakibatkan beliau sangat cepat menonjol pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani itu. Akhirnya Syeikh Nuruddin ar-Raniri naik ke puncak yang tertinggi dalam kerajaan Aceh, kerana beliau mendapat sokongan sepenuhnya daripada sultan. Beliau memang ahli dalam bidang ilmu Mantiq (Logika) dan ilmu Balaghah (Retorika). Dalam ilmu Fikah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah penganut Mazhab Syafie, walaupun beliau juga ahli dalam ajaran mazhab-mazhab yang lainnya. Dari segi akidah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah pengikut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang berasal daripada Syeikh Abul Hasan al-Asy'ari dan Syeikh Abu Manshur al-Maturidi. Pegangannya dalam tasawuf ialah beliau adalah pengikut tasawuf yang mu'tabarah dan pengamal berbagai-bagai thariqah sufiyah. Tetapi suatu perkara yang aneh, dalam bidang tasawuf beliau menghentam habis-habisan
Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Walau bagaimanapun Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak pernah menyalahkan, bahkan menyokong Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Abi Yazid al-Bistami, 'Abdul Karim al-Jili, Abu Manshur Husein al-Hallaj dan lain-lain. Perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang keluar daripada ulama-ulama sufi yang tersebut itu tidak pernah beliau salahkan tetapi sebaliknya perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang berasal daripada Syeikh Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i selalu ditafsirkan secara salah oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Di dalam karyanya Fath al-Mubin 'ala al-Mulhidin, Syeikh Nuruddin ar-Raniri berpendapat bahawa al-Hallaj mati syahid. Katanya: "Dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua." Padahal jika kita teliti, sebenarnya Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu pegangannya tidak ubah dengan al-Hallaj.
Ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i berpunca daripada ajaran Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Syeikh Abi Yazid al-Bistami, Syeikh 'Abdul Karim al-Jili dalam satu sektor. Dan bahagian lain juga berpunca daripada ajaran Imam al-Ghazali, Syeikh Junaid al-Baghdadi dan lain-lain, adalah dipandang muktabar, sah dan betul menurut pandangan ahli tasawuf. Bahawa ajaran tasawuf telah berurat dan berakar di kalbi, bahkan telah mesra dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, dari kulit hingga daging, dari tulang hingga ke sumsum pencinta-pencintanya, yang tentu saja mereka mengadakan tentangan yang spontan terhadap Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Bahkan kepada siapa saja yang berani menyalah-nyalahkan pegangan mereka.
Pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i menganggap kedua-dua guru mereka adalah wali Allah, yang faham terhadap pengetahuan syariat, tarekat, haqiqat dan makrifat. Mereka beranggapan, walaupun diakui bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri sebagai seorang ulama besar, yang dikatakan juga telah mengetahui ilmu tasawuf, namun tasawuf yang diketahui oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu hanyalah tasawuf zahir belaka. Bahawa beliau hanyalah mengetahui kulit ilmu tasawuf, tetap tidak sampai kepada intipati tasawuf yang sebenar-benarnya. Bahawa beliau baru mempunyai ilmu lisan sebagai hujah belaka, tetapi belum mempunyai ilmu kalbi, yang dinamakan juga dengan ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, wajiblah mereka membela guru mereka yang mereka sanjung tinggi itu.
Selama menetap di Pahang atau pun setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk yang berasal dari dunia Melayu belajar kepada ulama besar yang berasal dari India itu, namun sampai riwayat ini saya tulis, belum dijumpai tulisan yang menyenaraikan nama murid-murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Untuk memulakan penjejakan mengenainya di sini dapat saya perkenalkan hanya dua orang, iaitu: Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi/al-Maqasari al-Khalwati yang berasal dari Makasar/tanah Bugis. Tidak begitu jelas apakah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati ini belajar kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu beliau masih di Aceh atau pun Syeikh Yusuf datang menemui Syeikh Nuruddin ar-Raniri di negerinya, India. Sementara pendapat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Khalwati benar-benar dapat berguru kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu masih di Aceh lagi, dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati menerima bai'ah Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Yang seorang lagi ialah Syeikh Muhammad 'Ali, ulama ini berasal dari Aceh.
Ada yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia di India. Pendapat lain menyebut bahawa beliau meninggal dunia di Aceh. Ahmad Daudi, menulis: "Maka tiba-tiba dan tanpa sebab-sebab yang diketahui, Syeikh Nuruddin ar-Raniri meninggalkan Serambi Mekah ini, belayar kembali ke tanah tumpah darahnya yang tercinta, Ranir untuk selama-lamanya. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1054 H (1644 M)." Bahawa beliau meninggal dunia pada 22 Zulhijjah 1069 H/21 September 1658 M. Tetapi Karel A. Steenbrink dalam bukunya, Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat berpendapat lain, bahawa hingga tahun 1644 M bererti Syeikh Nuruddin masih berada di Aceh. Menurutnya terjadi diskusi yang terlalu tajam antara beberapa kelompok pemerintah: Seorang uskup agung (ar-Raniri) di satu pihak dan beberapa hulubalang dan seorang ulama dari Sumatera Barat di pihak lain. Pihak yang anti ar-Raniri akhirnya menang, sehingga ar-Raniri dengan tergesa-gesa kembali ke Gujarat. Tulisan Karel itu barangkali ada benarnya, kerana secara tidak langsung Syeikh Nuruddin mengaku pernah kalah berdebat dengan Saiful Rijal, penyokong fahaman Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, perkara ini beliau ceritakan dalam kitab Fath al-Mubin.
Ada pun tempat meninggalnya, H.M. Zainuddin, berbeza pendapat dengan Ahmad Daudi di atas. Menurut Zainuddin dalam Tarich Atjeh Dan Nusantara, jilid 1, bahawa terjadi pertikaian di istana, dalam perebutan itu telah terbunuh seorang ulama, Faqih Hitam yang menentang tindakan Puteri Seri Alam. Dalam pada itu Syeikh Nuruddin diculik orang, kemudian mayatnya diketemukan di Kuala Aceh. Menurut H.M. Zainuddin pula, bahawa makam Syeikh Nuruddin itu dikenal dengan makam keramat Teungku Syiahdin (Syeikh Nuruddin ar-Raniri) terletak di Kuala Aceh.
Dalam masa pemerintahan Iskandar Muda, kerajaan Aceh maju, ajaran sufi tidak menghalang kemajuan yang berasaskan Islam. Sebaliknya masa pemerintahan Iskandar Tsani, ajaran sufi dianggap sesat, ternyata kerajaan Aceh mulai menurun. Bantahan terhadap sesuatu pegangan yang pernah berkembang di dunia Islam perlulah ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Siapa saja yang memegang urusan keislaman janganlah tersalah penilaian, sering terjadi yang benar menjadi salah, atau sebaliknya yang salah menjadi benar.
SYEIKH Hamzah al-Fansuri telah banyak dibicarakan orang, namun tidak dapat dinafikan perkara-perkara baru sentiasa ditemui oleh para peneliti. Pada mukadimah ini saya nyatakan bahawa tanpa diketahui siapakah yang pertama mengkhayal rupa tokoh agung sufi Nusantara itu, sehingga ditemui gambar imaginasi beliau.
