Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.
Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah.
"Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam":
Blogger
28 Ogos 2005
Fatwa Pengharaman Anti-hadith
Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini:
Ajaran Golongan Anti Hadith
ISI AJARAN
1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
2. Menolak dua kalimah Syahadah.
3. Menolak Qada' dan Qadar
4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12
Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada
wahyu.
5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca
kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam
6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.
TARIKH MUNCUL
1985
TEMPAT BERKEMBANG
Seluruh Malaysia
TINDAKAN/HUKUMAN
Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:
1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996
2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46
3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78
4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3
(Sumber: )
Penutup
Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari
golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai
sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah
difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal
'iya zubillahi min zalik.
Fatwa Mufti Perak
Kategori : Akidah
Tajuk :
Gerakan Anti-hadis
Isu :
"A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –
(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;
(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam
al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;
(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;
(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis
oleh Dr. Rashad Khalifa,
adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang
bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta
mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran
dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku
tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith
yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai
sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan
Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan
mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian
sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan
aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh
menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.
B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang
kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung
dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu
kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah,
syariah dan akhlak Islamiah.
Fatwa :
Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen
Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul
Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa
"Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2
Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah
Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti
berikut
C. OLEH YANG DEMIKIAN –
(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada
ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada
Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu –
Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer
Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;
(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -
(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan
berpegang kepada atau menyebarkan ajaran-
ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam
buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World";
(b) mencetak, menerbitkan, memiliki,
menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan
buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan
Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah
Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan"
atau "The Computer Speaks: God's Message To The
World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –
(i) apa-apa bentuk, versi atau
variasinya;
(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa
bahasa;
(iii) apa-apa bahan publisiti yang
bertujuan memberikan publisiti
kepada mana-mana buku itu,pada atau
atas apa-apa bahan, sama ada bahan
cetak atau elektronik atau
selainnya atau melalui apa-apa
media; atau
(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana
Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan
atau mengembangkan kumpulan sedemikian."
SEJAK 1967, Israel melancarkan gerakan merampas dan menggali kawasan berhampiran Tanah Haram di Baitulmaqdis, lokasi menempatkan Masjidil Al-Aqsa dan Kubah Batu serta beberapa bangunan bersejarah Islam, kononnya bagi membuktikan ketuanan mereka di bumi Palestin selain mengesahkan kemunculan Kerajaan Tuhan pada akhir zaman. Sekurang-kurangnya 12 proses cari gali arkeologi besar-besaran sama ada terang-terangan atau sulit, dijalankan di Kota Lama Baitulmaqdis yang menyaksikan struktur Al-Aqsa semakin lemah dan di bawah tapak masjid itu kini sudah mempunyai terowong besar seluas 450 meter yang kini dijadikan biara Yahudi.
Tanpa menghiraukan bantahan dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan selepas menyedari kelemahan negara Islam untuk bertindak, rejim Zionis yang kini dipimpin Perdana Menteri, Ehud Olmert, terus-terusan mencemarkan kesucian kawasan ibadat agama samawi itu, iaitu agama Yahudi asal, Kristian dan Islam.
Tidak ramai mengetahui kawasan Tanah Haram Baitulmaqdis, masih menjadi lokasi ibadat untuk umat Islam, tanah suci Islam yang ketiga selepas Makkah dan Madinah, manakala di satu bahagian daripada Aqsa masih wujud gereja Kristian manakala di Tembok Barat yang lebih dikenali sebagai Tembok Ratapan atau Wailing Wall serta di sebahagian bawah tanah Al-Aqsa, menjadi tempat ibadat penganut Yahudi.
Sejak beberapa minggu lalu, Israel merancakkan kembali usaha mereka mencari kononnya biara Raja Sulaiman (King Solomon) di atas di Gunung Moriah atau Temple Mount bersamaan Tanah Haram Baitulmadis. Mereka juga berhasrat mendirikan semula biara ini yang menurut sejarah, sudah dua kali dirobohkan Raja Roman dan Pemerintah Babylon.
Turut dicari adalah satu batu hampar, yang dikenali sebagai covenant yang tertulis di atasnya perjanjian lama atau menurut sejarah, batu bertulis mengandungi catatan wahyu. Apa yang menarik perhatian, usaha mengesan dan proses arkeologi yang dijalankan sejak 1967, kebanyakannya hanya menghasilkan penemuan artifak Islam termasuk yang terbaru tahun lalu, sebuah dewan solat, suatu yang cuba dirahsiakan Yahudi.
Menurut pendapat pendeta Yahudi, biara Nabi Sulaiman ini dibina berdasarkan simbol badan manusia. Pelan lantai seni binanya termasuk susun letak peralatannya menggambarkan sebagai Kuil Manusia yang merangkumi tiga tokoh agama Yahudi iaitu Pendeta Agung, Nabi Yaakob dan Penyelamat (Kristian merujuk penyelamat ini sebagai kemunculan semula Jesus atau Isa – manakala ada sesetengah pendapat ulama Islam menyatakan, penyelamat itu kedatangan Nabi Muhammad ke dunia).
Memetik daripada sebuah laman web kumpulan pelobi terkemuka Yahudi, biara itu menggambarkan ketiga-tiga tokoh berkenaan menerusi pelan lantainya dengan satu tokoh berada di atas tokoh yang lain.
Ukuran dan rupa keadaan kuil itu dinyatakan dalam Kitab Tanach (Perjanjian Lama) Yahudi dan pada dasarnya, pelbagai pendeta Yahudi, Kristian dan sekular merujuk kepada bangunan empat segi yang mempunyai tiga bilik berlapis yang dibina di bahagian utara, selatan dan barat dengan ruang lapang pintu masuk. (Sila rujuk lakaran pelan lantai Biara Sulaiman).
Bagi Yahudi, pelan atau dikenali sebagai Tabnit rumah ibadat itu adalah selepas David (Nabi Daud) mendapat ilham Ilahi mengenainya. Malah sebelum itu, Moses (Nabi Musa) mendengar arahan lisan Ilahi berkaitan dengan Tabnit ini yang memberi maksud membina sebuah struktur atau rumah.
Riwayat lisan Yahudi menyatakan, Jacob (Nabi Yaakob yang menjadi tunggak kepada 12 keturunan Yahudi) pernah bermimpi mengenai rumah ibadat itu. Di dalam mimpinya, beliau melihat malaikat turun dari tangga dan dia berkata, `ini tidak lain dan tidak bukan adalah rumah Tuhan’.
