Login Weblog

Koleksi Artikel 1

Blog ini mengandungi koleksi artikel yang berguna sebagai infomasi dan rujukan untuk diriku dan orang lain dari harakahdaily, utusan Malaysia, berita harian, Tranungkite Online dan dari beberapa website lain. Terdapat juga sedikit tulisanku di dalam blog ini.

Dakwah cyber mestilah diterokai oleh pendakwah muslim walau pun bidang ini masih baru. Sebagai OKU inilah kesempatan bagiku untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Aku naik saksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang disembah Melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah. "Sesungguhnya Solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah semata-mata kerana Allah Tuhan Semesta Alam": Blogger 28 Ogos 2005

 

Menu
|Koleksi Artikel 1| |Koleksi Artikel 2| |Weblog OKU 2| |Weblog OKU 1| |e-Book|
Waktu Malaysia
Iklan





Waktu Solat
Alumni Maahad Hamidiah Kajang

Subscribe to Maahad Hamidiah
Powered by groups.yahoo.com

Fatwa Pengharaman Anti Hadith

Fatwa Pengharaman Anti-hadith

Kerajaan Malaysia Mengharamkan Golongan Anti Hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telahpun mengharamkan golongan ini: Ajaran Golongan Anti Hadith

ISI AJARAN

1. Menolak hadith sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.

2. Menolak dua kalimah Syahadah.

3. Menolak Qada' dan Qadar

4. Memesong pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran, contoh ayat 12 Surah At-Taghabun, dikatakan taat kepada Rasul itu hanya taat kepada wahyu.

5. Hadith/Sunnah merupakan ajaran palsu dan ia merupakan punca kekeliruan dan perpecahan yang terbesar dikalangan umat Islam

6. Menerima selain daripada Al-Quran sebagai sumber hukum Islam adalah syirik.

TARIKH MUNCUL

1985

TEMPAT BERKEMBANG Seluruh Malaysia

TINDAKAN/HUKUMAN

Difatwakan haram, sesat dan murtad oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri:

1 . Wilayah Persekutuan - 15 Jan 1996

2 . Selangor - 23 Nov 1995, Sel P.U. 46

3 . Melaka - 29 Feb 1996, No 78

4 . Negeri Sembilan - 5 Jan 1996, N.S.P.U. 3 (Sumber: )

Penutup

Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dan menghindarkan diri dari golongan Anti Hadis ini. Golongan ini telah diisytiharkan sebagai sesat dan orang yang menganut fahaman yang mereka bawa telah difatwakan sebagai murtad, terkeluar dari agama Islam yang suci - wal 'iya zubillahi min zalik.

Fatwa Mufti Perak

Kategori : Akidah

Tajuk : Gerakan Anti-hadis

Isu : "A. BAHAWA BUKU YANG BERTAJUK –

(a) "Hadis Satu Penilaian Semula" dan "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik" yang kedua-duanya ditulis oleh Kassim Ahmad;

(b) "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di dalam al-Quran" yang ditulis oleh Idris Abdul Rahman;

(c) "Bacaan" yang ditulis oleh Othman Ali;

(d) "The Computer Speaks – God's Message To The World" yang ditulis oleh Dr. Rashad Khalifa,

adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islam serta mengeliru dan menyesatkan masyarakat Islam. Ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku tersebut, antara lain, menolak hadith sahih (iaitu hadith yang disahkan bersumber daripada Rasulullah S.A.W.) sebagai sumber aqidah dan perundangan Islam, menghina kedudukan Rasulullah S.A.W. dan menghina al-Quran dengan mempertikaikan kesahihan serta memesongkan pengertian sebenar ayat-ayat al-Quran tersebut.Adalah mengandungi ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang bertentangan dengan aqidah dan syariah Islamiah serta menglirukan dan boleh menyesatkan masyarakat Islam, oleh itu adalah diharamkan.

B. BAHAWA orang dan kumpulan orang yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku-buku yang disebut terdahulu adalah suatu kumpulan orang yang sesat dan bertentangan dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah.

Fatwa :

Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh Seksyen 34 (2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1992, Sahibus Samahah Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan membuat fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa "Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak" Darul Ridzuan pada 2 Jamadilawal 1416 bersamaan 27 September 1995, dan atas titah perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan mengisytiharkan fatwa tersebut seperti berikut

C. OLEH YANG DEMIKIAN –

(1) mana-mana orang atau kumpulan yang berpegang kepada ajaran-ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik ", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; adalah murtad;

(2) mana-mana orang Islam adalah dilarang -

(a) mengajar, mempelajari, mengamalkan berpegang kepada atau menyebarkan ajaran- ajaran dan fahaman-fahaman yang terkandung dalam buku "Hadis Satu Penilaian Semula", "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World";

(b) mencetak, menerbitkan, memiliki, menyiarkan, menyebarkan atau mengedarkan buku "Hadis Satu Penilaian Semula," "Hadis Jawapan Kepada Pengkritik", "Pendedahan Kebenaran Adalah Dari Tuhanmu – Hadith Di Dalam al-Quran", "Bacaan" atau "The Computer Speaks: God's Message To The World"; atau mana-mana bahagiannya, termasuk –

(i) apa-apa bentuk, versi atau variasinya;

(ii) apa-apa terjemahannya dalam apa-apa bahasa;

(iii) apa-apa bahan publisiti yang bertujuan memberikan publisiti kepada mana-mana buku itu,pada atau atas apa-apa bahan, sama ada bahan cetak atau elektronik atau selainnya atau melalui apa-apa media; atau

(c) menjadi anggota atau memimpin mana-mana Golongan Antihadith atau membantu dalam menghidupkan atau mengembangkan kumpulan sedemikian."

Rujukan Pewartaan : No:139 Jil.49

Tarikh Pewartaan :

15 Feb 1996

Borak
Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x

Mak Su tak jemu ajar orang dewasa mengaji
Sunday, August 27, 2006
Berita Harian, 27 ogos 2006


USIA emas 64 tahun tidak menghalang bekas johan tilawah peringkat antarabangsa sebanyak lima kali berbakti kepada masyarakat dengan mencurahkan pengetahuan dan pengalaman mengajar mengaji di kelas orang dewasa.


Saban hari, rutin harian Datuk Rogayah Sulong atau lebih mesra dengan panggilan Mak Su adalah sama antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Bezanya cuma lokasi, sama ada di Masjid Kuala Berang, Hulu Terengganu pada setiap Ahad, Masjid Jerangau (Isnin), Masjid Padang Midin (Rabu), surau Tepoh, Kuala Terengganu (Khamis) atau di rumahnya sendiri di Kampung Durian Guling pada setiap Jumaat dan malam Selasa.

Bukan kerana pantang larang menyebabkan Rogayah tidak mengajar pada sebelah petang, cuma keadaan kesihatan tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian.

"Kudrat Mak Su tidak lagi seperti dulu, petang adalah masa untuk rehat atau menghadiri majlis keagamaan dianjurkan pelbagai pihak sama ada badan kerajaan atau bukan kerajaan," katanya yang menghidap penyakit kencing manis sejak lapan tahun lalu malah beliau pernah diserang angin ahmar beberapa tahun lalu.

Anak murid Rogayah kebanyakannya suri rumah berusia antara 20 hingga 50 tahun. Tidak ramai anak muridnya di kalangan lelaki, cuma dua sahaja yang berminat mengikuti kelasnya di Masjid Kuala Berang.

Malah daripada hampir 50 anak muridnya yang datang belajar di rumahnya setiap Jumaat dan malam Selasa, lelaki hanya 18 orang.

"Mak Su pun tak pasti apa masalah mereka, mungkin mereka (lelaki) lebih suka berguru dengan guru lelaki berbanding wanita. Mak Su tidak pernah menolak kalau ada yang mahu belajar daripada Mak Su," katanya yang tidak mempunyai anak murid di kalangan kanak-kanak kerana tugas itu diserahkan kepada anak muridnya yang datang belajar tajwid dan ilmu taranum (mengaji berlagu).

Tidak sukar mendekati Rogayah, bagi mereka yang pertama kali bersua, pasti ada yang beranggapan Rogayah seorang yang tegas dan serius. Hakikatnya Rogayah begitu cepat mesra sebaik disapa.

Bukan ganjaran atau pengiktirafan yang dicari, sebaliknya semangat yang ada pada Rogayah adalah semata-mata mahu melihat generasi baru dapat membaca al-Quran mengikut hukum tajwid serta menguasai ilmu taranum.

"Mak Su tidak mengharapkan pengiktirafan yang tinggi, cukup dengan apa yang diberikan kerajaan negeri ketika ini.

"Mak Su amat berterima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang prihatin terhadap kebajikan golongan yang memberi sumbangan dalam bidang keagamaan.

"Cuma Mak Su mengharapkan kerajaan negeri membangunkan pusat bimbingan membantu qari dan qariah yang terpilih mewakili negeri menggilap bakat mereka dengan bergurukan bekas johan tilawah," katanya.

Ini katanya, kerana qari dan qariah memerlukan latihan intensif sekurang-kurangnya empat bulan bagi memantapkan mutu bacaan dari semua aspek terutama tajwid dan taranum.

Khidmat bekas johan qariah tilawah al-Quran peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta Tokoh Maal Hijrah 2005 peringkat Terengganu itu masih diperlukan dalam membimbing ke arah generasi celik al-Quran.

Malah, Rogayah menganggap pengurniaan darjah kebesaran Dato' Paduka Mahkota Terengganu yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena ulang tahun keputeraan baginda ke-42, Julai 2004, menyuntik semangatnya untuk terus menabur bakti kepada masyarakat.

Cintanya terhadap al-Quran timbul seawal usia 10 tahun sekali gus membolehkannya memenangi pertandingan pertama disertainya.

Kegigihan dan bakat yang ada pada Rogayah, tidak menyukarkan ibu saudaranya, Chik Ali, membantu membimbing, mengasah dan menggilap bakatnya.

Kejayaannya di peringkat kebangsaan bermula ketika berusia 19 tahun apabila dinobatkan sebagai johan qariah pada 1961 mengalahkan peserta yang lebih tua dan berpengalaman.

Lebih manis lagi kejayaan pertama itu dikongsi bersama suami tercintanya, Allahyarham Megat Osman Megat Chik yang tidak putus memberikan dorongan dan kata-kata perangsang membakar semangatnya untuk memperdengarkan bacaan ayat suci dengan lebih baik.

"Sewaktu nama dipanggil ke pentas untuk memperdengarkan bacaan, Mak Su rasa gementar. Bagaimanapun, keyakinan diri serta dorongan suami membuatkan perasaan itu hilang," katanya.

Datuk dan ibu adalah orang yang bertanggungjawab mengajar Rogayah mengaji, manakala teknik berlagu dalam bacaan al-Quran dipupuk oleh ibu saudara.

Selain itu, Allahyarham Megat Osman yang turut mengajar Rogayah mengaji memberikan cadangan kepada isterinya menyertai musabaqah peringkat negeri.

Hasil usaha gigih, Rogayah berjaya mencipta rekod terbaik iaitu muncul johan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa dua tahun berturut-turut pada 1973 dan 1974.

Kali terakhir Rogayah menyertai tilawah pada 1978 dan sekali lagi beliau muncul juara peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sejak itu Rogayah terus menabur bakti kepada masyarakat dengan mengajar mengaji kepada mereka yang berminat untuk mendalaminya terutama membabitkan ilmu taranum.

"Selagi Allah memberi kekuatan dan kesihatan yang baik, insya-Allah Mak Su akan terus mengajar anak murid menguasai bacaan al-Quran dengan tajwid yang betul," katanya.

Pertemuan singkat di Masjid Padang Midin, Kuala Terengganu, baru-baru ini digunakan sepenuhnya kerana kesibukan Rogayah membatasi waktunya untuk ditemu bual.

"Mak Su bersemangat memberikan yang terbaik kerana mahu melihat Terengganu tidak ketandusan qari dan qariah yang mampu mengharumkan nama negeri dan negara," katanya.

PROFIL:

NAMA: Datuk Rogayah Sulong.
UMUR: 64 tahun
TEMPAT LAHIR: Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, Kuala Terengganu, Terengganu.
SUAMI: Megat Osman Megat Chik. (Meninggal dunia pada 1999)
KEJAYAAN:
  • Juara Qariah peringkat Negeri dan Kebangsaan pada 1961, 1963, 1966, 1973, 1974, 1978 dan 1979.
  • Juara Qariah Peringkat Antarabangsa 1966, 1973, 1974, 1978 dan 1979.


  • Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 2:54 PM   0 comments
    Bantah murtad : Himpunan di Port Dickson 28 Ogos ini
    Saturday, August 26, 2006
    Sat | Aug 26, 06 | 11:32:42 AM
    Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

    KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Hrkh) - Gejala murtad, penghinaan terhadap Islam dan kewujudan sebuah gerakan yang mempunyai agenda mewujudkan suruhanjaya antara agama di Malaysia mutakhir ini amat membimbangkan.

    Kewujudan anasir ini mengakibatkan akidah umat diancam, malangnya majoriti umat Islam di negara ini masih membisu dan terlena.

    Menginsafi perkembangan ini beberapa kelompok masyarakat telah memulakan gerakan dengan perbagai pendekatan dan ia disahut oleh Gabungan Anak Muda Negeri Sembilan.

    Gabungan Anak Muda Negeri Sembilan dalam satu kenyataannya hari ini berkata, sebagai tanda prihatin terhadap isu tersebut anak muda Islam di Negeri Sembilan akan menganjurkan perhimpunan umat Islam terbesar di Port Dickson pada 28 Ogos ini.

    Program yang bakal menghimpunkan seluruh anak muda Islam di negeri ini dan umat Islam amnya akan dikepalai oleh bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron di Surau Taman Selasih Port Dickson bermula jam 5.00 petang.

    Menurut jurucakap program, Amiruddin Wahab, program itu turut akan disertai oleh pemidato muda terkenal di Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shahrim.

    Program akan dimulakan dengan perhimpunan pada jam 5.00 petang dan disudahi dengan solat Maghrib berjemaah, katanya.

    Majlis ini juga akan mendedahkan siapa dalang di sebalik ancaman terhadap umat Islam ini dan ia melibatkan orang yang 'kononnya' Islam dan Melayu.

    "Alhamdunillah atas nama Islam kerjasama dari Jawatankuasa Surau amat membanggakan, ini termasuk apabila minggu lepas beberapa AJK Surau telah di temui oleh Polis (cawangan Khas) dan di arahkan mengambil permit bagi program ceramah agama dalam surau.

    "AJK surau tetap mahu meneruskan program tetapi saya telah membuat keputusan untuk tetap memohon permit dan tidak mahu menyusahkan AJK surau jika ada apa-apa berlaku," katanya ketika memberi maklumat kepada Harakahdaily hari ini.

    Permit telah di mohon atas nama Amiruddin Wahab, Azizi dan Badrul Hisham, katanya.

    "Alhamdunillah petang semalam saya telah dipanggil ke IPD PD untuk bertemu ketua Cawangan Khas Port Dickson, beliau telah memberikan komitmen akan mengeluarkan permit tetapi dengan syarat beberapa perkara sensitif tidak disentuh," katanya lagi.

    Sehubungan itu beliau menyeru semua umat Islam sekitar Port Dickson dan Seremban untuk sama-sama berhimpun menunjukkan perpaduan Islam dan mengetahui perkembangan terkini.

    "Untuk penganut agama lain mereka tidak perlu khuatir kerana Mempertahankan hak Islam tidak bermakna menindas penganut agama lain," katanya./wann


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 6:18 PM   0 comments
    Semangat juang Khalid jadi teladan umat Islam
    Friday, August 25, 2006
    Berita Harian, 25 ogos 2006

    TIDAK ada sedikit pun maksud tidak baik Umar terhadap peribadi Khalid, hanya beliau berasa gerun terhadap pedang yang terlalu pantas dan tajam.

    Hal itu dibayangkan ketika dia mengusulkan kepada Abu Bakar, Khalid diberhentikan, sejurus selepas terbunuh Malik Nuwairah.

    Umar berkata: "Sesungguhnya pada pedang Khalid ada rohaqnya." Ertinya kelancangan, ketajaman dan ketegasan.

    Lalu dijawab khalifah as-Siddiq: "Aku tidak akan menyarungkan pedang yang sudah dihunus Allah terhadap orang kafir."

    Umar tidak menyatakan kepantasan bertindak kepada Khalid hanya menjadi sifat rohaq itu sebagai sifat pedang bukan peribadi orangnya.

    Kata-kata itu bukan saja mengungkap adab sopan, tetapi juga penilaian baik terhadap diri Khalid.

    Kehidupan Khalid adalah perang sejak lahir hingga mati. Persekitaran, tumbesaran, pendidikan dan seluruh kehidupan sebelum dan selepas Islam, seluruhnya adalah arena bagi seorang pahlawan berkuda yang lasak lagi ditakuti.

    Kemudian kegigihan pada masa silam sebelum Islam, peperangan yang menentang Rasul dan sahabat serta hayunan pedang ketika syirik yang menjatuhkan kepala orang beriman.

    Kini dijadikan pedang alat yang ampuh untuk menebus kesilapan lalu dengan memancung habis segala tonggak kemusyrikan berlipat ganda hebat daripada apa yang pernah dilakukan terhadap Islam.

    Walaupun Rasul sudah menjelaskan bahawa Islam sudah memaafkan semua kesilapan lalu, namun dia berusaha menunaikan janji kepada Rasulullah selagi dia masih hidup. Dia memohon ampun kepada Allah atas segala perbuatan pada masa silam.

    Pedang yang berada di tangan seorang panglima berkuda istimewa seperti Khalid, kemudian tangan yang menggenggam pedang itu digerakkan dengan hati bergelora serta dipenuhi dengan pembelaan mutlak terhadap agama.

    Ketika selesai pembebasan kota Makkah, Rasulullah mengutuskan sebahagian kabilah yang berdekatan dengan Makkah sambil menyatakan kepadanya:

    "Aku mengutusmu sebagai penyeru umat, bukan sebagai penyerang mereka".

    Rupanya pedang itu menguasai diri yang mendorong sebagai penyerang dan bukan sebagai penyeru umat seperti diwasiatkan Rasul kepadanya.

    Nabi berasa kesal dan bersedih ketika tindakan Khalid disampaikan kepadanya dan sambil berdiri menghadap kiblat, baginda mengangkat tangan, memohon ampun kepada Allah dengan ucapannya:

    "Wahai ya Allah, aku berlepas diri kepada-Mu, daripada tindakan yang dilakukan Khalid".

    Lalu diutuskannya Ali kepada mereka untuk memberikan tebusan ganti rugi terhadap darah dan harta.

    Menurut pendapat sesetengah orang, Khalid membela diri dengan alasan, Abdullah Hudzafah as-Sahmi menyatakan kepadanya bahawa Rasulullah memerintahkan dia memerangi mereka kerana menolak Islam.

    Khalid memiliki tenaga melebihi manusia biasa. Tenaga itu mendorong menghancurkan dunia lama yang menyeksa hatinya. Khalid tidak melihat alat lain untuk membersihkannya, kecuali pedang.

    Khalid adalah pejuang sejati yang sanggup mempertaruhan tenaga dan akal untuk perkembangan Islam sejagat.

    Ketika beliau meninggal dunia Umar menangis. Kemudian umum dapat mengetahui bahawa Umar bukan menangis kehilangan semata-mata tetapi dia menangis kerana tidak berkesempatan mengangkatnya sebagai pucuk pimpinan Islam.

    Umar bertekad memulihkan kepemimpinan dan menjernihkan sebab pemberhentian beliau, kalau tidak maut datang menjemput pahlawan besar itu untuk segera pulang ke tempat kembali di syurga.

    Semangat juang dan keharuman nama dikenang sepanjang masa, selagi kuda perang masih mendengus, mata pedang masih berkilat dan panji serta bendera tauhid berkibaran, dia terus dikenang kerana jasanya dalam perkembangan Islam.

    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 8:23 AM   0 comments
    Penghijrahan Azmil Mustapha
    Utusan Malaysia, 25 ogos 2006

    Oleh: NOR FADZILAH BAHARUDIN

    SATU ketika dahulu namanya cukup dikenali. Sebut sahaja Ali Setan, pasti wajah tampannya terbayang. Itulah Azmil Mustapha, 20 tahun yang lalu.

    Tetapi setelah membintangi lebih 20 buah filem termasuk Ali Setan, Suara Kekasih dan Mekanik tiba-tiba bapa kepada lima orang anak ini hilang tanpa berita.

    Ramai tertanya-tanya ke mana perginya Azmil yang pernah meraih anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-6 (1986) menerusi lakonannya dalam filem Ali Setan ini. Kesempatan menemuinya pada sidang akhbar Karnival Nisfu Syaaban baru-baru ini dalam nada tenang Azmil menceritakan penghijrahannya.

    Berjubah dan berserban putih, Azmil kini kelihatan lebih matang dan jauh berubah sikap.

    “Saya telah nekad berubah sejak enam tahun lalu. Inilah penghijrahan saya.

    “Bukan senang nak berubah, kita kena perlahan-perlahan. Memang sukar pada mulanya tapi semuanya terletak pada diri sendiri.

    “Salah satu caranya, saya memutuskan hubungan dengan kawan-kawan dalam industri seni. Sebab itu ramai tak dapat berjumpa dengan saya. Bukannya kerana apa, itu salah satu cara terbaik. Dan keputusan itu satu tindakan yang betul kerana saya nampak hasilnya,” kata Azmil yang kini menjadi penceramah agama sepenuh masa.

    Azmil tidak menafikan di zaman mudanya dahulu, dia nakal sama seperti anak muda lain. Dalam pada itu, dia pernah terfikir untuk berubah tetapi keadaan sekeliling menyebabkan niatnya itu tidak dapat diteruskan.

    “Saya selalu keluar malam macam anak muda lain. Sentiasa mahu bersuka ria. Tapi pada satu hari tu, saya balik awal dan membuka televisyen. Masa tu, tiada siaran lain. Cuma ada siaran RTM sahaja dan ketika itu siaran penutup iaitu terjemahan al-Quran.

    “Saya melihat dan mendengar tafsiran itu. Sejak dari itu, saya selalu pastikan tidak akan terlepas menonton slot itu biarpun saya keluar malam,” katanya yang ketika itu sudah mula terbuka hati untuk berubah dan mendalami ilmu agama.

    *Dua Kali Kahwin

    Menceritakan mengenai kisah dirinya sambil tersenyum Azmil berkata, “Saya sekarang duda setelah dua kali kahwin. Bekas isteri pertama saya tak suka saya terlibat dalam dunia hiburan. Jadi agak bermasalah ketika itu kerana masing-masing tidak memahami. Dengan bekas isteri pertama, saya dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia 22 tahun.

    “Manakala dengan bekas isteri kedua pula, ceritanya terbalik pula. Dia tak dapat menerima keadaan saya sekarang. Dengannya saya dikurniakan empat orang anak.”

    Malah kata Azmil, “Ketika saya bercerai itu pun anak bongsu saya berumur 4 bulan. Bayangkan saya menjadi bapa tunggal kepada lima orang anak ketika itu. Tapi alhamdulillah saya merasai pengalaman terindah dalam hidup saya. Kerana bukan semua lelaki dapat merasai pengalaman sebegini.” Kata anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, dia tidak menafikan masih ada ruang dalam hatinya untuk mencari pengganti.

    “Saya tidak kisah untuk mencari pengganti asalkan orangnya beragama, “ujarnya.

    *Tidak Akan Berlakon

    Menyentuh mengenai dunia lakonan pula kata Azmil, “Saya pernah mendapat beberapa tawaran. Tapi buat masa sekarang saya tidak berminat untuk terlibat lagi.”

    Katanya, jika ditawarkan berlakon drama bercorak agama, dia akan menimbangkannya dahulu. “Saya akan membuat sembahyang istiqarah. Jika saya tak dapat petunjukNya saya tak akan menerimanya.”

    Malah Azmil mengakui pernah mendapat tawaran menerbitkan filem berunsur agama secara usahasama dengan syarikat perfileman dari Cape Town tetapi menolaknya.

    “Saya dah bersetuju pada mulanya dan mereka mahu menawarkan nilai yang tinggi kepada saya. Tapi setelah membuat sembahyang istiqarah, saya tidak dapat petunjuk daripadaNya maka saya reda untuk menolak. Mungkin ada rezeki di tempat lain,” kata Azmil.

    Namun lain pula ceritanya saat ditawarkan melakonkan watak Pengiran Demak dalam filem Puteri Gunung Ledang pada tahun 2002.

    Kata Azmil, persetujuan dibuat setelah penerbit filem tersebut, Tiara Jacquelina bersetuju dengan 10 syarat yang diberikannya.

    “Kebetulan Tiara, kawan lama saya. Antara syarat yang saya minta, tidak mahu nama atau gambar saya dipaparkan di mana-mana iklan di media cetak atau elektronik,” cerita Azmil tentang penampilan terakhirnya di layar perak.