Gambar Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat dipastikan sebagai gambar imaginasi, kerana pada zaman beliau memang belum ada kamera. Sebenarnya ia berlaku bukan pada Syeikh Hamzah al-Fansuri saja, tetapi juga terjadi pada ulama-ulama lainnya, termasuk Imam al-Ghazali, Syeikh 'Abdul Qadir al-Jilani, Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Wali Sembilan dan lain-lain. Sungguh pun dipastikan gambar Syeikh Hamzah al-Fansuri adalah gambar imaginasi, namun dalam artikel ini disiarkan juga, dan ia merupakan pertama kali disiarkan dalam media cetak secara meluas.
Hampir semua pengkaji yang mem bicarakan tokoh ulama ini pada zaman moden, selalu merujuk kepada karya-karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas. Barangkali dunia memang mengakui bahawa beliaulah orang yang paling banyak memperkenalkan Syeikh Hamzah al-Fansuri ke peringkat antarabangsa. Walau bagaimanapun apabila kita membaca keseluruhan karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas yang membicarakan Syeikh Hamzah al-Fansuri, bukanlah bererti kita tidak perlu mentelaah karya-karya lain lagi, kerana apabila kita mentelaah karya-karya selainnya, terutama sekali yang masih berupa manuskrip, tentu sedikit sebanyak kita akan menemukan perkara-perkara baru yang belum dibicarakan. Karya terkini tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri ialah buku yang diberi judul Tasawuf Yang Tertindas Kajian Hermeneutik Terhadap Karya-Karya Hamzah Fansuri. Buku setebal 444 halaman itu dikarang oleh Dr. Abdul Hadi W.M. dan terbitan pertama oleh Penerbit Paramadina, Jakarta, 2001. Sama ada karya-karya Prof. Dr. Syed M. Naquib al-Attas mahupun karya Dr. Abdul Hadi W.M., sedikit pun tiada menyentuh gambar Syeikh Hamzah al-Fansuri seperti yang tersebut di atas.
Asal-usul dan pendidikan
Prof. A. Hasymi pada penyelidikannya yang lebih awal bertentangan dengan hasil penyelidikannya yang terakhir. Penyelidikan awal, ayah Syeikh Hamzah al-Fansuri nampaknya tidak ada hubungan adik beradik dengan ayah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri. Penyelidikan terakhir beliau mengatakan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri itu adalah adik beradik dengan Syeikh Ali al-Fansuri. Syeikh Ali al-Fansuri adalah ayah kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri. Penyelidikan awal yang saya maksudkan ialah yang ditulis oleh Prof. A. Hasymi dalam Ruba'i Hamzah Fansuri yang dapat diambil pengertian daripada kalimatnya, "Ayah Hamzah pindah dari Fansur (Singkel) ke Barus untuk mengajar, kerana beliau juga seorang ulama besar, seperti halnya ayah Syeikh Abdur Rauf Fansuri yang juga ulama, sama-sama berasal dari Fansur (Singkel)" (terbitan DBP, 1976, hlm. 11). Mengenai penyelidikan Prof. A. Hasymi yang menyebut Syeikh Hamzah al-Fansuri saudara Syeikh Ali al-Fansuri atau Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri adalah anak saudara kepada Syeikh Hamzah al-Fansuri, dapat dirujuk kepada kata pengantar buku Hamzah Fansuri Penyair Sufi Aceh karya Abdul Hadi W.M. Dan L. K. Ara, diterbitkan oleh Penerbit Lotkala, tanpa menyebut tempat dan tarikh.
Walaupun Prof. A. Hasymi belum memberikan suatu pernyataan tegas bahawa beliau memansukhkan tulisannya yang disebut dalam Ruba'i Hamzah Fansuri, namun kita terpaksa memakai penyelidikan terakhir seperti yang telah dijelaskan di atas. Dr. Azyumardi Azra dalam bukunya, Jaringan Ulama mengatakan bahawa beliau tidak yakin bahawa Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu benar-benar keponakan (anak saudara) Syeikh Hamzah al-Fansuri. "Sebab, menurutnya, tidak ada sumber lain yang mendukung hal itu." Bagi saya ia masih boleh dibicarakan dan perlu penelitian yang lebih sempurna dan berkesinambungan. Sebab yang dinamakan sumber pendukung sesuatu pendapat, bukan hanya berdasarkan tulisan tetapi termasuklah cerita yang mutawatir. Kemungkinan Prof. A. Hasymi yang berasal dari Aceh itu lebih banyak mendapatkan cerita yang mutawatir berbanding penelitian barat yang banyak disebut oleh Azra. Diterima atau tidak oleh pengkaji selain beliau, terpulanglah ijtihad masing-masing orang yang berkenaan.
Dalam buku Hamzah Fansuri Penyair Aceh, Prof. A. Hasymi menyebut bahawa Syeikh Hamzah Fansuri hidup sampai akhir pemerintahan Sultan Iskandar Muda ternyata juga ada perubahan daripada tulisan beliau yang termaktub dalam Ruba'i Hamzah Fansuri‚ selengkapnya, "Hanya yang sudah pasti, bahawa beliau hidup dalam masa pemerintahan Sultan Alaidin Riayat Syah IV Saiyidil Mukammil (997-1011 H-1589-1604 M) sampai ke permulaan pemerintahan Sultan Iskandar Muda Darma Wangsa Mahkota Alam (1016-1045 H-1607-1636 M)." Yang dimaksudkan dengan "ternyata juga ada perubahan", ialah pada kalimat, " sampai ke permulaan pemerintahan Sultan Iskandar Muda," menjadi kalimat "akhir pemerintahan Sultan Iskandar Muda."
Tarikh lahir Syeikh Hamzah al-Fansuri secara tepat belum dapat dipastikan, adapun tempat kelahirannya ada yang menyebut Barus atau Fansur. Disebut lebih terperinci oleh Prof. A. Hasymi bahawa Fansur itu satu kampung yang terletak antara Kota Singkel dengan Gosong Telaga (Aceh Selatan). Dalam zaman Kerajaan Aceh Darussalam, kampung Fansur itu terkenal sebagai pusat pendidikan Islam di bahagian Aceh Selatan. Pendapat lain menyebut bahawa beliau dilahirkan di Syahrun Nawi atau Ayuthia di Siam dan berhijrah serta menetap di Barus.