Biara itu dibina berdasarkan model tubuh badan manusia yang tidur dengan bahagian utama ditinggikan seperti kepala di atas bantal. Dari situlah, pada pandangan Yahudi, biara King Solomon dibina di atas Gunung Moriah yang kini dikenali sebagai Tanah Haram oleh Arab dan Temple Mount oleh Yahudi.
Puak Yahudi turut mendakwa bahawa sebahagian daripada kuil itu adalah satu kawasan dinding yang menjadi penyokong kepada struktur masjid Al-Aqsa masa kini termasuk kawasan Tembok Ratapan.
Selain itu, Zionis turut berusaha mencari `The Lost Covenant’ batu bersurat perjanjian lama yang dijadikan kitab oleh Yahudi masa lampau. Mengikut sejarah, kaum Yahudi sebelum ini menggunakan batu bersurat itu sebagai simbol bala tenteranya dan kejayaan menemukan Covenant ini dianggap membolehkan Yahudi masa kini berjaya mengatasi segala musuhnya.
Gerakan Zionis yang tertumpu kepada usaha meyahudikan seluruh Baitulmadis serta mengubah wajah kota suci itu dari aspek geografi, demografi, bangunan dan status berbilang agama di situ, menyaksikan usaha berterusan menghancurkan kawasan Islam.
Projek menggali artifak kini dilakukan di pintu Mugarabah, yang pada asalnya adalah perkampungan Islam di Kota Lama Baitulmaqdis. Israel mendakwa tindakan itu bertujuan membaik pulih laluan pejalan kaki yang menghubungkan kaki bukit Moriah ke puncak bukit yang kini menjadi kompleks Al-Aqsa.
Sejak 1967, tindakan Israel menggali kawasan di sekitar Al-Aqsa menyaksikan 70 kompleks perumahan Islam digali secara haram dan selepas itu, kawasan terbabit dirikan lebih 30 kawasan perumahan baru untuk Yahudi.
Walaupun semua usaha menggali ini, apa yang jelas mereka hanya menemui bukti kerajaan Islam, membuktikan usaha dunia Arab dan ketetapan PBB bahawa Baitulmaqdis adalah hak umat Islam.
Hanya perpaduan dan kerjasama negara Islam serta golongan Kristian ortodoks dapat menyelamatkan kota suci agama sawawi ini daripada kedurjanaan Israel.
KUALA LUMPUR,27 Feb (Hrkh) - Dengan pulangan yang berlipat ganda dan jaminan keuntungan ratusan ribu malah jutaan ringgit dalam tempoh singkat, pelbagai perniagaan yang berasaskan sistem Multi Level Marketing (MLM) di internet, semakin 'menggoda' umat Islam untuk melabur walaupun sebahagian besarnya dari sudut hukum agama jelas haram. Penasihat Syariah Dalaman, Asian Finance Bank, Zaharuddin Abd Rahman berkata umat Islam perlu berwaspada dan jangan mudah terpedaya dengan sistem kewangan di internet yang menyamai skim cepat kaya atau skim piramid yang berisiko tinggi dan perlu merujuk kepada pakar kewangan Islam sebelum menceburinya. "Apa jua pelaburan yang diceburi, mestilah merujuk kepada penasihat syariah syarikat tersebut supaya dengan cara ini diketahui secara jelas bahawa pelaburan tersebut sah di sisi agama ataupun tidak,"katanya lagi ketika ditemubual Harakahdaily di pejabatnya sebentar tadi.
Image"Dan sebahagian besarnya tidak wujud majlis penasihat syariah serta tidak jelas produk yang diusniagakan," katanya.
Beliau sebelum ini yang telah membuat beberapa kajian tentang pelaburan internet seperti EM-Pay, Swisscash, Willyfund dan E-Barrel telah menjelaskan secara terperinci kaedah tersebut dan hukumnya dimuatkan dalam keluaran Harakah lalu dan juga dalam laman webnya www.zaharuddin.net.
Kebanyakannya pelaburan di internet yang dikenal pasti secara umumnya menjurus kepada kaedah 'mencari' orang untuk menambah pendapatan dan tiada produk yang diniaga malah seandainya ada pun ianya bersifat haram kerana terdapat unsur judi dan gharar (tidak jelas) yang ditegah di dalam Islam, jelasnya.
Dalam laman webnya Zaharudin turut menjelaskan salah satu syarikat EM-Pay yang diragui perniagaannya seolah-olah "perniagaan timbun dan kutip wang dari orang ramai dan kad diskaun," seperti contoh seorang individu melabur RM 138, dan dan dalam tempoh dua minggu EM-Pay memberi pulangan RM 32,000 dan ini dinamakan Riba Al-Fadhl katanya yang merujuk kepada (Mughni al-Muhtaj, Khatib Ash-Sharbini, 2/28 ; Al-Bada'I As-Sonai' , Al-Kasani, 5/183 ; Qadhaya Iqtisodiyyah Mu'asiroh, Dr Sulaiman Al-Asyqar, 2/592).
"Ia jelas katanya bukanlah perniagaan yang diiktiraf oleh Shariah, malah ia adalah Riba," katanya.
Tanpa menjual sebarang produk malah sistem ini secara amnya melanggar 'nature of business' atau fitrah ekonomi yang akan mengakibatkan ramai yang tidak bekerja, malas dan berangan kaya semata-mata menantikan keuntungan yang dijanjikan.
"Inilah yang dinamakan 'money game' yang diharam sama sekali di dalam Islam. Allah SWT menghalalkan jual beli dan mengharamkan Riba.
"Bukan semua MLM tetapi jenis yang 'bermain dengan kepala' (komsiyen ikut kepala dan berapa ramai ahli yang berjaya diperolehi dan bukannya komisyen jual barangan syarikat) jelas haram disisi agama," jelasnya terperinci dalam laman webnya.
Tambahnya lagi ia adalah perniagaan duit dan 'kepala' iaitu tajaan kepala dan setiap bagi mendapatkan satu 'kepala' atau 'lot' adalah perlulah membayar sejumlah wang.
"Walaupun sememangnya kelihatan amat menggiurkan tetapi malangnya, ia adalah tidak halal secara pasti tanpa syubhah lagi," katanya lagi
Selain itu, walaupun dengan alasan untuk menjana ekonomi pendapatan umat Islam sekalipun katanya namun perkara pokok halal haram sesuatu perkara jangan dikesampingkan sedangkan 'niat tidak menghalal cara' dan Islam tidak meletakkan material ataupun harta benda semata-mata kepada asas memulihkan ekonomi umatnya ini termasuk jugalah alasan untuk mengubah keadaan kewangan yang semakin terhimpit dan bebanan kos sara hidup yang tinggi yang menimpa umat Islam khususnya rakyat di negara ini.