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 6:51 AM   1 comments
    Personaliti: ‘Jiwa resah jika tak baca al-Quran’
    Thursday, August 24, 2006
    Berita Harian, 24 ogos 2006

    AYAT suci al-Quran yang menjadi hiburan sejak kecil kini umpama santapan harian wajib bagi juara program realiti televisyen berunsur agama pertama di Malaysia terbitan TV9, Akademi al-Quran (AQ), Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri.


    Mukjizat al-Quran yang sudah meresap dalam jiwa menyebabkan anak muda itu berasa resah serta tidak tenteram jika sehari tidak mengalunkan wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad SAW itu.

    “Jika sehari tidak baca al-Quran, jiwa jadi gelisah dan rasa serba tidak kena. Apabila dapat baca al-Quran, baru rasa senang. Itulah keistimewaan serta kelebihan yang saya rasa berkat berdampingan dengan al-Quran,” katanya.

    Mengimbau proses awal pembelajaran bacaan ayat al-Quran secara berlagu, ingatan anak ketiga daripada 10 adik beradik itu akan kembali kepada kenangan dilalui bersama arwah bapanya.

    Setiap kali menaiki van bapanya, beliau akan diperdengarkan kaset bacaan al-Quran dan di rumah pula, sering kali diajak bersama apabila rakan bapa datang untuk belajar taranum.

    Apabila malas belajar al-Quran, Abdullah Fahmi akan dipukul bapa yang bertugas sebagai imam Masjid Ibrahimi di bandar Pasir Puteh, Kelantan.

    “Arwah ayah yang memperkenalkan bacaan al-Quran secara berlagu pada saya sejak umur lima tahun. Disebabkan hari-hari dengar, pada usia tujuh tahun saya sudah boleh membaca ayat al-Quran berlagu.

    “Tetapi masa itu main ‘redah’ saja kerana kemampuan saya lebih kepada meniru bacaan yang didengar tiap-tiap hari. Jika tanya lagu apa, memang saya tidak tahu,” katanya.

    Sesi latihan secara tidak formal mendalami ilmu bacaan al-Quran melalui kaset dan tunjuk ajar bapa berakhir apabila insan yang disayangi kembali ke Rahmatullah pada 1994.

    Disebabkan adik beradik yang ramai dan kesempitan hidup, Abdullah Fahmi yang berusia 10 tahun ketika itu kemudian dimasukkan ke rumah anak yatim Darul Aitam di Kota Bharu, Kelantan.

    Perasaan sedih berpisah dengan ibu serta adik beradik menyebabkan beliau sering melarikan diri dari asrama untuk pulang ke rumah, ponteng kelas, sembunyi belakang pokok sehingga kerap didenda oleh guru sekolah.

    Bagaimanapun, perasaan suka memberontak itu lama kelamaan hilang disebabkan minat serta kecenderungan beliau menyertai pertandingan al-Quran ketika belajar di Sekolah Kebangsaan Lundang sehingga berjaya terpilih ke peringkat negeri Kelantan.

    Apabila menyambung pelajaran di Sekolah Agama Arab Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian di Kota Bharu, beliau diketengahkan dengan ilmu taranum dan mula faham jenis lagu walaupun tidak secara menyeluruh.

    Ketika itu juga beliau yang mewakili Kelantan dalam Pertandingan al-Quran Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Melaka, merasai pengalaman pertama kali bergelar juara.

    “Memang saya banyak terbabit dalam pertandingan al-Quran tetapi tidak pernah menang hinggalah umur 15 tahun. Selepas itu, saya ada juga menyertai pertandingan peringkat sekolah tetapi tidak serius.

    “Saya benar-benar serius mendalami ilmu taranum apabila berjaya menyambung pengajian di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Itupun saya hampir lupa cita-cita asal untuk belajar di sana.

    “Saya pergi temu duga di sekolah pondok moden di Kelantan dan apabila kawan beritahu berminat belajar di Darul Quran, terus saya teringat cita-cita asal saya. Memang Allah ingin saya ke sana, akhirnya permohonan saya berjaya,” katanya.

    Abdullah Fahmi yang menerima diploma Tahfiz al-Quran Walqiraat pada majlis konvokesyen Darul Quran ke-15 akhir Julai lalu kini bersiap sedia untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sama di Universiti Al-Azhar cawangan Shuobra, Mesir.

    Mengenai pembabitan dalam program AQ, Abdullah Fahmi berkata, niatnya mengikuti sesi uji bakat yang diadakan di Darul Quran untuk belajar dan tidak pernah menyangka berjaya hingga ke peringkat akhir.

    Walaupun bergelar juara AQ, beliau tetap merasakan dirinya masih banyak kekurangan menyebabkan timbul rasa malu untuk membaca al-Quran di hadapan rakan yang sama menuntut di Darul Quran.

    Abdullah Fahmi bukan tidak yakin dengan keputusan juri yang memilihnya sebagai juara, malah sebagai pelajar yang baru mendalami ilmu pembacaan al-Quran berlagu, masih banyak perlu dipelajari.

    Bagaimanapun, beliau bersyukur rezeki dikurniakan Allah itu selain berharap akan terus mendapat sokongan keluarga serta rakan untuk menimba ilmu dalam bidang diminati itu.

    “Masuk AQ, saya banyak belajar dan apabila terlalu sedikit ilmu yang saya ada, terasa banyak kekurangannya. Saya memang suka apabila juri tegur kerana dari situ saya boleh belajar lagi,” katanya.

    Bercita-cita menjadi ulama suatu hari nanti, Abdullah Fahmi mengagumi tokoh Islam terkenal Yusof Qardawi dan mengikuti perjalanan hidup serta hasil tulisannya.

    Selain itu, beliau menghormati Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat. Peluang bertemu Tok Guru baru-baru ini digunakan sebaiknya untuk mendapatkan nasihat beliau.

    Katanya, Nik Aziz banyak memberi nasihat menggunakan perumpamaan dan di antara nasihat beliau ialah terus belajar hingga ke liang lahat, belajar dengan mata dan bercakap dengan tulisan.

    Sifat telus Abdullah Fahmi terserlah melalui karektor beliau yang ramah, mudah tersenyum dan agak kelakar apabila sekali sekala terdengar beliau membuat lawak jenaka spontan.

    Walaupun hidupnya banyak berjauhan dengan keluarga, beliau tetap manja dengan ibunya, Che Asma Othman, yang menjadi tulang belakang, teman setia tempat mencurah masalah dan berkongsi harapan.

    “Hubungan saya dengan Umi (panggilan ibunya) memang rapat. Jika ada apa-apa, saya akan minta Umi cium dahi dan doakan untuk saya. Apabila Umi datang melawat saya, dia akan ceritakan apa doa dia untuk saya.

    “Masa peringkat akhir AQ, Umi berdoa andainya kemenangan itu elok untuk saya, berilah tetapi jika sebaliknya, tidak menang pun tidak mengapa. Syukur, memang Allah nak beri rezeki itu kepada saya,” katanya.

    Berdasarkan pengalaman dilalui, beliau berpendapat ibu bapa perlu memberi perhatian serta penekanan pendidikan ilmu al-Quran kepada anak mereka dari kecil lagi.

    Malah, jika perlu ibu bapa hendaklah merotan anak yang enggan belajar al-Quran tetapi tidak sampai mencederakan kerana memang sifat kanak-kanak akan jadi malas jika tidak dipaksa.

    Kepada anak pula, katanya, hendaklah menghormati ibu bapa, mendoakan kesejahteraan keduanya, sentiasa menjaga solat dan tidak lupa belajar membaca al-Quran.

    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 7:22 AM   0 comments
    Kisah Sahabat: Panglima Romawi kagum strategi perang Khalid Al-Walid
    Berita Harian, 24 ogos 2006

    PANGLIMA Islam terbilang, Khalid Al-Walid digeruni musuh kerana kebijaksanaannya dalam mengatur strategi peperangan.


    Sifat luar biasa Khalid turut menarik perhatian panglima Romawi bernama Georgius yang mengundang beliau bertemunya.

    Dalam pertemuan itu Panglima Romawi itu berkata kepada Khalid: "Tuan Khalid...jujurlah anda kepadaku, jangan berbohong sebab orang merdeka tidak pernah berbohong! Apakah Allah sudah menurunkan sebilah pedang kepada nabi anda dari langit, lalu pedang itu diberikan kepada anda, sehingga setiap kali anda menghunuskan pedang berkenaan akan membinasakannya?"

    Jawab Khalid: "Oh, tidak!"

    Orang itu bertanya pula: "Mengapa anda dinamakan Pedang Allah?"

    Jawab Khalid: "Sesungguhnya Allah mengutuskan Rasul-Nya kepada kami, sebahagian kami ada yang membenarkannya dan sebahagian pula mendustakannya.

    “Aku dulunya termasuk orang yang mendustakannya, sehingga akhirnya Allah menjadikan hatiku menerima Islam dan memberi petunjuk kepadaku melalui Rasul-Nya, lalu aku berjanji setia kepadanya.

    “Kemudian Rasul mendoakanku dan beliau berkata kepadaku: "Engkau adalah Pedang Allah antara sekian banyak pedang-pedang-Nya."

    “Demikian, maka aku diberi nama...Pedang Allah."

    “Kepada anda sekalian diserunya mentauhidkan Allah dan Islam.”

    Tanya Panglima Romawi itu lagi: “Apakah orang yang masuk Islam kini akan mendapat pahala dan ganjaran seperti anda juga?”

    Jawab Khalid: “Memang, bahkan lebih...”

    Balas panglima tadi: “Bagaimana boleh berlaku, sedangkan anda sudah lebih dulu memasukinya (Islam).”

    Jawab Khalid: “Kerana sesungguhnya kami sudah hidup bersama Rasulullah SAW, kami melihat tanda kerasulan dan mukjizat serta sewajarnya bagi setiap orang yang sudah melihat seperti yang kami lihat dan mendengar seperti yang kami dengar, akan masuk Islam dengan mudah...

    “Ada pun anda, wahai orang yang belum pernah melihat dan mendengarnya, lalu anda lebih berlipat ganda dan besar, apabila anda membenarkan Allah dengan hati ikhlas serta niat yang suci.”

    Panglima Romawi itu kemudian berseru, sambil memacu kudanya berhampiran Khalid dan berdiri di sampingnya:

    "Ajarkanlah kepadaku Islam itu, hai Khalid!"

    Maka masuk Islamlah panglima itu dan solat dua rakaat, satu-satunya solat yang sempat dilakukannya.

    Kedua-dua bala tentera itu mula bertempur semula. Panglima Romawi itu berada di pihak Muslimin dan bermati-matian menuntut syahid, sehingga dia berbahagia mencapainya.

    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 7:11 AM   0 comments
    Tafsir ubah hidup Mohd. Yusof Foo
    Utusan Malaysia, 24 ogos 2006

    Oleh: ZUARIDA MOHYIN

    GAYA menarik yang pastinya mengimbau kenangan manis buat Mohd. Yusof Foo Abdullah dan Nur ‘Aliah Nadhirah Abdullah.

    “SEMUANYA bermula apabila saya ternampak kitab al-Quran yang tersusun rapi di rak buku sewaktu berkunjung ke rumah mertua bekas abang ipar saya. Serta-merta saya teringatkan kepada pelekat dengan ungkapan berbunyi, Read the Quran yang dilihat di cermin belakang sebuah kereta beberapa tahun dahulu,” akui Mohd. Yusof Foo Abdullah membuka bicara.

    Pada pertemuan petang itu, Mohd. Yusof Foo, 49, ditemani isteri, Nur ‘Aliah Nadhirah Abdullah, 32. Pasangan pengantin baru ini diijabkabulkan pada 8 Mei lalu di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

    Menyambung kisah yang berlaku pada awal tahun 1993 yang sekali gus membawa kepada peristiwa pengislaman beliau, anggota polis di mahkamah ini berkata, tanpa segan silu beliau meminta kebenaran meminjam terjemahan al-Quran bahasa Inggeris itu selama dua minggu.

    “Yalah, saya pada masa itu belum lagi Islam, tentu timbul tanda tanya mengapa saya beriya-iya benar hendak meminjamnya. Sementara mendapatkan green light daripada pemiliknya, saya pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia atau Perkim di Jalan Ipoh dengan niat mempelajari ilmu fardu ain,” jelasnya.

    Alhamdulillah, selang beberapa hari beliau dibenarkan mengambil kitab terjemahan tersebut di Selayang. Dengar sahaja perkhabaran gembira itu, tanpa melengahkan masa, beliau yang ketika itu tinggal di Kepong terus ke sana.

    “Sebelum memegangnya, terlebih dahulu saya mengangkat wuduk sebagaimana yang dilakukan oleh umat Islam. Saya membeleknya sehelai demi sehelai dengan penuh minat. Hanya Allah mengetahui perasaan saya ketika itu. Malah ada semacam desakan dalaman untuk terus mendalaminya,” ujar Mohd. Yusof Foo yang kemudiannya memeluk Islam pada Oktober 1993 pada usia 37 tahun di Pusat Islam, Jalan Lembah Perdana, Kuala Lumpur.