Drs. Abdur Rahman al-Ahmadi dalam kertas kerjanya menyebut bahawa ayah Syeikh Hamzah al-Fansuri bernama Syeikh Ismail Aceh bersama Wan Ismail dan Po Rome atau Po Ibrahim (1637- 1687 M) meninggal dunia dalam pertempuran melawan orang Yuwun (Annam) di Phanrang. Bahawa Syeikh Ismail Aceh itu pernah menjadi gabenor di Kota Sri Banoi menggantikan Gabenor Wan Ismail asal Patani yang melepaskan jabatan itu kerana usianya yang lanjut. Drs. Abdur Rahman Al-Ahmadi berpendapat baru, dengan menambah Syahrun Nawi itu di Sri Banoi Sri Vini, selain yang telah disebutkan oleh ramai penulis bahawa Syahrun Nawi adalah di Siam atau Aceh. Dalam Patani, iaitu antara perjalanan dari Patani ke Senggora memang terdapat satu kampung yang dinamakan Nawi, berkemungkinan dari kampung itulah yang dimaksudkan seperti yang termaktub dalam syair Syeikh Hamzah al-Fansuri yang menyebut nama Syahrun Nawi itu. Kampung Nawi di Patani itu barangkali nama asalnya memang Syahrun Nawi, lalu telah diubah oleh Siam hingga bernama Nawi saja. Syahrun Nawi adalah di Patani masih boleh diambil kira, kerana pada zaman dulu Patani dan sekitarnya adalah suatu kawasan yang memang ramai ulamanya. Saya telah sampai ke kampung tersebut (1992), berkali-kali kerana mencari manuskrip lama. Beberapa buah manuskrip memang saya peroleh di kampung itu. Lagi pula antara Aceh dan Patani sejak lama memang ada hubungan yang erat sekali. Walau bagaimanapun Prof. A. Hasymi menyebut bahawa Syahrun Nawi itu adalah nama dari Aceh sebagai peringatan bagi seorang Pangeran dari Siam yang datang ke Aceh pada masa silam yang bernama Syahir Nuwi, yang membangun Aceh pada zaman sebelum Islam.
Daripada berbagai-bagai sumber disebutkan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri telah belajar berbagai-bagai ilmu yang memakan masa lama. Selain belajar di Aceh sendiri beliau telah mengembara ke pelbagai tempat, di antaranya ke Banten (Jawa Barat), bahkan sumber yang lain menyebut bahawa beliau pernah mengembara keseluruh tanah Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi dan Arab. Dikatakan bahawa Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula beliau menguasai dengan kemas seluruh sektor ilmu Arabiyah, fasih dalam ucapan bahasa itu, berkebolehan berbahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa.
Karya-keryanya
Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat digolongkan kepada peringkat awal dalam menghasilkan karya puisi/sastera dalam bahasa Melayu, sangat menonjol terutama sekali dalam sektor sufi. Lebih terserlah lagi kemasyhurannya kerana terjadi kontroversi yang dilemparkan oleh orang-orang yang tidak sependapat dengannya yang dimulai dengan karya-karya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, berlanjutan terus hingga sampai ke hari ini karya-karya Syeikh Hamzah al-Fansuri selalu dibicarakan dalam forum-forum ilmiah.
Di bawah ini saya cuba menyenaraikan karya beliau yang telah diketahui, iaitu: 1). Syarb al- 'Asyiqin atau Zinatul Muwahhidin. 2). Asrar al-'Arifin fi Bayan 'Ilm as-Suluk wa at-Tauhid. 3). Al-Muntahi. 4). Ruba'i Hamzah Fansuri. 5). Kasyf Sirri Tajalli ash-Shibyan. 6). Kitab fi Bayani Ma'rifah. 7). Syair Si Burung Pingai. 8). Syair Si Burung Pungguk. 9). Syair Sidang Faqir. 10). Syair Dagang. 11). Syair Perahu. 12). Syair Ikan Tongkol. Keterangan lengkap mengenai data karya Syeikh Hamzah al-Fansuri dapat dirujuk dalam buku yang saya susun berjudul Al-Ma'rifah Pelbagai Aspek Tasawuf Nusantara, jilid 1. Senarai yang tersebut di atas merupakan maklumat yang terlengkap buat sementara dan akan ditambah lagi jika terdapat maklumat baru yang belum termuat dalam senarai di atas.
Mengakhiri artikel ini di sini perlu dijelaskan bahawa makam Syeikh Hamzah al-Fansuri telah ditemui sebagaimana ditulis oleh Dada Meuraxa: "Di satu kampung yang bernama Obor terletak di hulu Sungai Singkil, terdapat makam ulama dan pujangga Hamzah Fansuri. Makam itu bertulis: Inilah makam Hamzah Fansuri mursit Syeikh Abdurrauf = Hamzah Fansuri guru Syeikh Abdur Rauf."
Mengenai tahun wafat Syeikh Hamzah al-Fansuri secara tepat selama ini tidak pernah disebut. Tetapi Azra dalam Jaringan Ulama menyebut bahawa ulama sufi itu wafat pada tahun 1016 H/1607 M. Disebutkan tahunnya itu disekalikannya membantah bahawa Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri (Al-Sinkili, menurut istilahnya) "tidak mungkin bertemu dengan ulama sufi itu", menurutnya "Al-Sinkili bahkan belum lahir".
Seolah-olah Azra menolak mentah-mentah tahun kelahiran Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri yang disebut oleh A. Hasymi tahun 1001 H/1592 M itu, kemungkinan dia berpegang pada tahun kelahiran 1024 H/1615 M, atau pendapat lain 1620 M, sedangkan tahun kewafatan Syeikh Hamzah al-Fansuri yang disebutnya 1016 H/1607 M itu belum juga tentu betul. Wallahu a'lam.
Penutup
Gambar imaginasi Syeikh Hamzah al-Fansuri yang saya sebut pada mukadimah, walau pun saya sendiri lebih mengutamakan sesuatu yang asli, namun terpaksa disiarkan juga. Pada zaman kita selain orang yang suka kepada keaslian, sebaliknya sangat ramai yang suka kepada sesuatu yang bercorak tiruan.
Bunga tiruan lebih mendapat pasaran daripada bunga yang asli. Ramai yang menyanggah ilmu yang bercorak rohani, kerana terpengaruh dengan persekitaran yang bercorak fantasi. Pembangunan fizikal lebih meluas dibicarakan berbanding pembinaan iman dan makrifat
HANYA seorang ulama berasal dari Kepulauan Riau yang mengajar di Masjidil Haram, Mekah yang diakui sebagai ulama besar. Ulama berasal dari Pulau-Lingga, Kepulauan Riau ini pada mulanya dapat dikesan melalui sebuah karyanya berjudul Daqaiqul Akhbar.
Kitab Daqaiqul Akhbar merupakan sebuah kitab Melayu/Jawi yang tersebar luas di seluruh dunia Melayu. Hasil penyelidikan awal yang saya laksanakan dijumpai hanya beberapa buah karya beliau selain Daqaiqul Akhbar. Sekitar tahun 1970an, salah sebuah majalah yang diterbitkan di Jakarta mengupas kitab Daqaiqul Akhbar itu dengan agak panjang lebar tetapi mengatakan bahawa pengarangnya berasal dari Lanka atau Sri Lanka atau Ceylon.
Nampaknya penulis artikel dalam majalah itu tidak pernah tahu tentang Pulau Lingga. Padahal sejarah kerajaan-kerajaan Melayu cukup jelas meriwayatkan wujudnya sebuah kerajaan Melayu yang pernah berpusat di Lingga. Nama lengkap kerajaan itu ialah kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan sekalian daerah takluknya.