ImageBeliau turut kesal dan kecewa berikutan umat Islam terpengaruh dan terpedaya akibat daripada keyakinan untuk menceburi pelburan ini disebabkan diyakinkan oleh sesetngah individu yang bergelar 'ustaz' dan ahli dalam pengetahuan agama. "Yang saya dahulukan ialah kepentingan umat Islam dan tanggungjawab saya sebagai umat Islam untuk menjelaskannya, sama ada ada yang bersetuju atau tidak itu terpulanglah," katanya yang turut menyatakan bahawa kapasiti beliau bukanlah sebagai seorang Mufti namun menyarankan para Mufti mengeluarkan fatwa berkaitan sistem ini.
"Kajian saya terhadap sistem ini,tidak tertumpu kepada benar atau tidak keuntungan yang dijanjikan, wujud muslihat atau sebaliknya tetapi tertumpu sama ada ia menepati kehendak syariah dan sah di sisi agama," katanya
"Dan jangan meletakkan 'ustaz' sebagai 'benchmark' atau 'standard' untuk menceburi bidang sedangkan yang perlu dititik beratkan ialah hukum agama," katanya biarpun ramai para Ustaz menceburinya termasuk skim tertentu yang mungkin sah dari segi undang-undang ataupun pernah dilancarkan oeh para menteri.
Disember tahun lalu, akhbar pernah melaporkan sekurang-kurangnya wujud 50 laman web internet tempatan yang dikesan menjanjikan rakyat negara ini mengikuti skim jutawan segera antaranya bermodal RM 2.00 dan mendapat pulangan RM 1 juta dalam tempoh seminggu ataupun sebulan.
Malah dalam akhbar yang sama, jurucakap Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) berkata laman web seperti ini memang banyak dikesan tetapi tidak ramai yang membuat laporan polis selepas terpedaya atau kerugian besar akibat pelaburan yang dibuat.
"Memang semua orang mahu menjadi jutawan tetapi perlulah mengikut cara yang betul dan bukannya berangan melabur beberapa ringit dan mengaaharap jutaaan ringgit sebagai pulangan," kata jurucakap tersebut. - mks.
SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan atau penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan serta kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya. Islam tidak pernah melarang umatnya melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan.
Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah, Allah SWT menempelak sebahagian tentera munafik mulanya menyatakan persetujuan bersama Baginda di medan peperangan.
Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.
Berikutan peristiwa itu, Allah SWT berfirman bermaksud: “Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan.” – (Surah at-Taubah, ayat 82)
Jelas daripada mafhum ayat itu, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal ketawa berlebihan.
Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)
Sewajarnya, setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku atau matinya hati.
Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.
Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat.
Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa. Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keseronokan bersifat sementara.
Menjaga diri daripada suka atau ketawa melampaui batas mengingatkan kita supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia.
Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.
KADI pertama...Ghazali Daud (kanan) bersama rakan setugas pada majlis agama anjuran Polis Diraja Malaysia.
Apabila menyebut perkataan ‘Tok Kadi’, pasti kita tergambar watak seseorang yang mempunyai perwatakan alim, warak dan bersopan santun.
Namun begitu, bagaimana pula apabila seorang anggota polis yang sentiasa berperwatakan tegas dan serius memegang jawatan kadi?
Bagi Asisten Supritendan (ASP) Ghazali Daud dari Unit Udara, menyandang jawatan sebagai kadi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sememangnya memerlukan beliau bersikap lebih tenang dan sabar dalam segala urusan. “Orang sering beranggapan kadi perlu tampil lebih sempurna sama ada dari segi perwatakan atau ilmu agama.
“Namun begitu ia bukanlah masalah besar bagi saya kerana saya sememangnya berminat dengan ilmu agama dan sentiasa berusaha mendalaminya,’’ katanya.
Semangat yang ada pada Ghazali bersesuaian dengan prinsip hidupnya iaitu segala-galanya bukanlah mustahil asalkan ikhlas untuk berbakti kepada agama dan bangsa.
Itulah pegangan hidup Ghazali yang kini menjadi perintis jawatan kadi dalam PDRM.
Walaupun terkejut ketika dipilih sebagai kadi tetapi tanggungjawab itu tetap diterimanya dengan hati terbuka.
“Tugas itu merupakan satu tanggungjawab yang besar untuk dilaksanakan memandangkan ia diwujudkan sempena 200 tahun usia penubuhan PDRM.
“Bagaimanapun saya berbangga kerana terpilih menjadi pegawai polis pertama memegang jawatan ini,’’ ujarnya.
Ghazali berkata, jawatan kadi seharusnya sudah lama diwujudkan dalam PDRM kerana ia akan memudahkan anggota sepasukan apabila hendak berkahwin kelak.
“Buat permulaan saya akan bertugas di Masjid Bukit Aman sebagai qariah sebelum menjalankan tugas-tugas berkaitan pernikahan.
“Selain itu, saya juga akan menyandang tugas sebagai imam dan amil di masjid yang sama,’’ katanya.
Menurutnya, jika jawatan kadi PDRM ini membawa kebaikan kepada semua, maka tugas ini akan diperluaskan ke seluruh kontinjen.
Katanya, walaupun tugas kadi pada pandangan mata orang adalah tugas mudah tetapi bagi beliau ia tidak semudah disangkakan.
Ini kerana menurut penceramah yang mendapat pentauliahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, selain bertindak sebagai kadi secara tidak langsung akan menjadi tempat rujukan rakan sepasukan yang mempunyai kemusykilan berkaitan soal agama Islam.
“Selain itu, saya juga perlu sentiasa menjaga imej dan menampilkan personaliti yang baik agar menjadi contoh kepada orang lain,’’ jelasnya.
Berlatarbelakangkan pendidikan agama, bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin ini mengaku pernah bercita-cita menjadi seorang guru agama sebelum menjadi pegawai polis.
Namun, manusia hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan kerana selepas tamat peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), hati beliau tergerak untuk menyertai PDRM.
Katanya, selepas tamat latihan, beliau memulakan khidmat sebagai Inspektor di daerah Shah Alam, Selangor pada Januari 1988 sehinggalah beliau bertukar ke Bukit Aman pada tahun 1999.
Pada 1997, beliau dilantik sebagai Pegawai Latihan Pasukan Gerakan Am di Kubang Badak, Kuala Terengganu.
Selepas mencurahkan khidmat sebagai Pegawai Latihan di sana, beliau diberi tanggungjawab sebagai Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan dari tahun 2001 hingga 2004 sebelum ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan.
Lumrah dalam PDRM, kita perlu bersedia untuk kemana-mana sahaja mengikut arahan. Pada Mei 2005, beliau telah ditukarkan ke Unit Udara Sungai Besi, Kuala Lumpur dan dinaikkan pangkat sebagai ASP.