    Kehidupannya sebelum bergelar Muslim bagai layang-layang putus tali. Ini kerana hidup yang bebas tanpa pegangan agama dan tidak ada tanggungjawab jelas kepada Maha Pencipta. Ia jauh berbeza dengan mereka yang beragama Islam, setiap individu adalah khalifah di muka bumi ini.

    Tambahan pula, pergaulan mesra dengan teman-teman sepasukan banyak membantu serta mendorong beliau untuk lebih memahami Islam bukan sekadar melalui pemerhatian semata-mata terutamanya dari sudut kehidupan Melayu Islam di Malaysia.

    “Islam adalah agama yang cukup murni. Saya amat tertarik kepada Islam kerana penekanannya kepada aspek kebersihan dalam apa juga perbuatan dan amalan. Malah apa yang dilakukan sama ada baik mahupun buruk ada balasannya. Mungkin tidak di dunia tetapi di akhirat. Hakikatnya, kehidupan selepas mati itu adalah benar.

    “Ketenangan selepas mengucap syahadah, cukup mententeramkan. Lebih-lebih lagi, pilihan itu diterima kedua-dua ibu bapa meskipun mereka penganut agama Buddha yang setiap. Saya bersyukur mereka berfikiran terbuka, mungkin kerana sebelum ini kakak saya juga mengambil keputusan memeluk Islam,” kata anak kedua daripada tujuh adik-beradik ini.

    *Kursus

    Berkongsi kisah perkenalan beliau dengan Nur ‘Aliah Nadhirah cerita Mohd. Yusof Foo, mereka sebelum ini pernah bersua muka pada beberapa siri aktiviti anjuran pelbagai institusi agama Islam. Namun kursus anjuran Jawi iaitu Pendakwah Saudara Kita yang berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan pada November 2005 adalah permulaannya.

    “Kami masing-masing pernah berkahwin sebelum ini. Segalanya adalah ketentuan Ilahi. Kami reda dan pasrah menempuhinya dan berharap mahligai bahagia yang dibina ini akan berkekalan sehingga akhir hayat,” tambahnya.

    Malah beliau yakin apabila matlamat hidup berkeluarga serta tujuan kehidupan adalah seiringan, pastinya cabaran hidup berkeluarga dapat dilalui dengan tenang dan aman.

    Ia umpama kenderaan yang dinaiki menuju haluan yang sama iaitu mencari keredaan Allah dan itulah yang menjadi prioriti kami sebagai hamba Allah.

    “Hakikatnya, persefahaman, tolak-ansur, kerjasama, hormat-menghormati dan saling berusaha ke arah kebaikan akan pasti dipermudahkan Allah dalam menuju matlamat kehidupan Muslim sejati,” ujar pasangan bahagia ini silih berganti memberikan pandangan.

    Nur ‘Aliah Nadhirah pada petang itu juga tidak keberatan berkongsi kisah pengislamannya iaitu pada Disember 1993. Menurut beliau, agama Islam telah lama bertapak di dalam hatinya tetapi ia menjadi semakin serius sewaktu berusia 19 tahun.

    Malah dua tahun sebelum memeluk Islam, dia sudah tidak lagi menjamah makanan yang diharamkan kepada umat Islam. Semua ini dilakukan secara rahsia begitu juga dengan mengikuti kelas-kelas agama Islam sejak beberapa bulan sebelum mengucap dua kalimah syahadah.

    Pada usia mencecah 20 tahun, dengan hanya restu daripada ibu, Nur ‘Aliah Nadhirah yang juga anak sulung daripada dua adik-beradik tekad ke pejabat Perkim dan melakukan pengislaman. Perasaan tenang yang dialami selepas syahadah itu, sukar digambarkan dengan perkataan dan hanya Allah lebih mengetahui.

    “Bayangkan betapa kecewanya hati bapa saya apabila mengetahui anak perempuan tunggalnya memeluk Islam. Ini kerana ibu memberitahu ayah tentang pengislaman saya. Hubungan kami yang selama ini tidak begitu mesra kekal begitu sahaja.

    “Kami bukannya bermusuhan tetapi saya dengan ayah akan berkomunikasi pada apa yang perlu sahaja kerana biasanya emaklah yang menjadi perantaranya. Pun begitu, ayah dapat menerima pengislaman saya kira-kira setahun dua selepas itu.

    “Pun begitu, peluang menjaga ayah selepas diserang sakit jantung tahun lalu umpama rahmat bagi saya kerana saya sempat melafazkan kalimah syahadah di telinganya dan saya dapati wajahnya berseri-seri. Malah ini sendiri diakui oleh ibu sewaktu melihat wajah ayah buat kali terakhir,” cerita Pembantu Tadbir di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak, Kuala Lumpur ini.

    Di samping itu, Nur ‘Aliah Nadhirah juga sebelum mendalami Islam pernah belajar mendekati agama Kristian menerusi kitab Injil Indonesia. Katanya, setiap kali dia cuba membacanya, banyak persoalan yang timbul.

    “Alhamdulillah selepas mendalami Islam, banyak pengajaran yang bersesuaian dengan fitrah manusia. Apa yang dilarang dan disuruh boleh dibuktikan secara logikal dan saintifik malah ia diterangkan dengan al-Quran dan sunah.

    “Hakikatnya, pasti ada sebab mengapa manusia dan isi alam ini diwujudkan. Ia tidak jadi dengan sendirinya dan semua persoalan ini ada jawapannya di dalam Islam,” kata Nur ‘Aliah Nadhirah yang kini berada pada peringkat awal kehamilan.


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 6:57 AM   0 comments
    Kisah sahabat: Mimpi Khalid al-Walid bawa ke jalan kebenaran
    Wednesday, August 23, 2006
    Berita Harian, 23 ogos 2006

    Sambungan semalam




    KHALID bin al-Walid meneruskan kisahnya: “Apabila surat itu sampai, aku semakin bersemangat untuk pergi menemui Rasulullah dan berhajat segera memeluk Islam. Pertanyaan Rasulullah terhadap diri aku amat menggembirakan.

    Ketika tidur aku bermimpi, berada di sebuah negeri yang tandus dan sempit lalu menuju ke tempat yang luas dan hijau. Apabila tersedar aku berkata, oh! ini hanya mimpi. Apabila tiba di Madinah nanti, aku akan menceritakan mimpi aku kepada Abu Bakar.

    Tiba di sana aku terus menceritakannya kepada beliau, lalu Abu Bakar (yang bijak menafsir mimpi) berkata: “Adapun keluarnya kamu ke sebuah negeri hijau dan luas, itu adalah tanda hidayah Allah kepadamu supaya memeluk Islam.

    Ketika bertekad untuk berangkat, aku bertanya pada diri, siapakah yang akan menemani aku dalam perjalanan menuju kepada Rasulullah. Kemudian, aku bertemu dengan Safwan bin Umaiyah, lalu aku katakan padanya: “Wahai Abu Wahab, apakah kamu tidak mengetahui keadaan kita sekarang? Jumlah kita semakin kurang, sedangkan kedudukan Muhammad semakin kuat sehingga menguasai bangsa Arab dan luar Arab.

    Aku menyarankan kita menghadap dan mengikutinya. Ia disebabkan kemuliaannya adalah kemuliaan kita juga.

    Mendengar kata-kata Khalid itu, Safwan terus menolak keras. Katanya: “Jika semua orang mengikuti Muhammad dan yang tersiksa hanya aku, pasti aku tidak akan mengikutinya, walaupun sampai mati.”

    Akhirnya kami berpisah, lalu aku berkata dalam hati: “Saudara dan bapa orang itu (Safwan) terbunuh dalam Perang Badar. Selepas itu aku bertemu dengan Ikrimah bin Abu Jahal. Aku katakan padanya seperti pada Safwan.

    Jawapannya memang sama dengan Safwan. Tetapi aku memintanya supaya merahsiakan percakapan aku itu. Dia berjanji tidak akan memberitahu sesiapa. Selepas itu aku pulang dan mempersiapkan unta dan bekalan untuk berangkat menuju kepada Rasulullah.

    Dalam perjalanan aku bertemu pula dengan Uthman bin Talhah. Aku berkata sendirian, sesungguhnya orang ini adalah rakan aku. Jika aku tawarkan padanya seperti pada Safwan dan Ikrimah? Kemudian aku teringat rakan bapanya yang terbunuh. Jadi aku berasa ragu. Tetapi aku katakan juga padanya: “Tahukah kamu apa yang berlaku pada aku? Aku adalah orang yang pergi daripada waktuku.” Aku menceritakan tawaran aku padanya. Aku berkata: “Sesungguhnya kedudukan kita ini umpama seekor serigala yang berada di dalam lubangnya. Jika disiram dengan air, pasti ia akan keluar.

    Aku menceritakan tawaran seperti dua orang rakan aku tadi. Dia segera menerima tawaran aku. Lalu aku katakan padanya, hari ini aku ingin berangkat awal pagi dan untaku sedang diberi minum di Fajj (sebuah lembah di Makkah).

    Aku berjanji padanya, akan bertemu lagi nanti di Ya'juj (nama sebuah tempat). Jika dia yang sampai dulu di tempat itu, dia perlu menunggu aku. Jika aku sampai lebih dulu, aku akan menunggunya.

    Kami berangkat pada akhir malam dan sebelum terbit fajar kami tiba di Ya'juj. Pada waktu pagi kami meneruskan perjalanan hingga ke Hadah. Di situ kami bertemu pula dengan Amr bin al-As.

    Amr menyambut kami dan mengalu-alukan kedatangan kami. Amr bertanya kami: “Ke manakah arah perjalanan anda? Kami pula bertanya padanya: “Apa yang menyebabkan kamu ke tempat ini? Dia pula bertanya: “Kamu juga mengapa ke sini?

    Kami katakan padanya, kami ingin memasuki Islam dan mengikuti Muhammad. Amr berkata: “Hal itu juga yang membuatkan aku ke sini.” Selepas itu, kami bertiga berangkat ke Madinah.

    Rupanya, kedatangan kami sudah diberitahu kepada Rasulullah dan beliau gembira. Kemudian aku menukarkan pakaian dengan yang lebih baik, lalu bergegas untuk berjumpa dengan Rasulullah. Ketika itu saudaraku, Walid bin Walid datang menemui aku.

    Dia katakan pada aku, cepatlah. Rasulullah sudah diberitahu mengenai kedatanganmu. Baginda amat gembira dan sedang menunggumu. Kami mempercepatkan perjalanan. Tiba di sana, aku lihat Baginda tidak putus-putus senyum pada aku hingga aku berdiri depannya. Aku memberikan salam: “Selamat sejahtera wahai Nabi Allah. “Baginda menjawab salamku dengan wajah berseri.

    Kemudian aku mengucapkan: “Aku naik saksi tiada tuhan kecuali Allah dan engkau (Muhammad) persuruh Allah.”


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 9:55 AM   0 comments
    Masjid Diraja Sultan Sulaiman kekalkan pengaruh seni bina British
    Utusan Malaysia, 23 ogos 2006

    Oleh: ZUNAIDAH ZAINON


    MASJID Diraja Sultan Sulaiman yang berusia 74 tahun telah dibina pada 1932.

    PENJAJAHAN British selama 160 tahun di Tanah Melayu telah memberi pengaruh yang cukup besar ke atas gaya seni bina tempatan terutamanya kawasan penempatan pihak British.

    Dari segi estetik, seni bina kolonial British di Malaysia secara dasarnya berbentuk hibrid yang boleh dikategorikan kepada pengaruh Moor, Tudor, Neoklasik dan Neo-ghotic.

    Kebanyakan arkitek dan jurutera kelahiran British yang pernah berkhidmat di India dan beberapa negara jajahan British telah mengilhamkan gaya seni bina Moghul. Ia kemudiannya dikembangkan kepada beberapa binaan bangunan pentadbiran kerajaan termasuklah stesen kereta api di Semenanjung Malaysia.

    Pengaruh seni bina Moor dapat dilihat pada Bangunan Sultan Abdul Samad yang didirikan pada 1897, Stesen Keretapi (1911) dan Ibu Pejabat Pengurusan Keretapi (1917). Secara kebetulan, terdapat beberapa arkitek dan jurutera yang terlibat dalam pembinaan masjid di Malaysia. Ini menjadikan gaya seni bina masjid berbeza dengan bentuk vernakular.