Pengasas kerajaan itu ialah Sultan Mahmud, yang makamnya masih ada sampai sekarang terletak di belakang Masjid Lingga. Selanjutnya di Lingga adalah tempat bersemayamnya Sultan, sedangkan di Pulau Penyengat tempat kedudukan Yamtuan Muda atau Yang Dipertuan Muda melaksanakan pentadbiran ulama yang diriwayatkan dalam artikel ini, yang kemuncak namanya di Mekah, berasal daripada bekas pusat kerajaan Melayu itu.
Tiada siapa tahu riwayat ulama yang berasal dari Lingga tersebut secara terperinci. Namun pada tahun 1979 di Mekah saya berjumpa dengan salah seorang murid ulama tersebut, iaitu Abdur Rahman bin Syeikh Yahya Raman al-Fathani dalam usia hampir 100 tahun; dia termasuk orang Melayu tertua Mekah yang masih hidup dalam tahun 1979 itu. Abdur Rahman bercerita tentang riwayat hidup Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga itu dengan jelas termasuk beberapa ulama dunia Melayu lainnya. Cerita yang bersumber daripada Abdur Rahman bin Syeikh Yahya Raman itu didokumentasikan seperti berikut: Nama lengkapnya ialah al-'Alim al-'Allamah asy-Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Asal usulnya dari Pulau Lingga di Kepulauan Riau.
Riwayat terkini setelah saya pergi ke Lingga ada yang meriwayatkan bahawa datuk nenek ulama yang diriwayatkan ini berasal dari Kelantan. Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga mempunyai dua orang adik bernama Abdul Hamid dan Ibrahim. Abdul Hamid adalah seorang ulama yang mempunyai dua orang anak, iaitu Ahmad dan Muhammad, manakala Ibrahim tidak mempunyai anak.
Yang berupa bahan bertulis pula hanya sedikit tentang Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga disentuh oleh Syeikh Muhammad Zainuddin bin Syeikh 'Utsman Sarawak dalam Nafahat ar-Ridhwan. Sungguh pun demikian sekurang-kurangnya dua maklumat yang cukup mengagungkan nama ulama yang berasal dari Pulau Lingga itu.
Keagungan pertama ditonjolkan bahawa Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga sebagai "Qus bahasa Melayu, iaitu satu istilah yang sangat terpandang di kalangan orang-orang Arab." Bukti keagungan ilmunya pula sehingga Syeikh 'Utsman Sarawak dan anaknya Syeikh Muhammad Zainuddin Sarawak, kedua-duanya adalah ulama besar bekas murid Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Sekiranya Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga bukan seorang ulama besar atau pengetahuannya sedikit atau dangkal, tidaklah ulama besar yang sangat terkenal seperti Syeikh 'Utsman Sarawak belajar kepadanya.
Seorang ulama besar yang berasal dari Muar, Johor, Qadhi Abu Bakar bin Hasan lebih banyak menulis catatan tentang Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Hampir semua kitab yang dipelajari dan dikhatamnya daripada Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga terdapat catatan tarikh mulai belajar dan tarikh selesai belajar. Di antara kitab hadis yang diajar oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga ialah kitab Sahih Bukhari dan kitab-kitab hadis selainnya yang dikenali dengan Kitab as-Sittah. Sekiranya tidak dijumpai catatan Abu Bakar bin Hasan Muar, akan hilanglah sejarah sebenar bahawa Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga adalah seorang ulama ahli dalam bidang ilmu hadis di Mekah pada zamannya. Abu Bakar bin Hasan Muar sendiri sempat mengkhatamkan kitab Shahih Bukhari daripada Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.
PENDIDIKAN
Pada abad ke-19 Masihi, Kerajaan Riau-Lingga merupakan pusat tamadun Melayu dan Islam. Perkembangan budaya, bahasa dan sastera di Riau-Lingga tersebar ke serata ceruk dan rantau dunia Melayu. Ketokohan beberapa orang pengarang yang berasal dari sana, terutamanya Raja Ali begitu ketara sepanjang zaman itu. Raja Abdullah yang terkenal dengan gelaran Marhum Mursyid, Yamtuan Muda Riau yang ke-9 (1857-1858 M), memimpin Thariqat Naqsyabandiyah begitu menggalakkan pengajian dalam bidang Islam. Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga lahir pada zaman pemerintahan baginda. Dipercayai bahawa Syeikh Ahmad Lingga mendapat pendidikan asas sistem pendidikan Riau-Lingga yang bersifat terbuka dalam segala bidang. Pada peringkat awal beliau lebih mendalami kaedah bahasa Melayu dan sejarah. Menurut cerita Abdur Rahman Raman, bahawa pendidikan agama secara mendalam diperolehnya di Pondok Bendang Daya, Patani. Selepas itu dilanjutkan di Mekah. Di Mekah beliau belajar dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1231 H/1815 M-1304 H/1886 M), Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (wafat 10 Jamadilawal 1335 H), Saiyid Ahmad an-Nahrawi dan ramai lagi.
PENULISAN
Karya Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga yang telah dijumpai hanya empat iaitu: 1. Daqaiq al-Akhbar fi Zikri al-Jannah wa an-Nar. Kandungannya merupakan karya terjemahan kitab Daqaiq al-Akhbar fi Zikri al-Jannah wa an-Nar dalam bahasa Arab yang pertama sekali diterjemahkan ke bahasa Melayu. Kitab ini menceritakan kejadian alam ghaib terutama tentang syurga dan neraka. Masyarakat Melayu zaman dulu jika membaca kitab ini cukup mengasyikkan kerana mempunyai gaya seni yang tersendiri. Membaca kitab Daqaiq al-Akhbar boleh menyebabkan kita lebih rajin menyiapkan bekal untuk akhirat dan meninggalkan pelbagai bentuk dosa yang dilarang oleh Allah dan rasul-Nya. Diselesaikan hari Selasa, 20 Muharam 1312 H, di Mekah. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, Jamadilakhir 1312 H, dicetak atas usaha Syeikh Ismail Aceh. Cetakan yang ketiga oleh percetakan yang sama tahun 1320 H. Cetakan yang keempat oleh percetakan yang sama tahun 1322 H. Hingga sekarang terdapat pelbagai edisi cetakan.
2. Ats-Tsimar al-Lazizah 'ala ar-Riyadh al-Badi'ah). Judul terjemahan oleh pe ngarangnya, Segala Buah Kayu Yang Sedap-Sedap Atas Segala Kebun Yang Indah-indah. Kandungannya mulai dengan pembicaraan akidah. Kandungan utama ialah fikah bahagian ibadat menurut Mazhab Syafie. Pada bahagian akhir membicarakan perkara sumpah dan nazar. Kemudian dilanjutkan dengan ziarah Rasulullah s.a.w. dan terakhir sekali mengenai zikrullah. Diselesaikan 21 Safar 1312 H. Cetakan yang ketiga Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1322 H. Dicetak juga oleh Mathba'ah Dar Ihya' Kutub al-'Arabiyah, Safar 1344 H.