“Semua saya lakukan kerana niat untuk menabur jasa dan bakti kepada bangsa dan negara,’’ ujarnya.
DOHA 21 Feb. – Sekumpulan ulama dari negara-negara Arab semalam melancarkan kempen kutipan tandatangan umat Islam untuk menghentikan kerja penggalian yang dilakukan oleh Israel dekat Masjid Al- Aqsa. Mereka berikrar untuk mengutip sekurang-kurangnya sejuta tandatangan sebagai satu petisyen untuk dikemukakan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.
Ulama terkemuka kelahiran Mesir, Yusuf Al-Qaradawi adalah antara mereka yang berhimpun di sini bagi melancarkan kempen berkenaan.
“Sejuta tandatangan akan dipungut untuk surat terpanjang seumpamanya dalam usaha untuk mempertahankan Al-Aqsa.
“Surat ini akan dihantar kepada Setiausaha Agung PBB bagi menegaskan status Al-Aqsa sebagai tempat suci untuk seluruh umat Islam,” kata Ayedh Al-Qahtani, pegawai dari sebuah pertubuhan kebajikan Islam Qatar yang menganjurkan kempen itu.
Kerja penggalian dan ubah suai yang dilakukan oleh Israel dekat Al-Aqsa mencetuskan protes rakyat Palestin dan kemarahan umat Islam di serata dunia.
Kerja-kerja itu dikhuatiri akan memusnahkan struktur binaan masjid suci yang pernah menjadi punca kepada meletusnya intifada pada September 2000.
Usaha para ulama itu merupakan yang terbaru selepas pelbagai bantahan dan kecaman sebelum ini tidak dihiraukan oleh rejim Yahudi itu.
Israel berdegil dan meneruskan kerja- kerja penggalian itu walaupun mendapat amaran daripada Hamas yang meminta mereka agar tidak “bermain api apabila terus mencabar maruah Islam” dengan tindakan itu.
Pemimpin Hamas, Khaled Mashaal berkata, Israel sengaja mencari pasal dengan terus mencabuli tempat-tempat suci agama Islam dan Kristian di Baitulmaqsdis.
Selain Hamas, Liga Arab juga mengecam Israel dan menyifatkan kerja-kerja penggalian itu sebagai satu “jenayah serta pencabulan terhadap Islam.”
Harakahdaily. Foto_Nasir Sudin Mon | Feb 19, 07 | 04:04:43 AM PENGKALAN CHEPA, 19 Feb (Hrkh) – Bagi memastikan penglibatan atlet-atlet wanita Islam dalam acara sukan tanpa mengabaikan masalah aurat, kerajaan Kelantan sedang menyiapkan reka bentuk pakaian tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan, Abdul Fattah Mahmood berkata, kerja-kerja menyiapkan reka bentuk pakaian khas bagi atlet wanita itu kini kira-kira 70 peratus siap. Image“Insya Allah pakaian itu akan ditonjolkan pada Sukma Malaysia (Sukma) 2008 yang akan dipakai bagi atlet wanita dari Kelantan. Kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan penggunaan pakaian itu kepada Majlis Sukan Negara bagi mendapat kelulusan.
“Pakaian itu yang mencerminkan identiti wanita Islam ketika menyertai acara sukan. Ini sebenarnya menjelaskan agama Islam tidak membatas penglibatan wanita dalam sukan, dengan syarat mematuhi ketetapan syarak,” katanya pada perasmian penutup kejohanan Nisa’ Games 2007 di Putik, malam tadi. Nisa Games yang julung kali diadakan melibatkan penyertaan lebih 1,000 atlet wanita dari seluruh negara yang berentap dalam lima acara iaitu badminton, bola tampar, futsal, bowling dan bola jaring. Atlet yang terlibat termasuk bukan Islam.
ImageKejohanan itu diadakan selama dua hari berakhir semalam. Perasmiannya diadakan di Stadium Sultan Mohammad Ke IV disempurnakan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat malam 17 Febuari lalu. Acara tersebut mendapat sambutan ramai, lebih-lebih lagi dengan kehadiran jaguh pecut 200 meter Sukan Asia di Doha 2006, Ruqaya Al Ghasara. Abdul Fattah berkata, dengan adanya pakaian khas untuk bersukan di kalangan wanita, ramai bakat baru dapat dicungkil, memandangkan sebelum ini mereka enggan terlibat kerana berdepan dengan masalah pakaian menutup aurat. “Biar pun bersukan, bagi wanita Islam mereka mesti menjaga maruah dan martabat sebagai seorang Muslim,” katanya.
ImageTimbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob berkata, masalah halal dan haram dalam aktiviti bersukan adalah menjadi keutamaan bagi atlet-atlet wanita Islam. Menurutnya, prinsip syariat tidak boleh dikesampingkan kerana kehidupan bagi orang Islam perlu menjurus kepada ketaqwaan.
“Sebab itu Islam meletak wanita di tempat yang sewajarnya bagi meningkatkan martabat mereka. Sedangkan barat cuba merendahkan maruah wanita dengan memperkenalkan cara berpakaian yang menjolok mata,” katanya ketika merasmikan penutup Nisa’ Games 2007.
Ruqaya pula berkata, biar pun beliau melibatkan diri dalam acara sukan di peringkat dunia, namun masalah aurat tetap dijaga.
Image“Contoh terbaik bagi seseorang wanita Islam ialah menjaga aurat di mana sahaja mereka berada,” katanya sambil melahirkan rasa seronok dan gembira berada di Kelantan.
Penyampaian hadiah kepada setiap pemenang acara yang dipertandingkan disampaikan isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri Timbalan Menteri Besar, Datin Zubaidah Abdul Hamid dan Adun Tanjung Mas, Rohani Ibrahim.
Bagi acara futsal dimenangi pasukan dari Kuala Lumpur, kedua (Pulau Pinang) dan ketiga Terengganu serta Tumpat. Pasukan Kota Bharu pula mengungguli acara bowling, tempat kedua, Pulau Pinang dan ketiga Perak.
Badminton – pertama (Tumpat), kedua (Kubang Kerian) dan ketiga (Terengganu dan Pasir Puteh). Bola tampar – pertama (Kota Bharu), kedua (Terengganu) dan ketiga (Tumpat dan Wilayah Persekutuan). Bola jaring – pertama (Wilayah Persekutuan), kedua (Gua Musang) dan ketiga (Sabah serta Tanah Merah). Kesemua perlawanan hadiah yang ditawarkan bagi tempat pertama wang tunai sebanyak RM1,000, kedua (RM600) dan ketiga (RM400) berserta medal.