    Gaya vernakular mempunyai ciri-ciri rumah Melayu tradisional yang dipengaruhi oleh faktor seperti keadaan iklim, penggunaan material, kerja tangan dan latar belakang etnik. Contoh masjid vernakular dengan pengaruh tradisional ialah Masjid Kampung Laut, Kelantan yang dibina pada 1730, Masjid Langgar, Kelantan (1871) Masjid Paloh, Perak (1912).

    Antara masjid yang menerima sentuhan arkitek British ialah Masjid Diraja Sultan Sulaiman yang terletak di Klang, Selangor. Arkitek yang bertanggungjawab ialah L.Keste Ven. Masjid ini yang didirikan pada 1932 masih mengekalkan keasliannya hingga ke hari ini.

    Menurut cucu kepada Sultan Alauddin Sulaiman Shah yang juga Tengku Syahbandar Selangor, Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Aziz Shah al-Haj, keistimewaan masjid ini terletak pada pengaruh seni bina British yang sudah tidak ada lagi pada binaan masjid moden hari ini.

    “Sekali pandang, ia tidak ubah seperti sebuah gereja kerana binaan menara masjid yang unik. Ini kerana, ia menerima pengaruh daripada jajahan British pada waktu tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kuarters Istana Alam Shah baru-baru ini.

    Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ungku menceritakan, tujuan utama Sultan Sulaiman mendirikan masjid tersebut ialah untuk memudahkannya bersembahyang jemaah dengan rakyat terutama pada hari Jumaat.

    “Dengan itu, almarhum membina masjid tersebut yang boleh memuatkan hingga 3,000 jemaah. Kadang-kala Sultan Sulaiman akan berkhutbah pada hari Jumaat,” tambah beliau.

    Antara pengaruh gaya seni bina Barat yang dapat dilihat pada masjid ini ialah ukiran di mimbar yang nampak seolah-olah seperti salib sekiranya diperhatikan dengan teliti. Bagaimanapun, ukiran tersebut tidak boleh dibuang kerana ia akan merosakkan keasliannya.

    Sebaliknya, pihak pengurusan masjid mengambil keputusan menutup ukiran tersebut dengan ayat Kursi. Unsur-unsur lama yang masih dikekalkan ialah cermin berwarna-warni yang boleh dilihat di bahagian atas kubah masjid.

    “Memang ada cadangan untuk menjadikan masjid ini sebagai warisan negara. Atas sebab itu, Sultan Selangor amat peka dan tidak mahu sebarang pengubahsuaian dilakukan pada masjid kerana hendak mengekalkan keaslian pembinaannya pada 1932. Apa yang dilakukan hanyalah baik pulih seperti

    cat baru supaya masjid kelihatan lebih menarik. Hingga kini, satu-satunya pengubahsuaian yang dilakukan ialah tempat wuduk yang dahulunya merupakan sebuah kolam besar. Selain itu, pada 1982, beberapa penambahan di kawasan masjid dilakukan bersesuaian dengan peningkatan jemaah,” ujar Pak Ungku.

    Walaupun, sudah berusia 74 tahun, bangunan masjid ini masih kukuh dan teguh. Misalnya, pintu besi yang terdapat di sekitar masjid tidak pernah ditukar melainkan ditukar dengan cat baru. Begitu juga dengan mimbar yang diperbuat daripada kayu cengal dan chandeliar masih bertahan sehingga ke hari ini. Batu-bata dan marmar yang diimport dari negara-negara Islam seperti Turki menjadikan suasana pengudaraan dalam masjid nyaman dan menenangkan.

    “Sebelum Masjid Sultan Abdul Aziz di Shah Alam dibina pada 1989, masjid ini berfungsi sebagai masjid negeri yang menjalankan pelbagai aktiviti seperti sambutan hari kebesaran Islam, Israk Mikraj, Maulidur Rasul, ceramah agama dan sebagainya. Tetapi, selepas itu, kebanyakan aktiviti tertumpu kepada masjid tersebut yang lebih luas dan selesa. Masjid ini sebenarnya pernah memberikan sumbangan besar kepada penduduk Kampung Jawa terutama kepada para pelajar Kolej Islam Sultan Alam Shah,” ujar beliau lagi.

    Sebagai masjid yang terletak berdekatan dengan Makam Diraja, Pak Ungku tidak menolak berlakunya beberapa perkara mistik berdasarkan kepada cerita pengawal yang menjaga masjid pada waktu malam.

    “Bagaimanapun, saya tidak berhadapan dengan gangguan-gangguan mistik sedemikian. Pernah pengawal bercerita kepada saya, pada waktu malam ada makhluk yang mengejutkannya ketika sedang nyenyak tidur. Malah musafir yang bermalam di masjid juga turut diganggu. Tetapi, ia terpulang kepada niat individu terbabit. Kalau niatnya baik, insya-Allah, mereka tidak akan diganggu,” katanya.


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 8:20 AM   0 comments
    Sumbangan kajian Islam di Jepun
    Utusan Malaysia, 23 ogos 2006

    Oleh AHMAD SAHIDAH


    TUGAS penterjemahan al-Quran di Jepun dari tahun 1920 hingga 1970 mempunyai sejarah tersendiri yang boleh dikatakan agak menarik.

    Menurut salah seorang sarjana iaitu Abu Bakr Morimoto, lima terjemahan al-Quran ke bahasa Jepun telah dilakukan dalam tempoh berkenaan.

    Terjemahan pertama dibuat oleh Keuiche Sakamoto, seorang sarjana dari Universiti Tokyo pada 1920.

    Pada 1957, al-Quran diterjemahkan daripada bahasa Arab oleh Toshihiko Izutsu, seorang sarjana fasih berbahasa Arab.

    Beliau juga menulis beberapa karya antaranya God and Man in the Qur’an: Semantics of Qur’anic Weltanschauung, Ethico-Religious Concepts in the Qur’an dan The Concept of Belief in Islamic Theology.

    Kesemua buku berkenaan diulang cetak oleh penerbitnya, Islamic Book Trust Malaysia memandangkan pentingnya pemikiran sarjana Jepun ini.

    Pada hakikatnya karya Izutsu membincangkan konsep penting dalam al-Quran dengan pendekatan baru iaitu ilmu linguistik.

    Kaedah tersebut diperkenalkan oleh ahli bahasa Jerman Profesor Ernest Leisi tetapi beliau tetap merujuk ke atas pemikiran sarjana Muslim, selain menggunakan puisi Arab kuno untuk mentafsirkan al-Quran.

    Pendekatan semantik yang digunakan Izutsu pula tidak saja mencari erti kata malah mengaitkan dengan ayat lain yang berada pada lingkungan makna yang sama.

    Ia bertujuan untuk mencapai pandangan dunia (Weltanschauung) al-Quran.

    Pengaruh Izutsu juga boleh dilihat dalam pandangan sarjana, Wan Mohammad Nor Wan Daud yang mengambil kira bahawa perbezaan mazhab hukum Islam dan teologi berpunca pada kelainan metod dalam mentafsirkan al-Quran dan hadis.

    Oleh itu, cara pentafsir klasik menggunakan analisis gramatikal dan filologi dilihat tidak mencukupi.

    Ini kerana ia tidak boleh mendapatkan penjelasan syumul sebagaimana jika diselidiki berasaskan bidang semantik terhadap konsep-konsep kunci Islam.

    Sarjana Jepun lain yang menyerlah ialah Sachiko Murata melalui tulisannya The Tao of Islam: A Sourcebook on Gender Relationship in Islamic Thought.

    Ia mendedahkan pemikiran Islam tentang hakikat hubungan Tuhan dan alam semesta, alam semesta dan manusia serta manusia dan Tuhan.

    Beliau memusatkan perhatian pada simbolisme gender yang telah dirintis oleh pemikir klasik seperti Ikhwan al-Safa, Ibn al-Arabi, Ibn Sina dan al-Ghazali.

    Menurutnya, realiti ketuhanan dalam hubungannya dengan alam dan manusia adalah bersifat saling melengkapi.

    Gagasan ini sangat mirip dengan falsafah Cina tentang konsep yin-yang.


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 8:15 AM   0 comments
    Khalid al-Walid pahlawan terulung
    Tuesday, August 22, 2006
    Berita Harian, 22 ogos 2006

    KHALID bin al-Walid panglima tentera Islam terulung yang memberikan banyak sumbangan kepada penyebaran syiar Islam. Beliau selalu ke medan perang sejak zaman Rasulullah hingga pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab.


    Bagaimanapun, sebelum memeluk Islam, beliau termasuk di kalangan orang Musyrikin yang bermusuh dengan Nabi Muhammad. Beliau selalu menghalang usaha dakwah Muhammad sehingga setiap kali pulang hatinya berkecamuk memikirkan mana baik dan buruk.

    Melalui satu riwayat, Khalid menceritakan: �Ketika Allah mahu memberikan kebaikan kepada aku, Dia menanamkan dalam hati aku keinginan untuk memeluk Islam dan memberikan petunjuk kepada aku.

    �Aku berkata, sesungguhnya aku mengikuti setiap peperangan menentang Muhammad, sedangkan tiada satu pun di antara sekian banyak peperangan yang aku ikuti kecuali ketika pulang hati aku menyatakan bahawa langkah yang aku tempuhi ini tiada manfaatnya dan aku yakin Muhammad pasti akan selalu mendapat kemenangan.

    �Ketika Nabi Muhammad dan sahabat ke Hudaibiyah, aku juga berangkat bersama pasukan berkuda orang Musyrikin. Lalu aku bertemu dengan Rasulullah bersama sahabat Baginda yang sedang berada di Usfan (tidak jauh dari Makkah). Aku berusaha menghalangi Baginda.

    �Pada waktu itu Baginda dan sahabat menunaikan solat Zuhur bersama kami. Justeru, terdetik dalam hati kami untuk menyerang Baginda dan sahabat. Tetapi, rancangan itu dibatalkan

    �Kemudian Baginda dan sahabat menunaikan solat Asar secara khauf (kerana bimbang diserang musyrikin). Hati kami yakin bahawa Baginda mengetahui rancangan kami. Lalu aku berkata, orang ini (Muhammad) dilindungi. Selepas itu rombongan Baginda meninggalkan kami dan mengambil jalan sebelah kanan.

    �Selepas orang Quraisy mengadakan perjanjian Hudaibiyah dengan Baginda dan sepakat terhadap kandungannya, hati aku terdetik; sekarang apa yang masih tinggal. Ke mana aku mahu pergi? Adakah aku perlu pergi kepada Raja Najasyi. Sesungguhnya dia sudah memeluk Islam dan sahabat di sana mendapat perlindungan daripadanya dan hidup aman.

    �Apakah aku pergi saja kepada Maharaja Romawi. Jika ke sana mungkin aku perlu menukar agama kepada Nasrani atau Yahudi dan terpaksa tinggal di sana sebagai orang asing.

    �Akhirnya aku memilih tinggal di tempat sendiri bersama orang yang belum memeluk Islam. Ketika aku dalam keadaan buntu memikirkan perkara itu tiba-tiba terdengar berita bahawa Rasulullah akan ke Makkah untuk melakukan umrah qada.

    �Jadi, aku segera bersembunyi sehingga aku tidak melihat beliau memasuki Makkah. Ketika itu saudara aku, Walid bin Walid juga bersama-sama Rasulullah untuk menunaikan umrah. Dia pun mencari aku, tetapi gagal. Kemudian saudara aku menulis surat kepada aku:

    �Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya aku belum pernah melihat sesuatu yang lebih menghairankan aku daripada hilangnya akal kamu daripada Islam, sedangkan kamu adalah orang yang paling bijak berfikir sehingga tahu membezakan yang benar dan palsu.

    �Adakah agama seperti Islam tidak difahami oleh seseorang? Sesungguhnya Rasulullah sentiasa bertanya kepada aku mengenai diri kamu? Di manakah kamu Khalid? Aku menyatakan pada beliau, kelak Allah akan membawakannya..." � Bersambung

    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 8:49 AM   0 comments
    Mengingati al-Aqsa dibakar
    Utusan Malaysia, 22 ogos 2006

    Oleh MASZLEE MALIK


    Sebahagian besar masyarakat Islam lupa Masjid al-Aqsa pernah dibakar pada tahun 1969. – AFP.


    FIRMAN Allah S.W.T.: ‘‘Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan juga tempat-tempat sembahyang (synagogue kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid yang sentiasa disebut nama Allah sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Haaj: ayat 40)

    Jika dalam ayat di atas, umat Islam telah dilarang daripada menjadikan rumah-rumah ibadat sebagai sasaran mereka di kala peperangan dan di kala damai, sebaliknya pula yang sentiasa berlaku terhadap umat Islam.

    Sering kali jika berlaku apa-apa peperangan ke atas umat Islam, pasti musuh-musuh mereka menjadikan masjid-masjid sebagai sasaran.