3. Nasihat al-Ahli al-Wafa ila Washiyat al-Mushthafa. Kandungannya merupakan terjemahan hadis wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Saidina Ali k.w. Memperhatikan pengkhususan hadis hanyalah wasiat untuk Saidina Ali k.w., dalam perkembangan sekarang ada golongan tertentu terlalu murah menuduh bahawa hadis yang demikian terlalu memihak atau terdapat pengaruh Syiah. Pada pandangan saya, tuduhan yang tidak berasaskan penelitian dan keadilan dalam menilai serta berpegang pelbagai aspek ilmu tidak perlu dilayani. Seseorang yang tidak sampai pada sesuatu tahap keilmuan tiadalah layak menilai keilmuan seseorang ulama. Diselesaikan hari Sabtu, pukul 9.30, 11 Syawal 1312 H, di Mekah. Cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, akhir Zulhijjah 1323 H.
4. Hadiqah ar-Raihan fi Qishshah Saidina Sulaiman. Kandungannya mengenai kisah Nabi Sulaiman a.s. Karya ini dapat dikategorikan dalam sastera klasik Melayu-Islam. Diselesaikan pada 24 Jamadilawal 1313 H di Mekah. Cetakan yang kedua Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, awal Muharam 1324 H.
AKTIVITI
Oleh sebab Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga seorang yang dianggap pakar dalam bahasa Melayu, dia digelar "Qus Bahasa Melayu".
Syeikh Muhammad Zainuddin as-Sarawaqi menulis, "...Asy-Syeikh yang alim, yang sampai kepada kepandaiannya ialah seperti Qus pada masanya tentang bahasa Melayu, iaitu seorang yang cerdik pada orang-orang Arab yang memegang tali lagam segala ilmu adab. Orang yang berkhidmat akan Tuhannya terlampau cermat dan jaga, iaitu Asy-Syeikh Ahmad orang Lingga ..." Oleh kerana kepakarannya Syeikh Ahmad al-Fathani memasukkannya sebagai ahli pentashhih kitab Melayu/Jawi. Dalam perbahasan tentang pemakaian bahasa Melayu untuk kitab-kitab yang akan diterbitkan, telah terjadi muzakarah antara kedua-dua ulama itu secara terus-menerus. Keterlibatan Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga dalam dunia pentashhihan kitab Melayu/Jawi seolah-olah tidak diketahui orang kerana namanya memang tidak tercatat dalam semua cetakan kitab Melayu/Jawi. Mengenai Syeikh Ahmad Lingga hanya sedikit saja disentuh oleh Syeikh Zainuddin Sarawak dalam kitabnya Nafahat ar-Ridhwan.
Selain menjadi seorang penulis, Syeikh Ahmad Lingga juga seorang ulama yang aktif mengajar, sama ada di rumahnya mahu pun di Masjidil Haram, Mekah. Beliau bersahabat dengan ulama-ulama lain, di antaranya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (1272 H/ 1856 M-1325 H-1908 M), Syeikh Ahmad Khatib bin Lathif Minangkabau (1276 H/1860 M-1334 H/1916 M), Syeikh 'Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani dan ramai lagi.
Di antara murid Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, yang menjadi ulama besar ialah Abu Bakar bin Hasan (1875 M-1938 M), beliau adalah Kadi Muar, Johor, Syeikh 'Utsman bin 'Abdul Wahhab as-Sarawaqi (1281 H/1863 M-1339 H/1921 M). Termasuk juga Abdullah Fahim, Tok Kenali, Kiyai Hasyim Asy'ari dan semua ulama yang sezaman dengan mereka, yang belajar di Mekah ketika itu adalah murid Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.
Selain yang disebutkan, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga juga seorang Syeikh Haji. Sebahagian besar jemaah haji dari Kepulauan Riau, Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor yang menunaikan haji pada zaman itu diurus oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.
BARANGKALI ramai yang menyangka bahawa hanya sedikit sekali ulama dunia Melayu yang ahli atau pakar dalam disiplin ilmu falak. Ak- hir-akhir ini sebahagian besar seminar mengenai falak di Malaysia yang sangat ditonjolkan ialah Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Fahim. Oleh itu melalui Ruangan Agama, Utusan Malaysia, terbitan yang lalu saya cuba memperkenalkan Raja Muhammad Sa'id bin Raja Muhammad Tahir Riau, sebagai intelektual dan ulama yang ahli dalam bidang falak, yang mendahului kedua-dua ulama yang berasal dari Minangkabau (Syeikh Tahir Jalaluddin) dan Patani (Syeikh Abdullah Fahim) itu. Artikel ini pula memperkenalkan intelektual dan ulama yang ahli dalam bidang falak, yang sezaman dengan Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syeikh Abdullah Fahim.
Ulama ahli falak dunia Melayu yang diriwayatkan ini, nama lengkapnya ialah Kiyai Muhammad Shalih bin Syeikh Abdur Rahman Gudang bin Muhammad Ali bin Ismail al-Fathani. Menurut riwayat, beliau dilahirkan di atas kapal di Sabang, di bahagian utara Aceh. Tarikh tepat kelahiran belum diketahui. Nasab dari sebelah lelaki yang dapat dijejaki ialah berasal dari Patani. Berdasarkan tulisan Kiyai Muhammad Shalih bahawa beliau berasal dari Kampung Cabang Tiga Patani. Diriwayatkan pula nasab yang lebih ke atas adalah berasal daripada salah seorang keturunan raja di Aceh. Berdasarkan tulisan Kiyai Muhammad Shalih juga bahawa beliau tinggal di beberapa tempat, iaitu di Mekah, Johor, Kampung Sawah, Tanjung Karang (Sumatera Selatan), Bengkalis (Riau), Ranai, Bunguran Timur, Tanjung Pinang (Riau) dan terakhir sekali di Palembang (Sumatera Selatan).
PENDIDIKAN
Dalam bidang khusus tentang falak, ada persamaan riwayat Kiyai Muhammad Shalih jika kita bandingkan dengan riwayat Raja Muhammad Sa'id. Ayah Raja Muhammad Sa'id, bernama Raja Muhammad Tahir Riau adalah seorang ahli falak yang menghasilkan penulisan mengenai ilmu itu, demikian halnya dengan Kiyai Muhammad Shalih. Ayahnya Syeikh 'Abdur Rahman Gudang al -Fathani, juga seorang ahli falak yang menghasilkan penulisan tentang falak.
Kiyai Muhammad Shalih selain mendapat pendidikan ilmu falak daripada ayahnya, beliau juga mendapat pendidikan ilmu-ilmu keislaman yang mendalam daripada ayahnya di Mekah. Oleh itu Kiyai Muhammad Shalih dalam bidang-bidang tertentu juga dianggap sebagai seorang ulama yang pakar. Ilmu-ilmu yang dianggap Kiyai Muhammad Shalih sangat pakar ialah ilmu-ilmu bahasa Arab, seperti nahu, sharaf, balaghah, dan lain-lain. Kerana Kiyai Muhammad Shalih dipandang sangat ahli dalam bidang ilmu-ilmu Arabiah, sebab itulah beliau diminta menjadi guru oleh pihak Kuliyah Al- Attas Johor Bahru, Bahagian Arab mengajar di sekolah Arab yang sangat terkenal di Johor pada zaman itu.