SAFAR adalah bulan kedua dalam kalendar Islam. Dalam bahasa Arab, Safar bermaksud kosong. Sudah menjadi kebiasaan orang Arab pada Safar ini, meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka kerana melaksanakan tugas penting seperti berperang, menuntut bela kematian saudara mereka, berdagang dan sebagainya. Dalam lipatan sejarah Islam, Safar juga mencatatkan pelbagai peristiwa besar dan penting yang sewajarnya menjadi renungan bersama setiap Muslim dalam kehidupan seharian.
Di antara peristiwa penting itu ialah pernikahan Rasulullah SAW dengan Khadijah Khuwailid. Ia berlaku sebelum Nabi dilantik menjadi Rasul. Safar juga menyaksikan kebenaran berperang yang berlaku pada tahun ke-2 Hijrah.
Peperangan pertama disertai Rasulullah SAW adalah Wudan atau Abwa' bagi menentang kekufuran. Seterusnya, peperangan Bi'r Ma'unah juga berlaku pada tahun ke-4 Hijrah, di bawah pimpinan al-Munzir 'Amr As Sa'idi.
Al-Munzir ditugaskan berdakwah dan mengajar agama Islam dan al-Quran kepada Bani 'Amir. Peperangan ini disertai 40 sahabat Rasulullah SAW.
Selain itu, Safar mencatat tragedi al-Raji'. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-3 Hijrah atau ke-4 Hijrah membabitkan tujuh sahabat baginda diutus bagi mengajar agama Islam kepada kaum 'Udal dan al-Qarah.
Bagaimanapun, kaum itu mengkhianati perutusan dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan bernama al-Raji' di daerah 'Usfan (kawasan antara Makkah dan Madinah).
Di antara sahabat menyertai perutusan itu adalah Khubaib 'Adi, Marthad Abi Marthad al-Ghanawiy, 'Asim Thabit dan Zaid al-Dathanah. Semua sahabat dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib 'Adi yang dibawa ke Makkah dan dibunuh di sana. Beliau adalah orang yang pertama menunaikan solat dua rakaat sunat sebelum dibunuh yang kemudiannya menjadi ikutan sunnah.
Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) juga berlaku pada Safar tahun ke-7 Hijrah dengan disertai 20 sahabat wanita antaranya Ummu Salamah, Safiyah Abd Mutallib dan Ummu Aiman. Di dalam peperangan itu, seramai 15 sahabat gugur syahid manakala pada pihak Yahudi pula seramai 73 terbunuh.
Demikian antara peristiwa penting yang berlaku pada Safar dirakamkan oleh sejarawan untuk dijadikan bahan pengajaran kepada umat Islam.
Bagaimanapun, masih terdapat sebahagian umat Islam terutama yang lemah akidah mempercayai kepada sempena baik, prasangka buruk atau nahas terhadap Safar ini, khususnya pada Rabu akhir bulan.
Lebih malang lagi, mereka percaya bahawa pada Safar ini, Allah akan menurunkan puluhan ribu bala yang akan menimpa umat manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa yang dikehendaki Allah.
Justeru, berdasarkan kepercayaan karut itu, ada umat Islam yang menulis ayat wifiq pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudian diletakkan di dalam tempayan atau kolam atau perigi atau seumpamanya untuk diminum atau mandi konon untuk mendapatkan perlindungan daripada bala buruk pada hari itu.
Perlu ditegaskan bahawa kepercayaan karut seumpama itu berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang dilarang Islam. Sehubungan itu, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tidak ada nahas dalam Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta seperti kamu melarikan diri daripada singa yang bengis.” (Hadis riwayat Bukhari)
Maksud hadis Rasulullah SAW jelas menegaskan bahawa jangan sekali-kali umat Islam beriktikad penyakit yang berjangkit boleh memberi kesan dengan sendirinya atau sangkaan sial majal atau nahas Safar itu berupaya memudaratkan kehidupan manusia.
Sebaliknya, apa juga peristiwa buruk atau baik, berjangkit atau tidak sesuatu penyakit itu, semuanya adalah daripada kekuasaan dan kehendak Allah belaka.
Pada masa sama, Rasulullah SAW juga berpesan kepada setiap Muslim supaya mengambil langkah berwaspada ketika berhadapan sesuatu musibah dengan memerintahkan mereka melarikan diri daripada pesakit kusta dan janganlah menghampiri mereka.
Ia bukan bererti bahawa penyakit kusta boleh berjangkit dan memudaratkan orang ramai, sebaliknya larangan itu menyingkap suatu tindakan berjaga-jaga dan berusaha untuk memelihara diri daripada meletakkan diri ke kancah bahaya dan kemusnahan.
Bukankah Allah berfirman yang bermaksud: “Belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)
Berdasarkan keterangan nas itu, nyatalah bahawa apa yang dipercayai dan diamalkan oleh sebahagian umat Islam selama ini, iaitu kepercayaan Safar adalah bulan nahas atau sial, burung hantu burung sial dan seumpamanya adalah kepercayaan karut dan bertentangan dengan ajaran Islam.
Begitu juga upacara atau pesta mandi laut, bersuka ria dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batas kononnya untuk mengelakkan diri daripada bala Safar bertukar wajah sebagai pesta menambah dosa dan mencari bala kerana kadang-kadang ada yang mati lemas akibat kelalaian sendiri, malah ada yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk ketika pesta berkenaan.
Selain itu, terdapat juga orang tua di negara ini yang tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan atau majlis keramaian pada Safar kerana dikhuatiri pengantin tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia.
Kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah. Dalam keadaan tertentu, ia boleh menyebabkan seseorang menjadi syirik kerana percaya kepada bulan, bukannya pada kuasa Allah.
Sebenarnya, nahas atau bala bencana itu tidak berlaku hanya pada Safar. Kepercayaan karut itu amat jelas ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh Islam.
Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah at-Taubah, ayat 51)
KOTA BHARU, 17 Feb(Hrkh) - Ruqaya al-Ghasara melahirkan gembira dan seronok dengan sambutan yang diberikan semasa pertama kali tiba di Kelantan.
Menurut beliau, ini merupakan kali pertama beliau menerima sambutan yang sebegitu hebat dan meriah di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Image Ujar beliau, setelah dikenali ramai sebagai ikon sukan wanita Islam, beliau amat berharap agar dapat menjadi contoh dan qudwah kepada atlet sukan wanita yang lain.
Pada waktu yang sama, beliau memang mempunyai niat supaya usaha ini boleh menjadi suatu nilai ke arah membantu dakwah Islam melalui sukan
Ketika ditanya mengenai penerimaan pihak penganjur sukan yang disertai sebelum ini, jurulatih beliau, Nuruddin berkata pihak negara Barat sangat terkejut dengan penampilan Ruqayya semasa beraksi dalam sukan yang bertaraf antarabangsa dengan berhijab.