    Lihatlah apa yang berlaku di Babri, India, masjid-masjid di Bosnia lewat konflik Serb-Bosnia, masjid-masjid di Iraq yang sentiasa terdedah kepada penghinaan dan serangan tentera-tentera “paling bertamadun” di dunia, iaitu tentera-tentera Amerika Syarikat (AS).

    Di tanah Palestin, ada masjid yang dirobohkan, ada yang dijadikan muzium dan ada yang ditukarkan kepada kandang lembu.

    Ada juga masjid yang ditukarkan menjadi kelab malam dan rumah pelacuran seperti mana yang dilaporkan oleh wartawan Palestine Return Centre, United Kingdom dalam filem dokumentari mereka The Cries of the Minarets.

    Lebih malang lagi, Masjid al-Aqsa sendiri, yang merupakan masjid ketiga suci umat Islam dan juga kiblat pertama mereka sendiri tidak terlepas daripada ancaman dan juga aksi ganas pihak Zionis.

    Dalam peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim Israel dengan bantuan AS, pihak tentera Zionis telah memasuki Masjid al-Aqsa dan menawannya.

    Dengan bertrak-trak tentera rejim, mereka telah menari-nari di sekeliling Masjid al-Aqsa sambil menyanyikan lagu:

    “Letakkan apricot ke atas epal, agama Muhammad telah hancur dan musnah, Muhammad telah mati. ‘‘Yang ditinggalkan hanyalah anak-anak perempuan yang lemah.”

    Lagu tersebut membawa makna bahawa dengan kemenangan mereka yang dianggap sebagai mukjizat itu merupakan berakhirnya agama Islam.

    Ia juga menandakan kegagalan umat Islam mempertahankan masjid mereka itu menunjukkan bahawa umat Islam telah kehilangan orang-orang lelaki yang mampu mempertahankan masjid mereka!

    Bermula tarikh itu, pihak rejim telah mengisytiharkan tembok sebelah barat Masjid al-Aqsa sebagai milik mereka.

    Tembok sebelah barat masjid yang dikenali selama berkurun-kurun sebagai ‘Tembok Buraq’ (kerana dikatakan Rasulullah telah mengikat Buraq di tembok tersebut sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj) itu telah ditukarkan namanya kepada ‘Tembok Meratap’.

    Ia telah diisytiharkan secara rasmi juga melalui tarikh tersebut sebagai kiblat warga Yahudi untuk mereka menunaikan ibadat ‘meratap’ di atas kehilangan ‘Haykal’ yang pernah dibina oleh Nabi Sulaiman di atas tapak tersebut.

    Sehingga kini, penganut agama Yahudi yang berfahaman Zionis dari serata dunia akan menunaikan ‘haji’ mereka di sana.

    Bagi tentera mereka yang akan menjawat jawatan tertinggi dalam angkatan tentera rejim juga akan menunaikan ‘angkat sumpah’ di tembok tersebut untuk mempertahankan negara Israel (Erez Yizrael) dengan nyawa dan darah mereka.

    Perlu diingat, penawanan ke atas tembok Buraq itu bukanlah satu tindakan yang terakhir mereka terhadap Masjid al-Aqsa, tetapi merupakan permulaan bagi mereka untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina semula kuil ibadat mereka yang dinamakan sebagai The Mount Temple ataupun Haykal Sulayman.

    Sebagai bukti yang kukuh, pada 21 Ogos 1969, seorang penganut fahaman Zionis beragama Kristian dari Switzerland Dennis Micheal telah membakar sebahagian daripada ruang utama Masjid al-Aqsa.

    Antara yang mengalami kemusnahan daripada tindakan keganasan tersebut ialah mimbar masjid yang telah dibina semenjak zaman Nuruddin al-Zinki dan pernah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi di zaman pemerintahannya.

    Sehari suntuk, umat Islam telah bertungkus lumus bersama-sama memadamkan api dan juga menyelamatkan kesan -kesan sejarah di masjid tersebut.

    Hasil daripada peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa ini, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah ditubuhkan untuk menyatukan negara-negara majoriti umat Islam agar menjadikan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia.

    Bagi penjenayah yang telah bertanggungjawab membakar Masjid al-Aqsa pula, beliau telah dibebaskan oleh kerajaan rejim Zionis kerana didapati ‘tidak siuman’, walaupun dari segi profesionnya beliau merupakan seorang doktor perubatan!

    Sebagai reaksi terhadap peristiwa pembakaran tersebut, negara-negara Islam telah bersetuju untuk menubuhkan OIC sebagai langkah menjadikan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia.

    Sejak hari itu jugalah, 21 Ogos dianggap sebagai hari memperingati Masjid al-Aqsa sedunia.

    Sayangnya, sehingga kini, bukan hanya sekadar isu Palestin tidak dapat diselesaikan oleh OIC, malah isu Masjid al-Aqsa yang sepatutnya diambil peduli oleh setiap umat Islam terpinggir dari agenda OIC.

    Ratusan resolusi yang telah diluluskan oleh OIC, namun di peringkat praktikalnya, tiada satu pun yang dapat dilaksanakan.

    Lebih malang lagi, dalam mengemukakan apa-apa penyelesaian terhadap isu Palestin, negara-negara OIC hanya menuruti sahaja apa-apa keputusan yang dibawa dari Washington dan Tel Aviv.

    Sehingga detik ini, walaupun sudah hampir tiga ancaman yang diumumkan oleh golongan radikal Yahudi semenjak awal tahun 2005 untuk merempuh masuk dan menawan Masjid al-Aqsa, tiada apa-apa keputusan yang dikeluarkan oleh OIC dan mana-mana negara anggotanya berkaitan perkara tersebut.

    Sepatutnya, negara-negara OIC menjadikan tarikh 21 Ogos sebagai tarikh untuk diingati oleh semua umat Islam di serata dunia setiap tahun.


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 8:06 AM   0 comments
    Israk Mikraj bukan hanya perbincangan soal solat
    Utusan Malaysia, 22 ogos 2006

    Dr. M. BADLIHISHAM MOHD. NASIR.

    Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar, lagi maha mengetahui. (al-Israk: 1)

    Setiap kali bulan Rejab, umat Islam akan mengenang kembali peristiwa Israk dan Mikraj, salah satu mukjizat kepada Rasulullah s.a.w..

    Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan juru foto ABDUL RAZAK LATIF menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. M. Badlihisham Mohd. Nasir mengenai sambutan majlis itu di Malaysia.

    Apakah maksud peristiwa Israk dan Mikraj?

    DR. BADLIHISHAM: Israk dan Mikraj ini adalah kisah yang amat simbolik serta bermakna dalam Islam. Israk bermakna perjalanan dari Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Mikraj pula adalah perjalanan dari bumi ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Ia berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah.

    Peristiwa ini antara lain untuk memberi kegembiraan kepada Rasulullah selepas dilanda dukacita berikutan kewafatan isteri tercinta, Siti Khadijah dan juga bapa saudaranya, Abu Talib. Tahun itu juga digelar sebagai tahun dukacita.

    Perjalanan ini melibatkan bukan sahaja ruh tetapi juga jasad Rasulullah. Ia juga menguji keimanan umat Islam terutama pada ketika itu ia dianggap satu keajaiban dan tidak diterima akal terutama oleh golongan kafir.

    Di sinilah, diperlihatkan manusia pertama yang membenarkan kisah Rasulullah itu iaitu saidina Abu Bakar sehingga mendapat gelaran as-siddiq atau yang membenarkan.

    Ia juga menunjukkan kekuasaan Allah kepada manusia melalui tanda-tanda manzurah (yang boleh dilihat).

    Bagaimanakah sambutan masyarakat Islam Malaysia terhadap majlis ini?

    Sambutan Israk dan Mikraj menjadi tradisi dalam kalendar umat Islam. Sehinggakan ada yang beranggapan sesuatu kekurangan bagi mana-mana masjid atau surau yang tidak menyambutnya.

    Bagaimanapun, jika diamati, keseluruhan sambutan masih tidak terlepas dari kerangka tradisi seperti ceramah, forum sebagai agenda utama.

    Memanglah peristiwa itu penting dari segi kerohanian selain menunjukkan betapa pentingnya ibadat tertentu khasnya solat yang diterima sendiri oleh Rasullullah tanpa perantaraan Jibril.

    Ia juga penting sebagai iktibar kepada umat Islam. Lebih utama lagi, sambutan ini perlu diperkasakan antaranya dengan membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan umat Islam.

    Sambutan yang stereotaip barangkali menyebabkan kita tidak dapat melihat kaitan peristiwa besar ini dengan kehidupan masa kini. Bagaimanakah cara untuk membetulkan keadaan ini?

    Saya berpendapat sudah sampai masanya bagi kita memberi nafas baru kepada sambutan Israk dan Mikraj. Dengan kata lain, sambutannya bukan sahaja membicarakan soal perintah solat sebagaimana lazim.

    Sebaliknya, para penceramah atau ustaz perlu mengambil peluang peristiwa ini untuk mengaitkannya dengan isu-isu semasa yang berkaitan. Ia tidak boleh hanya difahami dalam konteks perjalanan spiritual Rasulullah sahaja.

    Sebaliknya, ia perlu diarahkan secara langsung bagaimana membantu umat Islam memahami isu Palestin dan Lebanon secara mendalam.

    Antaranya, bagaimana perjalanan malam Rasulullah ke Jerusalem diselitkan dengan persekongkolan syaitan dan yahudi yang mengganggu baginda.

    Peristiwa di mana seorang lelaki datang dari arah kanan meminta baginda berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu adalah simbolik seruan yahudi. Jibril menerangkan jika baginda melayannya, nescaya ramai umat Islam menjadi yahudi.

    Begitu juga seorang tua yang duduk di tepi jalan dan menyuruh Nabi berhenti. Ini adalah seruan iblis yang cuba menghalang usaha Nabi berdakwah.

    Keazaman kedua-dua makhluk ini mengancam Islam tetap berlarutan sehingga hari ini walaupun ditepis oleh Nabi dalam perjalanan tersebut.

    Apakah contoh lain yang dapat diambil pengajaran dalam konteks isu semasa?

    Isu Masjid al-Aqsa misalnya. Rasulullah pernah mengimamkan solat para nabi di masjid itu yang kini sedang menanti dirobohkan oleh pihak zionis bagi mendirikan impian mereka ialah Kuil Raja Sulaiman.

    Kaum yahudi ini memanglah tidak akan selamanya bersetuju dengan Islam sebagaimana diterangkan dalam al-Quran, Orang-orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka yang terpesong itu. (al-Baqarah; 120)

    Ini adalah antara perseteruan yang disebut oleh Allah yang mesti dijadikan peringatan kepada kita umat Islam. Mereka ini keras dengan fahaman sebagai umat pilihan mengetahui akan kerasulan Nabi tetapi tetap enggan beriman semata-mata kerana Rasulullah bukan dalam kalangan mereka.

    Mengenai solat misalnya, kita melihat menerusi media tentera Israel sembahyang dan berdoa sebelum berperang. Ini sepatutnya mengajak kita berfikir betapa ramai umat Islam termasuk di Malaysia yang masih tidak bersolat walaupun tinggal dalam negara yang aman.

    Bagaimanakah pula pendekatan berdakwah yang sesuai dalam hal ini?

    Bagi menjamin keberkesanan dakwah, isu Palestin dalam konteks Israk dan Mikraj perlu difahami dengan baik. Para penceramah hanya jangan mengulang syarahan.

    Ada baiknya juga menggabungkan penyampaian dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk melalui slaid.

    Ceramah-ceramah Israk dan Mikraj juga perlu memandu umat Islam ke arah penyelesaian masalah bukan setakat menyentuh isu kulit sahaja.

    Pada masa yang sama, kita harus bersiap-sedia dengan segala kelengkapan untuk menghadapi musuh-musuh Islam sebagaimana ditegaskan dalam ayat 60 surah al-Anfaal.

    Dalam isu Palestin dan Lebanon ini, kita wajib membantu mengikut kemampuan. Setidak-tidaknya mendoakan kesejahteraan umat Islam kerana doa itu adalah senjata orang mukmin.

    Kita juga perlu menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit atau tenaga membantu saudara Muslim di sana. Ini juga ditunjukkan dalam perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah yang melihat sekumpulan manusia menanam gandum, sesaat kemudian ia berbuah dan dituai.

    Inilah gambaran golongan yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.

    Antara sebab kekeliruan mengenai Islam adalah kurang pemahaman golongan bukan Islam. Bagaimanakah cara mengatasinya?

    Pertama kita perlu jelaskan Islam kepada semua. Dakwah yang sebenarnya bukan setakat menyeru orang yang sudah Islam tetapi mereka yang bukan Islam.