Mengenai Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani mengajar di Kuliyah Al-Attas Johor Bahru, Bahagian Arab pernah dimuat dalam majalah Pengasuh, bilangan 454, 5 Safar 1353 H/17 Mei 1934 M. Setelah Indonesia merdeka (1945), Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani dilantik sebagai pegawai tinggi di Departemen Agama Republik Indonesia, mulai bertugas di Palembang tahun 1948, selanjutnya di beberapa tempat di Riau. Selanjutnya di Palembang lagi, sehingga beliau meninggal dunia di sana.
PENULISAN
Dalam tahun 1980an saya memiliki dan mendapat maklumat beberapa buah karangan Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani, ialah Risalah Sullam at-Tarsyid fi Ahkam at-Tajwid, cetakan pertama Anglo Asiatic Press, Singapura, 1932, Almanak Arabi Dan Masehi Buat Selama-Lamanya. Karya ini diselesaikan di Kampung Sawah, Tanjung Karang, Sumatera Selatan pada 18 Safar 1368 H/19 Disember 1948 M. Diterbitkan sendiri oleh penyusunnya ketika tinggal di Bengkalis, Riau pada 17 Julai 1952 M. Dalam karya ini Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani menulis pandangan dan pesan untuk bangsanya, kata beliau, "Hargailah usaha daripada bangsa sendiri". Tulisan beliau pula, "Hargailah tenaga pengetahuan bangsa sendiri." Sebuah karangan Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani yang belum dijumpai, yang pernah diiklan dalam sebuah karya beliau ialah tentang ilmu balaghah. Karya tersebut diberi judul Mabadi al-Balaghah li al-Madrasah al-'Arabiyah. Berdasarkan iklan yang dikeluarkan dapat diketahui bahawa juzuk yang pertama mengandungi ilmu al-ma'ani. Juzuk yang kedua tentang ilmu al-bayan. Juzuk yang ketiga tentang ilmu al-badi.
Ketika diadakan Seminar Ilmu Falak Sheikh Tahir Jalaluddin dan Sheikh Abdullah Fahim: Perintis Ilmu Falak Moden, beberapa karya Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani, koleksi saya telah dipamerkan. Koleksi mengenai ilmu falak mendapat sambutan yang menggalakkan terutama bagi para pengkaji ilmu falak. Dalam seminar anjuran Jabatan Mufti Pulau Pinang, Unit Penyelidikan Ilmu Falak & Sains Atmosfera, USM dan Pusat Islam USM, 1 Syaaban 1426 H/5 September 2005 M, di Hotel Gurney, Pulau Pinang itu saya perolehi sebuah karya Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani mengenai falak yang selama ini belum saya miliki. Karya tentang falak yang saya anggap sangat penting itu saya terima daripada salah seorang pemakalah, Baharruddin bin Zainal (Institut Penyelidikan Matematik (INSPEM) Universiti Putra Malaysia). Kepada beliau saya ucapkan terima kasih kerana di samping kajian moden beliau ambil peduli terhadap khazanah yang bercorak klasik yang pernah ditulis oleh ulama kita dunia Melayu. Karya Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani yang dimaksudkan ialah Risalah Durar al-Azman Pada Mengirakan Pang kal Tiap-Tiap Tahun Dan Bulan. Mengenai karya yang tersebut perlu dibahas agak panjang, seperti yang diulas di bawah ini.
Pada halaman pertama setelah judul beliau menggunakan nama Abi 'Abdir Rahman Muhammad Shalih 'Abdur Rahman al-Fathani. Di bawah nama diberi keterangan bahawa beliau adalah Guru Bahagian Bahasa Arab di Sekolah Tinggi atau Kolej Islam Johor Baharu Darul Ta'zim. Pada halaman berikutnya, pada bahagian atas dinyatakan, "Berbahagialah risalah ini dapat dikarang pada masa yang sangat berbahagia Maulana as-Sultan Ibrahim bin al-Marhum as-Sultan Abu Bakar Sultan Johor". Diiringi dengan doa, "Dikekalkan oleh Allah akan kerajaannya selama ada bulan dan bintang, Amin, Amin, Amin". Di bawah kalimat di atas terdapat gambar beliau. Diberi keterangan "Dikemukakan gambar ini supaya kita berkenal-kenalan".
Pada mukadimah Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani, bahawa yang menggalakkan beliau menyusun risalah tersebut ialah al-Mu'allim Ismail 'Umar, Batu Pahat, Sekreteri Kulliah al-'Attas, pada masa Johor diperintah oleh Sultan Ibrahim. Sesudah mukadimah disebut beberapa nama kitab hisab dan falak yang dirujuk, ialah Minhaj al-Qawim Pada Menyatakan Hisab dan Taqwim, al-Fawaid al-Fikriyah, Miftah at-Ta'lim Berkenaan Dengan Hisab Dan Taqwim, Karangan Yang Mulia Raja Muhammad Thahir Bin al-Marhum Raja 'Abdullah al-Falaki, Kitab Syams al-Ma'arif al-Kubra dan Syams al-Fathiyah Berkenaan Dengan A'mal Jaibiyah. Ada pun rujukan yang berjudul Minhajul Qawim adalah karangan orang tua beliau, iaitu Syeikh 'Abdur Rahman Gudang al-Fathani. Risalah tersebut selesai ditulis pada 14 Ramadan 1310 H/1892 M, ditemui cetakan yang kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah 1314 H/1896 M. Rujukan yang berjudul Miftah at-Ta'lim adalah karangan Tuan Guru 'Umar brangan Tuan Guru 'Umar bin Ismail Nuruddin Sungai Keladi yang selesai penulisannya di Sungai Keladi, Kota Bharu, Kelantan pada waktu Zuhur, hari Khamis, 18 Zulhijjah 1343 H/9 Jun 1925 M. Cetakan yang pertama Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan, 6 Rejab 1344 H/19 Januari 1926 M. Syeikh Tahir Jalaluddin walau pun dikatakan sangat terkenal, namun tidak disentuh oleh Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani. Mengenai ini barangkali kemunculan karangan dalam bentuk buku Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani lebih dulu daripada Syeikh Tahir Jalaluddin. Risalah Durar al-Azman Pada Mengirakan Pangkal Tiap-TiapTahun Dan Bulan, karangan Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani yang dibicarakan ini diselesaikan pada pagi hari Isnin, 1 Muharam 1353 H/16 April 1934 M bererti mendahului karangan Syeikh Tahir Jalaluddin yang berjudul Natijatul 'Umur, selesai penulisan tahun 1355 H/1936 M. Tetapi jika dibandingkan dengan tulisan Syeikh Tahir Jalaluddin yang mulai dimuat dalam Natijah terbitan Mathba'ah AI- Ahmadiah, Singapura, tahun 1346 H/1927-1928 M bererti karangan falak Syeikh Tahir Jalaluddin telah mendahului karangan falak Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani.