Tambahnya lagi, mereka bertambah hairan dan tidak percaya Ruqayya dapat memenangi acara yang disertai di Sukan Asia Doha 2006.
Sukan wanita, Nisa' Games 2007 akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat bertempat di Stadium Sultan Mohammad IV Kota Bharu pada 8 malam ini.
Bagi yang tidak dapat menyaksikannya secara langsung, bolehlah melayari laman web www.kelantan.tv, www.wtv8 dan www.webtv.parti-pas.org.
Nota: Bagi mempertingkatkan laman ini, kami amat mengalu-alukan sumbangan yang boleh disalur terus kepada akaun Maybank atas nama HARAKAHDAILY DOT COM (564070000336)
Salmah Mat Husain Sat | Feb 17, 07 | 01:03:29 PM KOTA BHARU, 17 Feb (Hrkh) – Jaguh pecut Asia, Ruqqaya Al Ghasara memberitahu Kelantan merupakan negeri luar pertama menjemputnya secara rasmi selepas menjuarai sukan berprestij itu tahun lalu.
Image Beliau merakam ucapan terima kasih pada Nisa’ dan kerajaan Kelantan kerana menjemputnya untuk hadir pada kejohanan Nisa’ Games yang berlangsung di sini, hari ini dan esok.
“Saya mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kelantan kerana memberi ruang pada Nisa’ untuk menampilkan acara sukan yang mempamerkan pesertanya menutup aurat.
“Menutup aurat tidak boleh dijadikan penghalang kepada wanita Islam aktif dalam bersukan kerana ia sedikit pun tidak menganggu seseorang maju dalam sukan,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau yang mula aktif dengan acara sukan sejak berusia 12 tahun dan tidak menafikan pelbagai halangan yang terpaksa dihadapinya sebelum menjulang pingat emas pada Sukan Asia Doha.
“ImageAntaranya, penampilan saya yang menutup aurat di tengah-tengah masyarakat dunia sewaktu beraksi menjadi rasa pelik serta janggal oleh peserta dan pengurus pasukan negara lain. “Bagaimanapun, saya tidak menafikan mereka tidak pernah mendiskriminasikan walaupun penampilan saya sebegini, saya dilayan sebagaimana peserta lain,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, ujarnya dengan menutup aurat juga beliau dapat menonjolkan imej Islam sebenar walau di mana sahaja kita berada termasuk bersukan.
Sehubungan itu, beliau berharap tindakannya itu dapat dijadikan contoh kepada semua atlet Islam supaya menutup aurat termasuk di Malaysia.
“Saya juga berharap atlet Malaysia iltizam dengan pakaian Islam serta menutup aurat walau di mana sahaja berada, termasuk ketika bersukan, sebab ia jelas tidak menghalang seseorang itu aktif dalam sukan,” katanya. ImageMenurut Ruqqaya kerana pendiriannya sentiasa teguh dalam menutup aurat menyebabkan kedua ibu bapanya tidak menghalang beliau aktif dalam sukan.
Sebelum ini Ruqqaya pernah mencipta beberapa kejuaraan lain di kejohanan Liga Arab antaranya 100 meter dan 200 meter pada tahun 2003.
Beliau mempunyai tujuh adik beradik iaitu tiga lelaki dan empat perempuan.
Ruqqaya juga akan menyambung pengajian dalam jurusan perniagaan Universiti Bahrain. Sebelum itu belajar di Kolej Telok yang memberikan sokongan padu kepadanya sehingga berjaya dalam sukan.
Selepas menjulang pingat emas 200 meter tahun lalu, beliau menerima ucapan penghargaan daripada Raja Bahrain di atas kemenangan itu.
SOALAN 1: Minta ustaz tolong jelaskan hukum memberi nafkah kepada ibu bapa yang bukan Islam, adakah ia wajib? JAWAPAN: Memberi nafkah kepada ibu bapa adalah wajib tanpa mengira apa agamanya anutannya. Wajib mentaati ibu bapa dalam urusan dunia, termasuklah bergaul dengan mereka dengan memelihara perasaan mereka. Wajib memberi perlindungan dan penjagaan ketika usia mereka sudah lanjut.
Tanggungjawab sebagai seorang anak tidak terbatas kerana agama, malahan Islam sangat menitik beratkan peranan anak-naka dalam menjaga ibu bapa dan tidak sekali-kali menjadi anak yang derhaka. Mentaati ibu bapa yang tidak beragama Islam dalam urusan dunia adalah wajib.
Jika kedua atau salah seorang antara keduanya mengajak kepada mensyirikkan Allah maka pada ketika itu tidak wajib mentaati mereka. Perkara ini dijelaskan di dalam al-Quran, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan dengan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, Maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, Kemudian Hanya kepada-Kulah kembalimu, Maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (Luqman: 15).
Para pentafsir menjelaskan sebab turun ayat ini dengan meriwayatkan bahawa ayat ini turun kepada Sa’ad bin Abi Waqqas yang demikian itu adalah apabila dia menganut Islam telah berkata ibunya yang bernama Jamilah: “Wahai Sa’ad kau telah ditimpa musibah, demi Allah aku tidak akan berteduh daripada panas matahari dan tidak akan berlindung daripada ribut pasir, dan aku juga tidak akan makan dan minum sehingga engkau kufur kepada Muhammad s.a.w - serta kembali kepada agama asal engkau.”
Sa’ad merupakan anak kesayangan ibunya. Namun Sa’ad tidak tunduk kepada ugutan ibunya, lalu ibunya menunaikan nazarnya selama tiga hari. Pada hari ketiga Sa’ad bertemu dengan Nabi s.a.w lalu memberitahu baginda apa yang berlaku, lantaran turunlah ayat ini. Akhirnya ibu Sa’ad berputus asa atas ugutannya lalu makan dan minum serta berlindung dari matahari. (Abdul Rahman al-‘Ak, Tashil al-Usul, hlm:258 ).
Jelas bahawa ayat di atas dan riwayat sebab turun ayat ini mewajibkan berbuat baik kepada ibubapa biarpun mereka tidak beragama Islam. Mudah-mudahan sikap dan akhlak yang baik dapat menjernihkan salah tanggap mereka terhadap Islam.
Suatu ketika dulu saya juga pernah berhadapan dengan masalah ini. Iaitu apabila memeluk Islam, saya tidak benarkan balik ke rumah emak atas alasan mereka tidak Islam. Sebenarnya Islam tidak pernah menghalang seseorang beragama Islam menziarahi ibu bapanya yang tidak beragama Islam.