    Dengan kata lain, pendekatan dakwah kita perlu menyeluruh. Dalam menyambut Israk dan Mikraj misalnya, kita boleh mengadakannya di kawasan lapang atau padang bagi membolehkan golongan bukan Islam hadir.

    Kita juga perlu menjemput mereka yang mampu berdialog menjelaskan apa yang mereka kurang faham tentang Islam iaitu agama yang sejahtera.


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 8:02 AM   0 comments
    Usia bukan penghalang untuk menjadi sukarelawan
    Utusan Malaysia, 22 ogos 2006

    Oleh: SITI AINIZA KAMSARI


    PASANGAN Hasimah Salleh dan Ir. Zaini Awang seiring sejalan dalam menguruskan Aman Palestin.

    ISTILAH ‘kaki dirantai’ sering kali menyebabkan seseorang wanita tidak dapat bergerak bebas sekalipun untuk melakukan kerja-kerja amal dan sukarelawan.

    Ini berlaku apabila si suami menjadikan alasan bahawa rumah merupakan ‘dunia yang cukup luas’ untuk diterokai. Malah itu kononnya lebih menjanjikan pahala.

    Namun, bagi ibu beranak lapan dan nenek kepada dua cucu, Hasimah Salleh, 48, kemampuannya menguruskan masa, tenaga dan wang terhadap kerja-kerja sukarelawan wajar menjadi contoh teladan sekali gus membuktikan bahawa status di atas bukan penghalang.

    Hasimah atau lebih mesra dengan panggilan kak Shimah juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kempen dan Latihan untuk satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang terkemuka, Aman Palestin.

    Lebih mengagumkan, keprihatinannya menyebabkan beliau sanggup melangkau sempadan dan benua demi melihat sendiri dan mengenal erti penderitaan yang sebenar.

    Semua itu untuk dikongsi dengan rakyat Malaysia bagi membentuk tindakan yang sewajarnya dalam menangani isu Palestin.

    Pada awal 2004, Kak Shimah berpeluang mengunjungi sebuah kem pelarian rakyat Palestin iaitu Burj Balajneh, 15 minit perjalanan berkereta dari Bandar Beirut, ibu negara Lebanon.

    Kata Kak Shimah, keseluruhannya terdapat 12 kem yang menampung hampir 400,000 hingga 600,000 pelarian bagi membayangkan keadaan yang berhimpit-himpit.

    “Itu tidak termasuk kem-kem kecil dan jumlah mereka mungkin sebenarnya lebih ramai kerana setiap hari jumlah rakyat Palestin yang menjadi pelarian dan mencari tempat-tempat perlindungan di sekitar Lebanon meningkat,” katanya.

    Beliau tidak menyangka kem yang turut diselia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) itu berada dalam keadaan yang cukup menyedihkan.

    “Tidak tergambar melalui perkataan tentang daifnya keadaan di kem itu. Pendek kata, ia tidak sesuai untuk di huni,” katanya.

    Kebanyakan kem juga tidak mempunyai kemudahan asas atau infrastruktur yang baik. Menurut kak Shimah, tiada bekalan air bersih kerana beliau sendiri merasai air itu masin dan keruh. Difahamkan ia adalah air laut yang tidak diproses dengan baik.

    Sistem pendawaian elektriknya pula tidak mengikut spesifikasi dan litar pintas boleh berlaku pada bila-bila masa.

    Namun tiada topik yang lebih menyentuh perasaan kecuali apabila berkata mengenai makanan.

    Kak Shimah cuba menahan kesedihan dan tidak mahu air matanya tumpah, tetapi ternyata beliau gagal.

    “Bayangkan jika di sekolah peringkat tadika, yang dapat di jamu kepada anak-anak kecil itu hanyalah kepingan roti keras yang dipotong-potong kecil dan dicecah air kosong.

    “Namun tiada yang lebih menyedihkan jika ada makanan yang layak dipanggil makanan dihidang kepada saya sebagai tetamu manakala lebihannya akan disimpan... Jangan tanya untuk apa, kita sendiri tahu apa jawapannya,” katanya.

    Lantaran itu kata kak Shimah, beliau sangat sensitif apabila ada di kalangan rakyat Malaysia yang tidak pernah rasa cukup dengan apa yang mereka ada.

    “Terutama makanan, saya menjadi cukup pantang jika berlaku pembaziran kerana mengenangkan tidak sebutir nasi pun akan tumpah ke lantai kecuali di kutip dan ditelan bagi menghilangkan lapar yang ditanggung selama berhari-hari di setiap kem pelarian itu.

    Ujar kak Shimah lagi, pernah beliau merasa sungguh hairan apabila mengunjungi sebuah rumah yang dipenuhi dengan tadahan baldi di setiap sudut.

    “Apabila ditunjukkan ke atas, saya terkejut kerana lubang besar pada bumbung itu sehingga boleh nampak kerdipan bintang dengan jelas. Jadi bayangkan jika hujan? Penuh baldi-baldi tersebut menampung air hujan,” katanya.

    Kak Shimah juga tidak dapat menahan perasaan apabila ada di kalangan pelarian terutamanya wanita yang dipercayai ibu tunggal yang menghuni tangga hanya berselimutkan pakaian tipis.

    Semakin terguris perasaan apabila menjejakkan kaki ke lokasi yang pernah satu masa dahulu mencatatkan tragedi berdarah, Kem Sabra Satilla. Tragedi itu menyaksikan hampir 3,000 rakyat Palestin disembelih oleh rejim Israel pada 1982.

    “Kesan-kesan yang ditinggalkan terutama kesan tompokan darah masih jelas kelihatan seolah-olah ia baru berlaku semalam,” jelasnya.

    Menurutnya, beliau juga berpeluang menemui seorang gadis yang terselamat dalam tragedi ngeri itu.

    Semasa kejadian, Laila masih terlalu muda, iaitu berumur 12 tahun. Tetapi mengalami detik dikepung dan diserang oleh askar-askar rejim Israel serta menyaksikan tindakan kejam rejim itu membunuh, menyembelih, memperkosa para pelarian yang merupakan ahli keluarga dan rakan-rakan.

    “Akibatnya, Laila yang sebelum ini seorang remaja yang sihat tiba-tiba diserang epilepsi kesan trauma kronik yang dialaminya,” tambahnya.

    Melihat keadaan Laila yang menggelepar di atas tanah, askar-askar Israel kemudian mencampak dia bersama timbunan mayat-mayat yang lain.

    Ketika ditemui oleh pasukan penye lamat tidak lama kemudian, Laila sedang merangkak keluar dari celahan timbunan mayat .

    “Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkannya. Tetapi Laila masih tidak mampu bercakap kerana masih terkejut sehingga hari ini,” katanya.

    Tidak dinafikan penderitaan rakyat Palestin menarik minat warga dunia menjadi sukarelawan dengan cara dan pendekatan mereka yang tersendiri.

    Kak Shimah sendiri sejurus menjejakkan kaki ke tanah air, terus menyingsing lengan melakukan apa sahaja bagi membantu pelarian itu. Cara beliau benar-benar unik. Ini kerana Kak Shimah tidak pergi kepada satu korporat kepada korporat yang lain bagi mendapatkan sumbangan untuk Tabung Aman Palestin.

    Apa yang dilakukan, beliau mendapatkan setiap sen sumbangan itu melalui penglibatannya dalam pelbagai jenis perniagaan.

    “Namakan apa sahaja, dari jualan langsung, jual buku, jual cakera padat Palestin, poster, sehinggalah Kak Shimah menjual sayur-sayuran semata-mata untuk mengumpulkan sumbangan kepada pelarian Palestin,” katanya.

    Tetapi beliau tidak akan mampu melakukan semua ini tanpa sokongan suami yang begitu memahami, Ir. Zaini Awang, 50.

    Mungkin ini yang menjadi kelebihan kepada kak Shimah.

    Dalam struktur organisasi Aman Palestin sendiri, suaminya turut memegang peranan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Dana.

    Mereka seiring sejalan dan sehati sejiwa terutama melibatkan soal Palestin ini.

    Yang menariknya, jika kak Shimah yang ke hadapan untuk menyampaikan syarahan, suaminya akan membantu menyelenggara dan menyediakan peralatan sistem audio, multimedia atau alat pandang dengar.

    Kak Shimah yang dijadual berlepas ke Selatan Lebanon pada hari ini untuk menyampaikan sumbangan wang ringgit kepada pelarian Palestin bagaimanapun terpaksa menunggu untuk berbuat demikian. Ini kerana, semua laluan udara ke negara itu masih ditutup.

    “Semua sumbangan ini mesti diserahkan kepada mereka kerana ia sangat diperlukan lebih-lebih dalam keadaan sekarang, kehidupan mereka semakin meruncing.

    “Cepat atau lambat Kak Shimah tetap akan ke sana kerana memikul tanggungjawab bagi memastikan setiap sumbangan rakyat Malaysia sampai ke tangan rakyat Palestin” katanya penuh harapan.

    Aktiviti sukarela sebenarnya satu aktiviti yang mulia di sisi Allah. Ini di tegaskan melalui firman-Nya, Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa juga yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (Ali-Imran: 92)


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 7:55 AM   0 comments
    Kisah Sahabat: Khalifah Ali hadapi zaman pemerintahan sukar
    Monday, August 21, 2006
    Berita Harian, 21 ogos 2006

    KEMATIAN Uthman bermulanya rentetan fitnah yang melanda kaum Muslimin. Justeru, waktu kekhalifahan Ali adalah masa yang amat sulit. Persoalan semakin rumit dan keadaan kian meruncing yang akhirnya menimbulkan ketidakstabilan dalam jajaran tentera.


    Penduduk Iraq membangkang dan penduduk Syam menyebarkan isu. Mereka menyatakan berdasarkan keputusan dua orang tengah, ditetapkan bahawa Muawiyah seharusnya menjadi khalifah, bukan Ali. Menghadapi banyaknya fitnah dan pembangkang yang timbul, Ali menjadi semakin lemah hatinya dan dia merasakan kekhalifahannya akan segera berakhir.

    Dalam kalangan Khawarij, ada tiga orang yang membangkang dan memberontak terhadap Ali dan Muawiyah Abi Sufyan, iaitu Abdurrahman bin Amru yang dikenal dengan Ibnu Maljam Alburak bin Abdullah Attamimi dan Amru Bin Bakar Attamimi.

    Mereka sepakat mahu membunuh Ali, Muawiyah Abi Sufyan dan Amru Ibnul Aash. Mereka berikrar, membunuh atau terbunuh. Niat ini mereka laksanakan pada malam 17 Ramadan. Mereka masing-masing mengasah dan meracun pedangnya.

    Ibnu Maljam menuju Kufah di Iraq. Pada waktu fajar, ketika Ali sedang menuju ke masjid untuk bersolat Subuh, ubun-ubun kepalanya dipukul dengan pedang sehingga darah mengalir membasahi janggutnya.

    Tetapi, Alhamdulillah, Ibnu Maljam berhasil ditangkap dan Ali segera ke rumahnya. Lalu Ibnu Maljam dihadapkan kepada Ali yang lantas bertanya kepadanya: “Hai musuh Allah, tidakkah aku berbuat baik kepadamu.”

    Ibnu Maljam menjawab: “Ya, benar.”

    Lalu Ali bertanya lagi: “Lantas mengapa kamu berbuat demikian?”

    Ibnu Maljam menjawab: “Aku mengasah pedangku selama 40 hari dan memohon kepada Allah agar aku dapat menggunakannya untuk membunuh makhluknya yang paling jahat.”

    Ali menjawab: “Tiada lain, kamu akan terbunuh oleh pedangmu itu dan aku tidak melihat ada orang yang lebih jahat dari kamu.”

    Kemudian Ali berpesan: “Kalau aku wafat, bunuhlah dia dan kalau selamat (hidup) biarlah aku nanti yang menentukan keputusan.”

    Ternyata Ali wafat pada Jumaat, 17 Ramadan, tahun 40 hijrah. Beliau menjadi khalifah selama empat tahun lapan bulan. Dia dimakamkan di Kugah pada waktu malam kejadian berkenaan. Beliau meninggalkan 33 anak iaitu 15 lelaki dan 18 perempuan.


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 1:00 PM   0 comments
    Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad Mufti Kerajaan Johor
    Utusan Malaysia, 21 ogos 2006

    Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah


    KETURUNAN Nabi Muhammad s.a.w. berbangsa ‘al-Haddad’ adalah salah satu keluarga ‘Saiyid’ yang penting dalam penyebaran Islam, pendidikan dan dakwah di dunia Melayu. Contohnya, Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad yang lahir di Hadhramaut.