KETURUNAN
Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani berkahwin pertama kali dengan anak pembesar Kerajaan Siak Seri Inderapura, iaitu anak Datuk Hamzah bin Endut, Bentara Kiri Kerajaan Siak Seri Inderapura. Daripada perkahwinan itu beliau memperoleh empat orang anak; 1. 'Abdur Rahman Shalih al-Fathani. Beliau ini saya jumpa di rumahnya di Jakarta Barat, pada 18 Februari 1986. Selanjutnya adik-adiknya yang dicatatkan di bawah ini adalah berdasarkan yang saya peroleh darpada beliau pada tarikh tersebut di atas. 2. Siti Aisyah Shalih, di Pekanbaru, Riau. 3. Ahmad Bustami Shalih di Bandung. 4. Faridah Kartini Shalih, di Pekanbaru, Riau. Perkahwinan dengan isteri yang berasal dari Palembang, Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani memperoleh anak sebagai yang berikut: 5. Drs. M. Hatta, di Jakarta. 6. Jamal. 7. Farid. 8. Faishal. 9. Hamidah dan 10. Jamilah.
Memperhatikan Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani memperoleh anak sepuluh orang, bererti ramai keturunan beliau di Indonesia. Sedangkan keturunan adik beradik Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani ramai pula di Patani, Malaysia dan Mekah. Hingga artikel ini saya tulis usaha-usaha keluarga ini mencatat nama-nama, tempat tinggal dan pelbagai aktiviti mereka sedang dijalankan. Pada pandangan saya usaha yang demikian adalah termasuk dalam rangka menghubungkan silaturrahim yang dianjurkan oleh agama Islam, apatah lagi terhadap seseorang yang bersejarah. Berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w. bahawa menghubungkan silaturrahim termasuk salah satu sebab yang boleh memanjangkan umur seperti juga memperbanyak sedekah dan doa. Demikianlah riwayat Kiyai Muhammad Shalih al-Fathani, ulama besar Nusantara, yang wafat di Palembang, Sumatera Selatan, tarikh kewafatannya belum diketahui.
SALAH seorang anak Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani yang menjadi ulama besar di Mekah sekali gus adalah seorang pembesar Mekah pada zaman pemerintahan Turki 'Utsmaniyah, ialah Syeikh Muhammad al-Fathani. Syeikh Muhammad al-Fathani termasuk dalam lingkungan keluarga besar ulama-ulama Patani yang terkenal, mulai ayah hingga beberapa lapis ke atas, sama ada dari pihak ayah mahu pun dari pihak ibu semuanya ulama belaka. Ayahnya Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman bin 'Utsman al-Fathani adalah saudara sepupu Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani (penulis Mathla' al-Badrain). Kedua-duanya adalah ulama besar yang cukup besar pengaruhnya di Mekah mahu pun di seluruh dunia Melayu. Kedua-duanya pula adalah cucu saudara Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.
Syeikh Muhammad bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani mempunyai beberapa orang adik beradik, di antaranya Syeikh Daud bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani. Syeikh Daud bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani memperoleh seorang anak bernama Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani, beliau ini banyak disebut oleh Syeikh Yasin bin 'Isa al-Fadani dalam karangan-karangannya yang membicarakan sanad-sanad hadis. Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani selain anak saudara Syeikh Muhammad al-Fathani, sekali gus adalah anak angkat, anak didik, bahkan hampir keseluruhan ilmu yang dikuasai oleh Syeikh Ibrahim bin Syeikh Daud al-Fathani adalah diperoleh daripada ayah saudaranya itu. Syeikh Muhammad al-Fathani mengajar anak saudara itu dan beberapa orang yang berasal dari dunia Melayu mulai kitab yang paling asas hinggalah kitab yang tinggi-tinggi, di antara kitab yang tinggi-tinggi itu tidak semua orang berkemampuan mengajarkannya.
SANAD ILMU
Apabila kita jejaki pendidikan yang dialami Syeikh Muhammad al-Fathani dapat diambil kesimpulan sekurang-kurangnya melalui dua jalur yang besar. Jalur pertama melalui lingkungan keluarga sendiri atau keluarga Patani di Mekah. Dan jalur yang kedua melalui ulama-ulama bangsa Arab yang berada di Mekah. Jalur daripada keluarga sendiri sekurang-kurangnya belajar kepada tiga orang. Yang pertama, kepada ayah beliau sendiri, iaitu Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Jalur yang melalui ulama-ulama Mekah sangat panjang untuk diceritakan. Di bawah ini saya salin satu sanad yang beliau berikan kepada muridnya yang bernama Muhammad Sa'id bin Ahmad yang berasal dari Melaka. Sungguh pun sanad tersebut hanya membicarakan Hizib an-Nawawi dibaca setiap selesai sembahyang Subuh dan Maghrib, namun sanad ini juga ada kaitan dengan pelbagai disiplin ilmu.
Salinan selengkapnya adalah sebagai berikut: 1. Syeikh Muhammad bin Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, belajar kepada, 2. Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha, belajar kepada, 3. Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, belajar kepada, 4. Syeikh 'Utsman bin Hasan ad-Dimyathi, belajar kepada, 5. Syeikh Abi Muhammad Muhammad bin Muhammad al-Amir al-Kabir, belajar kepada, 6. Syeikh asy-Syamsu Muhammad bin Salim al-Hifni, belajar kepada, 7. Syeikh Muhammad bin 'Ali al-'Alawi, belajar kepada, 8. Saiyidi Muhammad ibnu Sa'aduddin, belajar kepada, 9. Saiyidi Muhammad ibnu at-Turjuman, belajar kepada, 10. Saiyidi Syeikh 'Abdul Wahhab asy-Sya'rani, belajar kepada, 11. Al-Burhan ibnu Abi Syarif al-Qudsi, belajar kepada, 12. Al-Badru al-Qubban, belajar kepada, 13. Saiyidi Muhammad ibnu al-Khabbaz, belajar kepada, 14. Al-Imam Muhyuddin Abi Zakaria bin Syarfun Nawawi (wafat tahun 670 H/1271 M.
Berdasarkan sanad di atas, dapat diketahui Syeikh Muhammad al-Fathani belajar kepada Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Beliau adalah adik beradik dengan Saiyid Abi Bakri Syatha (pengarang kitab I'anah ath-Thalibin yang terkenal), dipercayai Syeikh Muhammad al-Fathani juga belajar kepada ulama ini yang sanadnya sama dengan yang di atas. Sebahagian besar ulama dunia Melayu mengaku mereka adalah murid kepada Saiyid Abi Bakri Syatha, hampir-hampir tidak ada yang menyebut mereka belajar kepada Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Setakat ini ulama dunia Melayu daripada catatannya sendiri, yang menyebut dirinya murid Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha hanya dua orang. Selain Syeikh Muhammad al-Fathani ialah Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Bahkan, Syeikh Tahir Jalaluddin berkahwin yang pertama di Mekah yang mengangkatkan nikahnya ialah Saiyid 'Umar bin Saiyid Muhammad Syatha. Dari sini dapat diambil kesimpulan bahawa Syeikh Muhammad al-Fathani adalah bersahabat dengan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi ahli falak yang terkenal itu.