Nasihat saya baliklah, ziarahlah mereka, bergaulah dengan mereka dengan cara yang baik, ciumlah tangan mereka, kucuplah dahi mereka, kelak anak yang beragama Islam akan lebih dikasihinya. Inilah ajaran Islam yang tinggi tidak agama yang lebih tinggi dari agama Islam.
SOALAN 2: Hari-hari kita mengucap dua kalimah syahadah dalam solat, tetapi tidak tahu di mana terletaknya ayat ini. Adakah di dalam al-Quran atau dari mana terdapat selain al-Quran.
JAWAPAN: Pertamanya kita perlu tahu bahawa perkataan syahadah berasal daripada bahasa arab yang bermakna bersaksi, melihat, menyaksikan, mengaku, maknanya berubah mengikut ayat yang dibentuk.
Adapun, perkataan syahadah dalam dua kalimah syahadah bermakna bersaksi dalam erti lain mengaku ketuhanan Allah s.w.t dengan menafikan ketuhanan makhluk.
Firman Allah yang bermaksud: Allah menyatakan bahawasanya tidak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang menegakkan keadilan. para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu). Tidak ada Tuhan melainkan dia (yang berhak disembah), yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (Ali-Imran: 18 ).
Dalam menjelaskan sebab turun ayat ini al-Kalbiy berkata, apabila Rasulullah mendiami bumi Madinah telah datang kepada baginda dua orang pendita dari kalangan pendita Syam. Apabila mereka berdua tiba di Madinah mereka melihat keadaan Madinah maka salah seorang berkata kepada kawannya, “inilah bandar yang disifatkan akan keluar padanya Nabi akhir zaman.”
Tatkala mereka berdua menghampiri Nabi s.a.w dengan memerhatikan sifat-sifat yang ada pada baginda. Lalu mereka berdua mengajukan soalan kepada baginda dengan berkata, “adakah engkau Muhammad? Baginda menjawab: Ya. Mereka berdua bertanya lagi, “adakah engkau Ahmad? Baginda menjawab: Ya.
Kedua-duanya berkata, “kami ingin bertanya mengenai syahadah, sekiranya engkau dapat memberitahu kepada kami nescaya kami akan beriman dengan engkau dan membenarkan seruan engkau. Lantaran Rasulullah s.a.w mempelawa supaya mereka berdua bertanya kepada baginda.
Tanpa melengahkan waktu mereka berkata: “beritahulah kepada kami apakah penyaksian yang paling agung di dalam al-Quran.”.
Maka turunlah ayat ini. Turunnya ayat ini sebagai satu penjelasan kepada kedua-dua pendita yang datang untuk melihat kebenaran seruan Rasulullah, pertanyaan mereka adalah berkaitan dengan syahadah, kerana pendita-pendita itu pasti menemui syahadah ini di dalam kitab-kitab samawi (kitab-kitab yang diturunkan sebelum al-Quran seperti Taurat, Injil serta Zabur).
Ini kerana kesatuan seruan para Nabi adalah berpaksi kepada kalimah syahadah ini. Kesemua Nabi mengajak umat mereka kepada mengabdikan diri kepada Allah. Maka ini bermula dengan mengakui ketuhanan Allah s.w.t. Di dalam hadis juga terdapat kalimah syahadah di antaranya ialah riwayat Abdullah bin Umar, baginda bersabda yang bermaksud, Agama Islam didirikan atas lima perkara, iaitu bersyahadah (bersaksi) bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melakukan ibadat haji dan berpuasa dalam bulan Ramadan. (al-Bukhari, Kitab: Iman, Bab: Iman dan Sabda Nabi s.a.w, no: 8).
Kalimah inilah yang mengeluarkan seseorang daripada kekufuran kepada cahaya Islam. Kesimpulan kalimah syahadah terdapat di dalam al-Quran dan terdapat di dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
Sahabat saya pernah menegur, mana satukah yang menjadi pegangan iaitu sunnah Rasul atau para ulama? Beliau memberitahu sekiranya kita tidak berpandukan betul-betul apa yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w. maka kita tidak akan mendapat syafaatnya di Akhirat kelak kerana pandangan atau pendapat para ulama kebanyakannya tidak mengikut sunnah Rasul.
Sebagai contoh: 1) Nabi tidak pernah membaca doa qunut ketika bersolat fardu subuh. 2) Ketika bertakbir, Nabi tidak mengangkat tangannya hingga ke paras telinga, cuma ke paras bahu. 3) Sewaktu membaca Surah al-Fatihah, nabi tidak menyebut ayat 'Bismillah' secara zahir sewaktu bersolat. 4) Pelajaran tajwid tidak ada di zaman Rasulullah s.a.w. 5) Walaupun banyak melakukan kebaikan, ia dianggap bidaah sekiranya tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Ini boleh menyebabkan seseorang itu jatuh ke lembah kebinasaan kerana perbuatan yang melampau. 6) Cara umat Muhammad s.a.w. bersolat sejak akhir-akhir ini kebanyakannya tidak mengikut sunnah Rasul sebagai contoh; sekiranya membaca ketika tahiyat awal atau akhir, jari telunjuknya tidak digerakkan secara turun naik dan tidak ada sebutan saidina Muhamad ketika membacanya, cuma disebut Muhammad. 7) Rasulullah s.a.w tidak pernah mengajar perbezaan cara bersolat di antara lelaki dan perempuan.
Saya memohon kepada ustaz, tolong memperjelaskan satu persatu tentang masalah di atas supaya tidak menimbulkan keraguan di pihak kami.
Buku apakah yang paling sesuai untuk kami merujuk tentang sunnah Rasul dari segala segi?
Sekian, terima kasih.
Yang mengharap, SI INSAF Gombak.
Jawapan
Islam adalah agama yang sangat sempurna dari sudut akidah dan syariat.
Dari sudut akidah, tidak berlaku sama sekali perbezaan akidah antara seorang rasul yang diutus dengan rasul yang lain. Kesemua rasul membawa akidah yang satu iaitu mentauhidkan Allah Taala daripada segala sifat yang mendokong unsur-unsur syirik.
Namun dari sudut syariat yang merupakan hukum-hukum fiqh yang memandu setiap perbuatan para mukallaf, berlaku perbezaan antara setiap para nabi dengan nabi yang lain. Sebagai contoh golongan Bani Israil sebelum kedatangan Rasulullah diharamkan daripada memakan unta namun Rasulullah datang dengan syariat yang baru dengan membenarkan manusia yang beriman kepada Allah untuk memakan daging unta.