    Beliau pernah menyebarkan Islam di India, akhirnya meninggal dunia di Tegal, Indonesia. Makam beliau sentiasa diziarahi hingga sekarang kerana beliau diakui oleh masyarakat sebagai wali Allah. Yang diriwayatkan dalam artikel ini ialah bangsa ‘al-Haddad’ yang menjadi Mufti Johor. Nama lengkapnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Saidina Ali bin Abi Thalib yang kahwin dengan Saidatina Fatimah binti Nabi Muhammad s.a.w.. Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14 Syawal 1301 H/7 Ogos 1884 M

    Dalam Tasynif al-Asma' oleh Abi Sulaiman Mahmud Sa'id bin Muhammad Mamduh menyebut bahawa Saiyid 'Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia di Jakarta, ibu kota Indonesia, pada bulan Jamadilakhir 1382 H (hlm. 383). Nik Yusri Musa dalam kertas kerja berjudul Polemik Datuk Sayed bin Tahir al-Haddad dan A. Hassan Bandung: Gambaran Pemikiran Fiqh Nusantara menyebut bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad meninggal dunia pada 14 November 1962 M dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmudiah Johor Bahru (lihat Prosiding Nadwah Ulama Nusantara III, 2005 M/1427 H, hlm. 538).

    Ditinjau dari segi tarikh wafat kedua-dua maklumat di atas adalah sepakat kerana 14 November 1962 M adalah bersamaan dengan 17 Jamadilakhir 1382 H. Tetapi tempat wafat masih perlu ditinjau kerana Tasynif al-Asma' hanya menyebut Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat di Jakarta dan tidak menyebut di mana dikebumikan.

    Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa pula dinyatakan bahawa beliau dikebumikan di Johor Bahru, tetapi tidak menyebutkan di mana sebenarnya Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad wafat. Apakah memang benar beliau wafat di Jakarta kemudian jenazahnya dibawa ke Johor Baharu juga tidak dijelaskan. Sekiranya benar beliau wafat di Jakarta ada kemungkinan dikebumikan di Jakarta ataupun Bogor kerana Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad sebelum ke Johor memang tinggal di sana. Murid beliau pun memang ramai di Jakarta dan Bogor.

    Seperkara lagi ketika tarikh wafat Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad, 14 November 1962 M itu, urusan penerbangan dari Jakarta ke Singapura mungkin sedikit terganggu kerana detik-detik awal konfrontasi Indonesia-Malaysia, sedangkan Singapura ketika itu dalam Malaysia. Oleh itu sejarah yang demikian perlu diselidiki dengan lebih kemas lagi.

    Dalam kertas kerja Nik Yusri Musa juga dinyatakan bahawa Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad bertugas sebagai Mufti Kerajaan Negeri Johor dari tahun 1934 - 1961 (Ibid, hlm. 538). Maklumat ini berbeza pendapat dengan tulisan Othman bin Ishak dalam buku Fatwa Dalam Perundangan Islam yang menyebut bahawa Datuk Saiyid Alwi bin Thahir al-Haddad menjadi Mufti Johor tahun 1934 - 1941, Datuk Haji Hasan bin Haji Yunus menjadi Mufti Johor 1941 - 1947 dan Datuk Haji Abd. Jalil Hasan menjadi Mufti Johor 1961 - 1964 (lihat terbitan Fajar Bakti, 1981, hlm. 31).

    Mufti Johor yang berikutnya ialah Datuk Haji Abd. Rahim bin Haji Yunus tahun 1965 - 1977. Sesudahnya ialah Datuk Saiyid Alwi bin Abdullah al-Haddad. Mengenai nama ini hendaklah diperhatikan bahawa pada hujung nama sama-sama menggunakan ‘al-Haddad’. Jadi bererti ada dua orang keturunan ‘al-Haddad’ yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor.

    PENDIDIKAN

    Guru-gurunya di Hadhramaut ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas al-Alawi, Habib Thahir bin Umar al-Haddad, dan Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad. Banyak bidang ilmu tradisi yang beliau peroleh daripada keluarganya sendiri yang berketurunan Nabi Muhammad s.a.w..

    Sungguhpun demikian yang lebih diutamakan ialah tentang hadis dan ilmu-ilmu yang dibangsakan kepada hadis itu. Berkali-kali Saiyid Alwi al-Haddad menamatkan kitab as-Sittah, Riyadh ash-Shalihin, Bulugh al-Maram, Jami' ash-Shaghir. Sehubungan dengan hadis Saiyid Alwi al-Haddad juga mempelajari kitab-kitab mengenai sanad hadis di antara kitab-kitab itu ialah ad-Dhawabidh al-Jaliyah fi al-Asanid al-'Aliyah karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Syamsuddin Abdullah bin Fathi al-Farghali al-Hamisyi. Demikian juga kitab ats-tsabat yang berjudul as-Samth al-Majid karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Shafiyuddin Ahmad bin Muhammad al-Qasyasy al-Madani. Saiyid Alwi al-Haddad telah berhasil memperoleh ilmu dan ijazah daripada para gurunya serta dengan sanad-sanad yang bersambung.

    Selain guru tersebut, Saiyid Alwi al-Haddad juga memperoleh ilmu daripada ayah saudaranya Imam Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, juga dengan Habib Thahir bin Abi Bakri al-Haddad. Guru-guru beliau yang lain pula ialah al-Mu'ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi ash-Shiddiqi al-Bakari. Saiyid Alwi al-Haddad juga sempat mendengar riwayat hadis daripada al-Allamah as-Saiyid 'Abdur Rahman bin Sulaiman al-Ahdal yang wafat tahun 1250 H/1834 M.

    Diriwayatkan bahawa Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang yang sangat cergas. Sedikit saja belajar namun pencapaian pengetahuan terlalu banyak. Ketika berumur 12 tahun Saiyid Alwi al-Haddad tamat belajar Ihya' 'Ulum ad-Din karya Imam al-Ghazali. Dalam usia 17 tahun beliau telah mulai mengajar dan mengajar kitab yang besar-besar dan ilmu yang berat-berat dalam usia 20 tahun. Ilmu-ilmu yang beliau ajar dalam usia itu ialah ilmu tafsir, hadis, fiqh, usul fiqh, tarikh, falak, nahu, sharaf, balaghah, falsafah dan tasawuf.

    PEMIKIRAN

    Saya mulai mengikuti tulisan-tulisan Saiyid Alwi al-Haddad sejak tahun 1966, iaitu yang dimuat dalam Warta Jabatan Agama Johor. Salah satu karya Saiyid Alwi al-Haddad bagi saya yang cukup menarik ialah sebuah karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia yang diberi judul Sejarah Islam di Timur Jauh. Saya ringkaskan saja bahawa karya Saiyid Alwi al-Haddad yang telah diketahui sebagai berikut:

    1. Anwar al-Quran al- Mahiyah li Talamat Mutanabi' Qadyani (dua jilid).

    2. Al-Qaul al-Fashl fi ma li al-Arab wa Bani Hasyim min al-Fadhal. Kitab ini terdiri daripada dua jilid. Kandungannya merupakan sanggahan terhadap fahaman pembaharuan Islam yang dibawa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati as-Sudani.

    3. Al-Khulashah al-Wafiyah fi al-Asanid al-'Aliyah. Kitab ini menggunakan nama keseluruhan guru Saiyid Alwi al-Haddad tentang qiraat dan ijazah.

    4. 'Iqd al-Yaqut fi Tarikh Hadhramaut.

    5. Kitab as-Sirah an-Nabawiyah asy-Syarifah.

    6. Dalil Khaidh fi 'Ilm al-Faraidh.

    7. Thabaqat al-'Alawiyin (sepuluh jilid).

    8. Mu'jam asy-Syuyukh.

    9. 'Uqud al-Almas bi Manaqib al-Habib Ahmad bin Hasan al-'Athas.

    Sekiranya kita sempat membaca keseluruhan karya Saiyid Alwi al-Haddad yang tersebut di atas, dapat disimpulkan bahawa sangat luas pengetahuan yang beliau bahaskan. Saiyid Alwi al-Haddad diakui sebagai seorang tokoh besar dalam bidang sejarah, ahli dalam bidang ilmu rijal al-hadis.

    Lebih khusus lagi sangat mahir tentang cabang-cabang keturunan ‘al-'Alawiyin’ atau keturunan Nabi Muhammad s.a.w.. Setahu saya memang tidak ramai ulama yang berkemampuan membicarakan perkara ini selain Saiyid Alwi al-Haddad. Boleh dikatakan tidak ada ulama dunia Melayu menulisnya secara lengkap. Sekiranya ada juga ia dilakukan oleh orang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w. seperti yang pernah dilakukan Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi.

    Saiyid Alwi al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas mempertahankan hukum syarak. Gaya berhujah dan penulisan banyak persamaan dengan yang pernah dilakukan oleh Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya al-Alawi, Mufti Betawi. Saiyid Alwi al-Haddad selain menyanggah pendapat dan pegangan Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang lebih keras dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung.

    Bukan Saiyid Alwi al-Haddad saja yang menolak pegangan A. Hassan bin Ahmad Bandung tetapi perkara yang sama juga pernah dilakukan oleh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar. Sanggahan Haji Abu Bakar Muar terhadap A. Hassan Bandung berjudul Majlis Uraian Muar-Johor. Di bawahnya dijelaskan judul, “Pada menjawab dan membatalkan Al-Fatwa pengarang Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi itu najis dimakan bukan najis disentuh dan mulut anjing pun belum tentu najisnya.” Sebenarnya apabila kita meninjau sejarah pergolakan Kaum Tua dan Kaum Muda dalam tahun 1930-an itu dapat disimpulkan bahawa semua golongan ‘Kaum Tua’ menolak pemikiran A. Hassan Bandung itu khususnya Kerajaan Johor yang muftinya ketika itu Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan karya-karya A. Hassan Bandung di Johor.

    MURID-MURID

    Saiyid Alwi al-Haddad mengembara ke pelbagai negara, antaranya Somalia, Kenya, Mekah, Indonesia, Malaysia dan lain-lain. Di negara-negara yang pernah beliau singgah, beliau berdakwah dan mengajar.

    Di Jakarta, Saiyid Alwi al-Haddad pernah mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair yang diasaskan oleh keturunan ‘Saiyid’ di Indonesia. Madrasah Jam'iyah al-Khair ialah sekolah Islam yang mengikut sistem pendidikan moden yang pertama di Indonesia, Saiyid Alwi al-Haddad pula termasuk salah seorang guru yang pertama sekolah itu diasaskan. Bahkan beliau ialah Wakil Mudir sekolah itu.

    Mudirnya ialah Saiyid Umar bin Saqaf as-Saqaf. Para guru didatangkan dari pelbagai negara. Antara mereka ialah Ustaz Hasyimi yang berasal dari Tunis, Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang berasal dari Sudan (mengajar di Madrasah Jam'iyah al-Khair tahun 1911 - 1914), Syeikh Muhammad Thaiyib al-Maghribi yang berasal dari Maghribi, Syeikh Muhammad Abdul Hamid yang berasal dari Mekah.

    Selain mengajar di Jakarta beliau juga pernah mengajar di Bogor dan tempat-tempat lain di Jawa. Muridnya sangat ramai. Antara tokoh dan ulama besar yang pernah menjadi murid Saiyid Alwi al-Haddad ialah:

    1. Saiyid Alwi bin Syaikh Bilfaqih al-Alawi.

    2. Saiyid Alwi bin Abbas al-Maliki.

    3. Saiyid Salim Aali Jindan.

    4. Saiyid Abu Bakar al-Habsyi

    5. Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Haddad.

    7. Saiyid Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih.

    8. Saiyid Husein bin Abdullah bin Husein al-Attas.

    9. Syeikh Hasan Muhammad al-Masyath al-Makki.

    10. Kiyai Haji Abdullah bin Nuh.


    Baca Lagi...
    posted by Blogger @ 7:23 AM   0 comments
    About Me

    Name: Blogger
    Home: Malaysia
    About Me:
    See my complete profile
    Kunjungan

    Pengunjung Dari Negara Online
    Previous Post
    Archives
    Links
    Tarbiyyah
  • Uslub Dakwah
  • Sasaran Dakwah
  • Pengurusan Tanzim
  • Memahami Perjuangan Islam
  • Tarbiyyah : Satu Keperluan Harakah
  • Cabaran dan Persiapan Tarbiyyah
  • Prinsip dan Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah
  • Akhlak dan Adab Berjemaah
  • Tahaluf Dalam Islam
  • Al Murabitun
  • Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiyyah Islamiyyah
  • Maudhu' dakwah
  • Persiapan para da'ie
  • Halangan dan rintangan dalam perjuangan
  • Semakan Daftar Pemilih SPR
  • Semak Status Anda Di sini
  • Powered by

    Free Blogger Templates

    BLOGGER

    © 2006 Koleksi Artikel 1 .Template by Isnaini Dot Com