Syeikh Muhammad al-Fathani juga bersahabat dan seperguruan dengan Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki. Kedua-duanya sama-sama belajar kepada Saiyid Abi Bakri Syatha yang bersanadkan kepada Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan seterusnya. Ramai ulama dunia Melayu yang datang kemudian tercatat sebagai murid Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki itu, tetapi hanya sebahagian saja yang sempat belajar kepada Syeikh Muhammad al-Fathani. Mengenainya disebabkan Syeikh Muhammad al-Fathani meninggal dunia jauh lebih awal daripada Saiyid Muhammad 'Ali bin Husein al-Maliki al-Makki. Walau bagaimana pun dalam masa-masa kemasyhuran ulama Arab itu dari Patani muncul dua nama, ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani (Tok Cik Wan Daud) dan anak saudaranya, ialah Ismail bin Abdul Qadir al-Fathani (Pak De 'El).
KITAB-KITAB YANG DIAJARKAN
Syeikh Muhammad al-Fathani sangat mengambil perhatian kepada murid-muridnya dalam penekanan ilmu-ilmu Arabiah yang terdiri daripada kitab-kitab ilmu nahu, mulai Matn al-Ajrumiyah dan syarahnya Mukhtashar Jiddan oleh guru daripada gurunya, iaitu Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan. Dalam rangkaian ilmu nahu dimestikannya pula belajar kitab-kitab al-Kafrawi, al-Kawakib, al-Qathar, asy-Syuzur, Ibnu 'Aqil dan syarahnya, Asymuni dan lain-lain. Dilanjutkan dengan ilmu Bayan dengan kitab-kitab seperti Risalah ad-Dardir, Jauhar al-Maknun, Hasyiyah ash-Shabban, Jamul Jawami', dan lain-lain. Kitab-kitab fiqh Syafi'iyah yang diajarkan oleh Syeikh Muhammad al-Fathani ialah al-Minhaj, al-Bahjah, at-Tuhfah, an-Nihayah, dan lain-lain. Semua yang tersebut adalah dalam bahasa Arab. Walau bagaimanapun dalam lingkungan keluarga ini termasuk Syeikh Muhammad al-Fathani tidak mengabaikan pengajaran kitab-kitab Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Mengenai tafsir al-Quran juga beliau ajar, di antaranya ialah Tafsir al-Jalalain. Sebagaimana penekanan dalam ilmu-ilmu yang tersebut, demikianlah penekanan ilmu-ilmu hadis. Kitab as-Sittah yang sangat terkenal di kalangan ahlus sunah itu tidak ketinggalan dalam senarai yang mesti diajarkan.
AKTIVITI
Selain mengajar dan menjadi pembesar Mekah zaman pemerintahan Syarif Husein di Mekah, di bawah naungan kerajaan Turki 'Utsmaniyah, Syeikh Muhammad al-Fathani duduk pula sebagai ahli jawatankuasa menangani karangan-karangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani. Jawatankuasa tersebut bertanggungjawab mulai penyalinan semula untuk diperbanyak, penyemakan salinan, mengenalpasti kitab Arab yang dirujuk, memberi keterangan pada perkataan-perkataan yang nadir dan lain-lain. Pekerjaan demikian dikelola oleh ayah beliau, Syeikh Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Muhammad Ismail al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, kedua-duanya adalah cucu saudara Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani.
Pekerjaan kedua-dua ulama itu adalah menanggapi dan menyetujui inisiatif dan program kerja Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Mereka mengumpulkan koleksi secara keseluruhan dan dibuat perencanaan bahawa karya-karya Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani yang paling utama dan didahulukan untuk diterbitkan daripada karya-karya selain beliau. Walau bagaimanapun karya-karya ulama dunia Melayu lainnya tidak diabaikan. Kitab-kitab Syeikh Daud al-Fathani mulai ditash-hih, kitab-kitab fikanya dimulai dengan tash-hih Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani dan Syeikh Muhammad al-Fathani membantu kerja-kerja ayahnya itu.
Kitab
Di antara kitab karangan Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani yang ditangani oleh Syeikh 'Abdul Qadir bin 'Abdur Rahman al-Fathani yang sekali gus melibatkan anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani dalam perkara kerja-kerja yang telah disebutkan di atas, ialah kitab Hidayah al-Muta'allim, Bughyah ath-Thullab dan Furu' al-Masail Dalam Furu' al-Masail lebih 70 perkara fiqhiyah diberi keterangan atau dikomentari oleh Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, dan di antara yang 70 perkara itu ada yang menyebut nama anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani yang diriwayatkan ini. Di antara perkara yang menyebut nama Syeikh Muhammad bin 'Abdul Qadir al-Fathani dalam Furu' al-Masail ialah salah sebuah edisi cetakan Furu' al-Masail ada catatan, "Dan pada tepinya beberapa taqrirat bagi asy-Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani dan bagi asy-Syeikh Muhammad bin 'Abdul Qadir al-Fathani, dan fawaid, dan lainnya".
Furu' al-Masail halaman 212, "Orang yang kedatangan haid dahulu daripada tawaf rukun dan tiada kuasa tinggal di Mekah sebab ketiadaan nafkah ... " Jawabnya, "Harus ia kembali ke negerinya. Kemudian apabila sampai pada tempat, yang ketiadaan boleh dengan kemudahan kembali ke Mekah hendaklah ia tahallul ... Dan tinggallah tawaf pada zimmahnya, maka datanglah hukumnya seperti orang yang dahulu ... " Kalimat ini telah dibahas oleh Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, dan kalimat beliau itu kemudian dibahas lagi oleh anak beliau, Syeikh Muhammad al-Fathani, tulisnya, "Dan bahawasanya yang terlebih memeliharakan...hingga akhir, ibaratnya (susunan kalimat), kata Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, "Adalah perkataan Tuan Syeikh Daud itu tiada ada maujud pada asal, dan tidak munasabah perkataannya bagi tawaf rukun. Hanya ada munasabah bagi perempuan yang tiada haid, maka masalah ini, masalah haid. Maka perempuan yang haid ketika ia hendak musafir itu gugur wajib tawaf wida'nya." Syeikh Muhammad al-Fathani, menjelaskan perkataan ayahnya itu, tulis beliau," kata walid (ayahku, maksudnya Syeikh 'Abdul Qadir al-Fathani, pen:), "Perkataan ini tiada ada pada asalnya", maka hamba dapat akan dia pada Hasyiah Jamal atas Fath al- Wahab ... " Daripada kalimatnya yang terakhir, iaitu, "..., maka hamba dapat akan dia pada Hasyiah Jamal atas Fath al-Wahab ... " adalah sebagai bukti bahawa Syeikh Muhammad al-Fathani seorang ulama yang rajin dalam penelitian, rajin membaca dan bukan taklid. Saya berkesimpulan walaupun Syeikh Daud bin 'Abdullah al-Fathani dan ayahnya ulama besar, namun apa yang ditulis tetap diteliti dan dicari di mana sumber rujukan. Mengenai ini bukan bererti menyalahkan ulama terdahulu, tetapi adalah untuk lebih memperjelas dan mengukuhkan kedudukan sesuatu hukum Islam yang akan diamalkan oleh masyarakat Islam yang luas tanpa ragu