Oleh itu, syariat yang dibawa oleh Rasulullah dicipta khusus oleh Allah bagi menjadi satu perundangan hidup yang akan bersesuaian dengan semua keadaan dan masa bermula dengan pengutusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai penutup kepada semua nabi dan rasul terdahulu sehinggalah menjelangnya kiamat.
Soalan yang ditanya adalah berhubung kait dengan permasalahan Sunnah dan Bid`ah yang banyak mengelirukan pemikiran masyarakat sehingga berlakunya tindakan sebahagian masyarakat yang membid`ahkan sebahagian amalan masyarakat Melayu di Malaysia khususnya atas alasan bahawa perbuatan dan amalan tersebut tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Sememangnya tidak dinafikan di dalam masyarakat Melayu terdapat banyak tradisi dan amalan yang diwarisi sejak zaman berzaman yang tidak dilakukan oleh Rasulullah pada zaman baginda secara seratus peratus.
Contohnya amalan membaca Yasin pada malam Jumaat, mengadakan tahlil dan kenduri arwah, mengadakan rumah terbuka sempena hari raya dan menyambut kelahiran Rasulullah. Namun, adakah amalan-amalan ini akan menjadi haram dan bid`ah hanya semata-mata Rasulullah tidak melakukannya?
Mana-mana individu yang terus mengharamkan amalan-amalan ini semata-mata dengan hujah "tidak dilaksanakan oleh Rasulullah”, tindakan tersebut adalah silap kerana setiap perbuatan tersebut perlu diteliti secara ilmiah adakah di sana sebarang dalil yang mengharamkan perlaksanaan perbuatan tersebut secara langsung atau tidak.
Sebagai contoh, apakah sebenarnya sambutan ”Maulidurrasul”? Bagaimana cara perlaksanaan majlis tersebut? Adakah majlis itu diselang-seli dengan acara-acara yang diharamkan oleh Allah?
Seandainya maksud perayaan menyambut ”Hari Kelahiran Rasulullah” itu adalah satu majlis yang diadakan untuk mengingati Rasulullah yang diisi dengan ceramah agama, bacaan syair-syair Arab seperti berzanji dan Burdah Imam al-Busoiri yang memuji peribadi Rasulullah, memberi hadiah kepada fakir miskin dan sebagainya, maka majlis ini adalah dibenarkan oleh Islam sekalipun Rasulullah sendiri tidak menyambut hari kelahirannya secara jelas.
Kita bukan ingin mencipta amalan baru di dalam Islam. Kita hanya ingin membuat satu langkah untuk mengaturkan satu program yang diselitkan dengan amalan-amalan yang dibenarkan oleh Islam.
Islam meminta penganutnya agar cintakan Rasulullah dan membahagiakan masyarakat yang kurang bekemampuan. Lalu masyarakat Islam di Malaysia dan negara-negara lain mengadakan sambutan Maulid al-Rasul dengan mengadakan ceramah, memuji Rasulullah dan memberikan hadiah untuk masyarakat fakir miskin yang kesemuanya adalah untuk merealisasikan makna ”cintakan Rasul” dan ”membantu orang miskin”.
Kesimpulan awal yang boleh diutarakan kepada sidang pembaca adalah: mengadakan satu bentuk pendekatan baru yang menyokong asas-asas Islam adalah dibenarkan dan bukanlah perkara yang haram dan diada-adakan di dalam Islam (bid`ah).
Tugas untuk memastikan program yang dilaksanakan dan amalan yang dijalankan bertepatan atau tidak dengan Islam adalah tugas para fuqaha. Orang yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang ilmu Islam sama sekali tidak berhak untuk menghukum sesuatu perkara dengan label ”haram” dan ”bid`ah” hanya semata-mata kerana alasan Rasulullah tidak membuat acara dan tindakan tersebut bahkan banyak kes yang menunjukkan bahawa orang yang mengatakan Rasulullah tidak melakukan perkara begini dan begini, orang tersebut sebenarnya tidak menjumpai hadis-hadis yang menunjukkan bahawa sebenarnya Rasulullah sendiri pernah melakukan perkara tersebut.
Oleh kerana pemahaman yang baik berkaitan dengan Sunnah dan Bid`ah ini adalah satu perkara yang sangat penting, Mimbar Ulama akan membincangkan secara panjang lebar perkara-perkara yang berkaitan dengan soalan yang ditujukan kepada Mimbar Ulama dengan membahagikan perbincangan ini kepada beberapa tajuk kecil yang berkaitan rapat dengan soalan yang diutarakan.
A. PEMBAHAGIAN MANUSIA KEPADA DUA GOLONGAN: MUQALLID DAN MUJTAHID
Di dalam ilmu Usul Fiqh, manusia itu terbahagi kepada dua golongan:
a) Golongan yang mempunyai keilmuan Islam yang begitu hebat dan memenuhi syarat-syarat yang tertentu sehingga mereka layak untuk mengeluarkan hukum-hakam fiqh. Mereka ini digelar sebagai golongan mujtahid.
Syarat-syarat yang melayakkan mereka untuk sampai ke satu peringkat sehingga mampu mengeluarkan pandangan berdasarkan dalil-dalil syarak (ijtihad) tidak akan dibincangkan di ruangan ini kerana perbahasannya terlalu panjang yang akan didapati di dalam kitab-kitab Usul Fiqh.
b) Golongan yang tidak mempunyai tahap keilmuan yang begitu hebat dan tidak memenuhi syarat-syarat seorang mujtahid. Atas dasar mereka tidak memenuhi syarat-syarat seorang mujtahid, golongan ini tidak layak untuk mengeluarkan pandangan di dalam hukum-hakam fiqh. Golongan ini digelar sebagai golongan muqallid.
Kesimpulan yang boleh dibuat adalah; atas dasar ketinggian ilmu dan akal yang dimiliki oleh si mujtahid, maka Islam memberikan hak kepadanya untuk menggunakan segala kemahiran ilmu dan pemikiran yang ada untuk mencari hukum-hukum fiqh berpandukan dalil-dalil yang diterima oleh syarak.
Golongan muqallid pula boleh dibahagikan kepada dua golongan. Golongan yang pertama ialah golongan ilmuwan Islam yang mempelajari selok-belok agama Islam namun tidak memiliki tahap ilmu yang begitu tinggi yang sepatutnya dimiliki oleh seorang yang bergelar mujtahid. Golongan kedua pula ialah golongan Muslim yang tidak mempelajari selok belok agama Islam dengan baik namun berkemungkinan mereka adalah pakar di dalam bidang-bidang yang lain seperti bidang perubatan, sains dan teknologi, pemikiran dan sebagainya. BERSAMBUNG